Alhamdulillah, suka saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana diizinkan untuk bersama- sama pada pagi yang berkat ini bagi melancarkan Tabung Sahabat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak universiti kerana menjemput saya dan ahli-ahli BAKTI ke universiti ini.
2. Saya ingin mengucapkan syabas kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang telah mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Sahabat UPSI dalam usaha menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang memerlukan.
3. Saya difahamkan walaupun terdapat beberapa bentuk pinjaman dan biasiswa yang kurang diperuntukkan kepada pelajar-pelajar, namun bagi sesetengah pelajar yang kurang bernasib baik, jumlah pinjaman dan biasiswa yang diterima tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan pengajian dan kehidupan harian mereka. Tidak dapat dinafikan terdapat segelintir pelajar yang terpaksa menggunakan bantuan pinjaman atau biasiswa yang sepatutnya digunakan bagi keperluan pengajian telah digunakan bagi menolong atau menampung kehidupan keluarga di kampung.
4. Dalam tempoh pengajian pelbagai perkara yang tidak diduga boleh berlaku sama ada yang suka atau duka.
Musibah yang berlaku kepada pelajar terutama kepada mereka yang sememangnya mengalami kesempitan hidup dan berlatar belakangkan keluarga yang susah, sudah pasti sedikit sebanyak akan mengganggu konsentrasi pelajar terhadap pelajaran mereka. BAKTI menyedari bahawa pada peringkat di mana pelajar seharusnya menumpukan perhatian terhadap pencapaian akademik, mereka tidak sepatutnya dibebani dengan masalah kewangan.
5. Di atas kesedaran inilah Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Menteri BAKTI mengambil inisiatif memberi sumbangan kepada universiti-universiti. Kami berharap dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar. Saya difahamkan bahawa selain sumbangan dari BAKTI, Tabung Sahabat UPSI ini juga menerima sumbangan daripada pihak Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM150,000.00. Saya percaya sumbangan daripada Bank Islam Malaysia Berhad ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada badan-badan korporat yang lain untuk turut dan terus menyumbang kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan juga institusi-institusi pengajian yang lain. Sesungguhnya sumbangan pihak korporat adalah tidak ternilai dan secara tidak langsung akan membantu institusi pengajian tinggi dalam membentuk dan melahirkan graduan berkualiti yang amat diperlukan oleh negara. Keprihatinan kita dalam membantu mereka yang ditimpa musibah amatlah mustahak sekali, bak kata pepatah, "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya".
6. Saya difahamkan enam orang pelajar telah dipilih oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar untuk menerima sumbangan dari Tabung Sahabat UPSI ini. Kepada pelajar-pelajar ini saya ingin menasihatkan mereka agar membelanjakan wang yang diberikan dengan sebaik mungkin. Jadikanlah sumbangan ini sebagai satu dorongan dan suntikan semangat untuk berusaha dengan lebih gigih lagi dan seterusnya dapat mengubah taraf hidup keluarga ke tahap yang lebih baik lagi.
7. Pelajar-pelajar tidak seharusnya menjadikan kemiskinan keluarga sebagai satu alasan untuk tidak meneruskan pengajian. Sesungguhnya kita patut belajar daripada kesilapan dan kejadian yang menimpa. Kita juga harus merancang nasib kita kerana kalau kita gagal merancang, bermakna kita merancang untuk menemui kegagalan. Peluang yang diberikan untuk meneruskan pengajian di universiti hendaklah digunakan sebagai landasan bagi kita memperbaiki kehidupan. Saya percaya pihak universiti akan sedaya upaya berusaha membantu pelajar-pelajar yang memerlukan.
8. Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang telah mengorak langkah menubuhkan Tabung Sahabat UPSI ini dan semoga dengan penubuhannya akan sedikit sebanyak meringankan beban pelajar-pelajar dan secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan pengajian dalam keadaan yang selesa. |