|
Pasaran modal Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkembangkan ekonomi Malaysia. Ia merupakan wahana yang efektif dan efisien bagi penjanaan dan pelaburan modal. Ketidaktentuan yang mencorakkan persekitaran pasaran global dan serantau sejak beberapa bulan lalu telah juga membawa kesan terhadap pasaran kita. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menguruskan secara proaktif kesan ketidaktentuan global terhadap ekonomi dan pasaran kewangan, Kerajaan serta para agensi kawalselia dan industri telah meneliti dan membincangkan langkah-langkah yang patut diambil untuk menangani cabaran-cabaran ini.
Berdasarkan perbincangan tersebut, pada hari ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan 10 langkah baru untuk merangsangkan dan terus mempertingkatkan pasaran modal Malaysia. Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan berterusan bagi ekonomi Malaysia dan pembangunan pasaran modal yang efisien, teguh dan berdaya saing.
Meningkatkan Penyertaan Pelabur
Pengurangan Duti Setem
Duti setem bagi dagangan semua sekuriti di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) akan dihadkan kepada RM200 bagi setiap kontrak berkuatkuasa dari 17 Mac 2003. Walaupun langkah ini akan mengurangkan pendapatan Kerajaan sebanyak lebih daripada RM60 juta setahun, namun ia akan menguntungkan pelabur melalui pengurangan kos transaksi, dan dengan itu akan mempertingkatkan lagi daya tarikan dagangan di BSKL.
Penyelarasan lot dagangan
Kesemua saiz lot dagangan bagi sekuriti di BSKL akan diselaraskan kepada 100 unit menjelang Jun tahun ini. Kini, hanya kaunter MESDAQ didagangkan dalam lot 100 unit. Menjelang April 2003, kesemua sekuriti yang disenaraikan di Papan Kedua akan diselaraskan kepada lot 100 unit, dan ini akan diikuti dengan sekuriti di Papan Utama menjelang bulan Jun. Kesemua tawaran awam awal (Initial Public Offering atau IPO) baru yang akan disenaraikan dari April juga akan berdasarkan lot dagangan 100 unit. Pengurangan dalam saiz lot dijangka akan meningkatkan kemampuan pembelian saham di BSKL dan mengurangkan pegangan saiz lot ganjil.
Meningkatkan Kecairan
Garispanduan Baru bagi Penyenaraian Syarikat-syarikat Besar
Garispanduan baru akan diterbitkan pada 1 April 2003 untuk memudahcarakan penyenaraian syarikat-syarikat besar. Garis panduan ini akan membolehkan syarikat yang mempunyai modal pasaran minimum RM250 juta dan keuntungan selepas cukai RM8 juta bagi tahun kewangan terkini, untuk dikecualikan daripada keperluan rekod keuntungan tiga hingga lima tahun. Keperluan rekod operasi lima tahun yang sedia ada masih dikekalkan. Langkah ini akan mewujudkan cara baru bagi syarikat besar, termasuk syarikat yang telah dipulihkan, untuk disenaraikan di BSKL.
Penggabungan Syarikat yang Berkaitan Dengan Kerajaan
Kerajaan juga akan menggalakkan penggabungan syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan dalam sektor yang sama dengan tujuan untuk menambahkan jumlah syarikat- syarikat premium yang besar di BSKL.
Pengurangan tempoh moratorium
Moratorium pegangan saham penganjur bagi kesemua IPO/Pengambilalihan Akas (Reverse Takeover atau RTO) akan dikurangkan kepada satu tahun untuk memastikan lebih banyak saham dapat didagangkan dan seterusnya meningkatkan kecairan pasaran. Pada masa kini, moratorium dikenakan untuk tempoh empat tahun. Langkah baru ini adalah untuk permohonan yang diterima dari tarikh 12 Mac 2003.
Meningkatkan Kecekapan Proses Penjanaan Modal Bagi Penerbit
Pengurangan Tempoh Pemprosesan IPO
Untuk terus mempertingkatkan kecekapan proses penjanaan modal, masa pemprosesan IPO akan dikurangkan kepada kurang dari tiga bulan berbanding dengan enam hingga lapan bulan kini. Ini adalah untuk permohonan yang diterima dari 1 Mei 2003. Kelulusan oleh FIC akan Diproses oleh SC
Dalam banyak kes, cadangan korporat yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kelulusan juga memerlukan kelulusan daripada Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC). Dalam hal sebegini, bagi pengemukaan cadangan yang diterima dari 12 Mac 2003, SC akan memproses cadangan tersebut, berdasarkan Garispanduan FIC dan jika perlu, dengan mengadakan perundingan bersama FIC. Mekanisme ini hanya diguna pakai jika kelulusan daripada kedua-dua SC dan FIC diperlukan. Dalam kes di mana kelulusan SC tidak diperlukan, permohonan akan terus dibuat secara langsung kepada FIC.
Mempertingkatkan Nilai Syarikat yang Berkaitan dengan Kerajaan
Pengenalan Skim Insentif Prestasi
Kerajaan sedang membentuk satu mekanisme untuk mempertingkatkan prestasi kakitangan pengurusan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan, dan dalam proses ini, mendedahkan nilai terpendam dalam syarikat-syarikat ini. Dalam masa yang sama, langkah ini dijangka akan menarik kakitangan yang berkualiti untuk menyertai syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan. Mekanisme yang dicadangkan akan dilaksanakan seperti berikut:
- Prestasi kakitangan pengurusan akan ditaksir secara tahunan bersandarkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telus dan telah dipersetujui;
- Kakitangan pengurusan yang memenuhi atau melebihi KPI masing-masing secara konsisten akan diberi ganjaran skim opsyen saham yang menarik; dan
- Kakitangan pengurusan yang gagal mencapai KPI masing-masing secara konsisten akan tertakluk kepada tindakan yang sewajarnya, termasuk penamatan perkhidmatan.
KPI akan dibentuk dengan cara menggabungkan unjuran keuntungan dan pengurusan risiko, iaitu ia akan merangkumi kedua-dua petunjuk-petunjuk pertumbuhan dan penghematan (growth and prudence indicators) dengan pewajaran yang berpatutan.
Langkah ini dijangka akan menghasilkan pasaran yang lebih aktif serta meningkatkan dengan lebih ketara lagi nilai pemegang saham syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan serta membantu pewujudan pengurus korporat yang cekap.
Sektor swasta digalakkan untuk melaksanakan skim insentif berkaitan prestasi yang serupa bagi kakitangan pengurusan mereka.
Memperkukuhkan Perantaraan
Mempertingkatkan Kepakaran Pasaran Modal
SC telah memulakan Skim Latihan Pasaran Modal Siswazah yang baru. Dalam skim tahunan ini, peserta akan menerima latihan dalam kelas selama satu bulan dan latihan selama 11 bulan di organisasi-organisasi yang turut serta dalam skim ini. Usaha ini dijangka dapat membekalkan tenaga kerja yang pakar dalam pasaran modal Malaysia. Bagi tahun 2003, sejumlah 500 siswazah akan menyertai skim ini. Selain itu, BSKL akan menyumbang RM5 juta untuk mempertingkatkan kepakaran dan pengetahuan remisier dan wakil peniaga berbayar Bumiputera untuk mengukuhkan peranan mereka dalam pasaran modal. Geran ini akan diurus dan dikendalikan oleh SC.
Mempertingkatkan Peranan Perantara
Perantara pasaran mempunyai peranan penting dalam menarik penyertaan yang diingini dan mempertingkatkan daya saing pasaran. Broker dan remisier diharap akan mempertingkatkan usaha membangunkan pasaran melalui lebih banyak aktiviti-aktiviti promosi, pendidikan pelabur dan pembaharuan produk. Bagi membantu industri memainkan peranan mereka dengan efektif dalam tempoh yang sukar ini, kadar komisen bagi broker akan disemak dengan perancangan untuk mengadakan kadar minimum.
Keperluan untuk menetapkan kadar minimum timbul akibat beberapa faktor, termasuklah tahap urus niaga yang rendah dari segi jumlah dan nilai. Walau bagaimanapun, faktor paling utama yang menekankan keperluan ini ialah aktiviti pemotongan harga yang tidak sihat di kalangan syarikat-syarikat broker saham, yang kadangkala membawa tahap komisen ke paras bawah kos. Keadaan ini perlu dihentikan kerana ia memberi kesan negatif kepada pertumbuhan dan pembangunan pasaran ekuiti Malaysia.
Dalam tempoh satu bulan, SC bersama-sama dengan BSKL dan Persatuan Syarikat Broker Saham Malaysia (ASCM) akan merumuskan satu garispanduan yang sesuai bagi kadar minimum, yang akan merangkumi mekanisme pengawasan yang efektif untuk menghalang amalan penetapan harga yang tidak sihat.
|
|