English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PENUTUP KEMPEN RAYUAN HARI PAHLAWAN TAHUN 2002
Lokasi : KEMENTERIAN PERTAHANAN
Tarikh : 09-01-2003
 

Bersyukur kita kepada Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan izinNya kita dapat bersama kembali sempena dengan upacara Majlis Penutup Kempen Rayuan Hari Pahlawan Tahun 2002. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, khususnya Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dan juga Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kerana sudi mengundang saya ke majlis ini, bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada para dermawan yang telah bermurah hati menyumbang kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2002.



2. Selaku penaung kepada Rayuan Hari Pahlawan, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan dan juga Jawatankuasa-jawatankuasa yang sama di negeri-negeri, termasuklah JHEV dan PBTM selaku urusetia bersama, dalam menjalankan aktiviti Rayuan Hari Pahlawan Tahun 2002.



3. Sungguhpun keadaan ekonomi negara kita telah mulai pulih dari kesan kejatuhan ekonomi sejagat, namun peningkatan di kebanyakan sektor masih rendah dan terhad akibat pelbagai peristiwa yang melanda seluruh dunia termasuk negara kita. Sungguhpun begitu, kita harus berbangga kerana masih ada juga insan, dengan penuh ikhlas dan keinsafan, mampu menghulurkan sumbangan kepada Tabung ini untuk kebajikan bekas tentera dan keluarga mereka yang memerlukan. Dengan penuh rasa kesyukuran, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para dermawan yang telah menyumbang untuk mengisi Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2002. Sumbangan yang diberikan itu menunjukkan masih ada kesedaran dan keinsafan serta perasaan kasih sayang dan sifat mengenang budi di kalangan kita terhadap bekas tentera yang telah berkorban dalam mempertahankan kedaulatan tanah air kita yang tercinta.



4. Untuk makluman Tuan-tuan dan Puan-puan, bagi tahun 2002, Jawatankuasa Rayuan Hari Pahlawan Peringkat Kebangsaan telah berjaya mengumpul kutipan sebanyak Ringgit Malaysia: Satu Juta Satu Ratus Lima Puluh Lapan Ribu Enam Ratus Lapan Puluh Empat dan Lima Sen (RM1,158,684.05). Manakala Jawatankuasa yang sama di negeri-negeri pula telah menerima sumbangan berjumlah Ringgit Malaysia: Satu Juta Tiga Belas Ribu Lapan Puluh Lima dan Lima Puluh Tiga Sen (RM1,013,085.53). Dengan itu jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima bagi tahun 2002 ialah Ringgit Malaysia: Dua Juta Satu Ratus Tujuh Puluh Satu Tujuh Ratus Enam Puluh Sembilan dan Lima Puluh Lapan Sen (RM2,171,769.58).



5. Di peringkat Kebangsaan, penyumbang terbesar ialah:



(i) Sektor Swasta - RM751,105.75


(ii) Jabatan/Agensi Kerajaan - RM387,862.00


(iii)NGO - RM13,875.00


(iv) Penderma Individu - RM5,841.00





6. Berdasarkan jumlah yang berjaya dikumpul itu, nampaknya ada penambahan berbanding tahun 2001 yang berjumlah Ringgit Malaysia: Dua Juta, Satu Ratus Enam Puluh Sembilan Ribu, Dua Ratus Lapan Puluh Sembilan dan Empat Puluh Sen (RM2,169,289.48). Ini bermakna tambahan sokongan orang ramai terhadap kempen dan Tabung Rayuan Hari Pahlawan yang dijalankan setiap tahun. Mungkin banyak faktor yang mempengaruhinya dan saya cadangkan supaya perkara ini dikaji dengan mendalam supaya prestasi kutipan pada tahun-tahun akan datang akan lebih baik lagi.



7. Semasa kempen Rayuan Hari Pahlawan Tahun 2002, saya difahamkan bahawa Kementerian Pendidikan telah berjaya menganjurkan Hari Patriotik di semua sekolah seluruh negara sepanjang bulan Rayuan Hari Pahlawan diadakan. Langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan ini amat bijak dan tepat pada masanya dalam usaha mendidik generasi muda agar memahami, menginsafi dan menghargai jasa dan pengorbanan bekas tentera yang menyumbang kepada keamanan negara dan kesejahteraan masyarakat dahulu, sekarang dan akan datang. Bibit yang disemai ini saya yakin akan membuahkan hasil dalam bentuk wujudnya warga Malaysia yang bukan sahaja dinamik dan maju dalam ekonomi tetapi juga perihatin terhadap nasib mereka yang malang dan kurang bernasib baik, terutama mereka yang telah mengorbankan jiwa raga untuk tanah air, bangsa dan negara. Untuk itu saya mengucapkan syabas kepada Kementerian Pendidikan dan berharap usaha murni ini diteruskan.



8. Selain usaha murni di peringkat pendidikan di sekolah-sekolah saya juga tidak lupa akan peranan aktif yang dimainkan oleh pihak media massa, secara langsung atau tidak langsung, dalam menyebar dan meluaskan lagi kempen Rayuan Hari Pahlawan ini di kalangan masyarakat umum. Saya yakin ia juga turut memantapkan lagi usaha memupuk kesedaran dan komitmen orang ramai terhadap kempen dan tabung Rayuan Hari Pahlawan. Untuk itu, ribuan terima kasih saya tujukan kepada semua pihak media massa yang terlibat dan berharap tuan-tuan dan puan-puan tidak jemu membantu kami dalam menjayakan usaha yang murni ini.



9. Saya difahamkan bahawa pada tahun 2001, PBTM telah membelanjakan lebih kurang Ringgit Malaysia: Satu Perpuluhan Lima Tiga Dua Juta (RM1.532) daripada Tabung Rayuan ini untuk membantu bekas tentera yang kurang upaya, balu-balu dan anak-anak yatim meliputi bantuan sarahidup, pendidikan dan lain-lain kebajikan am. Antaranya adalah seperti berikut:



(i) Bantuan Balu - RM325,000.00


(ii) Bantuan Tiada Daya Upaya - RM286,000.00


(iii)Bantuan Anak Yatim - RM31,000.00


(iv) Bantuan Pendidikan - RM204,000.00


(v) Bantuan Kebajikan yang lain - RM631,000.00





10. Dengan jumlah kewangan yang telah dibelanjakan itu dapatlah kita simpulkan bahawa sebagai sebuah NGO, PBTM sentiasa mengharapkan bantuan dan sokongan orang ramai bagi membolehkannya terus-menerus membantu bekas- bekas tentera serta keluarga mereka yang memerlukan. Semoga dengan sokongan dan sumbangan yang berterusan daripada semua pihak, usaha murni PBTM ini akan berterusan demi kesejahteraan bekas tentera dan keluarga mereka. Insya Allah.



11. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.B. Dato' Mohd Shafie Apdal, Timbalan Menteri Pertahanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Kempen Rayuan Hari Pahlawan, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman bin Abdul Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan, Pengerusi- pengerusi Jawatankuasa di negeri-negeri, Ahli-ahli jawatankuasa serta semua pegawai dan kakitangan yang menganggotai Urus Setia Kempen Rayuan Hari Pahlawan di atas segala usaha dan pengorbanan bagi menjayakan kempen ini.



Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 


Kami menerima 4,460,922 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri