Bismillahirahmannirahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
dan salam sejahtera.
YB Tan Sri Dato' Seri Musa Mohamad Menteri Pendidikan Malaysia
YB Datuk Dr. Jamaluddin bin Jarjis Menteri Kewangan Kedua
YB Dato' Hon Choon Kim Timbalan Menteri Pendidikan
YB Dato' Mahadzir Mohd Khir Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Malaysia
YBhg. Dato' Ambrin Buang Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia
YBhg. Datuk Abdul Rafie Mahat Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Tuan-tuan dan Puan-puan
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin pada hari ini.
2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana sudi menjemput saya untuk melancarkan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.
3. Sesungguhnya usaha untuk menubuhkan kumpulan wang ini adalah suatu usaha murni yang membolehkan pihak swasta, individu dan Kerajaan bekerjasama ke arah meningkatkan keupayaan golongan miskin bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
4. Kemiskinan, sama ada kemiskinan mutlak atau relatif adalah fenomena yang wujud sejak dahulu hingga sekarang. Pada umumnya kadar kemiskinan menurun di negara-negara yang kadar pertumbuhan ekonominya adalah tinggi manakala kadar kemiskinan adalah meningkat di negara-negara yang pertumbuhan ekonominya tidak berubah atau menurun. Oleh yang demikian, isu mengurangkan kadar kemiskinan ada kaitannya dengan isu pertumbuhan ekonomi negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Cabaran Negara
5. Persoalan bagaimana meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara adalah berhubungkait dengan era globalisasi yang melanda dunia kini. Era globalisasi adalah ekoran daripada kepesatan perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi canggih terutama teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dalam era globalisasi, pelabur cenderung untuk memindah- mindahkan pelaburan ke negara yang lebih kompetitif, industri perkhidmatan semakin diperluaskan antara negara, dan perdagangan antarabangsa menjadi semakin liberal.
6. Peranan pelabur dan usahawan adalah penting untuk membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan aktiviti ekonomi. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu memastikan insentif yang ditawarkan kepada para pelabur dan usahawan adalah kompetitif. Jika negara mencapai pertumbuhan ekonomi negara yang tinggi, ini bererti taraf hidup rakyat turut meningkat. Sebaliknya, jika ekonomi negara merudum, orang kaya menjadi kurang kaya dan orang miskin menjadi lebih miskin. Justeru, dalam era globalisasi, negara perlu membuat persediaan untuk berdaya saing bagi mencapai pertumbuhan ekonomi. Antara persediaan utama adalah membangunkan sumber manusia yang berupaya turut serta dalam kegiatan ekonomi negara.
Cabaran Untuk KPM
7. Era globalisasi memberi implikasi kepada Kementerian Pendidikan untuk menyediakan sumber manusia yang berilmu pengetahuan, dinamik, progresif, kreatif, inovatif, bersikap positif, berakhlak mulia, celik ICT, dan sebagainya. Pada umumnya, kejayaan yang dicapai dalam pendidikan selama ini menunjukkan trend yang positif. Walau bagaimanapun, era globalisasi berkehendakkan negara membuat perubahan besar dalam sistem pendidikan supaya keluaran daripada sistem pendidikan negara lebih mampu untuk bersaing.
8. Kerajaan khuatir, jika kita mudah berpuas hati dengan kadar pencapaian kita selama ini, terdapat kemungkinan kita tidak akan mampu bersaing pada masa hadapan. Akibatnya, industri pembuatan dan perkhidmatan mendapati lebih beruntung beroperasi di negara lain yang menyebabkan rakyat negara ini hilang pekerjaan. Sebahagian rakyat pula akan cenderung mencari pekerjaan di negara lain. Untuk mengelakkan senario ini dari berlaku, negara perlu membuat perubahan strategik, terutama sekali dalam penyediaan tenaga manusia.
9. Sehubungan itu, Kerajaan telah membuat beberapa perubahan strategik dalam sistem pendidikan negara. Antaranya adalah melaksanakan pendidikan wajib, pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan enam rendah, dan perluasan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Strategi Penguasaan Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains
10. Penggunaan bahasa Inggeris dengan meluas di seluruh dunia menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris menjadi salah satu faktor penting untuk berinteraksi dan bersaing. Untuk menguasai bahasa Inggeris, ia perlu digunakan dalam pertuturan dan penulisan dengan kerap. Satu strategi untuk menggalakkan dan menambah peluang pelajar bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris adalah dengan menjadikan matapelajaran sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
11. Selain itu, pengetahuan sains dan matematik adalah asas penting dalam perkembangan teknologi. Pekerja yang menguasai sains dan matematik adalah antara input penting dalam membangunkan ekonomi negara berasaskan perindustrian. Sehubungan itu, penekanan perlu diberikan kepada penguasaan sains dan matematik dalam sistem pendidikan. Penguasaan bahasa Inggeris, terutama dalam pembelajaran sains dan matematik membuka peluang akses kepada berbagai maklumat terkini dalam kedua-dua bidang tersebut yang kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris.
12. Ada setengah pihak berpendapat bahawa penukaran bahasa pengajaran matematik dan sains ke bahasa Inggeris menyekat perkembangan bahasa Melayu. Kerajaan ingin menegaskan bahawa bahasa Melayu akan terus digunakan dalam pengajaran mata pelajaran lain di sekolah. Sebaliknya strategi ini lebih menjamin kepentingan negara pada masa hadapan dengan meningkatnya daya saing sumber manusia.
13. Secara tidak langsung, strategi pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris akan dapat membantu ke arah menjadikan penduduk negara ini lebih kompetitif dan menjana kemampuan pertumbuhan ekonomi negara.
Strategi Meningkatkan Kemahiran ICT
14. Perkembangan ICT yang pesat kebelakangan ini menjadi pemangkin kepada berbagai kemajuan dalam semua bidang. Untuk meningkatkan keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa, negara perlu menyediakan sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran ICT. Oleh yang demikian, langkah ke arah penguasaan ICT ini perlu dimulakan dari peringkat sekolah lagi. Ini bermakna semua pelajar perlu diberi peluang untuk memperoleh kemahiran menggunakan kemudahan ICT. Selain daripada itu, peranan ICT dalam pendidikan perlu diperluaskan sebagai kurikulum dan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran.
15. Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran berupaya mempercepat proses pendidikan berdasarkan kebolehan pelajar. Oleh yang demikian kerajaan telah membekalkan komputer notebook dan projektor LCD untuk digunakan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Penggunaan teknologi canggih dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini adalah secocok dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai bertaraf dunia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Keadilan Sosial/Status Kemiskinan
16. Kerajaan Malaysia berhasrat agar kemakmuran negara dinikmati bersama oleh semua lapisan masyarakat. Ini bererti, penduduk yang berpendapatan rendah perlu dapat turut serta mengecapi faedah daripada pertumbuhan ekonomi. Dalam hal ini, kemajuan Malaysia dalam membasmi kemiskinan boleh dilihat melalui indeks kadar kemiskinan desa yang menurun daripada 58.7 peratus pada tahun 1970 kepada 11.2 peratus pada tahun 2000. Pencapaian ini adalah membanggakan tetapi kita tidak boleh berpuas hati dengan kemajuan ini. Kerajaan berhasrat untuk terus membantu golongan miskin meningkatkan keupayaan mereka ke taraf hidup yang lebih tinggi menerusi program jangka pendik dan jangka panjang, termasuk di bidang pendidikan.
Matlamat Pembangunan Pendidikan
17. Antara matlamat pembangunan pendidikan adalah untuk meningkatkan akses, ekuiti, dan kualiti dalam pendidikan. Akses, ekuiti dan kualiti dalam pendidikan boleh ditingkatkan antara lain, dengan menambah infrastruktur, kemudahan, bahan dan personel dalam pendidikan serta memastikan kesaksamaan dalam pengagihan sumber. Isu ekuiti perlu juga ditangani dengan meningkatkan keadilan sosial.
18. Antara sebab utama pelajar-pelajar tercicir daripada persekolahan adalah disebabkan kemiskinan. Bagi menambah bilangan dan kualiti penyertaan golongan miskin, mereka perlu diberikan bantuan pada semua peringkat pendidikan. Bantuan khusus perlu diberikan kepada pelajar miskin di peringkat pendidikan yang lebih rendah kerana kejayaan pada peringkat yang lebih rendah lazimnya mencorakkan kejayaan pada peringkat yang lebih tinggi.
Pendidikan Wajib
19. Sehingga kini, 3 hingga 4 peratus kanak-kanak tercicir di peringkat persekolahan rendah. Sehubungan itu, mulai tahun 2003, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Pendidikan Wajib di peringkat persekolahan rendah. Ini bererti, setiap kanak-kanak yang telah mencapai umur 6 tahun pada 1 Januari tahun persekolahan semasa, diwajibkan bersekolah selama enam tahun untuk menamatkan persekolahan di peringkat rendah.
20. Dasar Pendidikan Wajib boleh juga dilihat sebagai salah satu dasar yang dapat membantu membasmi kemiskinan dalam jangka panjang. Dengan pelaksanaan Pendidikan Wajib, Kerajaan berharap seratus peratus kanak-kanak akan menyertai peringkat pendidikan rendah. Walau bagaimanapun, faktor kemiskinan adalah antara cabaran utama yang perlu diatasi untuk membolehkan Pendidikan Wajib dilaksanakan.
21. Faktor kemiskinan boleh menyebabkan pelajar lemah dalam pencapaian akademik dan seterusnya tercicir daripada sistem pendidikan. Tanpa pendidikan yang mencukupi, anak golongan miskin akan lebih berkemungkinan menjadi manusia dewasa yang miskin seperti ibubapa mereka. Dengan itu kemiskinan akan menjana kemiskinan, kecuali jika kita mengambil langkah intervensi. Oleh yang demikian, golongan miskin perlu dibantu untuk membolehkan mereka membiayai persekolahan anak. Dengan memperolehi pendidikan, anak golongan miskin akan lebih berupaya melepasi belenggu kemiskinan.
Kemampuan Negara Membiayai Pendidikan
22. Kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada pendidikan dalam belanjawan negara. Bagi tahun 2003, kerajaan memperuntukan sebanyak 27 peratus daripada keseluruhan belanjawan untuk pendidikan. Walaupun peruntukan ini adalah besar berbanding peruntukan untuk kementerian lain, ia perlu diagihkan untuk kepentingan komposisi penduduk peringkat umur persekolahan di negara ini iaitu antara yang tertinggi di dunia.
23. Pada tahun 1999, Malaysia mempunyai 32 peratus penduduknya dalam julat umur 5 hingga 19 tahun, lebih tinggi daripada negara maju seperti USA iaitu sebanyak 22 peratus. Oleh yang demikian bebanan untuk menyediakan pendidikan berbanding saiz penduduk berumur persekolahan, adalah lebih tinggi bagi Malaysia berbanding negara maju.
24. Oleh sebab kemampuan Kerajaan untuk berbelanja adalah terhad serta perlu diagihkan dengan saksama, penyertaan oleh pihak swasta dan individu dalam membantu golongan miskin adalah sangat diperlukan.
Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin
25. Penubuhan satu kumpulan wang amanah adalah penting untuk membantu mengurangkan kadar keciciran pelajar akibat kemiskinan, dan bagi merangsang kecemerlangan pelajar miskin. Penubuhan kumpulan wang amanah ini adalah salah satu langkah intervensi supaya pelajar-pelajar miskin tidak mengikuti jejak ibubapa mereka yang miskin. Sebaliknya pelajar-pelajar miskin diberi peluang untuk mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi yang dapat mengeluarkan mereka daripada kitar kemiskinan.
Sumbangan Pihak Swasta dan Individu
26. Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin adalah suatu usaha yang melibatkan penyertaan pihak swasta dan individu bagi memperluas dan menambah bantuan kepada golongan miskin. Penyertaan pihak swasta dan individu adalah sebagai sokongan kepada skim bantuan yang disediakan oleh Kerajaan. Oleh yang demikian, Kerajaan memohon pihak swasta dan individu untuk memberi sumbangan kepada tabung ini.
27. Wang daripada tabung ini akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan pelajar miskin meneruskan persekolahan dan membantu meningkatkan pencapaian dalam pendidikan. Kerajaan dengan kerjasama semua pihak akan sentiasa memastikan mekanisme pengurusan Kumpulan Wang Amanah ini mencapai matlamat penubuhannya.
28. Adalah diharapkan dengan berpeluang mendapat pendidikan, golongan miskin akan memperolehi pengetahuan dan kemahiran bagi meningkatkan daya saing dan mendapat pekerjaan yang mendatangkan pendapatan yang lebih lumayan.
29. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada para dermawan yang telah sudi menghulurkan sumbangan. Saya berharap lebih ramai lagi organisasi korporat serta individu akan menyokong, membantu dan menganjurkan kerja-kerja amal dan kebajikan untuk menolong golongan miskin.
30. Dengan lafaz Bismillahirrahmaanirrahiim, saya dengan sukacitanya melancarkan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.
Sekian, terima kasih.
|