Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO SERI DR. SITI HASMAH BT HJ MOHD ALI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PROMOSI KRAF NUSANTARA
Lokasi : KOMPLEKS KRAF KUALA LUMPUR
Tarikh : 24-06-2003
 
Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu WaTa'ala kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat bersama- sama pagi ini untuk upacara Perasmian Promosi Kraf Nusantara. Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan atas jemputan untuk melancarkan majlis pada pagi ini yang julung kali diadakan.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada Kraftangan Malaysia atas inisiatif mengadakan Promosi Kraf Nusantara bagi mengwujudkan kerjasama di antara usahawan-usahawan kraf Indonesia dan Malaysia. Saya percaya, ini merupakan langkah yang baik di mana usahawan kraf tempatan dan Indonesia dapat mempelajari daripada satu sama lain tentang produk-produk kraf yang dihasilkan di kedua-dua negara. Justeru itu, suntikan ilmu dari segi kepelbagaian produk, motif serta penggunaannya dapat diperolehi.

3. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kedatangan usahawan-usahawan kerajinan tangan yang diketuai oleh Saudara Rudy Lengkong, Ketua Umum Asosiasi Eksportir dan Produsen Handicraft Indonesia (ASEPHI). Saya percaya kehadiran saudara-saudari ke Malaysia membawa seribu harapan bukan sahaja untuk meraih keuntungan tetapi juga untuk menjalin kerjasama dengan para pengusaha, peniaga dan pembeli kraf Malaysia.

4. Saya difahamkan bahawa seramai 40 orang usahawan kerajinan tangan dari Indonesia dan 100 orang usahawan dari Malaysia mengambil bahagian dalam promosi ini. Saya berharap saudara-saudari akan mengambil peluang ini untuk mengadakan sinergi bagi perkembangan perusahaan kraf di negara masing-masing.

5. Perusahaan kraf di Malaysia ini walaupun sudah lama bertapak tetapi masih muda jika dibandingkan dengan Indonesia. Di Indonesia, perusahaan ini amat kukuh sekali. Di Malaysia walaupun usaha-usaha telah dijalankan, masih banyak lagi yang perlu diperkemaskan. Malaysia perlu belajar dari Indonesia bagaimana menjadikan sektor kraf sebagai satu sektor yang boleh menjadi salah satu penyumbang yang penting dalam ekonomi negara. Mungkin Indonesia boleh membantu kita dari segi pengeluaran, pemasaran, kepakaran serta teknik dan teknologi.

6. Sebagaimana yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa berucap di Perasmian Hari Kraf Kebangsaan pada bulan Februari tahun ini, bahawa perusahaan ini perlu dijalankan secara sistematik, berbentuk ala kilang. Dengan cara ini, dapat dihasilkan produk secara massa dan berkualiti. Langkah ini amat penting untuk membolehkan industri tempatan setanding dengan industri kraf dari negara Indonesia, India, Thailand, China dan sebagainya. Bagi negara-negara tersebut populasi yang terlibat dalam penghasilan kraf adalah besar serta berupaya memenuhi permintaan pasaran. Keadaan di Malaysia amat berbeza kerana populasinya amat kecil berbanding dengan negara-negara tersebut dan hanya segelintir yang berkecimpung dalam industri kraf. Bagi menangani kekurangan bekalan, beberapa proses dalam penghasilan produk kraf perlu dimekanisasikan dengan penggunaan mesin yang bersesuaian. Saya percaya kita boleh `create demand' tetapi perkara pokok ialah pembekalan.

7. Bagi mengimbangkan penawaran atau pembekalan dengan permintaan, selain daripada usahawan kraf yang sedia ada, beberapa pihak boleh dilibatkan seperti Ibu Tunggal, Peneroka-peneroka FELDA dan FELCRA serta lain-lain dalam pengeluaran kraf. Cara ini juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka. Kraftangan Malaysia sebagai peneraju industri ini perlulah mengambil langkah proaktif bagi melibatkan mereka di dalam projek-projek yang diadakan.

8. Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian ialah pewujudan jenama produk. Ini dapat memudahkan produk kraf tempatan diingati dan dikenali. Setelah jenama produk kraf mendapat tempat di hati para pelanggan, pengeluaran secara `contract manufacturing' boleh diaplikasikan.

9. Produk-produk kraf tempatan juga boleh dihasilkan di negara-negara seperti Indonesia, India, China dan sebagainya dengan mengekalkan identiti Malaysia. Ini dapat menambahkan lagi kuantiti produk dalam pasaran, sepertimana yang diamalkan oleh pengeluar-pengeluar ternama di dunia, antaranya Gucci, Yves Saint Laurent, Salvatore Ferragamo, Levi's, Lee yang dihasilkan di kilang-kilang di Republik Rakyat China, Indonesia dan lain-lain. Meskipun ia dihasilkan bukan di negara asal pengeluar jenama tetap dikekalkan.

10. Sepertimana di negara lain seperti Indonesia, kita boleh lihat lambakan produk kraf di merata-rata tempat.

Senario ini amat diidamkan oleh rakyat Malaysia. Dengan cara ini dapat memberi berbagai alternatif kepada pembeli untuk memilih produk-produk kraf. Lokasi-lokasi yang strategik perlu dikenal pasti supaya produk kraf dapat dilihat dan mudah dibeli. Contohnya, Labu Sayong yang dihasilkan di negeri Perak dan mempunyai identiti Malaysia boleh diperolehi di merata-rata tempat di Malaysia.

11. Di samping itu juga, Kraftangan Malaysia melalui anak syarikatnya iaitu Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd, perlu memainkan peranan yang lebih agresif untuk memasarkan produk kraf tempatan. Saya pernah menjadi penaung syarikat tersebut pada awal tahun 80an. Saya ingin melihat supaya di samping menjalankan tanggungjawab sosialnya, iaitu membantu memasarkan produk-produk pengusaha kraf kecil, ia juga perlu menjalankan urusan perniagaan secara komersil.

12. Sebagai syarikat pemasaran produk kraf yang berwibawa di Malaysia, Karyaneka boleh menjalankan perniagaan secara francais. Setelah perniagaan francaisnya mantap dalam negara ia boleh mengembangkan sayapnya ke luar negara dengan lebih yakin seperti Royal Selangor yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

13. Justeru itu, Kraftangan Malaysia sebagai agensi peneraju dalam mempromosi dan memasarkan produk kraf perlu memperkukuhkan anak syarikatnya, Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd untuk dijadikan satu syarikat yang unggul memasarkan produk kraf tempatan yang tulen.

14. Buat masa ini terdapat beberapa agensi Kerajaan yang turut menjalankan aktiviti kraftangan serta menubuhkan anak syarikat bagi memasarkan kraf di bawah naungannya. Cara ini memang baik bagi pertumbuhan industri kraf tetapi ia lebih baik serta lebih tersusun sekiranya ia dilantik sebagai francaisi kepada Karyaneka.

15. Bagi membolehkan produk kraf tempatan bersaing dengan negara lain, aspek yang paling penting diberi perhatian ialah mutu, standard dan kelainan. Saya ingin menyarankan supaya diadakan standard bagi setiap produk kraf agar ia dapat memberi keyakinan kepada pengguna mengenai mutu produk kraf tempatan dengan mengadakan tanda mutu `hallmarking'.

Pelancaran bagi tanda mutu kraf perlu diadakan untuk menyedarkan masyarakat tentang perkara ini.

16. Usahawan kraf perlu juga memberi perhatian kepada aspek rekaan (design) kerana ia merupakan salah satu kriteria yang mendorong seseorang membeli produk tersebut. Pada lazimnya, adalah sukar untuk mempatenkan rekaan produk kraf oleh kerana ia berubah terlalu cepat. Masalah ini dialami oleh negara lain juga contohnya Indonesia. Dengan itu, usahawan disarankan untuk berusaha lebih gigih serta inovatif menghasilkan rekaan-rekaan baru supaya dapat bersaing dalam pasaran domestik dan global. Produk lama boleh juga diberi nafas baru dengan menghasilkan replika dalam saiz yang kecil serta mudah dibawa pulang. Usahawan kraf juga digalakkan mengenal pasti segmen pasaran supaya produk-produk yang dihasilkan menepati kehendak pasaran.

17. Saya menyeru kepada para usahawan kraf tempatan untuk melihat semula struktur harga produk kraf kerana ia merupakan salah satu elemen yang sering menjadi faktor utama pembelian. Penentuan harga boleh dibuat mengikut kategori produk. Bagi produk yang mempunyai permintaan anjal, penetapan harga boleh disesuaikan dengan kuasa pembeli.

Manakala bagi produk yang mempunyai permintaan tidak anjal, harga premium boleh dikenakan.

18. Kraftangan Malaysia telah pun wujud selama 30 tahun. Banyak usaha yang telah dibuat untuk membangunkan industri kraf. Namun Kraftangan Malaysia tidak boleh berpuas hati, tetapi perlu meningkatkan lagi usaha-usaha bagi memperkukuhkan usaha ini ke tahap yang lebih tinggi.

19. Bagi mengekalkan warisan bangsa, Kraftangan Malaysia perlu juga meneruskan usaha-usahanya bagi memelihara dan memulihara produk kraf sebagai jatidiri negara.

20. Dengan keadaan dunia sekarang, usaha-usaha untuk meningkatkan pasaran domestik perlu diberi penekanan. Mengikut kajian yang dijalankan pada tahun 2000/2001, saiz pasaran domestik adalah lebih besar daripada saiz pasaran eksport. Pada tahun 2001, saiz pasaran domestik ialah RM319.9 juta jika dibandingkan dengan eksport sebanyak RM228.7 juta. Usaha-usaha untuk mempromosikan produk kraf di peringkat domestik perlu dipergiatkan lagi bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat umum untuk membeli kraf tempatan. Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada pasaran pelancong asing kerana kedatangan mereka ke sini bergantung kepada pergolakan semasa dunia.

21. Saya juga menyeru pihak-pihak hotel, resort, korporat dan agensi Kerajaan supaya menggunakan produk kraf tempatan sebagai hadiah dan cenderamata serta hiasan dalaman. Ini adalah satu langkah menyokong hasrat Kerajaan untuk menggunakan produk buatan tempatan.

22. Kita perlu bertanya, mengapa negara seperti Indonesia berjaya memartabatkan perusahaan kraf. Ini disebabkan rakyat Indonesia sendiri memberi sokongan yang padu kepada produk-produk yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha kerajinan tangan mereka. Kita perlu mencontohi sikap mereka untuk membolehkan industri kraf di negara ini berjaya. Kita juga perlu berbangga dengan produk-produk kraf yang dihasilkan oleh pengusaha kraf tempatan.

23. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan serta Kraftangan Malaysia kerana mengundang saya untuk melancarkan majlis ini serta memberi peluang untuk saya melihat sendiri keindahan produk-produk kraf yang dikeluarkan oleh usahawan kraf tempatan dan Indonesia. Saya menyeru kepada hadirin untuk mempromosikan produk kraf tempatan sebagai pilihan utama untuk dijadikan cenderamata dan hiasan dalaman. Dengan cara ini kita dapat menyuntik semangat kepada usahawan-usahawan kraf tempatan untuk terus berusaha bagi menghasilkan produk-produk yang lebih banyak dan berkualiti.

24. Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Promosi Kraf Nusantara.

*****

Kami menerima 6,616,811 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri