Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS HI-TEA `SEMURNI HATI SEINDAH BUDI'
Lokasi : DEWAN SERBAGUNA KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA
Tarikh : 30-07-2003
 
Terlebih dahulu marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan rahmat dan izin-Nya dapat kita bersama di Majlis "Hi-Tea" pada petang ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Y.Bhg. Puan Sri Normah Bt. Othman, Pengerusi PUSPANITA Kementerian Kewangan kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama puan-puan di majlis pada petang ini.

2. Saya masih ingat lagi pada tahun lepas di mana saya telah dijemput oleh PUSPANITA Kementerian Kewangan untuk memberi ceramah bertajuk "Peranan Seorang Wanita" sempena Majlis Citra Kasih yang bertempat di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP, Bangi. Rasanya seperti baru semalam dan hari ini saya berasa amat berbesar hati dapat sekali lagi bertemu puan-puan di majlis yang mulia ini.

Semurni hati seindah budi, Majlis dinama cantik sekali , Terima kasih sekalung budi, Di petang ini bersua kembali.

3. Sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan di Kementerian Kewangan terdiri daripada wanita. Sebagai anggota agensi pusat yang memainkan peranan penting dalam mekanisma pentadbiran Kerajaan, ia pastinya menuntut komitmen yang tinggi dan padu. Namun begitu, saya berasa amat bangga lantaran dalam kesibukan melaksanakan tugas harian di samping tanggungjawab kepada keluarga tercinta, puan-puan masih dapat meluangkan masa untuk bersama-sama bergerak aktif, menyumbang idea dan mengerahkan tenaga dalam PUSPANITA. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada puan-puan kerana saya difahamkan PUSPANITA Kementerian Kewangan begitu aktif menjalankan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menarik dan telah berjaya meningkatkan keahliannya kepada 2,622 orang ahli.

4. Jika diimbas kembali, PUSPANITA atau Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia yang telah ditubuhkan pada sekitar tahun 80-an telah menggariskan beberapa objektif yang antaranya adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara anggota wanita dan isteri- isteri pegawai dalam Perkhidmatan Awam, menggalakkan perkembangan pengetahuan, kemahiran dan kemajuan diri, mengeratkan perhubungan dengan pertubuhan-pertubuhan wanita yang lain dan menjalankan kerja-kerja amal.

5. Sehingga ke hari ini, objektif-objektif ini ternyata masih relevan dan dengan sumbangan-sumbangan melalui pelbagai tabung, ceramah, seminar, bengkel, lawatan dan sebagainya, PUSPANITA secara kolektifnya mampu berbangga kerana telah banyak membantu usaha-usaha Kerajaan dalam memperdanakan wanita dalam arus pembangunan negara di samping memperkukuhkan institusi kekeluargaan. Adalah menjadi harapan dan doa saya, moga-moga PUSPANITA khususnya PUSPANITA Kementerian Kewangan akan terus aktif dalam merealisasikan segala objektif PUSPANITA.

6. Kita bersyukur dan berbangga dengan kemajuan dan pembangunan yang dikecapi oleh Malaysia pada hari ini.

Kejayaan yang dinikmati ini merupakan natijah dari kesungguhan, iltizam dan keinginan kita untuk mengecapi taraf dan cara hidup yang lebih baik, progresif dan berdaya saing.

Kita berasa lebih bangga kerana kejayaan negara ini turut disumbangkan oleh kebolehan, kesungguhan dan potensi kaum wanita.

7. Jika sebelum merdeka, kaum wanita turut berjuang untuk memerdekakan negara, sebagai kesinambungannya, selepas merdeka, kaum wanita mengorak langkah untuk sama-sama mengisi kemerdekaan dengan menyumbang dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial dan politik. Sekitar tahun 60-an dan 70-an, wanita rata-rata menjadi suri rumah tangga, kini wanita semakin ramai melibatkan diri di alam kerjaya. Tidak dinafikan, wanita pada hari ini berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki.

8. Ketrampilan dan kredibiliti wanita terbukti apabila semakin ramai wanita menyandang jawatan-jawatan penting.

Bukan setakat jawatan dalam Kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Gabenor Bank Negara, Hakim, Pakar Bedah, Pakar Astronomi dan sehinggalah kepada Juruterbang Pesawat Pejuang, bahkan banyak lagi jawatan kritikal dalam sektor swasta seperti perbankan, kewangan dan teknologi maklumat yang kini diterajui oleh wanita. Perkembangan ini jelas memperlihatkan wanita Malaysia memainkan peranan yang semakin penting dalam mencorakkan hala tuju dan pembangunan negara.

9. Namun, walau setinggi mana jua pencapaian seseorang wanita itu, tanggungjawab asas dan hakiki wanita sebagai seorang ibu dan isteri tidak harus dikesampingkan. Kewujudan sebuah keluarga yang bahagia dan cemerlang tentunya akan menyempurnakan definisi kebahagiaan seseorang wanita.

10. Sebagai isteri, tanggungjawab kepada suami perlu diperhati dan ditunaikan sebaik mungkin. Berusahalah memperbaiki segala kekurangan diri, di samping sentiasa menggilap kelebihan dan potensi yang ada. Lebih daripada itu, wanita harus bersedia menjadi seorang pendengar, motivator, pemberi nasihat dan rakan berbincang kepada suami. Saya yakin, jauh di lubuk hati sanubari setiap isteri tentunya tersemat hasrat murni untuk menjadi seorang isteri solehah dan isteri mithali. Justeru, realisasikanlah impian ini dengan melaksanakan tanggungjawab kita sebaik mungkin berlandaskan iman, taqwa dan ilmu.

11. Selaku ibu kepada anak-anak yang dahagakan bimbingan dan kasih sayang, soal pendidikan dan penerapan akhlak mulia mestilah menjadi prioriti. Dalam keadaan kegawatan sosial yang semakin menjadi-jadi, penghayatan agama terutamanya solat lima waktu mesti menjadi teras asuhan bagi anak-anak.

Terapkan dalam jiwa mereka nilai-nilai yang murni supaya mereka membesar menjadi generasi yang berilmu dan berjasa kepada keluarga, bangsa, agama dan negara.

12. Didiklah anak-anak lelaki kita supaya menghormati dan menghargai kaum wanita. Bagi anak-anak perempuan pula, didiklah mereka supaya mereka tahu menjaga serta mempertahankan diri dan hak mereka. Sekiranya nilai-nilai murni ini disemai dalam jiwa anak-anak sejak dari kecil, Insya-Allah mereka akan sentiasa berpegang pada nilai-nilai murni ini walaupun ketika berjauhan daripada keluarga.

Perkembangan akademik mereka pula perlu sentiasa diberi perhatian dan galakan. Di luar waktu persekolahan, luangkanlah masa bersama anak-anak dan rancanglah aktiviti- aktiviti yang bersesuaian.

13. Masa beralih, zaman berubah. Era baru datang bersama- sama cabaran yang berlainan. Dengan kemajuan teknologi yang begitu pesat terutamanya ICT, kaum wanita seharusnya mempersiapsiagakan diri dengan membuka minda dan bersedia menguasai kemahiran baru. Sifat malas belajar atau fobia kepada teknologi baru mesti dielakkan.

14. Tidak syak lagi, kemajuan ini akan menukar cara hidup dan persekitaran kerja rakyat Malaysia dan impaknya pasti berkehendakkan pengadaptasian dan penguasaan terhadap teknologi baru ini. Justeru, langkah-langkah membudayakan ICT kepada ahli-ahli PUSPANITA adalah tepat dan sangat digalakkan supaya potensi ICT dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan supaya wanita tidak ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan masyarakat di peringkat negara mahupun global.

15. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Puan Sri Normah bt. Othman dan para ahli PUSPANITA Kementerian Kewangan yang telah sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan pada petang ini. Saya akhiri ucapan ini dengan beberapa rangkap pantun berikut: Bertemu kita di petang ceria, Terjalin ikatan seharum kasturi, Membangun wanita aspirasi mulia, Bina kekuatan perkukuhkan diri.

Terjalin ikatan seharum kasturi, Seia sekata, gigih berusaha, Bina kekuatan perkukuhkan diri, Cemerlang wanita berjaya negara.

Seia sekata, gigih berusaha, Merapat barisan depani rintangan, Cemerlang wanita berjaya negara, Mencapai wawasan penuh keyakinan.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

*****

Kami menerima 6,619,341 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri