Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : UPACARA KONVOKESYEN KE-32
Lokasi : DEWAN TUANKU SYED PUTRA USM PULAU PINANG
Tarikh : 07-08-2003
 
Terlebih dahulu patik ingin menjunjung kasih di atas perkenan dan kurnia Seri Paduka Baginda Tuanku selaku Canselor Universiti dengan menganugerahkan patik Ijazah Kehormat Doktor Falsafah ini. Patik amat tidak menduga dengan kurniaan ini, apatah lagi menerimanya dari tangan Seri Paduka Baginda Tuanku sendiri. Kurniaan ini yang diberikan oleh Universiti Sains Malaysia patik junjung tinggi sebagai inspirasi bukan sahaja kepada diri patik, malah kepada mereka yang sentiasa menjunjung tinggi kepentingan untuk bersama-sama memainkan peranan dalam mencorakkan pembangunan hidup masyarakat di sebuah negara merdeka seperti negara kita ini. Inilah juga semangat yang ditunjukkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sendiri yang begitu cintakan rakyat jelata dan pembangunan ilmu untuk kemajuan negara kita selama ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas limpah perkenan-Nya, saya dapat bersama-sama pada upacara yang gilang gemilang ini di dewan yang telah menyaksikan lahirnya lebih 70,000 orang siswazah yang kini berada di serata pelosok dunia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Senat Universiti Sains Malaysia serta kepada Lembaga Pengarah yang telah memperakukan untuk menganugerahkan saya dengan satu anugerah yang amat besar ertinya kepada diri saya. Saya berasa amat gembira dan menjunjung tinggi anugerah ini yang tidak pernah saya duga akan menerimanya daripada sebuah universiti yang selama ini terkenal dengan penyelidikan dan kecermerlangan akademik sebagai universiti awam yang kedua tertua di negara kita.

2. Anugerah ini juga melambangkan pengiktirafan kepada semua tenaga profesional dan para professional dalam bidang perubatan dan kesihatan kerana dengan semangat, komitmen dan dedikasi mereka, Malaysia kini mampunyai sistem kesihatan masyarakat dan petunjuk kesihatan yang terbaik di kalangan negara-negara membangun di rantau ini. Badan-badan Antarabangsa kesihatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah memberi pengiktirafan ini kepada Malaysia dan menggalakkan negara-negara membangun di Asia dan Afrika untuk mempelajari dan mencontohi pengalaman kita khususnya dalam bidang kesihatan wanita dan kanak-kanak.

3. Saya amat bertuah dan bersyukur kerana dapat bertugas sebelum dan selepas merdeka sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur dan di Alor Setar selama sembilan tahun, dan sebagai Pegawai Kesihatan di Kedah selama 10 tahun, khasnya di luar bandar.

Ramai antara kita menganggapkan kejayaan kesihatan kini datang dengan sendirinya atau secara automatis; malahan kejayaan adalah hasil pemikiran dan perancangan teliti oleh penggubal dasar yang diterjemahkan kepada strategi dan program-program yang berkesan oleh para professional dengan sokongan dasar-dasar Kerajaan bercorak kukuh, stabil dan berterusan. Banyak perubahan dan usaha untuk meningkatkan kualiti kesihatan telah dimajukan menjangkau peralihan zaman mengikut perubahan pembangunan negara, cara gaya hidup masyarakat dan penyakit dan bersesuaian dengan tradisi, budaya sosial, kepercayaan dan keagamaan berbilang kaum di Malaysia.

Kita amat bertuah kerana sejak 46 tahun dahulu, Kerajaan telah cepat sedar dan kenalpasti masalah rakyat selepas merdeka. Empat masalah di luar bandar, di mana lebih 60 peratus rakyat berada, di kesan. Kemiskinan, buta huruf, kurang sihat dan sikap "tidak apa" amat ketara dan setiap satu masalah ini berkaitan sesama sendiri. Oleh kerana tidak sihat, penduduk tidak terdaya bekerja mencari rezeki.

Oleh kerana tiada pendapatan, ia miskin, tidak boleh hantar anak ke sekolah, membeli makanan yang berzat dan lain-lain.

Oleh kerana lemah badan, pemikiran penduduk terbantut, tidak berupaya untuk memikirkan masa hadapan mereka dan keluarga mereka. Sikap berputus asa dan "indifference" ini mempengaruhi mereka. Dengan ini, penduduk terjerumus lebih mendalam lagi kepada empat masalah yang saya sebut tadi.

Sekali lagi kita amat bertuah kerana Kerajaan telah menyediakan Rancangan-rancangan Pembangunan Luar Bandar setiap lima tahun, yang memberi keutamaan kepada pendidikan, kesihatan, kemudahan-kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan-jalan raya dan infrastruktur seluruh negara.

Kini hampir kesemua rakyat Malaysia boleh menikmati kemudahan khidmat kesihatan asas dan mereka yang memerlukan rawatan pakar dirujuk ke hospital daerah atau negeri.

Program-program khusus diatur untuk masyarakat terpinggir sama ada mereka di kawasan pendalaman, kumpulan ethnik, minority, orang tua, kurang upaya, atau termiskin.

Keperhatinan Kerajaan harus disanjung kerana banyak negara masih tidak boleh menumpukan perhatian kepada kumpulan masyarakat terpinggir kerana tidak mampu dari segi kewangan dan sumber (resources) ataupun tiada komitmen pemimpin.

Baru-baru ini di Mesyuarat "Economic and Social Council" (ECOSOC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Peringkat Tinggi, Menteri-Menteri berkenaan negara-negara membangun diminta menggubal program-program untuk pembasmian kesmiskinan, pembangunan luar bandar, pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur asas kerana didapati tahap kemiskinan masyarakat luar Bandar dan golongan terpinggir semakin meningkat; begitu juga jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin.

Teras utama Kerajaan kepada pembasmian kemiskinan dan dasar ekonomi dan sosial negara telah menghasilkan kejayaan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia tidak mengira kaum. Pada tahun 2000, jangka hayat kaum lelaki adalah 70 tahun dan wanita 74 tahun, iaitu penambahan dua dekad sejak merdeka; manakala kematian ibu bersalin telah turun daripada 570 kepada 38 setiap 100,000 hidup; kematian bayi daripada 75 kepada lapan bagi setiap 1,000 kelahiran hidup dan lebih dari 96 peratus bayi disambut oleh tenaga professional.

Kesemua angka petunjuk ini amat menggalakkan bagi negara membangun.

Sepertimana kita lihat, kesihatan dan pendidikan rakyat mempunyai satu kaitan yang amat penting dan peningkatannya harus berlaku berterusan. Rakyat yang berilmu akan mudah menerima perubahan ke arah kemajuan dan kejayaan.

Di sinilah, institusi-institusi pendidikan akan memainkan peranan yang utama untuk memberi ilmu pengetahuan kepada masyarakat kita supaya mereka dapat mengubah diri memainkan peranan yang utama dalam mengubah kehidupan masyarakat kita dengan ilmu pengetahuan sebagai aset yang dapat mengubah diri serta pada masa yang sama membantu mengeluarkan masyarakat kita daripada kenaifan dalam tempoh lebih dari empat dekat. Penyelidikan-penyelidikan yang dilakukan di universiti berjaya untuk turut membantu dalam melakukan lonjakan ekonomi, sosial apatah lagi dalam sains dan teknologi. Universiti kita sekian lama telah berupaya membuktikan bahawa kepakaran yang ada dapat ikut mengubah corak kehidupan masyarakat dengan pantas dan berkesan.

Satu contoh yang sering saya banggakan ialah kejayaan kita melaksanakan Skim Mikro Kredit yang lahir daripada penyelidikan Projek Ikhtiar yang bermula daripada penyelidikan yang dibuat di Universiti Sains Malaysia ini.

Mikro Kredit yang berjaya membantu sahabat-sahabat di luar bandar telah membuktikan bahawa orang-orang kita mampu berdikari jika diberi bantuan dan bimbingan yang sewajarnya.

Orang-orang kita mampu untuk keluar dari jurang kemiskinan dan kedaifan, jika mereka dapat digemblengkan dengan sebaik- baiknya serta bantuan kewangan yang bersesuaian.

Kejayaan Projek Ikhtiar dan Mikro Kredit yang asalnya kita pelajari dan sesuaikan daripada apa yang dilakukan oleh orang lain, sekarang ini dikembangkan dan nampaknya diterima antara yang terbaik di dunia. Negara-negara yang mempunyai kumpulan masyarakat yang miskin menjadikan program kita ini sebagai contoh untuk dilaksanakan melalui kepakaran yang ada di negara kita.

13. Penyelidikan-penyelidikan antara disiplin di antara sains sosial dengan bidang-bidang sains yang lain untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat kita juga harus dipertingkatkan. Saya percaya, kita mempunyai banyak kepakaran yang dapat menggabungkan keperluan ini untuk menghasilkan misalnya teknologi-teknologi murah yang mampu membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

14. Kita telah mencapai kejayaan besar dalam hampir semua bidang, termasuk ekonomi dan pendidikan. Kita juga telah melahirkan satu kelompok masyarakat yang berilmu seperti mana para graduan yang ada di dalam dewan pada hari ini.

Tatkala negara-negara luar menghadapi tekanan yang teruk akibat kegawatan ekonomi, kita berjaya keluar dengan rasa lega dan penuh kesyukuran. Kita mempunyai rekod kejayaan yang cemerlang malah kepakaran kita dalam semua bidang diterima dan diiktiraf di peringkat dunia. Ini adalah antara fakta yang harus diterima dengan terbuka.

15. Namun, kita harus fikirkan juga pembangunan rohani dan masyarakat secara keseluruhannya. Saya bimbang melihat perkembangan-perkembangan semasa yang berlaku pada hari ini.

Kadang-kadang kita ingin mengatakan bahawa apa yang terpapar di media saban hari adalah sesuatu yang tidak ingin kita melihat, membaca atau menontonnya. Ataupun, jalan mudah, kita mengatakan banyak peristiwa yang disensasikan.

16. Sungguhpun begitu, kita perlu realistik. Kita harus juga akur kepada kebenaran yang berlaku di sekeliling kita yang begitu membimbangkan, walaupun jika kita boleh kita tidak mahu ianya berlaku.

17. Pada masa yang sama, kita juga bimbang dengan peningkatan bilangan pesakit HIV/AIDS di negara ini setiap tahun; pertambahan bilangan penagih dadah, penagihan gam dan perokok muda yang memulakannya di peringkat begitu awal yang berakhir dengan kegiatan-kegiatan yang menakutkan, keruntuhan akhlak remaja kita, keruntuhan sistem kekeluargaan melalui perceraian dan keruntuhan rumah tangga, orang-orang tua dan ibu bapa yang terbiar dan banyak lagi isu yang harus diberikan perhatian oleh kita semua.

Sepatutnya sebagai masyarakat yang terdidik tidak harus lagi berlaku gejala-gejala buruk seperti yang saya sebutkan tadi.

Masyarakat kita sepatutnya mempunyai nilai pekerti yang tinggi, hidup lebih sejahtera dan penuh kasih sayang.

Tetapi, yang berlaku hari ini adalah sebaliknya.

19. Justeru itu, saya menggesa seluruh masyarakat termasuk para cendekiawan dan ahli akademik supaya memainkan peranan yang lebih berkesan dalam usaha mengatasi masalah-masalah buruk ini. Kajian boleh dibuat untuk melihat punca kepincangan dalam masyarakat hari ini. Mungkin kita akan menemui formula yang boleh membetulkan masyarakat kita ke arah kebaikan.

20. Kita perlu keluar dari kotak pemikiran yang ada dan membuktikan bahawa kejayaan ekonomi tidak hanya diukur daripada sudut kejayaan aplikasi ilmu pengetahuan untuk pembangunan dan pengukuran dalam bentuk ringgit dan sen semata-mata, tetapi juga dalam bentuk "intangible" yang juga penting untuk diberikan perhatian yang utama.

21. Hari ini, kaum wanita kita telah mencapai kedudukan yang setanding dengan kaum lelaki. Bagaimanapun soal siapa yang lebih tinggi daripada siapa bukan isunya, tetapi yang penting sekali bagaimana kita dapat berganding bahu untuk mencapai kejayaan yang diharapkan.

22. Taraf ekonomi masyarakat juga telah meningkat. Kita juga mempunyai keperluan dalam pelbagai bidang baik sains mahupun teknologi. Keupayaan kita teruji apabila negara kita berjaya mengatasi masalah SARS baru-baru ini dengan bijak dan cepat.

23. Saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di USM yang memberikan penganugerahan ini kepada saya. Saya amat menghargainya dan sentiasa berdoa agar Universiti ini akan terus mencapai kejayaan di mata dunia.

24. Demikianlah ucapan patik. Sekali lagi patik menjunjung kasih atas pengurniaan ini. Patik akan terus mengingati peristiwa ini sebagai antara yang begitu manis sekali. Patik doakan agar Allah Subhanahu Wa Taala akan sentiasa memberkati Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

*****

Kami menerima 6,616,797 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri