Bersyukur saya kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya hadir di majlis Anugerah Sukan MSSM/MILO 2002. Saya juga rasa bangga dapat bersama meraikan majlis yang penuh bermakna, terutama kepada pelajar/anak-anak yang telah mencapai kejayaan akademik dan sukan di peringkat tinggi.
2. Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada syarikat Nestle Malaysia - MILO yang sentiasa berusaha dan bersama membantu Kerajaan meningkatkan prestasi sukan ke tahap tertinggi.Peranan Nestle Malaysia - MILO sewajarnya mendapat sanjungan dan saya berharap ia akan berterusan bagi merealisasikan harapan dan impian kita untuk melahirkan atlit bertaraf dunia. Pembabitan MILO, terutama di peringkat sekolah untuk mencungkil bakat-bakat baru, adalah sumbangan yang begitu besar kepada perkembangan sukan tanah air dan majlis pagi ini adalah bukti kejayaan terhadap usaha murni ini.
3. Syabas juga saya ucapkan kepada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) atas usaha gigih untuk mempertingkat dan memperluaskan penyertaan sukan di kalangan murid-murid sekolah di seluruh Malaysia selama ini. Ini bukanlah usaha yang mudah tetapi MSSM sudah membuktikan kewibawaannya dan teruskanlah usaha yang sangat positif dan produktif ini.
4. Saya difahamkan, tahun ini adalah kali ke-16 anugerah ini diadakan. Kepada anak-anak yang berjaya menerima anugerah ini saya ucapkan syabas dan tahniah. Ingatlah anda adalah antara ribuan pelajar yang memburu pengiktirafan ini dan anda adalah permata yang terpilih di kalangan ribuan permata yang ada. Terpilih maksud saya berdasarkan pencapaian sukan dan akademik. Anak- anak adalah pewaris dan pelapis untuk mencapai Wawasan 2020 bagi meletakkan negara ke tahap lebih tinggi supaya Malaysia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.
5. Sebagai ibu saya sentiasa berdoa dan berharap anak- anak akan terus berjaya bukan sekadar memburu kejayaan peribadi tapi sekali gus untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Saya menyeru anak-anak supaya tingkatkan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi, bukan lagi setakat Sukan SEA, malah sudah tiba masanya kita meletakkan sasaran yang lebih tinggi iaitu Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
6. Anda adalah contoh kepada ratusan ribu pelajar yang mengkagumi kejayaan anda. Jagalah bakat dan potensi anugerah Tuhan ini. Usah dipersia-siakannya dengan menyertai kegiatan-kegiatan yang tidak sihat seperti gejala lepak, penyalahgunaan dadah, berpeleseran dan pelbagai lagi. Jadikanlah Anugerah MSSM-MILO ini sebagai titik permulaan ke arah merealisasikan impian anda dan aspirasi rakyat serta negara amnya.
7. Kepada anak-anak, saya ingin menasihatkan usah fikirkan tentang ganjaran. Lakukan dan buktikan dahulu kerana ganjaran itu akan menyusul dengan sendirinya. Contohnya ada di depan mata kita sekarang ini iaitu Anugerah MSSM-MILO ini. Untuk berjaya kita perlu ada semangat juang dan daya saing yang tinggi. Ia perlu diiringi dengan semangat patriotik dan komitmen yang sepenuhnya, barulah kita mampu bermegah dengan slogan MALAYSIA BOLEH. Namun jangan jadikannya satu tekanan kerana anak-anak perlu bersukan dalam suasana keceriaan selari dengan konsep sukan itu sendiri.
8. Jelas, sukan itu membawa pengertian yang mendalam di kalangan rakyat Malaysia. Melaluinya kita dapat membentuk perpaduan kaum seperti yang telah dibuktikan dengan jelas ketika kita meraikan kejayaan menjulang Piala Thomas pada 1992, Sukan Komanwel 1998 dan kejayaan muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2001 buat julung-julung kalinya.
9. Sebenarnya anak-anak hari ini amat bertuah kerana pelbagai skim insentif dan bantuan yang disediakan sama ada oleh Kerajaan mahupun swasta. Saya amat menghargai usaha Nestle yang banyak membantu pembangunan dari kemajuan sukan, terutama di peringkat akar umbi iaitu peringkat sekolah. Di mana saja ada aktiviti sukan dan riadah lain, Nestle sentiasa menghulurkan tangan. Begitu besar sumbangan dan komitmen Nestle yang begitu kukuh berpegang kepada slogan MALAYSIA BOLEH. Anak- anak, gunakanlah kemudahan ini ke jalan yang terbaik. Usah dipersia-siakan usaha murni ini. Apakah anak-anak sanggup melihat bantuan dan sumbangan yang bernilai tinggi ini sia-sia saja?
10. Kepada semua golongan pendidik, saya amat menghargai sumbangan dan pengorbanan yang diberi. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar ini, ibarat malam tidak bercahaya. Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan, khasnya kepada guru-guru yang terpilih memenangi anugerah kali ini. Kepada guru-guru yang berjaya ini, saya dan keseluruhan rakyat negara ini menyandarkan harapan untuk merealisasikan impian negara. Terus dan tingkatkanlah usaha anda melahirkan atlit berwibawa dan bertaraf dunia. Usaha dan sumbangan itu sentiasa dituntut dan dihargai.
11. Begitu juga ibu bapa yang banyak berkorban untuk mempastikan kejayaan anak-anak. Tanpa sokongan dan prihatin mereka, anak-anak tidak akan ke mana. Besar harapan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya sebab itu mereka sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk memberikan latihan dan tuisyen bagi mengimbangi pencapaian sukan dan akademik. Anak-anak sekalian, hargailah pengorbanan dan jasa ibu bapa anda.
12. Amanat saya untuk anak-anak, `usah tanya apakah yang negara berikan kepada anak-anak, sebaliknya tanyalah diri sendiri apakah sumbangan yang mampu anak- anak berikan kepada negara'. Saya sering mendoakan kejayaan sentiasa bersama rakyat Malaysia. Kepada anak- anak, rebutlah peluang yang sudah terhidang di depan mata. Gunakannya sebaik mungkin kerana lazimnya peluang itu datang sekali. Jangan cepat lupa diri kerana ingatlah, kejayaan tidak datang bergolek. Usaha yang gigih, komitmen yang tinggi dan yang lebih penting kejayaan anak-anak tidak akan dicapai tanpa sokongan pelbagai pihak. Oleh itu, gunakan peluang yang diberi dengan sebaik mungkin dan bersyukurlah dan berterima kasih atas nikmat yang didapati.
13. Saya akhiri ucapan saya dengan "Majulah Sukan Untuk Negara".
MALAYSIA BOLEH! Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
|