Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN PROJEK DANA DAN PENERBITAN SISTERS IN ISLAM
Lokasi : MUZIUM KESENIAN ISLAM KUALA LUMPUR
Tarikh : 29-07-2003
 
Saya berasa gembira kerana diberi peluang untuk merasmikan Majlis Pengumpulan Dana dan Penerbitan Baru Sisters in Islam (SIS), iaitu sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang misinya adalah untuk memperjuangkan hak wanita Islam selaras dengan tuntutan agama.

2. Saya telah mengikuti perkembangan Sisters in Islam yang ditubuhkan 13 tahun lalu. Saya dapati organisasi ini bertujuan meletak dan meningkatkan kedudukan dan taraf wanita pada tahap yang sebenar mengikut kehendak agama kita.

3. Sisters in Islam memainkan peranan yang penting buat masa ini terutama dalam usaha mengeluarkan wanita Islam dari kepompong kekolotan masyarakat. Ia mendokong prinsip- prinsip kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan selaras dengan ajaran-ajaran Islam.

4. Prinsip-prinsip ini bukanlah sesuatu yang asing atau janggal di sisi Islam. Ianya tidak menyalahi kepercayaan agama kita. Ianya juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah telah membuktikan bahawa Islam sememangnya telah lama meletakkan martabat wanita pada tempatnya yang hak.

5. Sebelum Islam menapak di bumi Arab, wanita tidak mempunyai hak dan ramai bayi perempuan dibunuh dengan ditanam hidup-hidup. Tetapi Islam telah memberi wanita hak dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam negara.

6. Di zaman Rasulullah, wanita juga memainkan peranan yang penting. Koleksi riwayat hidup sahabat Nabi memuatkan lebih 1,200 riwayat wanita; antara mereka adalah para penyampai hadith, para wali dan sufi, para syahid, pembebas abdi, dan wira peperangan.

7. Di kebanyakan negara Islam, boleh dikatakan hak wanitanya dinafikan di dalam erti kata untuk memajukan diri mereka. Islam telah disalahgunakan sebagai alat untuk menyekat wanita ke arah kemajuan. Prinsip-prinsip Islam yang murni berdasarkan kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan wanita telah diketepikan demi menghalang kemajuan mereka.

8. Ini adalah satu kecenderungan (trend) kurang sihat yang harus ditangani. Tetapi tidak ramai yang berani bersuara kerana sangat mudah bagi mereka yang tidak terbuka fikirannya untuk melempar tuduhan yang bermacam-macam, contohnya tohmahan "kafir" atau "anti Islam" yang sering didengar apabila terdapat pandangan yang berbeza.

9. Sisters in Islam adalah salah satu kumpulan bukan Kerajaan yang berani menuntut hak wanita Islam untuk bersuara secara progresif mengenai isu-isu semasa yang penting bagi kesejahteraan umat Islam.

10. Saya berharap mereka tidak menyuarakan pandangan mengenai Islam secara sewenang-wenangnya. Saya percaya setiap pandangan mereka dibuat selaras dengan tuntutan agama Islam dan demi kemajuan wanita Muslim umumnya.

11. Saya gembira mendapati pertubuhan ini juga membuat kajian mendalam terhadap undang-undang keluarga Islam dan melakukan advokasi untuk pembaharuan dasar dan undang- undangnya. Di samping itu, ia juga menganjurkan program- program kesedaran untuk anak-anak muda dan golongan profesional mengenai hak wanita dalam Islam.

12. Saya ucapkan tahniah kepada Sisters in Islam kerana menyediakan perkhidmatan klinik undang-undang yang memberi nasihat berkenaan undang-undang keluarga Islam, terutamanya kepada wanita-wanita yang ingin menuntut hak mereka sejajar dengan kehendak agama Islam.

13. Saya difahamkan kesemua aktiviti Sisters in Islam ini memerlukan sumbangan wang dan tenaga yang banyak. Selama ini, kebanyakan daripada aktiviti yang dijalankannya adalah hasil sumbangan dari luar.

14. Saya berharap rakyat Malaysia sendiri akan tampil ke depan bagi memberi sumbangan kewangan untuk menampung aktiviti dakwah dan amal jariah yang dilakukan oleh Sisters in Islam. Kepada individu-individu, syarikat-syarikat dan organisasi yang telah menyambut seruan ini, syabas saya ucapkan.

15. Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian mereka yang telah menyumbangkan wang dan tenaga masing-masing untuk membantu Sisters in Islam dalam aktivitinya.

16. Dengan lafaz Bismilahirrahmannirrahim, saya merasmikan kempen pungutan dana dan penerbitan baru Sisters in Islam.

Wabillahi Taufiq Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kami menerima 6,617,260 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri