English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI MOHD SIDEK BIN HAJI HASSAN
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KONVENSYEN KMK KEBANGSAAN KE-23 DAN ANUGERAH INOVASI PERKHIDMATAN AWAM 2006
Lokasi : WISMA DARUL IMAN, KUALA TERENGGANU
Tarikh : 11-09-2006
 

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurnia dan rahmat Nya saya dapat bersama-sama dengan para hadirin sekalian dalam majlis pada malam ini, iaitu Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen KMK Kebangsaan Ke-23 dan Anugerah Inovasi Ke-15 Perkhidmatan Awam.



2. Untuk makluman saudara-saudari sekalian, ini adalah merupakan majlis rasmi pertama saya semenjak dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 3 September yang lalu. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian menjemput saya bagi merasmikan majlis pada malam ini, dan seterusnya menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang.



3. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi menganjurkan majlis anugerah ini pada tahun ini. Kerjasama erat yang terjalin di antara pihak Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program seperti ini, dan program-program lain yang seumpamanya, perlu terus dipertingkatkan bagi membolehkan segala cabaran dapat ditangani secara bersama dan lebih berkesan.



Para hadirin yang dihormati sekalian,



4. Pembudayaan bekerja melalui KMK dan Inovasi merupakan kaedah terbaik dalam membantu usaha kerajaan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam negara. Pelaksanaannya adalah seiring dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing. Negara amat memerlukan sumber manusia atau modal insan yang inovatif dan mempunyai daya kreativiti yang tinggi bagi memastikan perkhidmatan awam dapat terus berfungsi dengan cekap dan berkesan, serta berupaya menangani persekitaran yang sentiasa berubah. Sejajar dengan keperluan ini, penjawat awam perlulah melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan dan kemahiran terkini dalam pelbagai bidang.



5. Sebagai penjawat awam, kita semestinya perlu sentiasa memikirkan dan melakukan pembaharuan, terutamanya dalam cara bekerja dan sistem bekerja yang sedia ada di dalam organisasi masing-masing. Dalam proses menghasilkan output kerja yang bermutu, ia memerlukan kawalan input yang terancang serta komitmen pengurusan atasan untuk terus menjana dan menggerakkan arus perubahan ke arah budaya kerja yang berteraskan kualiti.



6. Di samping itu, kaedah KMK dapat membantu ke arah pembudayaan ilmu, pembentukan sikap serta budaya kerja cemerlang di kalangan penjawat awam. Jika dilaksanakan dengan kaedah yang betul, saya percaya projek-projek yang dihasilkan melalui KMK boleh menyelesaikan pelbagai masalah serta meningkatkan kecekapan dalam organisasi.





Para hadirin yang dihormati sekalian,



7. Kerajaan mahukan perkhidmatan awam di negara ini mencapai world class standard yang memiliki mentaliti kelas pertama, sebagaimana yang terkandung dalam Misi Nasional RMK-9. Kerajaan amat memerlukan penjawat awam yang memiliki daya inovasi yang tinggi yang mampu menghasilkan produk-produk baru ataupun sekurang-kurangnya menambah baik produk-produk sedia ada. Keupayaan sebegini akan memudahkan usaha kerajaan untuk merealisasikan program dan wawasan pembangunan negara khususnya Wawasan 2020. Ini adalah bagi membolehkan negara terus bersaing dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang lebih maju di dunia ini.



8. Perubahan arus teknologi yang begitu pantas dan kesan globalisasi telah mempengaruhi cara dan gaya hidup kita masa kini. Masyarakat sentiasa mahukan perkhidmatan yang cepat, tepat dan berkualiti. Oleh itu, sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang cekap dan telus perlu diberikan perhatian yang serius bagi memastikan ia sentiasa memenuhi ekspektasi pelanggan.



9. Saya harap idea-idea kreatif dan inovatif yang telah dipertontonkan di dalam konvensyen KMK dan pameran inovasi pada kali ini adalah merupakan idea-idea yang sebenarnya telah terbukti dapat menyelesaikan masalah di peringkat organisasi, serta telah meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.





10. Idea-idea kreatif dan inovatif yang dihasilkan melalui projek KMK dan Inovasi perlulah berterusan, dan bukan untuk tujuan pertandingan semata-mata. Penambahbaikan ke atas sistem dan prosedur kerja yang telah lapuk atau tidak bersesuaian lagi misalnya, diperlukan bagi memastikan proses kerja yang lebih cekap serta berupaya meningkatkan produktiviti organisasi. Kita tidak mahu kepada produk-produk yang substandard, “budaya yang lebih kurang” atau “budaya tidak apa”. Sebaliknya kita mahukan satu budaya yang mementingkan barangan atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan tidak bertolak ansur terhadap hasil kerja yang berkualiti rendah. Inilah sebenarnya sikap yang telah menjadi pegangan hidup masyarakat di negara-negara yang telah maju seperti di Jerman, Jepun dan Korea. Ini telah dibuktikan melalui hasil keluaran mereka yang sentiasa dianggap bermutu dan berkualiti.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,



11. Pada pandangan saya, perubahan yang perlu dilakukan tidak semestinya drastic atau dilakukan secara besar-besaran. Apa yang lebih penting ialah, perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan hendaklah sentiasa berterusan walaupun dalam bentuk atau sukatan (dose) yang kecil. Penambahan nilai (atau value add) perlu ada bagi setiap perubahan atau penambahbaikan yang berlaku. Jika proses ini berlaku secara berterusan dalam pelbagai aspek perkhidmatan awam, saya pasti keadaan ini akhirnya berjaya memberi kesan yang ketara kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat secara keseluruhannya.



12. Matlamat pertumbuhan KDNK sebenar dalam Rancangan Malaysia Kesembilan adalah pada kadar purata 6.0 peratus setahun. Inisiatif perlu dipergiatkan lagi untuk menerokai pasaran, mempromosi eksport, menarik pelaburan serta meningkatkan kemasukan pelancong ke dalam negara. Bagi membantu Kerajaan mencapai matlamat ini, kita perlu meningkatkan kualiti setiap perkhidmatan dan produk yang dikeluarkan, selain mempunyai sikap yang tidak mudah mengalah dalam arena persaingan.



13. Jentera pentadbiran Kerajaan perlu diperkemas dan diperkukuhkan. Persekitaran yang kondusif perlu diwujudkan bagi membolehkan pihak swasta menerajui pembangunan ekonomi negara. Ini pastinya memerlukan kerjasama yang erat antara kedua-dua sektor awam dan swasta. Segala perkhidmatan yang melibatkan prosedur yang complicated dan banyak red-tape (atau bureacratic) perlulah dielakkan sama sekali. Perkhidmatan perlu diberikan dengan cepat, cekap, berkesan serta tepat pada masanya.



Y. Bhg. Tan Sri, Dato’- Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,



14. Saya percaya konvensyen yang telah diadakan ini pada kali ini telah dapat menghasilkan karya-karya baru yang berkualiti, serta dapat menyumbang kepada pencapaian matlamat dasar-dasar pembangunan yang telah dirancang oleh Kerajaan.



15. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada kumpulan-kumpulan yang telah berjaya memenangi Anugerah KMK, serta penerima-penerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam dan Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta Tahun 2006. Kerjasama yang telah terjalin di antara sektor awam dan sektor swasta melalui penganjuran anugerah inovasi ini diharap akan dapat diteruskan di masa-masa hadapan.



16. Kepada yang kurang berjaya saya berharap mereka tidak berasa kecewa atau berputus asa. Apa yang lebih penting ialah, tuan-tuan dan puan-puan telah menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan telah memberi impak kepada peningkatan perkhidmatan dan produktiviti di agensi masing-masing. Sekali lagi, syabas dan tahniah saya ucapkan.



17. Akhir kata, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menganjurkan dan menjayakan Konvensyen KMK dan Anugerah Inovasi pada kali ini.



Sekian


Kami menerima 4,467,159 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri