Terlebih dahulu, saya lafazkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita hadir bersama-sama pada hari ini untuk merasmikan Rumah BIDARA Negeri Kedah. Saya juga merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih di atas jemputan pihak BIDARA Negeri Kedah dan peluang yang diberikan untuk saya menyampaikan sepatah dua kata di Majlis yang cukup bermakna ini.
2. BIDARA yang diasaskan pada 21 Mei 1986, merupakan platform terbaik bagi isteri pimpinan Kerajaan Negeri Kedah untuk melaksanakan empat agenda penting. Empat agenda berkenaan jika mampu dijayakan akan bertindak sebagai pelengkap kepada fungsi dan tugas para suami sebagai ADUN, Ahli Dewan Rakyat mahupun penjawat Kedah Civil Service.
3. Pertamanya ahli-ahli BIDARA haruslah mampu menjadi tenaga penggerak penting ke arah menzahirkan idea kreatif dan inovatif untuk mengatur program dan aktiviti yang mampu menonjolkan `imej kepimpinan' Kerajaan Negeri Kedah. Ini bermakna, teras program yang dirangka bukanlah bersifat `elitis' dan terhad untuk penyertaan golongan berpangkat semata-mata. Akan tetapi penekanan hendaklah diberikan kepada program bersifat pembelaan dengan keutamaan kepada `golongan ibu tunggal dan ibu tinggal, anak-anak yatim, golongan rendah dan warga tua.
4. Jika ini dapat diterjemahkan sepenuhnya, maka imej BIDARA sebagai `Badan Amal' akan lebih menepati fungsi dan maksudnya.
5. Asas kedua yang mampu dijayakan oleh Ahli BIDARA adalah melengkapkan diri dengan penguasaan isu dan dalam masa yang sama mampu menjadi `opinion leaders' yang berkesan sekurang-kurangnya di kalangan komuniti wanita setempat. Sebagai isteri wakil rakyat, kita bukan sahaja diandaikan hanya mampu hadir sebagai `peneman' atau pengiring suami masing-masing, malah dalam kebanyakan hal wajarlah mampu memberi makna, tafsiran serta pengertian kepada sebaran dasar, program mahupun rancangan pembangunan yang direncanakan oleh pihak Kerajaan. Kita tidak mahu isteri wakil rakyat hanya sebagai `penghias' majlis.
6. Ini menuntut kepada penguasaan ilmu seperti teknologi maklumat, kemahiran `responsive' selain idea- idea inovatif bagi menjadikan diri kita sebagai antara `role model' yang bukan sahaja dihormati oleh komuniti wanita setempat atas dasar status sebagai `isteri pemimpin' tetapi juga diyakini kerana wibawa dan kemahiran intelektual kita. Kita harus menyertai ceramah-ceramah atau seminar-seminar bagi mencambah fikiran dan mendalami pemikiran masyarakat. Bagi memperluaskan pandangan, kita harus mengadakan lawatan serta bermesra atau berinteraksi dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis yang diadakan oleh orang awam, selain Kerajaan dan BIDARA sendiri bagi meningkatkan tali silaturahim di antara kita dengan masyarakat.
7. Sebab itu, pada saya imej dan pengisian aktiviti BIDARA serta programnya harus berteraskan aspek berkenaan. Suasana dan `reality' masyarakat sudahpun berubah dengan arus kemajuan modernisasi dan globalisasi. Justeru kita tidak lagi boleh bersifat dan mempunyai pemikiran `local' sebaliknya harus menekankan kepada prinsip `think global but act local'. Ini ramuan sebenarnya untuk meletakkan Badan Amal seperti BIDARA ini ke suatu tahap yang terbaik ke arah memandu masyarakat yang di bawah pimpinan kita mencapai satu hala tuju yang sebenar.
8. Di peringkat Negeri Kedah yang mempunyai Pelan Kedah Maju 2010, seharusnya ahli-ahli BIDARA mampu menyebarkan pelan tersebut secara praktikal bagi membolehkan seluruh lapisan masyarakat menghayati dan memahami arah tuju dasar berkenaan. Apatah lagi di dalam Pelan Kedah Maju 2010, turut menyediakan peluang dan ruang yang luas kepada kaum wanita sama ada dalam sektor pekerjaan profesional, guna tenaga, peluang pendidikan dan juga aspek kebajikan. Perkara-perkara pokok inilah yang wajar disebarluaskan agar kita sepertimana yang saya sarankan sebelumnya mampu menjadi pelengkap kepada fungsi dan tugas Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Dewan Rakyat yang mana terdiri daripada para suami kita sendiri.
9. Kemampuan untuk bertindak sebegini bukan sahaja mampu memperlihatkan wibawa BIDARA itu sendiri, malah BIDARA akan lebih dinilai sebagai antara Badan amal yang kemahiran dan kewujudannya lebih dirasai.
10. Oleh kerana itulah, hala tuju BIDARA dan perancangan jangka panjangnya amat penting bagi membolehkan seluruh masyarakat, dan ahli BIDARA sendiri mempunyai keyakinan dan komitmen yang tinggi ke arah merangka program dan pendekatan yang sesuai untuk manfaat rakyat. Kejayaan ini adalah bergantung kepada kesediaan ahli-ahli BIDARA bekerja sebagai satu pasukan atau mempunyai `team spirit'.
11. Dengan terbinanya bangunan baru ini yang diubahsuai dari `rumah lama' diharapkan mampu memberikan suatu momentum baru ke arah menjadikan BIDARA, suatu badan amal yang lebih kreatif, berdaya saing selain mampu menggalas cabaran dan tugas yang pelbagai khususnya berkaitan dengan pembangunan jiwa dan kebajikan sosial masyarakat. Diharapkan juga ia menjadi satu simbol yang baik dan kukuh pada BIDARA di samping dapat menyemarakkan lagi semangat ahli-ahlinya untuk terus menyumbang bakti dengan lebih bersungguh.
12. Dalam konteks negara, kita sudah pun mempunyai Wawasan 2020 dan Dasar Wanita Negara. Di peringkat Negeri Kedah pula secara spesifiknya seperti yang saya sebutkan sebelumnya sudah mempunyai Pelan Kedah Maju 2010. Justeru itu kedua-dua dasar dan pelan ini menuntut kebijaksanaan kita semua untuk ditafsir, diterjemah dan diisi dengan makna yang hakiki. Maka ini memerlukan komitmen dan sikap tanggungjawab daripada semua ahli BIDARA sebagai isteri kepada para pemimpin.
13. Akhir kata, tahniah dan terima kasih sekali lagi saya rakamkan atas kesudian pihak BIDARA Negeri Kedah menjemput saya ke majlis yang cukup bermakna pada hari ini. Semoga dengan adanya binaan rumah BIDARA yang baru ini serta sumbangan amal baktinya BIDARA akan lebih disanjung dan dihormati oleh masyarakat.
14. Dengan kata-kata itu, dengan lafaz Bismillah hirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan RUMAH BIDARA Negeri Kedah Darul Aman.
Wabillahi taufiq walhidayah wassalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
|