Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan iradat dan inayah-Nya jua, kita dapat berkumpul bersama-sama dalam satu majlis yang sungguh gemilang pada pagi ini.
2. Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Y. Bhg Tan Sri Dr. Mazlan Ahmad, di atas pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah Fellow INTAN bagi tahun 2006. Anugerah Fellow INTAN yang bakal disampaikan kepada beliau adalah merupakan penghargaan atas segala sumbangan, bakti, komitmen, dorongan dan pengorbanan yang telah beliau curahkan kepada perkhidmatan awam dan negara.
3. Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan kerana telah menamatkan dengan jayanya kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA), Diploma Sains Pengurusan (DSP) dan Diploma Pengurusan Maklumat (DPM). Saya berharap agar segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang telah diperoleh sepanjang kursus akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pembangunan Negara dan Peranan Anggota Perkhidmatan Awam
4. Setelah 49 tahun merdeka, Malaysia telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah negara yang membangun yang berupaya mencipta kemajuan begitu pesat. Dari sebuah negara yang pada awalnya bergantung kepada pertanian tradisional, kini Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dengan ekonomi yang pelbagai. Dengan sistem ekonomi yang adil dan seimbang, kualiti dan kesejahteraan kehidupan rakyat telah dapat dipertingkatkan secara berterusan.
5. Dalam hal ini, peraturan dan dasar berkaitan dengan ekonomi dan sosial telah digubal untuk mempertingkatkan daya saing negara di peringkat global, dan untuk mengekalkan kesinambungan pencapaian kecemerlangan negara. Justeru itu, negara pastinya memerlukan anggota-anggotanya yang mampu memainkan peranan sebagai pemimpin, pelaksana, perunding, pacesetter, regulator dan strategic integrator.
6. Peranan-peranan tersebutlah yang menjadi tanggungjawab dan amanah untuk dilaksanakan oleh perkhidmatan awam. Dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang digubal perlu diperjelas, diterjemahkan dan dilaksanakan agar boleh mencapai matlamat yang dikehendaki oleh kerajaan. Polisi dan peraturan perlu dikaji semula secara berterusan untuk memastikan ia terus relevan. Dalam agenda pembangunan negara masa kini, Misi Nasional yang menggariskan lima teras utama perlu dijayakan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh demi mencapai matlamat dan cita-cita negara.
7. Pada masa yang sama juga, penjawat awam perlu peka dan sensitif untuk memastikan segala hasrat murni kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dapat dirasai kepentingannya oleh semua lapisan masyarakat. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menjadi tonggak dalam usaha untuk menterjemahkan dan melaksanakan agenda ini. Manakala sebagai pakar perunding kepada kerajaan, kita perlu memberikan nasihat terbaik kepada kerajaan dalam menjayakan misi ini.
8. Anggota perkhidmatan awam mempunyai peranan penting untuk menjayakan pembangunan dan menjadikan negara terus cemerlang, gemilang dan akhirnya terbilang. Kita sewajarnya berbangga dengan pencapaian kita dan merasai kepuasannya apabila setiap titik peluh dari usaha yang dicurahkan dapat dinikmati hasilnya oleh semua pihak. Ini bermakna sumbangan anggota perkhidmatan awam sewajarnya perlu dinikmati dan tidak sekadar dilihat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Cabaran Perkhidmatan Awam
9. Walau bagaimanapun keadaan dan persekitaran negara telah berubah dengan begitu ketara sekali, ekonomi negara yang terbuka menyebabkan kita perlu bersaing dalam pasaran global yang amat pantas dan kompetitif. Teknologi maklumat dan komunikasi telah mempercepat dan memperluas urus niaga. Manakala kaedah pertumbuhan berintensifkan buruh dan modal telah bertukar kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti dan pengetahuan. Oleh itu perubahan sikap dan cara bekerja anggota perkhidmatan awam adalah perlu untuk menyaingi kepantasan perubahan yang dicetuskan oleh globalisasi, kemajuan teknologi maklumat dan persaingan sengit antara negara.
10. Oleh yang demikian, anggota perkhidmatan awam perlu menyahut cabaran ini agar tidak terpinggir dari arus perubahan yang sedang berlaku. Kita tidak boleh lagi menjadi pemerhati serta bersikap pasif atau tunggu dan lihat kepada perubahan yang pantas berlaku di sekeliling kita. Perkhidmatan awam perlu dibarisi dan dianggotai oleh pegawai dan kakitangan yang benar-benar berketerampilan, profesional dan berwibawa. Kualiti modal insan perkhidmatan awam inilah yang menjadi penentu kepada kejayaan masa depan negara.
11. Sehubungan dengan itu, saya mengambil peluang ini untuk berkongsi pengalaman bersama pegawai-pegawai muda dengan mengutarakan beberapa saranan yang perlu dihayati oleh semua.
i) Ketaatan
12. Selaku anggota perkhidmatan awam, kita harus memegang kuat prinsip taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan kerajaan yang memerintah. Sebagai penjawat awam, kita hendaklah sentiasa menjaga nama baik dan imej perkhidmatan dari segi kelakuan dan percakapan.
ii) Integriti
13. Sebagai penjawat awam, kita juga perlu menghayati dan mengamalkan Etika Perkhidmatan Awam dan nilai-nilai murni agama. Tiada gunanya kita pesat membangun dari segi kebendaan, tetapi muflis dari segi moral, etika, akhlak dan peribadi mulia. Elemen integriti sering dikaitkan dengan anggota perkhidmatan awam kerana jawatan yang kita pegang sememangnya tidak dapat dipisah dengan kuasa yang diamanahkan. Kuasa yang diberi adalah tanggung jawab untuk membolehkan kita melaksanakan pembangunan negara dan kebajikan rakyat. Dengan demikian kita memerlukan pegawai kerajaan yang berintegriti tinggi. Dalam perkhidmatan, kita tidak memerlukan apa yang dikatakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri sebagai “little Napoleon”. Perkhidmatan kita perlu mempermudah urusan semua pihak termasuk swasta dan rakyat kerana the role of the civil service is to facilitate and not to frustrate. Pegawai yang berintegriti akan membudayakan sikap adil, terbuka, berterus terang dan telus dalam membuat sesuatu keputusan. Oleh itu integriti akan dapat menghindarkan banyak gejala negatif dan menolak persepsi yang kurang baik dari pihak luar.
Hadirin yang dihormati sekalian,
iii) Budaya Kerja Cemerlang
14. Peningkatan mutu perkhidmatan awam bergantung kepada budaya kerja. Budaya kerja cemerlang akan menggalakkan pembangunan diri modal insan dalam memberikan sumbangan terbaik kepada organisasi dan negara. Dalam melakukan setiap kerja, kita perlu memaksimumkan sumbangan kita. Kita tidak boleh mencari alasan atau melengah-lengahkan sesuatu arahan sebaliknya perlu mempunyai “sense of urgency” untuk melaksanakan keputusan-keputusan yang telah dibuat. Namun untuk membuat keputusan yang bijaksana biasanya memerlukan kita mendapatkan pandangan pihak-pihak lain yang terlibat. Oleh itu, proses consultation atau musyawarah perlu diterapkan dalam setiap tindakan dan keputusan yang bakal kita ambil. Konsep musyawarah ini tidak semestinya hanya melibatkan pegawai-pegawai atasan atau yang sejawatan sahaja, malah perlu juga dilakukan dengan kakitangan bawahan dan juga dengan pihak-pihak lain yang berkepentingan. Meskipun diakui kita tidak berupaya untuk memuaskan hati semua orang tetapi kaedah ini membolehkan kita memperoleh penyelesaian yang dapat diterima oleh semua orang.
iv) Perkhidmatan Melangkaui Kebiasaan
15. Anggota perkhidmatan awam yang berwibawa akan dapat melaksanakan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan memuaskan hati banyak, kalau pun tidak semua pihak. Oleh itu sasaran perkhidmatan kita sekarang bukan sekadar up to the expectation tetapi seharusnya menuju perkhidmatan yang melangkaui kebiasaan atau service beyond the ordinary. Dengan itu, kita perlu menjadikan sikap bekerja melampaui kebiasaan ini sebagai satu kemestian sekiranya kita mahu mencapai taraf perkhidmatan awam yang bertaraf dunia.
Hadirin yang dihormati sekalian,
v) Peningkatan Kompetensi
16. Bagi memberikan perkhidmatan terbaik, kualiti kerja anggota perkhidmatan awam harus sentiasa dipertingkatkan. Oleh itu perkhidmatan kita memerlukan pegawai yang berkebolehan, cekap, berilmu dan berkepakaran dalam kerjayanya. Dalam proses ini, penjawat awam perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kompetensi iaitu multi tasking dan multi skilling. Memandangkan sumber manusia sektor awam pada masa kini adalah menuju kepada pembentukan pekerja berilmu (k-workers), maka tahap kompetensi akan menentukan peluang peningkatan kerjaya seseorang penjawat awam. Sehubungan dengan ini, seharusnya dimaklumi bahawa sistem kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam hari ini juga telah berubah, iaitu tidak bergantung semata-mata kepada kekananan atau senioriti. Kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam adalah berasaskan prinsip merit sebagaimana termaktub dalam Peraturan 37, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan dan Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005. Dalam hal ini merit seseorang pegawai dinilai melalui prestasi masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Oleh yang demikian, saudara dan saudari hendaklah sentiasa sedar mengenai prinsip ini dan seterusnya berusaha memberi perkhidmatan yang paling bermakna menggunakan kemampuan yang dimiliki. Pendek kata, sewajarnya prinsip merit yang dinyatakan ini menjadi pendorong saudara dan saudari untuk sentiasa berusaha memberi perkhidmatan yang hasil atau impaknya dihargai dan disanjung tinggi. Sebagai penjawat awam janganlah kita membuka ruang untuk kewibawaan kita dipertikai oleh mana-mana pihak hanya kerana kita tidak memiliki kompetensi yang perlu dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Harapan
17. Tugas memegang amanah rakyat dan negara memerlukan kita sentiasa bermuhasabah atau menilai diri kita sendiri. Kita perlu bertanya diri sendiri, sama ada kita telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna atau tidak. Sekiranya kita mendapati berlakunya performance atau competency gaps, kita perlu mencari langkah-langkah tertentu untuk memperbaiki diri dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Sikap positif ini akan membolehkan kita mengikis kelemahan dan mengasah kekuatan.
18. Kejayaan negara kita pada hari ini juga berkat perancangan pembangunan modal insan yang teratur oleh pemimpin yang terdahulu, dan kesungguhan mereka untuk memastikan kesinambungan kecemerlangan itu dapat diteruskan. Oleh yang demikian, saya mengharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini akan terus berusaha untuk memantapkan kelebihan dan keupayaan masing-masing demi meneruskan kegemilangan perkhidmatan awam.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
Penutup
19. Dalam majlis pada hari ini, kita juga merasa amat berbangga kerana dapat memberi penghormatan kepada seorang tokoh perkhidmatan awam yang terkenal dan dihormati. Tokoh Fellow INTAN pada tahun ini, Y. Bhg. Tan Sri Dr. Mazlan Ahmad, selama bertugas lebih 38 tahun dalam perkhidmatan awam, sememangnya telah banyak memberi sumbangan dan bakti kepada negara. Kepimpinan dan perkhidmatan beliau sebenarnya telah memartabatkan perkhidmatan awam ke satu tahap yang membanggakan. Sekali lagi, saya bagi pihak seluruh anggota perkhidmatan awam merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Y. Bhg. Tan Sri Dr. Mazlan Ahmad kerana sudi menerima Anugerah Fellow INTAN bagi tahun 2006. Semoga Allah SWT memberikan Y. Bhg. Tan Sri dan keluarga dengan kesihatan, kesejahteraan dan kebijaksanaan yang berterusan.
20. Saya juga percaya majlis penganugerahan pada hari ini merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh para graduan semua dan merupakan satu detik bersejarah yang tidak mungkin dilupakan oleh anda sekalian. Setelah bertungkus-lumus menimba pelbagai pengetahuan dan kemahiran di sepanjang kursus, penganugerahan ini menandakan bahawa kesungguhan, kesabaran dan ketabahan saudara-saudari sekalian adalah tidak sia-sia.
21. Akhir kata, saya berharap dan percaya saudara-saudari akan dapat berkhidmat kepada negara dengan penuh profesionalisme, adil dan prihatin, di samping menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan, dedikasi dan berkeyakinan demi mencapai kecemerlangan dan kegemilangan. Semoga kejayaan yang diterima pada hari ini akan menyuntik semangat saudara-saudari untuk bekerja dengan tekun, beramanah dan bertanggungjawab demi kemajuan perkhidmatan, bangsa dan negara.
Sekian.