Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : PELANCARAN ANTOLOGI BUKU "AKUARIUM KOTA" OLEH PUAN ZAIHASRA DAN PUAN SITI ZAINON ISMAIL
Lokasi : FOYER DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
Tarikh : 12-02-1988
 
Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh Bunga selasih bunga kasturi Pucuk kundang tidak berduri Terima kasih kerana sudi Mengundang saya ke pertemuan ini Kalau tidak kelapa puan Tidak puan kelapa bali Kalau tidak kerana tuan puan Tidaklah saya datang ke mari Pertama kali datang ke sini Berserta tuan dengan puisi Bangga saya wanita masa kini Khususnya penyair Zaihasra dan Siti Cindai Cinta nama diberi Mengangkatkan puisi untuk dinikmati Masyarakat harus menghormati Puisi adalah jantung budaya abadi Yang Berhormat Menteri-Menteri Tuan-Tuan Yang Terutama Sasterawan-Sasterawan Negara Penyair-Penyair Undangan Puan-puan dan Tuan-tuan Sebagai penduduk kota kita selalunya seperti tidak mempunyai masa bagi menghayati keriuhan dan keresahan rasa manusia tetapi selalu juga diusik perasaan sebak, marah dan terkejut. Namun bagi dunia penyair hal inilah yang menggugahnya sehingga muncul dan terbena dalam karya-karya seni. Barangkali ini jugalah bakal kita temui di dalam AKUARIUM KOTA dari rasa gugahan penyair wanita kita ini.

2. Wanita Malaysia mempunyai sejarah yang gemilang. Di alam Melayu kita pernah mengenali nama-nama seperti Tun Fatimah, Tun Kudu, Siti Zubaidah, Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong atau Puteri Sentubung.

Wanita masa kini turut memainkan peranan penting khususnya dari zaman rakyat memperjuangkan kemerdekaan hinggalah wanita menceburi diri dalam bidang kewartawanan sampailah ke bidang politik. Kita menyedari kegemilangan perjuangan Ibu Zain, (sekarang ini Tan Sri) Ibu Khatijah, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Datin Paduka Hajah Aishah Ghani dan lain-lain yang tercatit dalam sejarah wanita Malaysia. Di peringkat antarabangsa pula nama-nama seperti Indira Gandhi, Corazon Aquino dan Margaret Thatcher adalah tokoh-tokoh wanita terkenal dalam bidang politik.

3. Puisi bukanlah sekadar memperkatakan dunia realiti itu sahaja, namun lebihmenyorot kepada inti masalah itu sendiri. Sebagai karya sastera, puisi adalah cabang ilmu, gabungan sukma dan rakaman pemikiran manusia. Dalam Islam sendiri Tuhan juga menyenangi pada keindahan. (Al-Jamal)" Tuhan itu indah, dan sememangnya sukakan keindahan."

4. Lahirnya penyair wanita terkenal di Andalusia (kini Sepanyol Selatan) iaitu Walladah, puteri istana yang merindui Ibnu Zaidon; atau Laila Abdullah di daerah Tanah Arab (Jazirah Arab), yang merindui Tauba bin Hamir, sehingga sejarah sastera Arab terkenal dengan kisah "Laila Majnun" telah mengangkat syair-syair itu ke tingkatan yang istimewa!

5. Di Nusantara sendiri, Tengku Puteri dari Istana Penyengat Riau, anakanda Raja Ali Haji, terus menghasilkan puisi di abad ke 19. Di Malaysia penulis-penulis terkenal seperti Azah Aziz, Adibah Amin, Khatijah Hashim, Zaharah Nawawi, Salmah Mohsin, Salmi Manja dan lain-lain telah turut mewarnakan dunia kesusasteraan kita.

Puan-puan dan Tuan-tuan

6. Penulis boleh memainkan peranan yang penting dalam pembentukan pemikiran masyarakat. Dengan demikian saya menyeru kepada penulis-penulis wanita khususnya dan sasterawan-sasterawan yang lainsupaya membantu mewujudkan masyarakat Melayu yang mampu menghadapi persaingan ekonomi dan sosial dewasa ini. Untuk tujuan tersebut kita perlulah mendidik kanak-kanak dari awal lagi dengan semangat membaca. Saya berharap mereka boleh menulis puisi untuk kanak-kanak (nursery rhymes), dan lain-lain bahan bacaan untuk menarik minat mereka. Tahun ini ialah "Tahun Membaca" dan dengan itu kita perlulah menanam semangat membaca di kalangan kanak-kanak. Karya untuk kanak-kanak perlulah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh mereka dan disemai dengan nilai-nilai yang murni, positif, dinamis dan kreatif kerana nilai-nilai itu keseluruhannya akan membentuk watak yang kita cita-citakan.

7. Satu lagi usaha yang patut dijalankan ialah untuk mempopularkan puisi dikalangan orang ramai. Pertandingan puisi, cerpen dan skrip drama, deklamasi sajak, berbalas pantun, pertandingan kuiz, perbahasan dan pementasan drama boleh digalakkan dikalangan murid-murid sekolah, persatuan-persatuan belia dan wanita dan juga kakitangan Kerajaan. Dengan pelancaran gerakan "Cintailah Bahasa Kita" saya yakin acara-acara yang saya sebutkan tadi boleh menggalakkan kegunaan Bahasa Malaysia oleh orang ramai.

Puan-puan dan Tuan-tuan

8. Saya berharap agar usaha yang dilakukan oleh Cindai Cinta dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menerbitkan antologi AKUARIUM KOTA karya Puan Zaihasra dan Puan Siti Zainon, akan mendapat sambutan dari pihak-pihak yang berkenaan terutama sekali pada peminat sastera, pengkritik dan pemerhati sastera dalam usaha mengangkatkan karya puisi itu ke peringkat yang tinggi dalam masyarakat. Saya juga berharap semoga pertubuhan-pertubuhan seperti PERTAMA dapat memberi sokongan terhadap karya-karya wanita dan meletakkan puisi ke tempat yang sewajarnya untuk dinikmati semua.

9. Dengan ini saya melancarkan antologi puisi AKUARIUM KOTA oleh penyair Zaihasra dan Siti Zainon Ismail.

(gamelan akan berbunyi sebentar) O suara yang mengetuk-ngetuk dinding sukma redup dan lampai rindu pun terapung penuh menggumpal Mengenang-Mu selalu Dalam Doa Ku genggam cinta-Mu Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kami menerima 7,646,407 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri