Terlebih dahulu marilah kita sama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di Majlis Perasmian Pameran Kecemerlangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Era Milenium.
2. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan khususnya Yang Berhormat Dato' Seri Mohd Najib, Menteri Pertahanan Malaysia di atas kesudian menjemput saya untuk merasmikan Pameran Kecemerlangan ATM di Era Milenium pada pagi yang mulia ini.
3. Sebagai penaung kepada rayuan hari pahlawan saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Program Rayuan Hari Pahlawan di atas inisiatif menganjurkan buat julung kalinya karnival sempena Rayuan Hari Pahlawan pada tahun ini. Pameran Kecemerlangan ATM di Era Milenium merupakan salah satu daripada aktiviti karnival. Selain daripada pameran ini saya dimaklumkan tiga aktiviti lain juga akan diadakan iaitu ekspo kerjaya ATM, ekspo perniagaan dan konsert pahlawan bertempat di Shah Alam bermula dari 1 hingga 3 Ogos 2003. Adalah diharapkan melalui karnival ini dengan pelbagai aktiviti yang telah diaturkan ianya akan dapat menyemarakkan lagi keprihatinan masyarakat terhadap Program Rayuan Hari Pahlawan.
4. Setiap tahun pada 31 Julai iaitu pada hari ini akan diadakan sambutan Hari Pahlawan baik di peringkat kebangsaan mahu pun di peringkat negeri. Justeru itu izinkan saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pahlawan khususnya kepada anggota-anggota tentera yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara. Sebagaimana kita sedia maklum negara menyambut Hari Pahlawan bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan terutamanya para perajurit yang telah berjuang mempertahankan tanah air kita, Malaysia. Oleh itu sebagai tanda penghargaan ini Kerajaan juga menganjurkan kempen Rayuan Hari Pahlawan bagi mengumpulkan dana dari sumbangan seluruh penduduk negara merangkumi anggota Kerajaan, syarikat swasta, industri serta organisasi.
5. Mulai tahun ini saya difahamkan cenderamata berbentuk bunga raya telah diedarkan ke merata negara sebagai lambang menyambut Program Hari Patriotik. Dari itu pakailah cenderamata ini di baju anda sambil menderma sebagai tanda sokongan kepada perjuangan bekas-bekas tentera kita. Derma ikhlas dari tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan kelak disumbangkan kepada mereka yang memerlukannya iaitu bekas perajurit negara, balu-balu serta anak-anak mereka demi membantu memberikan keselesaan hidup.
6. Pameran kecemerlangan ATM di Era Milenium ini merupakan di antara usaha Kementerian Pertahanan dalam memberikan maklumat terkini mengenai Angkatan Tentera Malaysia kepada masyarakat umum terutamanya generasi muda. Selaras dengan hasrat tersebut pameran ini lebih memberi tumpuan kepada konsep kontemporari tentang kecemerlangan profesion ATM. Rakyat perlu dimaklumkan bahawa di samping berjuang mempertahankan negara, kerjaya dalam Angkatan Tentera adalah satu kerjaya yang mempunyai pelbagai profesion serta kepakaran seperti bidang kejuruteraan, kedoktoran, undang- undang, pendidikan dan banyak lagi.
7. Kepelbagaian bidang kerjaya dalam ATM diharap akan dapat dijadikan sebagai galakan serta menarik minat golongan belia untuk memilih bidang ketenteraan sebagai profesion pilihan mereka. Saya berharap pameran ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dengan menghayati secara lebih dekat lagi kecemerlangan ATM masa lalu di samping keupayaannya menyahut cabaran masa kini dan akan datang. Saya juga yakin bahawa pameran ini akan dapat membuka minda golongan belia terutamanya para pelajar yang akan meninggalkan alam persekolahan atau institusi-institusi pengajian tinggi untuk memahami dengan lebih dekat prospek kerjaya dalam ATM.
8. Selain dari aspek profesion, pameran ini juga mengimbas kembali detik-detik sejarah ATM serta pengorbanan para perajurit kita dalam mempertahankan kedaulatan negara. Keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang kita kecapi hari ini adalah hasil dari pengorbanan, perjuangan dan semangat kepahlawanan pasukan keselamatan. Kesedaran inilah yang perlu dipupuk kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin di masa depan yang akan meneruskan perjuangan ini bagi memastikan kemakmuran, keharmonian dan keamanan ini berkekalan.
9. Di samping itu para pengunjung juga akan berpeluang menghayati penglibatan ATM dalam misi-misi pengamanan antarabangsa di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tidak ketinggalan juga pengenalan terhadap wira- wira negara dan pemimpinan angkatan tentera di samping peralatan-peralatan ketenteraan.
10. Kita perlu berbangga kerana dengan jasa dan pengorbanan ATM ianya telah dapat meletakkan negara dalam keadaan aman dan tenteram. Keadaan sedemikian yang telah dikecapi sejak beberapa dekad yang lalu telah membantu dalam pencapaian pertumbuhan ekonomi negara dengan pesat mahupun membina kesejahteraan rakyat. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana telah berjaya mengekalkan keadaan aman ini walaupun terdapat pergolakan di beberapa negara di dunia. Dalam hal ini bersesuaian dengan sambutan Hari Pahlawan, kita seharusnya memberi sekalung bunga sebagai tanda penghargaan kepada pasukan keselamatan kita yang telah memainkan peranan mereka dengan cemerlang bagi mengekalkan keamanan ini.
11. Generasi muda dan generasi akan datang perlu diberi pendedahan mengenai usaha para pemimpin serta para pejuang negara dahulu dan masa kini dalam membina Malaysia sehingga mencapai kemakmuran dan kejayaan. Mereka tidak seharusnya alpa dengan kemajuan yang dikecapi sekarang tanpa menyedari pengorbanan yang telah dicurahkan oleh datuk nenek mereka yang terdahulu. Kita berharap landasan yang telah dibina sekarang ini, akan terus ditingkat dan disemai bagi kesejahteraan generasi Malaysia yang akan datang.
12. Sempena dengan kempen Rayuan Hari Pahlawan tahun 2003, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru sokongan dan kerjasama orang ramai, agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta supaya tampil ke hadapan menghulurkan bantuan kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2003. Rakyat Malaysia sememangnya amat dikenali dengan sifat pemurah serta bersedia berkorban untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Di atas keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan saya mengucapkan jutaan terima kasih. Saya berdoa semoga para penderma sentiasa dirahmati Allah S.W.T dan di limpah rezeki serta mendapat ganjaran keberkatan di dunia dan akhirat kelak. Insya'Allah.
13. Sebagai akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Seri Mohd Najib, Menteri Pertahanan Malaysia di atas undangan ini. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Karnival Hari Pahlawan di atas daya usaha mengadakan pameran sempena Rayuan Hari Pahlawan tahun 2003. Saya berharap pameran seperti ini dapat dijadikan satu aktiviti tahunan sempena sambutan Hari Pahlawan dan juga diadakan di peringkat negeri- negeri kerana ianya dapat membantu lebih ramai rakyat memahami dengan lebih dekat kecemerlangan ATM dalam menghadapi cabaran masa kini dan akan datang .
14. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran Kecemerlangan ATM di Era Milenium dengan rasminya. Wabillahi taufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
Sekian, terima kasih. |