Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS TAKLIMAT PENGURUSAN KEWANGAN DAN MAJLIS SAMBUTAN 20 TAHUN PUSPANITA
Lokasi : DEWAN DR SITI HASMAH, RUMAH PUSPANITA JKR 5171, JALAN HOSE, KUALA LUMPUR
Tarikh : 21-05-2003
 
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izinNya dapat saya hadir bersama dalam majlis pada hari ini. Saya telah mengikuti dengan penuh minat perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh PUSPANITA sehingga ke hari ini. Pada hari ini, saya berasa amat bertuah dan berbangga kerana berkesempatan memberi ucap utama bertajuk "Kepimpinan" dalam majlis yang mulia ini.

2. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PUSPANITA yang telah mengatur pelbagai aktiviti untuk faedah ahlinya, seperti mengadakan kursus, ceramah, seminar, lawatan sambil belajar dan aktiviti sukan untuk ahlinya serta aktiviti-aktiviti untuk anak dan keluarga.

3. Kita harus berbangga di atas kemajuan dan kejayaan yang telah dicapai sejak negara kita merdeka.

Kestabilan Negara, kemajuan ekonomi dan juga kualiti kehidupan yang bermutu kita telah meletakkan negara kita di tahap yang tinggi di mata masyarakat dunia.  Pencapaian ini dihasilkan bukan secara sembarangan ataupun secara kebetulan. Kejayaan kita adalah hasil daripada pemerintahan yang mempunyai daya pengurusan yang baik sama ada di peringkat organisasi atau negara. Oleh itu, adalah sesuai bagi saya untuk menumpukan ucapan saya ini kepada kepimpinan berkesan.

4. Seorang pemimpin yang berkesan memainkan beberapa peranan antaranya bertanggungjawab untuk memberi perangsang dan melatih ahli-ahli organisasinya; untuk menjalin perhubungan yang baik dengan orang yang penting; memperolehi maklum balas, menganalisa dan menyebarkan maklumat-maklumat yang penting mengenai organisasinya; menyelesaikan pertikaian, dan menggerakkan serta membuat perubahan atau pembaharuan.

Beliau juga bertanggungjawab sebagai jurucakap dan juru runding bagi organisasinya.

5. Seterusnya saya suka mengambil peluang ini untuk memperkatakan tentang peranan puan-puan dalam pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta antarabangsa. Saya juga suka berkongsi pengalaman untuk menunjukkan bagaimana puan-puan boleh memberikan sumbangan sebagai pemimpin yang berkesan di pelbagai peringkat seperti yang dinyatakan.

6. Perubahan persekitaran yang begitu dinamik dan sukar diramal pada masa kini tidak membolehkan kita berada di zon yang selesa atau mengekalkan "status quo" agak lama. Dalam era ledakan informasi dan ilmu pengetahuan (knowledge), kita boleh menjadi tidak berkesan dengan mudah dan tanpa kita sedari. Dalam hubungan ini, aspek pembangunan diri untuk menjadi wanita yang berjaya semakin mendesak. Mereka yang alpa akan menjadi usang dimakan zaman. Apa yang jelas negara memerlukan kita berganding bahu dengan kaum lelaki bagi menangani cabaran baru. Dalam erti kata lain, peranan kita menjadi sama penting dengan kaum lelaki untuk pembangunan negara.

7. Saya percaya untuk terus maju dalam era informasi dan ilmu pengetahuan, kita perlu mempunyai minda dan sikap yang terbuka. Kita harus mampu memahami dan menangani perubahan serta sanggup menyesuaikan diri mengikut keadaan persekitaran. Kita perlu sedar betapa pentingnya kepekaan kita terhadap perubahan. Kita perlukan pendedahan kepada pelbagai perkara seperti k- ekonomi dan k-sosial serta k-politik (jika terma ini boleh saya gunakan) kerana kita adalah isteri kepada anggota pentadbiran dan eksekutif politik. Misalnya, jika kita menghadapi masalah, kita dapat memahami masalah tersebut dengan tepat dan tahu cara-cara mengatasinya. Begitu juga, kalau kita berjaya mencapai sesuatu kejayaan atau kecemerlangan, kita mampu untuk mengekalkannya. Malahan kita terus berupaya menambah nilai kepada kejayaan atau kecemerlangan tersebut supaya lebih terserlah.

8. Saya ingin menegaskan bahawa usaha penambahan ilmu hendaklah dilihat sebagai satu usaha yang murni.

Tambahlah ilmu dalam pelbagai aspek seperti peningkatan pencapaian akademik, pengendalian mesyuarat, pengucapan awam, pembinaan jaringan (networking), dan hal ehwal semasa di peringkat nasional dan antarabangsa.

9. Pada hemat saya, satu lagi perkara yang penting dalam pembangunan diri adalah peningkatan personaliti.

Bagi membolehkan puan-puan sentiasa disegani dan dihormati, aspek peningkatan personaliti perlulah dititikberatkan. Nilai-nilai moral yang tinggi perlu dikekalkan supaya puan-puan sentiasa yakin pada diri sendiri dan memiliki budi pekerti yang tinggi. Kesan jangka panjang peningkatan personaliti melahirkan sifat- sifat kewibawaan yang tiada tandingnya.

10. Pada asasnya puan-puan sekelian memainkan dua peranan penting dalam aspek pembangunan keluarga iaitu sebagai isteri kepada pemimpin-pemimpin negara dan ibu kepada anak-anak di rumah. Saya ingin meyakinkan puan- puan bahawa dalam corak kehidupan sekarang, kita tidak boleh lagi dianggap memainkan peranan sebagai penyokong kepada suami masing-masing atau hanya suri rumah sahaja. Apa yang penting kita perlu mempunyai imej sebagai rakan kongsi bestari rumah tangga dan ibu mithali yang menjadi `role model' kepada anak-anak.

11. Puan-puan perlu mempunyai sifat-sifat isteri yang berjaya. Antara sifat-sifat penting adalah pandai menyesuaikan diri, saling hormat-menghormati, bertimbang rasa, berwajah ceria, penuh kesetiaan dan berbicara dengan suara yang lemah lembut, terutamanya ketika mengeluarkan kata-kata yang mengisyaratkan kerinduan. Dengan mempunyai sifat-sifat mulia dan murni yang dinyatakan, saya rasa ilmu pengasih tidak diperlukan lagi untuk mewujudkan keharmonian hidup suami isteri dan keluarga.

12. Saya juga ingin menyarankan supaya puan-puan sekelian menggunakan kepintaran dan kebijaksanaan ketika berinteraksi dengan ahli keluarga, jiran dan rakan. Anggaplah perkhidmatan puan-puan terhadap suami dan ahli keluarga sebagai satu perkhidmatan ikhlas dan jujur yang tidak memerlukan balasan. Keikhlasan dan kejujuran sedemikian diharapkan akan memupuk dan mengekalkan perasaan kasih sayang. Begitu juga perasaan saling hormat menghormati di antara satu sama lain perlu diamalkan. Sesiapa pun inginkan penghargaan terhadap usaha dan jasa yang dicurahkan lebih-lebih lagi kerana ianya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Manusia mempunyai sifat kasih sayang dan cinta di antara satu dengan yang lain. Misalnya, lemparan senyuman manis seorang isteri merupakan satu penghormatan dan penghargaan terhadap suami dan satu pancaran kasih sayang kepada anak-anak.

13. Puan-puan juga perlu memberi perhatian kepada isu kesihatan kerana kesihatan keperluan asas kita.

Sebagai seorang isteri dan ibu, puan-puan perlu menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga yang lain.

Apabila kita sihat dan bersemangat maka kita akan merasakan kehebatan yang boleh memberangsangkan kita untuk terus aktif dalam banyak perkara. Perasaan "feeling good in yourself" adalah mustahak.

14. Peranan puan-puan dalam pembangunan masyarakat dan negara adalah besar. Pada hakikatnya di sisi setiap lelaki yang berjaya akan berdiri seorang wanita.

Kejayaan suami puan-puan menjadi pemimpin negara dan masyarakat berkait rapat dengan sumbangan puan-puan sebagai isterinya. Dengan erti kata lain, wanita boleh mencorakkan masyarakat. Segala usaha perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan negara tidak dapat mengabaikan sumbangan wanita. Wanita adalah agen pembangunan masyarakat moden.

15. Sebagai agen perubahan, puan-puan menerima maklumat baru melalui pelbagai saluran sama ada secara formal seperti kursus, kelas atau ceramah atau secara tidak formal yang diperolehi melalui persatuan sukarela atau ketika mengiringi suami di dalam dan di luar negeri. Puan-puan menapis maklumat-maklumat baru tersebut. Fakta-fakta yang diterima dinilai. Unsur- unsur yang sesuai dipilih untuk disebarkan. Maklumat- maklumat tersebut disebarkan melalui pelbagai saluran yang berkesan seperti keluarga sendiri dan wanita- wanita lain yang didampingi semasa berinteraksi dalam persatuan atau pertemuan seperti dalam kursus ini.

Dalam konteks ini, peranan puan-puan sebagai penyebar maklumat yang benar adalah penting. Malahan ketika berada di luar negeri puan-puan adalah duta-duta sosial yang penting kepada negara.

16. Pembangunan negara adalah satu proses yang berterusan yang memerlukan penglibatan sepenuhnya daripada semua pihak iaitu lelaki dan wanita. Di dalam negara membangun seperti Malaysia, wanita diseru supaya memberi sumbangan terhadap pembangunan negara.

Hasilnya peranan wanita sentiasa meningkat. Apa yang penting sebarang peningkatan dan perubahan pemikiran wanita hendaklah menjurus ke arah penambahbaikan kualiti kehidupan masyarakat.

17. Sejak merdeka, kaum wanita sentiasa memainkan peranan dan mengambil bahagian yang sewajarnya dalam pembangunan negara. Peluang ini tidak dapat dinikmati oleh ramai wanita di sesetengah negara lain. Kita bertuah mendapat peluang dan pengiktirafan sebegitu rupa sehingga menyebabkan kadangkala kita menjadi `complacent'. Jika keadaan ini berlaku, kesannya adalah tidak baik untuk pembangunan masyarakat dan negara.

18. Puan-puan perlu aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Negara kita masih terdedah kepada pelbagai masalah seperti penyalahgunaan dadah. Seorang pemuda yang menagih dadah bukan sahaja memusnahkan dirinya sendiri tetapi juga mematahkan harapan kedua- dua ibu bapa dan melemahkan generasi masa hadapan negara. Di samping itu, negara kita juga menghadapi masalah lain seperti `bohsia' dan `lepak' yang merupakan masalah golongan remaja. Keadaan ini mungkin disebabkan ramai daripada remaja masa kini tidak mendapat bimbingan untuk memenuhi masa lapang mereka dengan kerja-kerja berfaedah. Saya berharap, kesedaran puan-puan terhadap kepentingan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan akan bertambah.

19. Akhir kata, puan-puan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing. No one is more confusing than the person who gives advice while setting a bad example. Pemimpin yang baik akan mempengaruhi orang lain sama ada daripada segi kepemimpinannya, tunjuk ajarnya, akhlaknya, tutur katanya atau tingkah lakunya yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain. A good example has twice the value of a good advice. People take your example far more seriously than they take your advice. The greatest power for good is the power of example.

20. Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap pada majlis ini.

Semoga kita semua dalam PUSPANITA menjadi Pemimpin Wanita yang berilmu tinggi dan cekap menguruskan semua peranan terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara ini, dengan penuh ikhlas, jujur dan taat sedia, insya'Allah.

Kami menerima 6,616,817 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri