Terlebih dahulu saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan dan Ahli Jawatankuasa Majlis Makan Malam ini kerana menjemput saya ke majlis ini. Majlis ini amat bermakna kepada kita semua kerana pasukan Pertahanan Awam kita telah berusia 51 tahun.
2. Sebagaimana yang kita semua maklum bahawa Pertahanan Awam adalah penting dalam negara membangun seperti kita ini. Tugas saudara-saudari semakin hari semakin mencabar dan sebab itu saudara-saudari harus sentiasa berada dalam keadaan siap sedia setiap masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti kemungkinan berlaku bencana atau malapetaka. Kerajaan serta rakyat berterima kasih dan berbangga dengan sikap dan sumbangan saudara-saudari selama ini.
Saudara-saudari,
3. Pertahanan Awam merupakan tanggungjawab rakyat kerana mereka akan membantu diri dan keluarga mereka sendiri sekiranya berlaku bencana atau malapetaka. Pendekatannya adalah mudah, " Pertahanan Awam Bermula Dirumah ". Semangat inilah yang perlu diserap dan dipupuk oleh Jabatan Pertahanan Awam dikalangan rakyat sebagai satu budaya di mana kita mahu melihat penglibatan segenap lapisan masyarakat mencurahkan khidmat kepada negara sama ada secara langsung atau tidak langsung..
4. Kerajaan kini dalam peringkat akhir untuk melaksanakan Program Khidmat Negara yang dijangka dapat dilaksanakan pada tahun hadapan. Akta Khidmat Negara 1952 akan dipinda untuk diguna pakai bagi melaksanakan Program Khidmat Negara. Ia dijangka di kemukakan kepada Kabinet pada Mei ini untuk kelulusan. Tujuan program ini ialah bagi membentuk generasi belia dan rakyat yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan keharmonian negara di masa hadapan. Bagi golongan dewasa terutama mereka yang telah berjaya baik sebagai pegawai kerajaan, ahli perniagaan dan sebagainya perlu juga memainkan peranan masing-masing dan tidak bersikap lepas tangan di dalam hal yang sama. Mereka yang telah menikmati pelbagai kemajuan hasil pembangunan negara haruslah pula menyumbang tenaga mereka dengan menyertai Pertahanan Awam.
5. Kemajuan yang telah kita capai adalah hasil kerjasama dan sumbangan Kerajaan dan rakyat. Ia telah berjaya menghasilkan iklim politik dan ekonomi yang stabil yang telah meletakan negara kita sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera. Semua pihak dapat hidup rukun damai dan dapat mengamalkan kepercayaan masing-masing tanpa ada sekatan. Golongan peniaga dapat menjalankan perniagaan tanpa gangguan. Kemajuan yang kita nikmati ini tidak mungkin berlaku jika kerajaan tidak kukuh dan stabil.
6. Janganlah ada pihak cuba memperkecilkan kemajuan yang telah kita capai selama ini. Banyak negara yang telah dahulu merdeka daripada kita masih belum berjaya membentuk sebuah negara yang bersatu padu. Mereka masih kecewa. Negara-negara ini masih kucar-kacir, pertumpahan darah berlaku, pembangunan ekonomi tergugat, penindasan golongan minoriti berleluasa, rakyat hidup dalam ketakutan dan derita.
7. Kejayaan kita kerana kita mempunyai visi yang jelas untuk semua rakyat, iaitu Wawasan 2020, wawasan yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad. Wawasan ini mesti diteruskan dan setiap seorang daripada kita bertanggungjawab menjayakan wawasan ini. Sekiranya rakyat mempunyai visi berlainan, masing-masing pihak hanya mementing dan memperjuangkan visi masing-masing maka perpecahan akan berlaku. Bagi Malaysia, visi yang saya sebutkan tadi hendaklah diperjuangkan berlandaskan Perlembagaan dan Rukunnegara.
Saudara-saudari,
8. Walaupun kita berada dalam suasana aman damai, kita perlu sentiasa waspada terhadap sebarang ancaman kepada kestabilan negara. Ancaman itu kini boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Ancaman fahaman agama yang ekstrim, ancaman dadah dan ancaman kumpulan militan. Walaupun tugas membanteras ancaman ini adalah tugas anggota keselamatan negara, namun pihak pertahanan awam juga boleh membantu menjadi mata dan telinga kerajaan.
9. Pertama, anggota pertahanan awam perlu memberi perhatian kepada persekitaran mengenai wujudnya golongan yang saya sebutkan tadi. Kedua, setiap anggota pertahanan awam hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk menjalankan apa jua tugas yang difikirkan perlu bagi membantu membendung segala bentuk ancaman yang mungkin timbul di kawasan masing- masing.
10. Adalah menjadi kelaziman bagi manusia mengurangkan kewaspadaan serta semangat apabila negara berada dalam keadaan aman dan damai. Masing-masing pihak mengambil mudah suasana sedemikian. Ada pihak yang sengaja mengambil sikap biar orang lain yang melakukan kerja-kerja pertahanan awam ini asalkan mereka tidak diganggu. Sikap mementingkan diri ini tidak akan meningkatkan cinta kita pada negara ini. Pertahanan awam ini hendaklah bermula di rumah.
11. Kerajaan baru-baru ini telah mengistiharkan perang terhadap penyalahgunaan dadah. Ancaman dadah ini semakin serius yang memerlukan penyertaan semua pihak memeranginya. Adalah menjadi harapan saya penglibatan secara langsung saudara-saudari, bersama-sama lain agensi dalam menghapuskan pengaruh dadah ini akan memberi kesan dan kejayaan yang lebih cemerlang. Saya yakin kepakaran yang ada pada saudara-saudari sangat berguna untuk kerja-kerja penasihatan dan rundingan.
Saudara-saudari,
12. Saya amat gembira apabila tubuhnya Persatuan Pegawai Bersekutu Pertahan Awam, yang diasaskan oleh golongan profesional dan tokoh korporat dari pelbagai bidang dan latar belakang. Saya difahamkan persatuan ini telah berusaha bersungguh-sungguh hampir 2 tahun untuk merealisasikan impian mengambungkan semangat, idea, kepakaran dan kewangan dari kalangan pegawai-pegawai Kehormat, pegawai bersekutu dan pegawai profesional Pertahanan Awam yang dilantik oleh Ketua Pengarah Pertahanan Awam dari seluruh negara di dalam sebuah persatuan ala NGO supaya dapat menyumbang khidmat bakti kepada Pertahanan Awam. Ini satu contoh terbaik golongan yang bertanggungjawab yang cintakan negaranya. Syabas. Saya juga difahamkan pada malam ini pihak persatuan akan menyumbang sejumlah RM 50,000.00 kepada Pertubuhan Kanser Kebangsaan. Terima kasih saya ucapkan di atas sumbangan.
13. Saya menaruh setinggi-tinggi kepercayaan dan harapan bahawa saudara-saudari akan dapat sama-sama berganding bahu, menggemblengkan tenaga dan fikiran untuk meningkatkan kekuatan kita dalam menghadapi musuh-musuh negara.
14. Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan Hari Pertahanan Awam ke 51 dan seterusnya merasmikan penubuhan Persatuan Pegawai Bersekutu Pertahanan Awam Malaysia.
Terima kasih.
|