|
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmat dan hidayatNya, kita dapat bersama-sama di dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena dengan Ekspo K3P Peringkat Negeri Perak pada petang ini.
2. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak kerana sudi menjemput saya untuk hadir di majlis ini.
3. Ini secara langsung memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan anggota masyarakat di negeri Perak dan khususnya di Bota Kanan.
4. Saya yakin usaha mengadakan majlis ini akan dapat meningkatkan kesedaran rakyat tentang dasar dan program kerajaan termasuklah tanggungjawab memelihara, mengukuh dan mengekalkan perpaduan nasional.
5. Perpaduan rakyat merupakan asas kepada kekuatan negara. Dengan adanya perpaduan, kita mampu mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni, kestabilan politik, kekuatan ekonomi dan keseimbangan sosial dalam masyarakat dan negara.
6. Ketenteraman dan keselesaan yang kita nikmati sekarang adalah hasil daripada kestabilan politik dan sosial kerana rakyat di negara ini tidak bersikap pelampau dan pasukan keselamatan dan keamanan pula menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab.
7. Adalah bukan mudah bagi sebuah negara berbilang kaum hidup dengan rukun damai serta saling hormat-menghormati. Namun, kita telah membuktikan kemampuan kita.
8. Sekarang dunia akui bahawa Malaysia lebih mampu dan telah berjaya mencapai perhubungan baik di antara kaum dari negara-negara berbilang kaum lain. Salah satu sebab kejayaan kita ialah rakyat Malaysia mengharghai keamanan dan kestabilan sebagai nikmat yang mesti dipelihara. Dengan itu kita membendung perasaan perkauman dan kita pupuk sikap toleransi terhadap cara hidup masing-masing.
9. Hampir seluruh negara tidak ada percubaan untuk memaksa budaya sesuatu kaum ke atas kaum yang lain. Perlembagaan negara juga menjamin agama dan budaya lain boleh diamalkan tanpa gangguan.
10. Keadaan yang aman selama ini telah membolehkan kerajaan merancang pembangunan negara dan membawa kemajuan dan kemakmuran untuk rakyat jelata. Hari ini kita membuktikan perpaduan adalah kunci keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.
11. Di negara kita ini, perpaduan antara rakyat telah melahirkan suatu kekuatan luar biasa yang telah menjadikan negara kita pesat membangun sejak mencapai kemerdekaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita yang cintakan keamanan dan kemajuan memastikan perpaduan sesama kita bukan sahaja dikekalkan, malah dipupuk dan dipereratkan lagi agar negara akan terus maju dan mampu bersaing dengan negara-negara lain dalam dunia yang kian mencabar.
12. Semangat persaudaraan dan rasa setiakawan yang terjalin menjadikan nilai toleransi yang cukup berharga bagi menentukan masa depan generasi baru malaysia terus menikmati suasana kehidupan yang harmoni. Rakyat Malaysia perlu saling memahami kedudukan mereka di sisi undang-undang dan perlembagaan. Kita tidak perlu bersengketa antara satu sama lain tentang hal-hal yang sudah jelas.
13. Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan sempena Ekspo K3P peringkat negeri Perak ini juga memberi peluang kepada kita untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi akan peranan, aktiviti dan sumbangan kumpulan pendengar, penonton dan pembaca (K3P) kepada masyarakat.
14. Sebagai institusi sosial, K3P berperanan mewujudkan persekitaran maklumat yang tepat. Ini penting untuk mengelakkan timbulnya perselisihan atau salah faham di kalangan masyarakat apabila pihak yang berkepentingan cuba memutar belitkan kenyataan untuk memenuhi agenda mereka yang tersendiri.
15. Oleh itu, kita harus berhati-hati apabila menerima sesuatu perkhabaran sama ada ianya benar, berbentuk fitnah ataupun ada sesuatu yang tersirat.
16. Menjadikan amalan menganalisis sesuatu maklumat yang diterima adalah satu kemestian bagi mengelakkan kita menjadi mangsa kepada berita yang tidak berasaskan kebenaran.
17. Di samping dapat menangkis sebarang usaha yang dilakukan oleh anasir jahat bagi menimbulkan pertelingkahan dan perpecahan dalam masyarakat. Sikap mudah percaya terhadap segala berita yang disampaikan tanpa berusaha mendapatkan kesahihannya melalui saluran media kerajaan sangatlah dikesali. Apatah lagi berpunca dari berita itu boleh menganggu ketenteraman awam serta mencetuskan huru hara.
18. Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia yang setia, kita seharusnya sedar akan akibat ini dan kita patut bersatu padu menentangnya demi kepentingan negara. Kita perlu sedar, pembangunan dan kemajuan yang kita capai sekarang akan hilang pada bila-bila masa jika pembohongan dan fitnah yang sengaja dicipta mudah pula dipercayai oleh masyarakat. Oleh sebab itu, kita hendaklah mendapatkan dari sumber maklumat rasmi kerajaan bagi memastikan ketepatan sesuatu berita itu.
19. Seterusnya, saya ingin menyarankan kepada ahli-ahli K3P supaya mengambil tahu tentang perkembangan semasa dalam negara sendiri dan antarabangsa selain menyakinkan penduduk bahawa segala pembangunan yang dirancang oleh kerajaan adalah untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira kaum.
20. K3P juga hendaklah mengadakan kegiatan secara berterusan untuk mencetuskan semangat kepada penduduk agar sentiasa bersedia mengharungi cabaran kehidupan.
21. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Y.A.B. Dato' Seri Diraja Mohamad Tajol Rosli Ghazali dan Kementerian Penerangan kerana menjemput saya untuk merasmikan majlis ini.
22. Dengan lafaz bismillahhirahmannirrahhim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Ekspo K3P peringkat negeri Perak Darul Ridzuan.
Terima kasih.
|
|