Bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan rahmat serta izinNya dapat kita berkumpul dalam satu majlis yang amat bersejarah ini. Majlis ini adalah di antara program yang dapat diatur sebelum YAB Perdana Menteri berundur diri setelah mengabdikan diri untuk agama, bangsa dan negara.
2. Penubuhan Yayasan ini bermula dengan sekumpulan pemikir dan sukarelawan akademik sekitar daerah Kubang Pasu yang menyahut idea dan seruan saya dalam membantu masyarakat Kubang Pasu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran IT. Pasukan pemikir ini dibimbing oleh Prof Dr Mizan dan di ketuai oleh Naib-Canselor Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah, Darul Aman.
3. Dengan dana serta bantuan yang dihulurkan oleh badan korporat seperti Yayasan Al-Bukhary, OYL Manufacturing, Tenaga Nasional Berhad, serta Unit Pelaksanaan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, pihak JKR Daerah telah melaksanakan kerja pengubahsuaian bangunan dari pasar ikan, sayur dan buah-buahan menjadi sebuah bangunan Pusat Pendidikan Komuniti yang menyediakan kemudahan makmal komputer, dewan seminar, Pusat Sumber, Bilik Kaunseling dan Tekno Incubator.
4. Universiti Utara Malaysia telah bermurah hati mendahulukan pembekalan 40 komputer SerindIT yang dipasang oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) sendiri berserta dengan kelengkapannya. Kerjasama UUM membolehkan makmal komputer diwujudkan segera. Pihak UUM juga kemudiannya mengusahakan kemudahan rangkaian internet dan Satelit.
5. Pada 10 November 2000 bangunan Pusat Pendidikan Komuniti Kubang Pasu telah dilancarkan pembukaannya oleh YAB Dato Seri Dr Mahathir Mohamad. Sejak itu pusat ini telah menyediakan khidmat Kelas Komputer untuk golongan pelajar, belia dan orang dewasa setiap hari kecuali hari Jumaat. Dewan pusat ini juga mula digunakan oleh pelbagai pihak seperti pejabat Belia dan Sukan Daerah, Majlis Belia Daerah, Pejabat Daerah, Tabung Haji dan pelbagai pihak lagi termasuk Pertubuhan Badan-Badan Sukarela (NGO) di Negeri Kedah.
6. Setelah itu bangunan tambahan pusat ini diubahsuai dan dijadikan bengkel membaikpulih komputer dan latihan pemasangan komputer atau lebih dikenali dengan projek Tekno Incubator.
7. Pusat Pendidikan Komuniti kemudiannya dilengkapkan lagi dengan pemasangan satelit bagi menambah kecekapan penggunaan internet.
8. Saya amat bangga menjadi penasihat kerana tenaga penggerak Yayasan Pembangunan Masyarakat Kubang Pasu adalah merupakan sukarelawan dan aktivis sosial yang dinamik serta berjiwa patriotik. Peneraju Yayasan ini sentiasa memaklumkan semua program dan aktiviti yang mereka rancang, laksana dan pantau kepada saya.
9. Selain daripada program dan aktiviti yang dijalankan di bangunan Yayasan, program dan aktiviti di luar dirancang dan dilaksanakan seperti Kem Siber yang diadakan di Universiti Utara Malaysia. Saya berpendapat program ini amat berfaedah kepada pelajar luar bandar khususnya. Saya telah mengarahkan pihak Yayasan berunding dengan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah bagi mendapatkan kerjasama supaya lebih banyak lagi sekolah di seluruh Kedah mengikuti program kem Siber ini.
10. Untuk memantapkan aspek kerohanian pihak Yayasan telah mengadakan Kursus Akil Baligh kepada pelajar- pelajar tingkatan satu bagi persediaan menghadapi alam remaja. Saya dimaklumkan Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program ini.
11. Yayasan Pembangunan Masyarakat Kubang Pasu juga mengambil perhatian dalam hal memajukan Bahasa Inggeris untuk pelajar dan masyarakat. Dengan bantuan pensyarah dan guru bahasa dari UUM bengkel penguasaan Bahasa Inggeris dan juga komunikasi telahpun dilaksanakan dan telah mendapat sambutan.
12. Pada umumnya lebih 10,000 telah terlibat dengan aktiviti anjuran Yayasan ini sejak ianya digerakkan dalam tahun 2000 lagi. Dengan kerjasama pelbagai Jabatan Kerajaan dan NGO dijangka bilangan yang terlibat akan meningkat lagi pada masa akan datang.
13. Kemudian Yayasan memperkenalkan pula aktiviti bersifat patriotik untuk generasi muda yang dinamakan Kem Ketahanan Nasional. Daripada pelaksanaan Kem Ketahanan Nasional inilah timbulnya idea untuk mendapatkan tanah Kerajaan sekurang-kurangnya seluas 50 ekar untuk dibina sebuah kem guna sama bagi melatih golongan remaja supaya mempunyai semangat patriotik dalam gagasan ketahanan nasional atau `National Reselience'.
14. Idea penubuhan kem ini telah lama difikirkan sebelum skim Khidmat Negara atau National Service diumumkan oleh pihak Kerajaan. Idea khidmat negara ini timbul di Kongres Patriotisme Negara anjuran UUM dan Biro Tatanegara (BTN). Pembinaan kem ini menjadi lebih releven dengan keperluan kem latihan bagi khidmat negara, malah boleh juga digunakan untuk kursus-kursus Biro Tatanegara.
15. Menurut rancangannya kem ini akan menggunakan model kem BTN yang akan dilengkapkan dengan kemudahan latihan lasak, dewan kuliah, kemudahan riadah, serta kamar tidur untuk peserta kursus, sebuah padang kawad, rumah masak bersama dewan makan dan lain-lain kemudahan asas. Tidak banyak kem seperti ini ada di Negeri Kedah, malah hutan Sintok dijangka dapat menawarkan kawasan latihan yang menarik dan mencabar khususnya di kawasan Bukit Kachi yang bersejarah dalam masa Kerajaan melawan insurgensi dahulu.
16. Dana yang besar diperlukan bagi membina kem ini. Saya yakin berbagai pihak boleh membantu menjadikan projek ini suatu kenyataan. Kos pembinaan kem ini akan dapat dijimatkan jika kerja pembinaan dibantu oleh Regimen Askar Jurutera sebagai sebahagian daripada projek latihan mereka, manakala bahan binaan boleh didermakan oleh badan-badan korporat atau dermawan yang berminat membantu.
17. Saya yakin derma yang diperolehi hasil dari majlis pelancaran ini dapat juga sedikit sebanyak membantu kerja-kerja awal pembinaan kem ini, di samping digunakan bagi tujuan aktiviti kemasyarakatan.
18. Dalam hubungan ini saya tidak lupa ,mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan Al-Bukhary, OYL Manufacturing Berhad, Tenaga Nasional dan beberapa lagi syarikat serta dermawan yang memungkinkan idea dan pelaksanaan penubuhan Pusat Pendidikan Komuniti ini menjadi satu kenyataan.
19. Saya amat sedar bukanlah mudah bagi Yayasan ini menguruskan pusat pendidikan komuniti. Tenaga Nasional telah menghulurkan bantuannya berkaitan dengan bekalan elektrik, Bahagian Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri juga turut membantu kami. Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar saya ucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama Yang Berhormat membantu Yayasan menambah kemudahan yang sedia ada.
20. Saya sekali lagi ingin merakam jutaan terima kasih kepada semua dermawan dan individu yang membantu pihak Yayasan sama ada secara langsung atau pun tidak langsung. Saya berharap dan merayu bantuan dan sokongan ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. |