Hampir setiap hari kita membaca dalam akhbar berbagai-bagai cerita mengenai keruntuhan akhlak, jenayah, penyalahgunaan dadah dan penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak. Berita-berita seperti ini tidak menyenangkan hati kita sebagai ibu bapa. Ia menggambarkan bahawa masyarakat kita telah menjadi ganas dan mangsa-mangsa keganasan ini ialah orang-orang yang lemah seperti kanak-kanak dan wanita. Adakah insiden-insiden keganasan ini bermakna bahawa masyarakat kita telah mewarisi penyakit negara-negara maju? Marilah kita tinjau bagaimana keadaan ini telah berlaku di dalam negara kita.
KERUNTUHAN AKHLAK
2. Dalam dunia yang terbuka dan kemajuan perhubungan yang hebat seperti terdapat di dalam negara kita sekarang ini, masyarakat kita terdedah kepada berbagai pengaruh dan pemikiran, kegiatan yang tidak sihat, yang jahat dan yang merosakkan, kelakuan anti-sosial dan yang terlalu mementingkan diri. Semua ini menjadikan tugas ibu bapa untuk mendidik anak-anak lebih sulit dan lebih mencabar.
3. Bagi anak-anak kita pendedahan kepada keganasan dan lain-lain pengaruh negatif melalui berbagai saluran dan keadaan sekeliling mengakibatkan anak-anak kita berhadapan dengan berbagai masalah sosial. Ini termasuk merokok dan penyalahgunaan dadah, perkosaan dan eksploitasi wanita dan kebudayaan kuning.
4. Tidak boleh dinafikan bahawa media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk pemikiran anak-anak kita. Peluang pelajaran dan pekerjaan bermakna bahawa anak-anak kita terpaksa meninggalkan kita dalam usia yang masih muda kerana mengejar pelajaran dalam bandar atau di luar negeri dan pekerjaan di kawasan-kawasan perbandaran.
Ini bermakna bahawa mereka jauh dari teguran dan tunjukajar kita dan bebas untuk menentukan nasib mereka sendiri.
Kebanyakan dari anak-anak muda boleh berdikari dan bertanggungjawab tetapi ada juga yang tidak tahu menggunakan kebebasan mereka dengan baik. Inilah golongan yang mencuba dadah, arak dan rokok sebagai cara berseronok dan bersuka-suka. Mereka bebas bergaul di antara lelaki dan perempuan dan dengan ini mereka tidak berasa segan-silu dan menganggapkan pergaulan di antara mereka sebagai perkara biasa sahaja.
5. Bagi anak-anak muda yang sukakan kebebasan mereka lebih terbuka dan terdedah kepada pengaruh-pengaruh baru. Adalah sukar bagi ibu bapa menegur mereka. Mereka lebih suka buat sesuka hati dengan kawan-kawan mereka yang telah menggantikan ibu bapa sebagai orang yang berpengaruh ke atas diri mereka.
6. Ada di antara anak-anak muda yang lebih mementingkan hiburan dan berseronok. Mereka banyak menghabiskan masa dengan kegiatan-kegiatan yang tidak memberi manfaat. Akibat daripada ini mereka juga mudah dipengaruhi dengan gejala-gejala yang tidak sihat.
7. Kesibukan ibu bapa yang bekerja atau ibu yang sibuk dengan kerja-kerja di luar rumah mengakibatkan anak-anak itu terbiar dan bebas dari kawalan ibu. Mereka bebas keluar dan masuk rumah tidak mengira waktu. Untuk mengelak anak-anak kita dari terlibat dalam kegiatan tidak sihat ibu bapa perlulah memberi perhatian yang lebih berat terhadap pendidikan akhlak melalui ajaran agama, kawalan ketat ke atas perjalanan dan kegiatan mereka dan memberikan kasih sayang yang sepenuhnya hingga mereka dewasa.
PERKOSAAN WANITA
8. Perkosaan atau rogol adalah satu aktiviti jenayah yang melibatkan ancaman kekerasan dan paksaan ke atas wanita.
Walaupun demikian mangsa-mangsa rogol jarang sekali melaporkan kejadian-kejadian ini kepada pihak berkuasa. Ini adalah kerana mereka kurang mendapat simpati masyarakat, apatah lagi sokongan dan pembelaan. Malahan mangsa-mangsa ini dipersalahkan, seolah-olah merekalah yang menggalakkan rogol itu terjadi. Inilah satu dilemma yang dihadapi oleh mangsa rogol. Sebagai mangsa mereka tidak dapat apa-apa pembelaan. Mereka juga dianggap tidak mempunyai hak untuk mengemukakan saman atau mengambil tindakan undang-undang.
Hal ini terjadi kerana dalam proses perundangan seringkali maruah wanita yang dirogol itu dibicarakan dan segala aspek pergaulan dan nilai moralnya dipertikaikan. Itulah sebabnya kenapa ramai wanita enggan melaporkan kejadian rogol.
9. Di samping tidak mahu dibicarakan, wanita juga enggan melaporkan kejadian rogol kerana tidak mahu menerima cemohan dan tohmah masyarakat. Masyarakat tidak akan bersimpati dengan mereka, malahan masyarakat akan mengecam mereka habis-habisan. Selain dari itu mereka juga akan dijadikan bahan perbualan dan ketawa oleh lelaki yang mengetahui hal ini. Jadi untuk mengelakkan semua ini, mangsa-mangsa rogol menderita keseorangan.
Tempat-tempat kejadian rogol
10. Perkosaan terhadap wanita boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Tempat-tempat seperti jalan terpencil atau taman yang sepi adalah amat berbahaya.
Bagaimanapun perkosaan juga akan terjadi di tempat-tempat yang dianggap aman seperti dalam pejabat, sekolah, rumah sendiri, rumah kosong, dalam kenderaan, di tepi pantai, atau di mana-mana tempat yang sunyi.
Profail perogol
11. Para perogol terdiri dari lelaki yang berusia di antara 17 hingga 34 tahun. Wanita-wanita yang diperkosa itu berusia di antara 13 hingga 33 tahun.
12. Dari kajian-kajian yang telah dijalankan di Amerika Syarikat adalah didapati bahawa 58.6% daripada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas yang merogol itu adalah terdiri daripada pemabok-pemabok. Adalah ternyata mereka melakukan perogolan itu dengan keadaan yang tidak siuman atau waras.
Mangsa-mangsa rogol mereka itu terdiri daripada isteri, bekas isteri, kekasihnya ataupun keluarga terdekat dengannya.
13. 72.2% perogol daripada pemuda-pemuda yang berusia dalam lengkongan 20an disebabkan gila seks atau kuat nafsu.
Barangkali kerana susah memperolehi secara aman maka mereka memaksa orang lain memenuhi kehendak mereka. Didapati juga bahawa ramai daripada perogol yang muda adalah penagih dadah ataupun mereka yang mendapat rangsangan dari memakan pil-pil dan sebagainya. Mereka menggunakan bahan ini untuk memperdaya wanita-wanita yang mereka gilakan.
14. 21.4% daripada perogol yang terdiri dari mereka yang berusia 20an itu disebabkan rasa marah dan dendam. Banyak kejadian yang dilaporkan menunjukkan bahawa perogol itu membalas dendam setelah mereka gadis kesukaannya telah mendapat pasangan baru atau memilih lelaki lain yang lebih tampan.
Kesan perkosaan terhadap wanita
15. Kejadian merogol menyebabkan mangsanya mengalami satu pengalaman yang menakutkan serta menekan perasaan batin.
Perasaan ini akan menghantui kehidupan mangsa itu seumur hidupnya. Ini disebabkan kejadian merogol dibuat dengan paksa dan ancaman kecederaan terhadap diri wanita itu.
Ancaman kecederaan ini amat menakutkan kaum wanita. Dengan paksaan dan kecederaan ini maka kejadian rogol meninggalkan kesan pahit kepada wanita yang berkenaan.
16. Bagi wanita yang mengalami perbicaraan di mahkamah, pengalaman itu lebih berkesan ke atas jiwa mereka. Semasa perbicaraan pihak peguam yang membela perogol berkenaan akan berusaha membuktikan bahawa mangsa itu tidak bermoral dan maruahnya dipersoalkan. Seringkali jenayah perogol itu sendiri diketepikan. Sudahlah mangsa itu dirogol oleh perogol, di mahkamah pula ia akan 'dirogol' sekali lagi oleh proses undang-undang. Sebab itulah ramai wanita enggan melaporkan kejadian rogol. Satu perkara lagi dalam kes rogol ini, seringkali wanita dipersalahkan kerana cara mereka berpakaian, berkelakuan dan sebagainya sengaja menjolok nafsu lelaki. Kononnya jika wanita tidak berkelakuan demikian maka mereka tidak akan dirogol.
17. Walaupun undang-undang telah menyediakan hukuman maksima selama 20 tahun jika bersabit kesalahan rogol itu, adalah menjadi kebiasaan amalan mahkamah untuk mengenakan hukuman selama dua atau tiga tahun sahaja. Selepas masa ini perogol berkaitan akan dibebaskan semula.
18. Tidak semua perogol ditangkap atau dikenakan hukuman.
Kebanyakan mereka masih bebas dan terus melakukan jenayah tanpa menerima sebarang hukuman. Untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku dan untuk memberi perlindungan kepada mangsa-mangsa perkosaan maka undang-undang mengenai jenayah ini perlulah diperketatkan lagi.
Peranan ibu bapa
19. Untuk mengelakkan diri mereka dari diperkosai ibu bapa hendaklah menasihatkan anak-anak perempuan mereka supaya berwaspada dan tidak mudah diperdaya oleh lelaki. Janganlah mudah menerima undangan dari lelaki yang tidak dikenali terutama sekali undangan untuk menumpang motokar. Kalau hendak keluar pun, eloklah keluar beramai-ramai supaya tidak mudah digoda. Kalau wanita selalu berwaspada tentulah mereka tidak mudah diperdaya atau diperkosa.
Peranan masyarakat
20. Segenap lapisan masyarakat mestilah mengambil berat tentang masalah perkosaan wanita. Selagi masyarakat tidak mengubah sikapnya selagi itulah peristiwa rogol berleluasa dalam masyarakat. Setiap wanita tidak akan merasakan dirinya selamat. Rogol boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja dan boleh dilakukan terhadap mana-mana wanita tidak kira peringkat umur atau bentuk dan wajah. Semoga setiap anggota masyarakat memainkan peranan penting dan bertanggungjawab untuk mengurangkan keterjadian kes rogol ini. Semoga dengan kerjasama orang ramai jenayah ini dapat dihapuskan.
PENGANIAYAAN KANAK-KANAK
21. Dari masa ke semasa kita terbaca berita mengenai penganiayaan terhadap kanak-kanak. Sejauh mana masalah penganiayaan kanak-kanak berlaku di negara kita tidak dapat diketahui kerana setakat ini maklumat perangkaan yang terperinci bagi seluruh negara tidak dapat diperolehi. Ini disebabkan oleh ketiadaan cara untuk mewajibkan orang ramai melaporkan kes-kes penganiayaan kanak-kanak dan tiada satu agensi pusat yang bertanggungjawab untuk memperolehi, mengumpul dan mendokumentasikan maklumat perangkaan mengenai isu-isu terhadap penganiayaan kanak-kanak bagi seluruh negara.
Masalah penganiayaan kanak-kanak.
22. Penganiayaan kanak-kanak boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Ia berlaku di semua lapisan masyarakat, dari orang-orang yang berpendapatan rendah hingga ke golongan orang-orang yang berada. Setengah orang menganggap bahawa penganiayaan kanak-kanak berlaku di kalangan orang-orang yang berpendapatan rendah sahaja tetapi nyata sekali perkara ini tidaklah benar. Seorang pakar berpendapat, bahawa orang-orang yang berpendapatan rendah lebih rela mengaku bahawa mereka menghadapi masalah dengan anak-anak mereka. Tetapi orang-orang dari kelas atasan menyembunyikan masalah mereka dan mampu mengadakan pengasuh atau orang gaji atau menempatkan anak-anak mereka di tempat asuhan kanak-kanak.
23. Adalah didapati bahawa kes-kes penganiayaan kanak-kanak sering berlaku di kawasan-kawasan bandar di mana sistem 'extended family' kian berpecah. Oleh yang demikian, kebanyakan ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka di bawah jagaan 'creches' atau 'day-care centres'. Lebih kurang 200,000 kanak-kanak ditempatkan di tempat-tempat seperti ini di seluruh negara.
24. Kebanyakan dari mangsa penganiayaan melibatkan kanak-kanak yang belum bersekolah -- biasanya bawah umur tiga tahun. Mereka ini termasuk anak angkat, anak tiri, anak yang cacat, dan anak di luar nikah.
25. Orang-orang yang sanggup menganiaya kanak-kanak adalah ibu kepada anak-anak itu sendiri yang merupakan 32 peratus dari 'child-abusers'. Mereka ini biasanya suri rumah yang tiada jalan keluar dari kekecewaan mereka dan melepaskan geram ke atas anak-anak mereka. Selain daripada suri rumah, kaum bapa, sanak-saudara, ibu bapa tiri, ibu bapa angkat dan pengasuh juga bersalah. Mereka yang melepaskan perasaan marah, geram dan kecewa ke atas anak-anak mereka selalunya tidak berupaya mengatasi masalah mereka sendiri.
Ini termasuklah orang-orang yang menagih arak dan dadah.
Jenis penganiayaan kanak-kanak
26. Terdapat empat jenis penganiayaan terhadap kanak-kanak, iaitu: (a) penganiayaan fisikal (b) penganiayaan emosi (c) penganiayaan seks (d) penganiayaan tanggungjawab Penganiayaan fisikal biasanya lebih ketara kerana senang menunjukkan buktinya kecederaan fisikal tetapi yang payah dibuktikan ialah penganiayaan emosi. Ini termasuk kurang kasih sayang dan kurang perhatian dari ibu bapa.
Penganiayaan seks selalunya berlaku dalam keluarga sendiri tetapi tidak dilaporkan kerana perasaan malu kalau diketahui umum. Seorang ibu bapa atau penjaga dikatakan mengabaikan tanggungjawab sekiranya ia sengaja tidak memberi makanan yang mencukupi, pakaian yang sempurna, rawatan perubatan dan tempat tinggal yang sesuai kepada kanak-kanak di bawah jagaannya.
Sebab-sebab berlakunya penganiayaan
27. Penganiayaan kanak-kanak tidak semata-mata terhad kepada satu faktor tunggal. Situasi yang selalu dianggap boleh membangkitkan kejadian penganiayaan kanak-kanak, adalah termasuk:- * masalah kewangan * masalah sosial * masalah tekanan emosi * masalah keluarga * belum matang (immaturity) * tidak sebegitu sabar terhadap kekecewaan * masalah menagih arak atau penyalahgunaan dadah * kecacatan kanak-kanak sama ada daripada segi mental atau fisikal * kurangnya masa dan hiburan (recreation)
28. Tempat-tempat di mana berlakunya penganiayaan terhadap kanak-kanak, selain daripada dalam rumah, ialah di sekolah-sekolah, 'creches', rumah anak-anak yatim dan juga di hospital. Seringkali guru-guru atau ibu bapa menggunakan kekerasan terhadap kanak-kanak atas sebab hendak mendisiplinkan mereka, atau marahkan mereka kerana kenakalan.
Akibat penganiayaan terhadap kanak-kanak
29. Kanak-kanak yang dipukul atau diseksa akan mengalami kecederaan, kecacatan atau penderitaan kepada kesihatannya yang melibatkan hilang penglihatan, atau pandangan, kecederaan anggota tubuh badan dan kecederaan otak.
Penganiayaan emosi boleh menjejaskan perkembangan seseorang kanak-kanak itu, dari segi saikologi dan penghargaan diri atau 'self-esteem'.
30. Pakar-pakar berpendapat bahawa kanak-kanak yang telah dianiaya, apabila mereka dewasa kelak mungkin akan menjadi manusia yang ganas. Kerapkali ibu bapa yang menganiaya anak-anak mereka sendiri telah dianiayakan oleh ibu bapa mereka semasa mereka kecil. Nampaknya penyakit penganiayaan kanak-kanak ini boleh diwaris oleh anak-anak kita.
Kesedaran terhadap perkara ini dan langkah-langkah untuk mengatasinya mungkin boleh mengelakkan perkara ini daripada berlaku.
Peranan Ibu Bapa
31. Dalam kes-kes penganiayaan terhadap kanak-kanak adalah didapati bahawa bukan sahaja kanak-kanak itu yang memerlukan bantuan, bahkan ibu bapa juga harus dibantu. Mereka harus mendapat pertolongan dan bantuan untuk menyelesaikan masalah mereka. Kalau ibu bapa menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi, mereka menjadi "pressure cooker" yang akan meletup dan mangsa kemarahan mereka adalah anak-anak mereka sendiri.
Peranan masyarakat
32. Penganiayaan kanak-kanak adalah satu masalah sosial yang tidak dapat dihindarkan dengan lebih berkesan tanpa penyertaan aktif dan penglibatan orang ramai. Melaporkan kes penganiayaan kanak-kanak kepada pihak berkuasa sebaik-baik sahaja ianya diketahui bermakna bahawa pertolongan serta-merta boleh diberikan kepada kanak-kanak berkenaan dan keluarganya.
33. Tindakan yang boleh diambil terhadp kes penganiayaan kanak-kanak termasuk: * Perkhidmatan kerja kes dan kaunseling * Perlindungan dan jagaan di insitusi-institusi bagi kanak-kanak * Perkhidmatan penempatan sama ada secara kekal atau buat sementara bagi kanak-kanak.
* Jagaan ganti melalui cara penyaraan kanak-kanak atau pengambilan secara anak angkat * Perkhidmatan rujukan * Bantuan kewangan di bawah beberapa skim bantuan tertentu yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat * Penyeliaan susulan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu keluarga yang terlibat supaya mengubah sikap terhadap kanak-kanak berkenaan.
34. Satu Jawatankuasa Intervensi Terhadap Penganiayaan kanak-kanak telah ditubuhkan di peringkat Persekutuan dengan tujuan utama untuk memberi nasihat kepakaran dan perundingan mengenai pengendalian terhadap isu-isu penganiayaan kanak-kanak dengan lebih berkesan.
MASALAH DADAH
35. Penagihan dadah telah merebak di seluruh pelosok tanahair tanpa mengira kawasan bandar atau luarbandar.
Aliran penagihan dadah menunjukkan bahawa negeri-negeri yang lebih maju seperti Pulau Pinang, Perak, Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor mengalami masalah penagihan yang lebih teruk terutamanya di kawasan-kawasan perbandaran.
36. Daripada bilangan penagih yang telah dikenal-pasti kajian menunjukkan bahawa 97.8% terdiri daripada kaum lelaki berbilang kaum, 59.1% terdiri daripada kumpulan 20-29 tahun dan 9.4% mula menagih semasa dalam kumpulan 15-19 tahun.
Daripada segi penggunaan dadah, 73.0% menagih heroin, 16.0% menagih ganja dan 11.0% menagih morfin, candu dan lain-lain. Daripada segi pekerjaan penagih pula, 53.6% terdiri daripada kumpulan buruh kasar, dan 30.1% daripada kalangan yang menganggur.
Sebab-sebab menjadi penagih
37. Terdapat 54% daripada golongan muda yang terlibat dengan dadah berbuat demikian kerana mencari keseronokan, manakala yang bakinya terdorong kerana perasaan ingin tahu, tekanan dan pengaruh persekitaran dan masalah emosi. Mereka diperkenalkan kepada dadah oleh rakan-rakan mereka, sama ada di tempat kerja atau di luar tempat kerja. Penjual dadah di kaki lima juga merupakan satu punca lain.
38. Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana tekanan emosi disebabkan oleh kegagalan, kerana tidak dapat kasih sayang dari ibu bapa atau kerana kemewahan. Kaitan rapat masalah penagihan dadah di kalangan anak-anak dengan keluarga jelas ketara dalam sekurang-kurangnya 45% penagih yang dikenal-pasti. Yang paling menonjol ialah merosotnya pertalian kekeluargaan dan kurangnya sokongan ibu bapa terhadap kehendak atau cita-cita seseorang anak itu.
39. Faktor kedua yang paling menonjol ialah terasingnya anak-anak berkenaan daripada ibu bapa kerana ibu bapa terlalu sibuk menjalankan tugas masing-masing. Anak-anak ini biasanya kekurangan kasih sayang. Satu lagi sebab ialah kerana wujudnya harapan ibu bapa yang terlalu tinggi terhadap anak-anaknya yang mengakibatkan kekecewaan anak-anak berkenaan apabila menempoh kegagalan.
Akibat penagihan dadah
40. Kegiatan penagihan dadah boleh merosakkan diri sendiri, menjejaskan keharmonian keluarga, merosakkan nilai tradisional masyarakat dan mendedahkan negara kepada aktiviti pengedaran dan penjualan dadah secara berleluasa.
41. Seseorang penagih itu akan hilang maruah diri dan tidak menghormati ibubapa. Kehidupan mereka tertumpu kepada usaha-usaha untuk mendapatkan bekalan dadah sehingga sanggup melakukan jenayah.
42. Penagihan dadah secara berleluasa dalam negara boleh menjejaskan kedudukan sosio-ekonomi masyarakat dan mengancam keselamatan negara. Ini adalah kerana negara akan mengalami kerugian daya pengeluaran daripada sumber tenaga manusia yang besar yang terlibat dengan dadah. Ianya juga kehilangan sumber kewangan kerana tabiat penagihan dan kerosakan harta benda akibat kegiatan jenayah seperti mencuri dan merompak oleh para penagih. Di samping itu Kerajaan juga terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi pencegahan, penguat-kuasaan dan menyediakan kemudahan-kemudahan rawatan dan pemulihan.
43. Daripada segi keselamatan negara, negara kita terdedah kepada aktiviti pengedaran dan penjualan dadah secara berleluasa. Keadaan ini telah digunakan oleh musuh-musuh negara untuk melemahkan ketahanan negara.
Peranan Ibu bapa
44. Selaku ibu bapa kita semua tentunya tidak mahu melihat anak-anak kita terjebak dalam perangkap penyalah-gunaan dadah. Tugas mengawal anak kita tentulah bermula di rumah.
Mereka harus dididik daripada kecil lagi bahawa dadah itu benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Jika kita dapat menanam ini dalam hati sanubari anak-anak kita dari awal-awal lagi, maka sebahagian daripada kejayaan mencegah dadah akan tercapai.
45. Ibu bapa juga harus mengawal gerak-geri anak-anak mereka supaya mereka tidak bercampur-gaul dengan kumpulan-kumpulan yang tidak terkawal. Anak-anak harus ada di rumah pada waktu-waktu tertentu. Saya yakin jika ibu bapa dapat menyemai nilai-nilai yang baik dan mengawal sedikit kebebasan anak remaja, penagihan dadah di kalangan mereka akan dapat dikurangkan.
46. Kita tidak harus segan-segan untuk menghantar anak-anak kita ke pusat-pusat pemulihan dadah. Sekiranya anak-anak kita didapati menagih dadah, selaku ibu bapa kita harus juga mengkaji sebab musabab anak-anak kita menjadi penagih.
Sekiranya kesilapan itu datangnya daripada kita sendiri, mungkin oleh kecuaian kita memberikan kasih sayang secukupnya ataupun sebaliknya terlalu memanjakan anak-anak, kesilapan-kesilapan seperti ini harus kita perbetulkan dengan segera.
47. Ibu bapa perlulah menyesuaikan cara didikan terhadap anak-anak supaya mereka tidak merasa terasing, mendapat kasih sayang yang secukupnya, tidak tertekan dan tidak terlalu mewah. Ibu bapa seharusnya mewujudkan suasana harmonis di dalam rumahtangga yang mana anak-anak mereka sentiasa mendapat tempat dalam hidup rumah tangga yang rukun dan bersefahaman.
Penglibatan masyarakat dalam kempen anti dadah
48. Walaupun Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memerangi wabak dadah, namun demikian tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya juga kita pikul bersama.
Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Ini adalah masalah yang menular di dalam masyarakat kita dan oleh demikian |