Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : PERASMIAN SEMINAR PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH
Lokasi : TANJUNG BIDARA BEACH RESORT, MELAKA
Tarikh : 22-11-1986
 
Yang Mulia Puan Pengerusi Majlis;

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Rahim Tamby Chik Ketua Menteri Melaka;

Yang Berbahagia Datin Seri Zabedah Pengerusi BISTARI;

Ahli-ahli Yang Berhormat;

Para hadirin sekalian.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana di atas limpah keizinanNya dapat saya hadir di Majlis Perasmian Seminar Penglibatan Ibu Bapa Dalam Penyalahgunaan Dadah pada pagi ini.

BISTARIĀ 

2. Saya berbangga dengan usaha Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) membantu Kerajaan membanteras masalah penagihan dadah. Sebagai sebuah persatuan yang dianggotai oleh isteri-isteri Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Negeri, saya percaya BISTARI dapat memberi kepimpinan dan menjadi contoh kepada badan-badan sukarela yang lain cara-cara bagaimana hendak memerangi wabak dadah di negara kita.

Para hadirin sekalian, Usaha Kerajaan

3. Sebagaimana yang kita sedia maklum, masalah penyalahgunaan dadah merupakan ancaman besar terhadap negara kita kerana ianya melibatkan golongan muda. Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk menghapuskan gejala ini dari segi pembekalan dan penggunaan dan menyedarkan rakyat terhadap bahayanya penyalahgunaan dadah. Segala usaha yang diambil oleh Kerajaan tidak akan mendatangkan kesan yang diharapkan sekiranya ibu bapa tidak bersama-sama memikul beban yang berat ini. Usaha yang paling berkesan untuk mencegah penyalahgunaan dadah bermula dari rumah.

Pengaruh Ke atas Remaja

4. Daripada kajian-kajian yang dibuat oleh pakar-pakar penyelidik, adalah didapati bahawa golongan remaja mudah terpengaruh dengan faktor-faktor luar. Ini termasuklah pengaruh daripada rakan sebaya, sekolah dan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Pengaruh Ibu Bapa

5. Tidak boleh dinafikan bahawa ibu bapa ialah pengaruh yang paling besar ke atas anak-anak mereka. Pakar-pakar berpendapat bahawa kadangkala punca seseorang remaja itu menghisap dadah ialah akibat tekanan daripada ibu bapa mereka sendiri.

6. Kebanyakan ibu bapa menaruh harapan yang tinggi kepada anak-anak mereka dan mementingkan kejayaan, terutama sekali di dalam bidang akademik. Tekanan untuk berpencapaian tinggi kadang-kadang menimbulkan perasaan kecemasan ke atas anak-anak yang gagal atau tidak berupaya mengejar kejayaan akademik kerana kecenderongan mereka dalam bidang yang lain.

Tetapi ibu bapa tidak menghiraukan tentang soal ini dan menekan anak-anak mereka supaya lebih tekun hingga mencapai kejayaan. Ini menyebabkan anak-anak mereka mencari jalan keluar untuk mengurangkan tekanan jiwa. Di sinilah rokok, minuman keras dan dadah mula mempengaruhi hidup anak-anak itu.

7. Satu lagi perkara yang menyebabkan anak remaja sekarang terlibat dengan dadah ialah kebebasan yang mereka nikmati.

Ini mungkin berlaku kerana kedua ibu bapa bekerja dan tidak dapat bersama-sama dengan anak-anak mereka sepanjang waktu.

Dengan ibu bapa sering tiada di rumah, anak remaja ini bebas dan boleh melakukan apa sahaja kehendaknya. Ada juga ibu bapa yang memberi wang yang berlebihan kepada anak-anak mereka yang mungkin digunakan untuk membeli dadah sebagai cara berseronok. Akibatnya ialah lama kelamaan mereka menjadi penagih.

Tuan-tuan dan puan-puan, 8. Suasana aman dan bahagia dalam rumahtangga adalah penting bagi anak-anak kita. Sekiranya ibu bapa memberi layanan dan perhatian yang sempurna, ini akan menggalakkan mereka membesar dalam suasana yang kukuh. Suasana keluarga yang stabil itu sangatlah penting, kerana anak-anak itu akan mencontohi ibu bapa mereka. Contoh yang baik itu boleh menyenangkan tekanan jiwa ke atas anak-anak dan dengan menggalakkan mereka berdikari, mereka akan lebih berupaya mengawal diri sendiri.

9. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah melapangkan masa untuk bersama mereka, menolong dan membimbing mereka membuat perbezaan di antara yang baik dengan yang buruk. Kita boleh berdamping dengan mereka dengan cara bermain, menonton televisyen dan makan bersama sekeluarga. Apabila cuti hujung minggu tidak perlu pergi ke mana-mana, memadai hanya dengan berada bersama mereka di rumah. Kalau mampu, bawalah mereka keluar untuk bersiar-siar, berkelah, mandi laut, atau melawat tempat-tempat menarik. Apabila cuti panjang hujung tahun, seperti sekarang ini, ambilah cuti serentak dengan mereka dan melawat tempat-tempat yang menarik lagi bersejarah.

10. Anak-anak kita mempunyai banyak masa yang lapang semasa cuti sekolah ini. Jadi ibu bapa harus mengawasi gerak-geri mereka supaya mereka tidak bercampur-gaul dengan kumpulan-kumpulan yang tidak terkawal dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang kurang sihat. Anak-anak harus ada di rumah pada waktu-waktu tertentu. Seorang bekas penagih dadah mengaku bahawa beliau terjerumus dalam dunia dadah semasa cuti panjang kerana mempunyai banyak masa lapang dan bercampur-gaul dengan kumpulan tidak terkawal. Saya yakin jika ibu bapa mengambil berat terhadap anak-anak mereka semasa cuti yang panjang ini, dan mengawal sedikit kebebasan mereka, mungkin mereka tidak akan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Tuan-tuan dan puan-puan, Pengaruh rakan sebaya

11. Pengaruh rakan sebaya memainkan peranan yang penting dalam perkembangan anak-anak kita. Kebanyakan anak remaja sekarang ini suka mengikuti rakan-rakan sebaya mereka.

Mereka lebih mengutamakan pandangan rakan dan kawan daripada pandangan ibu bapa dan keluarga. Mereka berkongsi pengalaman dan selalu bertukar-tukar pendapat mengenai perkara-perkara seperti hiburan, percintaan, perhubungan di antara satu sama lain dan sebagainya. Perkara-perkara ini tidak dapat dibincang dengan ibu bapa mereka kerana malu atau takut dimarahi.

12. Bagi seorang remaja, penerimaan oleh rakan-rakan sebaya amatlah penting kerana ia mengukuhkan pendirian dan kepercayaan tentang dirinya sendiri. Pengaruh daripada kawan-kawan ini sangatlah kuat ke atas jiwa mereka dan jika mereka tidak menurut kemahuan kumpulan, mungkin mereka akan diasingkan dan menerima ejekan daripada kawan. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk ini kerana takut disindir oleh kawan. Tidak lama kemudian mereka mungkin menjadi penagih dadah dan tidak dapat lagi memberhentikan tabiat buruk itu. Jika mereka diubati sehingga pulih sekalipun, kerapkali mereka akan balik kepada tabiat menagih dadah. Pendekata, sekali mereka menjadi penagih maka amat sukar bagi mereka melepaskan diri.

Justeru itu, adalah penting mereka dikawal dari awal lagi supaya tidak memulakan tabiat ini. Jalan yang baik bagi mereka mengatasi tekanan daripada kawan-kawan ini ialah dengan mengatakan 'tidak' kepada dadah. 'Just say no to drugs.'

13. Anak-anak remaja boleh menggelakkan diri mereka daripada terperangkap dalam kegiatan tidak sihat dengan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mendatangkan faedah seperti menjadi ahli pertubuhan-pertubuhan sukarela atau kelab-kelab belia. Pertubuhan-pertubuhan seperti ini menyediakan bermacam-macam aktiviti untuk ahli-ahlinya.

14. Pertubuhan-pertubuhan seperti Pandu Putri, Pengakap dan Bulan Sabit Merah, dan persatuan-persatuan belia seperti Gerakan Belia 4-B, Persatuan Kelab-Kelab Belia, Angkatan Belia Islam, dan sebagainya, kesemuanya membimbing ahli-ahli mereka ke jalan yang baik dan melatih mereka menjadi warganegara yang berguna. Adalah lebih baik bagi anak-anak muda kita menjadi ahli persatuan-persatuan yang disebutkan itu daripada menjadi ahli kumpulan-kumpulan yang tidak terkawal dan yang terlibat dalam jenayah dan pengedaran dadah.

Tuan-tuan dan puan-puan, Pengaruh Sekolah

15. Pengaruh sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan kaum remaja. Di sinilah tempatnya anak-anak kita melengkapi diri dengan ilmu-ilmu pengetahuan, membentuk akal pemikiran, bergaul dengan murid-murid sekolah daripada berbilang kaum dan mempelajari perkara-perkara baru. Dengan keadaan sekarang ini, di mana jumlah murid-murid begitu ramai, kebanyakan guru-guru tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadap setiap murid.

16. Kita tidak boleh menyerahkan pendidikan dan disiplin anak-anak kita ke atas guru-guru sekolah semata-mata.

Peranan guru-guru sekolah adalah mendidik anak-anak kita.

Di luar waktu sekolah, mereka adalah tanggungjawab kita.

Janganlah ibu bapa mengabaikan tanggungjawab ini dan mengharapkan guru-guru sekolah mendisiplinkan anak-anak kita. Kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab terhadap anak-anak yang kita lahirkan di dunia ini. Gunakanlah budibicara dan ketegasan apabila mendidik dan mendisiplinkan anak-anak. Kalau mereka dimanjakan sangat ketika sedang meningkat remaja, apabila besar nanti mereka akan menjadi kurang bertimbangrasa. Akibatnya ialah keruntuhan akhlak dan disiplin di kalangan kaum muda. Kita tidak mahu melihat anak-anak kita tidak menghormati ibu bapa atau orang yang lebih tua daripada mereka. Kita mahu anak-anak kita boleh tahan lasak tanpa menghilangkan sopan santun dan adat ketimuran. Kita mahu anak-anak kita menjadi rakyat yang tegas kerana bangsa yang tegas akan menjadikan negara kita lebih teguh.

Tuan-tuan dan puan-puan, Pengaruh Masyarakat

17. Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kaum remaja. Media massa, terutama sekali televisyen, mendedahkan anak-anak kita terhadap aspek-aspek hidup yang mewah dan kaya-raya dan nilai-nilai yang dikemukakan melalui cerita-cerita seperti ini mungkin bercanggah dengan nilai-nilai yang cuba dipupuk oleh ibu bapa.

18. Untuk merebut kemewahan, ramai yang telah terperangkap dalam kegiatan-kegiatan yang tidak sihat seperti menjadi pengedar dadah. Ini sering berlaku di kalangan mereka yang menganggur dan yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.

Ibu bapa haruslah mengawasi kegiatan anak-anak mereka yang menganggur tetapi berlagak seperti orang yang berada, takut mereka menjadi pengedar dadah. Hukuman bagi seseorang yang menjadi pengedar dadah adalah berat dan jika di tangkap mungkin juga menghadapi hukuman mati. Perkara ini harus disedari oleh semua supaya tidak terpedaya oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.

19. Saya sedar dalam waktu negara menghadapi masalah kemelesetan ekonomi ramai golongan muda tidak mendapat pekerjaan yang tetap. Dengan keadaan yang demikian, kita harus berwaspada supaya anak-anak kita tidak terjatuh ke tangan orang-orang yang cuba mempengaruhi mereka supaya mengambil atau mengedar dadah.

20. Pada pendapat saya, golongan muda tidak semestinya mencari pekerjaan di dalam pejabat sahaja. Dalam keadaan ekonomi lemah sekarang kaum muda seharusnya berfikir tentang pekerjaan sendiri seperti perniagaan kecil, bercucuk tanam sayur dan buah-buahan dan membela binatang-binatang ternakan atau ikan. Selain daripada kepuasan bekerja sendiri, kaum muda juga dapat menampung pendapatan ibu bapa atau keluarga mereka sendiri.

21. Kerajaan kini sedang mengalakkan orang ramai supaya melibatkan diri dalam sektor pertanian memandangkan bahawa negara kita terpaksa membelanjakan beratus ribu ringgit setahun untuk mengimport makanan dan buah-buahan. Adalah diramalkan bahawa masa depan industri sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan adalah cerah. Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada kaum muda supaya mengubah sikap mereka terhadap kerja-kerja pertanian. Kalaulah mereka berusaha memenuhi masa lapang mereka dengan pekerjaan sendiri maka peluang bagi mereka untuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah adalah berkurangan.

Tuan-tuan dan puan-puan, 22. Saya tertarik dengan cadangan-cadangan Kerajaan Negeri Melaka untuk menubuhkan skuad atau Jawatankuasa Anti Dadah di peringkat Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK). Saya difahamkan skuad ini akan melibatkan tenaga pemuda dalam bersama-sama mempastikan bahawa kampung-kampung mereka bebas daripada ancaman dadah. Sekurang-kurangnya skuad ini akan berupaya menjadi mata dan telinga pihak-pihak berkenaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah. Saya berharap langkah ini akan dapat diikuti oleh negeri-negeri lain kerana ia tidak begitu sukar untuk dilakukan.

Para hadirin sekalian, Pengaruh Antarabangsa

23. Sebenarnya pengaruh dadah datangnya dari luar negeri. Muda-mudi kita terpengaruh dengan tingkah-laku penghibur-penghibur Barat seperti penyanyi dan pelakon. pengaruh ini disalurkan melalui radio, televisyen, majalah, akhbar-akhbar asing, video dan pita rakaman. Ada penghibur-penghibur Barat ini memuji dadah melalui lagu-lagu mereka dan kalau diamat-amati senikata lagu-lagu itu, terdapat banyak yang memuja-muja dadah. Penyanyi-penyanyi Barat digemari oleh pemuda-pemudi di seluruh dunia termasuk Malaysia dan apa yang mereka buat mudah ditiru oleh peminat-peminat mereka. Kalau mereka menghisap dadah, maka peminat-peminat mereka pun turut sama.

24. Jelaslah kepada kita bahawa penyanyi-penyanyi Barat berpengaruh sekali ke atas anak-anak muda kita, dan media massa antarabangsa memainkan peranan yang penting bagi menyalurkan maklumat-maklumat mengenai hiburan dan dadah ke dalam negara kita. Oleh yang demikian, ibu bapa harus juga mengawasi lagu-lagu yang menjadi kegemaran anak-anak mereka supaya mereka tidak terpengaruh dengan dadah.

Para hadirin sekalian, Penglibatan Masyarakat Dalam Kempen Anti-Dadah

25. Walaupun Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memerangi wabak dadah, namun demikian tanggungjawab untuk memeranginya patut juga dipikul bersama oleh masyarakat. Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Jadi, marilah sama-sama kita pastikan bahawa keluarga kita dan masyarakat kita bebas daripada dadah. Saya yakin, sekiranya tuan-tuan dan puan-puan dapat menumpukan perhatian kepada seminar ini, matlamat BISTARI menganjurkannya mungkin dapat dicapai.

26. Apa yang dikehendaki ialah kemampuan tuan-tuan dan puan-puan meyebarkan pengetahuan yang diperolehi daripada seminar ini kepada kumpulan masing-masing. Dengan cara ini, kita dapat menerapkan kesedaran masalah dadah kepada masyarakat umum supaya kempen anti dadah ini lebih berkesan.

27. Sebagai ibu bapa, kita harus berusaha mengawasi kegiatan ahli-ahli keluarga dengan lebih ketat lagi.

Janganlah segan untuk menghantar anak-anak atau adik-beradik ke pusat-pusat pemulihan dadah sekiranya mereka didapati menagih dadah. Kita harus mengkaji sebab-sebab mereka menjadi penagih dadah. Sekiranya kesilapan itu datangnya daripada diri kita sendiri, mungkin kerana kecuaian memberikan kasih-sayang secukupnya atau sebaliknya terlalu memanjakan anak-anak, kesilapan ini harus diperbetulkan dengan segera. Peranan ibu bapa dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah amatlah besar.

Para peserta sekalian,

28. Saya mengucapkan selamat bersidang dan berharap tuan-tuan dan puan-puan akan berbincang untuk mendapatkan cara-cara yang baik bagi melibatkan ibu bapa dalam pergerakan mencegah dadah di kalangan anak-anak muda kita.

Ambillah peluang ini untuk mengeluarkan pendapat dan buah fikiran kerana tuan-tuan dan puan-puan lebih mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak-anak remaja sekarang ini.

29. Saya berharap para hadirin sekalian akan bersama-sama bertanggungjawab dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah walaupun masalah ini tidak menimpa keluarga sendiri. Dengan harapan ini, saya berdoa semoga persidangan ini kelak akan memberi manfaat kepada ibu bapa khasnya dan masyarakat Melaka khususnya. Insya-Allah, dengan semangat dan kegigihan tuan-tuan dan puan-puan, matlamat kita untuk membina sebuah negara yang bebas daripada ancaman dadah dapat dicapai.

30. Dengan ini, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya merasmikan Seminar Penglibatan Ibu Bapa dalam Penyalahgunaan Dadah anjuran BISTARI ini.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kami menerima 7,544,323 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri