|
Alhamdullillah, diangkatkan kalimah setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan limpah rahmat dariNya, kita dapat berhimpun untuk melansungkan Konvensyen Pendidikan UMNO Pulau Pinang pada hari ini.
2. Dunia pendidikan sedang berkembang pesat dan kini dilihat sebagai satu industri penuh potensi dengan pasaran yang besar. Perangkaan menunjukkan jumlah perbelanjaan di dalam industri pendidikan di peringkat global telah menyentuh lapan trillion ringgit. Pasaran pendidikan secara global diramal mencecah 1,500 billion ringgit dalam tahun 2003. Perangkaan semasa menunjukkan Industri Pendidikan secara menyeluruh memberikan sumbangan sebanyak 9.5% kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.
3. Negara kita telah menggariskan satu dasar bijak lagi tepat dalam menggubal program pembangunan. Pendidikan dianggap komponen penting dalam agenda negara merangka dasar pembangunan. Program pendidikan diakui berperanan penting dalam usaha membangunkan sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran yang menjadi penggerak utama membangunkan negara. Lalu prasarana pendidikan dikembangkan keseluruh negara meliputi desa dan bandar.
4. Hasil dasar bijak lagi tepat itu kian terserlah. Hari ini institusi pendidikan formal di dalam negara telah berjaya memenuhi tugas asas penubuhannya. Laporan Kualiti Hidup Malaysia Tahun 2002 oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan bahawa pendidikan telah memberikan sumbangan paling ketara kepada kemajuan kualiti hidup dengan peningkatan indeks sebanyak 18.4 mata di antara tahun 1990 dan tahun 2000. Kadar literasi, kadar penyertaan peringkat prasekolah, kadar penyertaan peringkat sekolah, kadar penyertaan peringkat Institusi Pengajian Tinggi, nisbah guru-pelajar di sekolah telah digunakan dalam pengiraan indeks ini.
5. Kadar literasi di dalam negara telah meningkat dari 84.6% pada tahun 1990 kepada 93.8% pada tahun 2000. Kadar penyertaan prasekolah meningkat dari 22.8% pada tahun 1990 kepada 52.7% pada tahun 2000. 98% anak-anak yang berada dalam usia persekolahan rendah dan 89% yang berada dalam usia persekolahan menengah berdaftar sebagai murid dengan institusi sekolah.
6. Nisbah guru pelajar di sekolah rendah bertambah dari seorang guru bagi setiap 20.4 pelajar pada tahun 1990 kepada 18.9 pelajar pada tahun 2000 manakala untuk sekolah menengah meningkat dari seorang guru bagi setiap 18.9 pelajar kepada seorang guru bagi setiap 18.2 pelajar. Perangkaan ini menunjukkan kadar pencapaian memberansangkan dari segi kuantitatif dan betapa sektor pendidikan akan terus berkembang.
7. Dalam tempoh yang sama, perkembangan universiti awam sedia ada dan penubuhan universiti baru telah menambahkan pengambilan pelajar di peringkat universiti. Kadar penyertaan di universiti awam dalam tempoh masa yang sama meningkat dari 2.9% kepada 7.8%. Bilangan penuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam dalam negara bagi sesi akademik 2001/2002, berjumlah 300,875. Dari angka tersebut seramai 4,065 orang sedang mengikuti Ijazah Doktor Falsafah sementara 24,341 orang mengikuti Ijazah Sarjana dan 376 pula sedang mengikuti Diploma Lepasan Ijazah.
8. Dengan terlaksananya Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996, lebih banyak kemudahan di Institusi Pengajian Tinggi dalam negara dapat disediakan. Sehingga akhir tahun 2002, terdapat 12 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bertaraf Universiti dan Kolej Universiti serta empat Kampus Cawangan Universiti dari luar negara beroperasi di Malaysia. Bilangan institusi pengajian swasta lain meningkat dari 280 dalam tahun 1995 kepada 690 pada Disember 2001. Enrolmen di IPTS bertaraf Universiti dalam tahun 2001 berjumlah 24,628 sementara seramai 2,432 pelajar berada di Kampus Cawangan Universiti. Enrolmen IPTS bukan bertaraf Universiti dalam tahun 2001 berjumlah 243,844 orang. Dalam tempoh 10 tahun tersebut, kebolehcapaian (accessibility) kepada pendidikan tinggi terus diperkukuhkan dengan peningkatan dana Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dari RM 1 billion kepada RM 2.3 billion.
9. Secara umum dapat disimpulkan bahawa alam pendidikan di negara kita telah melalui beberapa gelombang perubahan. Gelombang pertama, dari segi menambahkan peluang pendidikan di kalangan warga telah kita capai dan terus dikembangkan. Gelombang kedua, dari segi meningkatkan pencapaian akademik dan meningkatkan mutu pengajaran sedang dilaksanakan secara berterusan. Kini negara sedang mengharungi gelombang ketiga untuk memenuhi satu piawaian kualiti yang dapat memberi erti dan makna kepada program pembangunan pendidikan yang pesat berlaku.
10. Program pendidikan akan dapat memberi erti dan makna apabila pelaksanaan program tersebut dapat memenuhi falsafah dan wawasan pembangunan negara yang lebih menyeluruh. Dalam kesungguhan warga pendidik memenuhi tanggungjawab asas mengilmukan masyarakat, warga pendidik turut bertanggungjawab dalam proses membina barisan warga yang saling memahami, dapat menghormati, sedia bekerjasama dan bersatu padu di antara satu sama lain. Program pendidikan akan dapat memberi erti dan makna apabila ia berjaya menyemaikan rasa cinta-rasa kasih warga kepada negara, diperkukuhkan dengan semangat setia yang padu dari warga yang bersatu. Tanggungjawab tersebut menjadi lebih mencabar dalam usaha ke arah membina sebuah negara yang stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi, lebih-lebih lagi apabila negara ini masih muda dari segi usia dan mempunyai komposisi rakyat berbilang agama, berbilang kaum, berbilang kebudayaan dan berbilang bahasa.
11. Setelah melintasi 45 tahun usia kemerdekaan dan setelah 32 tahun berlalunya Dasar Ekonomi Baru, amatlah wajar untuk kita mengimbas kembali jalan sejarah kemerdekaan serta semangat yang terkandung sewaktu penggubalan Dasar Ekonomi Baru, untuk membolehkan kita menghalusi dasar yang tersurat dan hasrat yang tersirat. Perjuangan kemerdekaan di negara ini dirintis dan dipelopori oleh orang-orang Melayu. Pencapaian kemerdekaan lebih dipermudahkan dengan adanya sokongan dan rangkaian kerjasama dari kaum-kaum lain di negara ini. Satu persefahaman di antara kaum berjaya diolah dalam menggariskan formula persepakatan yang realistik untuk menubuhkan sebuah negara bangsa yang merdeka. Persefahaman dan persepakatan yang dicapai di antara kaum itu tidak membolehkan Inggeris mencari helah untuk tidak memenuhi tuntutan kemerdekaan.
12. Setelah hampir 12 tahun berada dalam keriangan di negara merdeka, kurang kepekaan, kurang telitian dan kurang penghalusan di peringkat perlaksanaan program pembangunan, telah menimbulkan keresahan di antara kaum yang menjadi punca tercetusnya tragedi pergaduhan kaum di antara rakyat di negara ini. Tragedi 13 Mei 69 adalah satu peristiwa pahit dalam sejarah negara. Tragedi 13 Mei membuktikan bahawa penekanan pembangunan semata-mata dari perspektif ekonomi adalah tidak memadai untuk mengatasi sepenuhnya masalah sosio-ekonomi yang tidak seimbang di kalangan masyarakat Malaysia. Tragedi tersebut adalah isyarat penting kepada pemimpin dan warga Malaysia betapa rakyat berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya, berbilang bahasa memerlukan satu pegangan untuk boleh hidup secara rukun-secara damai. Lalu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil dari segi politik dan makmur dari segi ekonomi.
13. Tragedi 13 Mei telah hampir 34 tahun berlalu demikian juga dengan Dasar Ekonomi Baru. Para arkitek dan jurutera yang merangka Dasar Ekonomi Baru serta generasi sezaman mereka, ramai yang telah tiada, ramai yang telah bersara, ramai yang tidak lagi aktif. Saya adalah di antara saki baki dari kumpulan tersebut yang masih berjawatan dan masih diperlukan memenuhi tanggungjawab, meneruskan kesinambungan bagi mempastikan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa kekal aman dan terus makmur.
14. Dalam keghairahan warga terutamanya warga muda, warga yang lahir dan warga yang dewasa dalam era Dasar Ekonomi Baru dan dalam era selepas terlaksana Dasar Ekonomi Baru, wajarlah diperingatkan dan dibawa pemikiran kita mengimbas semula falsafah dan semangat yang terkandung di dalam Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru dirangka untuk mencapai matlamat menyeluruh perpaduan negara dan pembinaan sebuah negara yang stabil menerusi pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum serta penyusunan semula mayarakat bagi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan kedudukan kawasan. Dasar Ekonomi Baru mengakui bahawa sebarang usaha pembangunan yang dibuat tanpa mengambil kira sepenuhnya masalah-masalah sosio-ekonomi yang tidak seimbang akan membawa kepada masyarakat yang berpecah belah dan kedudukan negara yang tidak stabil.
15. Sektor pendidikan adalah antara sektor yang telah memenuhi peranan secara berkesan dalam membantu pencapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru. Di samping membantu ramai keluarga Malaysia dapat dikeluarkan dari lubuk kemiskinan, program pendidikan nasional telah secara langsung dan tidak langsung membantu ke arah memupuk rasa persefahaman, amalan menghormati, semangat bekerjasama lalu membina warga yang bersatu padu di antara rakyat pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai kebudayaan dan pelbagai bahasa.
16. Persekitaran sekolah adalah sebaik-baik persekitaran yang dapat memberikan pendedahan kepada anak-anak dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, agama, keturunan, kaum, budaya dan bahasa, dapat berinteraksi di antara satu sama lain. Sekolah merupakan institusi pertama yang dapat membawa anak-anak dari pelbagai latar belakang dapat digandingkan melakukan sesuatu tugasan secara bersama. Sekolah merupakan tempat awal yang dapat menyediakan ruang untuk anak-anak dapat mengenali sesama mereka. Sekolah adalah sebaik-baik gelanggang pertemuan bagi menjalinkan hubungan persaudaraan dan hubungan kemanusiaan yang sejagat lagi tulus bagi anak-anak di peringkat remaja.
17. Rugilah negara dan malanglah warga, jika ruang terbaik untuk membina asas hubungan harmonis dan ikatan padu antara agama, antara kaum, antara budaya dan antara bahasa ini tidak dihargai. Lebih rugi kepada negara dan lebih malang kepada warga jika tidak segera dilaksanakan langkah-langkah menjamin matlamat mencapai perpaduan nasional secara berkesan di alam sekolah. Keadaan tidak memberi kesempatan kepada anak-anak dapat berinteraksi secara terbuka di bangku sekolah tidak akan dapat membantu pencapaian matlamat Rukun Negara dan matlamat utama yang digariskan di dalam Dasar Ekonomi Baru.
Setiap warga Malaysia wajar melihat dan mentafsir program pendidikan nasional secara rasional-secara objektif-secara bijaksana-secara bertanggungjawab. Berfikirlah sebagai seorang warga Malaysia sejati, berpegang kepada prinsip menjunjung langit di tempat bumi dipijak. Program pendidikan adalah pelaburan untuk menjamin masa hadapan warga muda dan warga muka. Program pendidikan tidak harus sama sekali dipolitikkan kerana mempolitikkan program pendidikan adalah perbuatan paling tidak bertanggungjawab yang hanya akan memusnahkan masa hadapan anak-anak yang bersih dan tidak berdosa.
19. Penguasaan ilmu dan kemahiran hanyalah sebahagian dari program pendidikan komprehensif yang perlu dilihat secara menyeluruh. Membina satu barisan warga yang bersatu dan berpadu, serta setia kepada negara, menyemaikan rasa cinta- rasa kasih terhadap negara, adalah sebahagian dari tugas utama pendidikan. Saya berpendirian teguh bahawa sistem persekolahan kebangsaan dapat memenuhi peranan secara paling berkesan dalam membina satu warga Malaysia yang bersatu dan berpadu. Perangkaan semasa yang memperlihatkan hanya peratusan kecil bukan bumiputera memilih mendaftar di sekolah kebangsaan adalah satu perkembangan yang paling tidak sihat bagi sebuah negara berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya dan berbilang bahasa. Tanpa disedari, amalan yang sedang dilakukan ini sedang menuju ke arah mewujudkan polarisasi kaum yang amat membimbangkan. Realiti yang melanda Yugoslavia hendaklah dijadikan sebesar- besar pengajaran. Barang dijauhkan Allah swt dari negara kita berpecah kerana polarisasi kaum. Jika kita kurang teliti dan jika kita tidak berhati-hati, berkemungkinan warga kita akan berpecah kepada 4 kumpulan ethnik dan agama, Melayu, Cina, India dan Bumiputera atau berkemungkinan juga menjadi 5 kumpulan apabila orang Melayu pula terbahagi dua kerana fahaman agama yang ekstrim.
20. Demi survival negara, adalah penting untuk kestabilan politik dipertahankan dalam hasrat mahu menjamin kemakmuran ekonomi dapat dicapai. Sektor pendidikan hendaklah melihat senario semasa ini sebagai satu cabaran. Para pendidik perlu melihat ini sebagai satu tugas paling besar kepada negara, satu tugas paling utama kepada warga. Tugas untuk mempastikan bahawa warga di negara ini dapat dibawa bersama, hidup rukun, damai, harmonis dan saling memahami, penting dipupuk dan dilaksanakan sejak dari alam persekolahan.
21. Sekolah Kebangsaan terutama kepimpinan di sekolah kebangsaan hendaklah menghalusi implikasi senario ke arah polarisasi ini sebagai satu ancaman kepada perpaduan nasional dan satu halangan kepada hasrat melahirkan satu rupa bangsa Malaysia saperti yang termaktub di dalam Wawasan 2020. Keyakinan warga Malaysia terhadap Sekolah Kebangsaan perlu dipulih dan ditingkatkan. Sekolah Kebangsaan perlu mengamalkan pendekatan pengajaran yang dapat menghasilkan keputusan terbaik lagi cemerlang. Sekolah Kebangsaan perlu mempelbagaikan kegiatan kokurikulum yang melambangkan kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya, berbilang bahasa. Sekolah Kebangsaan perlu mewujudkan enviromen budaya yang mencerminkan masyarakat Malaysia sebenar. Sekolah Kebangsaan sepatutnya merupakan `miniature' realiti sebuah negara Malaysia.
22. Dengan itu saya berharap seluruh rakyat Malaysia menerima Sekolah Kebangsaan sebagai pilihan utama mereka. Sekolah Kebangsaan sememangnya menjadi pilihan utama kepada orang-orang Melayu. Sukatan pelajaran di Sekolah Kebangsaan merangkumi pendidikan dunia dan akhirat. Tidak ada keperluan bagi orang-orang Melayu mengadakan satu aliran persekolahan yang berlainan daripada sekolah kebangsaan. Hasrat untuk menjadikan Sekolah Kebangsaan sebagai `miniature' sebuah negara Malaysia akan lebih cepat tercapai sekiranya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera turut memilih sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama menempatkan anak-anak mereka memasuki alam persekolahan.
23. Pada hemat saya, seluruh jentera pembangunan sosial di dalam negara perlu bergerak ke arah memperbaiki keadaan yang tidak sihat ini. Majlis-majlis penerangan mengamalkan pendekatan pemasaran secara berkesan, secara `persuasive' dan tidak `offensive' perlu segera dilaksanakan. Tugas nasional ini memerlukan penggembelingan tenaga semua pihak, sektor awam dan sektor swasta, organisasi politik dan badan- badan bukan kerajaan, kesatuan guru, pertubuhan pendidikan, persatuan-persatuan ibu bapa, wanita, murid-murid tua, belia dan pelajar, kesemuanya perlu membawa suara yang sama, bersama mengambil tanggungjawab ke arah membina satu warga Malaysia yang bersatu melalui program pendidikan nasional yang menyeluruh.
24. 13 Mei bagi saya adalah satu tragedi peringatan dan pengajaran yang tidak dapat saya lupakan. Saya tidak mahu melihat berlakunya lagi peristiwa ini. Pengalaman bertugas di Kementerian Luar, memberikan saya pendedahan secara dekat mengikuti tragedi yang menimpa rakyat jelata, warga tua, wanita, belia dan anak kecil selepas perpecahan yang berlaku di Yugoslavia. Setiap kali saya membayangkan penderitaan mereka, saya tidak dapat menahan hiba dan memohon doa kepada ILLAHI barang dijauhkan negara ketika ditimpa mala petaka sedemikian. Kerana itu saya senantiasa ingin melihat dan berusaha supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang aman lagi damai, rukun lagi makmur. Saya ingin melihat munculnya satu rumpun warga Malaysia yang teguh bersatu, penuh harmonis lagi bertoleransi, saling memahami-saling menghormati, saling bekerjasama dan saling membantu, wujud dalam negara kita Malaysia yang mampu bersaing dengan negara- negara lain untuk meningkat maju. Saya meletakkan harapan tinggi bahawa institusi sekolah dan institusi pendidikan dapat merealisasikan impian tersebut.
25. Konvensyen yang diadakan hari ini perlu berani dan jujur menilai kedudukan bangsa dan selepas itu bersungguh untuk melaksanakan resolusi yang diputuskan. Seringkali dirintihkan bahawa Melayu di Pulau Pinang merupakan kumpulan minoriti. Ada dua perkara yang perlu saya tegaskan di sini. Pertama, meskipun Melayu di Pulau Pinang merupakan kumpulan minoriti, dari segi peratusan orang Melayu merupakan 42.5% dari jumlah penduduk Pulau Pinang dan dari segi angka, bilangan orang Melayu adalah seramai 558,216, hanya 52,538 kurang dari kaum Cina yang merupakan 46.5% dari penduduk Pulau Pinang. Kedua, kedudukan sebagai kumpulan minoriti jangan sekali-kali dijadikan penghalang minda untuk mencapai kejayaan dan tidak semestinya meletakkan orang-orang Melayu merasa rendah diri atau merasa berada dalam kedudukan `disadvantaged', kerana dalam era yang mengutamakan hak intelektual, pengetahuan, maklumat dan kemahiran adalah berperanan lebih penting berbanding dengan kuantiti.
26. Pada hari Khamis yang lalu saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai cara-cara meningkatkan daya saing negara. Malaysia yang sudah membangun setakat ini mencapai kedudukan antara negara yang termaju di kalangan negara-negara membangun. Tetapi Malaysia perlu meningkatkan lagi tahap kemakmuran dan kemajuannya. Untuk itu Malaysia mesti mampu bersaing dengan negara-negara lain supaya kita tidak dilihat sebagai kurang maju dan mundur. Dalam memenuhi hasrat tersebut, orang Melayu tidak harus ketinggalan, tidak harus terpinggir dan tidak sepatutnya hanya menjadi penonton.
27. Impian akan tinggal sebagai satu mimpi tanpa adanya kesungguhan untuk menjadikannya satu kenyataan. Sesuatu impian sebelum dapat menjadi kenyataan perlu mempunyai program bertindak secara tepat untuk memenuhi matlamat yang dihasratkan. Segalanya bermula dari peranan manusia dan sikap manusia.
28. Menguasai kedudukan strategik dari segi geografi, profesion, perniagaan, perusahaan dan pelbagai perkara lagi akan menjadi penentu kepada martabat sesuatu bangsa. Dalam hubungan ini, penguasaan ilmu dan penguasaan kemahiran adalah faktor penentu paling utama. Secara perbandingan, orang Melayu di Pulau Pinang telah mendapat pendedahan awal kepada pembangunan dan peluang-peluang lebih baik dalam pendidikan. Rakyat Pulau Pinang bernasib baik kerana mempunyai prasarana pendidikan yang boleh dianggap kedua terbaik selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Universiti Sains Malaysia, universiti kedua di dalam negara dan yang pertama dibangunkan di luar ibu negara terletak di Pulau Pinang. Pulau Pinang adalah di antara negeri terawal yang dibina Maktab Perguruan dan memiliki Sekolah Pendidikan Khas. Hari ini terdapat 248 sekolah rendah dan 86 sekolah menengah di Pulau Pinang, 5 dari sekolah menengah tersebut adalah Sekolah Menengah Teknik, 4 adalah Sekolah Menengah Agama dan sebuah Sekolah Berasrama Penuh.
29. Pulau Pinang yang berada dalam proses perbandaran boleh ditakrifkan sebagai sebuah negeri yang sepenuhnya berada dalam kawasan perbandaran dan terkeluar dari istilah luar bandar. Kemudahan pendidikan dan prasarana lain sepatutnya memberi kelebihan kepada rakyat Pulau Pinang untuk mencapai tahap kecemerlangan di bidang pendidikan malah boleh mengatasi pencapaian kebangsaan. Segala kemudahan yang dibangunkan ini adalah untuk dimanafaatkan sepenuhnya secara bijak dan secara cekap oleh orang Melayu untuk meningkatkan daya saing mereka bagi menghadapi dunia sejagat yang lebih mencabar.
30. Saya berkeyakinan penuh, jika orang-orang Melayu di Pulau Pinang mempunyai semangat bersungguh untuk membangunkan mental dan membina sikap tekun, segala kemudahan yang disediakan akan dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi bangsa kita dan bangsa kita akan dapat menguasai bidang-bidang strategik baik di sektor ekonomi, perdagangan, perusahaan, perbankan, kewangan dan pelbagai lagi. Dasar membantu kejayaan Melayu dapat digubal, peruntukan kewangan boleh disediakan, tetapi kejayaan dasar dan manfaat kewangan lebih bergantung kepada sikap manusia yang berani menuntut penghijrahan minda yang membawa kepada perubahan sikap yang lebih positif.
31. Saya memohon kerjasama dari setiap warga Malaysia yang cintakan perdamaian, yang inginkan perpaduan untuk bersama dengan saya dan rakan-rakan membantu merealisasikan wawasan besar Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad mahu melahirkan satu bangsa Malaysia yang bersatu lagi teguh, maju lagi makmur, progresif lagi dinamik.
32. Bagi saya Malaysia adalah sebuah negara bangsa dan negara bangsa bagi kita adalah Malaysia, Malaysia yang rakyatnya terdiri dari pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya, pelbagai bahasa namun cekal dan kukuh bersatu dalam semangat di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.
33. Semoga Allah swt memberikan hikmah dan pertunjuk untuk setiap kita dapat menemui jalan perjuangan yang diredhai. Dengan keberkatan suratul Fatihah, saya merasmikan Konvensyen Pendidikan UMNO Pulau Pinang.
Terima kasih.
|
|