Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM/PERASMIAN PERSATUAN KONTRAKTOR BUMIPUTRA SEBERANG PERAI
Lokasi : DEWAN MILENIUM, KEPALA BATAS, SPU
Tarikh : 06-01-2003
 











Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Kontraktor- kontraktor Bumiputera Seberang Perai kerana menjemput saya pada hari ini untuk merasmikan persatuan ini.



2. Majlis ini memberi peluang kepada saya untuk bersua muka dengan ahli-ahli persatuan dari seberang perai.



3. Kejayaan ekonomi dan kemakmuran negara yang sedang kita kecapi sekarang adalah hasil gabungan usaha gigih kerajaan, sektor swasta dan juga kontraktor-kontraktor. Kunci kepada kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama yang padu daripada semua pihak. Persefahaman dan kefahaman tentang matlamat yang hendak dituju dan peranan yang perlu dimainkan oleh setiap pihak amat penting di dalam menjayakan inspirasi kerajaan.



4. Sebagai sebuah organisasi, persatuan ini perlu peka kepada perubahan dan berupaya mengalih haluan dengan cepat selaras arus perubahan di sekitar kita. Di sinilah pentingnya setiap pemimpin organisasi perlu kritis terhadap hubungannya dengan persekitaran dan sentiasa menyoal tentang relevannya usaha untuk kebaikan ahli. Organisasi yang berjaya sentiasa mengambil berat kehendak dan keperluan ahli-ahlinya.



5. Di dalam dunia perniagaan, pengurusan organisasi mestilah mengenalpasti peluang sepanjang masa. Sebenarnya peluang berniaga di malaysia amat luas. Pengurusan tidak harus memasuki hanya bidang yang sudah padat dipenuhi oleh peniaga lain. Pengurusan hendaklah lebih inovatif dan menerokai bidang-bidang baru. Tiap perkembangan dalam dunia perniagaan hendaklah diteliti oleh pengurusan supaya peluang yang baik tidak terlepas kepada peniaga lain.



6. Jika kita bandingkan cabaran hari ini dengan cabaran 30 tahun yang lalu, perbezaannya amat nyata. Sejak dasar ekonomi baru mula diperkenalkan pada tahun 1970, peniaga melayu amat jauh ketinggalan. Waktu itu amat sukar untuk mencari seorang peniaga melayu yang telah berjaya apatah lagi untuk melahirkan seorang usahawan yang telah menempah nama dalam dunia perniagaan. Kerana itu kita tidak ada jalan lain melainkan menggubal dasar tersebut bagi mempastikan orang melayu tidak ditinggalkan jauh. Tetapi keadaan ini telah jauh berubah. Mereka sudah ada kemampuan untuk bersaing dengan kaum-kaum lain. Saingan ini akan menjadi lebih hebat dengan masing-masing menggunakan pendekatan yang lebih agresif untuk mendapatkan kontrak.



7. Sekarang memang terdapat usahawan bumiputera serta syarikat atau firma bumiputera yang boleh menjadi kebanggaan kepada kita. Memang sudah menjadi kenyataan bahawa kita mempunyai barisan usahawan dan syarikat bumiputera yang boleh bertanding dengan usahawan dan syarikat bukan bumiputera. Terdapat juga usahawan bumiputera yang bersaing hebat dengan syarikat antarabangsa. Bagaimanapun, kita harus sedar bahawa prestasi usahawan bumiputera secara keseluruhannya masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Meskipun berbagai bantuan, kemudahan, galakan dan dorongan telah diberikan, kelemahan usahawan bumiputera masih lagi ketara. Lebih- lebih lagi dalam aspek pentadbiran dan pengurusan.



8. Hari ini tidak cukup bagi seseorang itu mengakui dirinya bumiputera dan dengan itu mengharap mendapat peluang atau merebut peluang. Hari ini seseorang bumiputera itu harus mempunyai kelebihan lebih daripada pengenalan kaummnya itu. Ini adalah kerana persaingan di antara bumiputera sendiri serta dalam beberapa hal kerana kerajaan mahukan projek-projeknya dilaksanakan mengikut jadual yang ditentukan demi kepentingan rakyat keseluruhannya.



9. Kerajaan memang menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan pihak swasta dalam usahawa mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara. Peranan swasta kian bertambah dan ia merupakan salah satu strategi kerajaan untuk menggalakkan pelaburan oleh pelabur-pelabur tempatan dan asing. Ini bererti kerajaan menyediakan peluang dan ia seharusnya mendapat sambutan daripada para pengusaha dan peniaga. Sayugia diingatkan bahawa ahli-ahli perniagaan kita dalam usaha mereka untuk meluaskan perdagangan dan perniagaan mereka, mestilah menentukan bahawa usaha- usahaini dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Amatlah penting ahli-ahli perniagaan kita bersikap jujur, amanah dan berdisiplin. Mereka mestilah menentukan bahawa apa-apa jua perjanjian yang dibuat hendaklah ditunaikan dan tidak berlaku sebarang penyelewengan. Jika syarat dan janji diabaikan maka kepercayaan pelanggan akan hilang. Ini bukan sahaja akan merugikan peniaga yang terlibat tetapi juga akan mengurangkan kepercayaan orang lain terhadap bangsa dan negara kita. Saya berharap para peniaga dan para pengusaha kita akan sentiasa bersikap bertanggungjawab dan tidak menyalahguna dan mensia-siakan peluang-peluang yang ada. Saudara-saudari,



10. Di samping menguruskan perniagaan masing-masing, tuan- tuan haruslah sedar tentang betapa pentingnya ditingkatkan usaha untuk membantu rakan-rakan yang lain dalam perusahaan pembinaan. Jikalau kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak sedia berkongsi, memang benar kita masih lagi mendapat keuntungan. Tetapi cara sedemikian merupakan keuntungan dari segi jangka pendek sahaja. Sekiranya ia terus dilakukan, maka akibatnya ialah kerugian kepada semua pihak dalam jangka panjang. Sebaliknya pula kontraktor- kontraktor bumiputera yang mengadakan usahasama hendaklah memainkan peranan yang bermakna dan tidak terhad kepada menjadi `contact man' sahaja. Begitu juga dengan yang menjalankan usaha sendiri. Janganlah serah semuanya kepada `sub-kontraktor' sehingga tidak langsung dilihat di `worksite'. Janganlah menjadi kontraktor yang tidak mempunyai pegawai, jurutera dan kakitangan yang digajikan sendiri.



11. Amalan-amalan seperti ini tidak akan meningkatkan kecekapan, kerana kontraktor binaan mesti menghadapi seribu satu masalah pengurusan yang memerlukan penyelesaian setiap hari. Cuma dengan melibatkan diri secara langsung dengan urusan harian barulah kecekapan dan kepintaran dapat diperolehi. Mereka yang mencari jalan senang dengan cuma mendapat seberapa banyak kontrak yang boleh untuk diurus oleh orang lain, akan kekal sebagai pengurus yang tidak berupaya. Kaum bumiputera tidak dapat berbangga walaupun mereka ini menjadi jutawan sepuluh kali ganda.



Terima kasih.














? ?

Kami menerima 6,616,770 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri