Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS MAKAN MALAM SAMBUTAN 25 TAHUN PNB DAN PELANCARAN UNIT AMANAH BARU
Lokasi : STADIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 17-03-2003
 











Penubuhan PNB 25 tahun yang lalu merupakan salah satu mercu tanda dalam usaha kerajaan untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kerja, di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Ismail bin Mohamed Ali, untuk merumuskan kaedah yang bernas bagi memastikan objektif D.E.B. tercapai. Hasil dari cadangan Jawatankuasa ini, Yayasan Pelaburan Bumiputra telah diwujudkan pada Januari 1978 sebagai badan penyelaras bagi aktiviti pelaburan oleh agensi kerajaan, syarikat Bumiputera dan individu Bumiputera.



Susulan daripada itu, Perbadanan Nasional Berhad telah ditubuhkan dan telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan saham-saham bagi pihak individu bumiputera melalui unit-unit amanah.



Bermula dari dana yang berjumlah 200 juta ringgit, pelaburan P.N.B. sekarang mencecah 58 bilion ringgit - iaitu peningkatan nilai sebanyak 290 kali. Kini, terdapat 8 juta pemegang akaun yang melabur 40 bilion unit menerusi 7 produk unit amanah P.N.B..



Fakta ini jelas membuktikan bahawa unit amanah adalah satu mekanisma yang berjaya dalam mengagihkan kekayaan ekonomi negara kepada masyarakat. Ia telah dapat meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dan menyumbang kepada penstrukturan semula masyarakat. Kebolehan P.N.B. untuk memberi pulangan yang bermakna ke atas pelaburan yang dibuat telah meningkatkan kualiti hidup ramai golongan Bumiputera. Pulangan inilah yang sedikit sebanyak membolehkan pelabur membeli kediaman sendiri. Pulangan inilah yang digunakan untuk membiayai pendidikan anak-anak. dan Pulangan inilah yang dijadikan modal bagi memulakan perniagaan-perniagaan kecil.



Di samping itu, P.N.B. telah berjaya meningkatkan pegangan dan kepentingan golongan Bumiputera dalam sektor korporat dan ekonomi perdana. P.N.B. telah menyumbang kepada usaha kerajaan untuk membangunkan lapisan pengurus profesional Bumiputera. Peristiwa seperti pengambilalihan syarikat Guthrie menerusi "dawn raid" di Bursa Saham London pada 1981 telah memberi semangat kepada golongan korporat Bumiputera bahawa mereka boleh berjaya di pentas dunia.



Kejayaan P.N.B. harus diiktiraf kerana ramai di dalam dan di luar negara yang telah mempersoalkan usaha kerajaan untuk menyusun semula keadaan sosio-ekonomi rakyat malaysia. sebenarnya, Dasar ini adalah sangat mustahak kerana kestabilan dan perpaduan merupakan asas terpenting bagi negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum seperti Malaysia. Alhamdulillah, kestabilan dan perpaduan telah melindungi negara berbilang kali, termasuk daripada menghadapi kemelut sosial semasa negara dilanda krisis kewangan pada tahun 1997. Keseimbangan ekonomi kita telah membolehkan negara menangani cabaran-cabaran ini dalam suasana aman dan damai.



Pencapaian P.N.B. telah juga mendapat perhatian negara lain yang ingin mencontohi usaha P.N.B. meningkatkan taraf hidup rakyat. Saya difahamkan negara-negara seperti Indonesia, Afrika Selatan dan Vietnam telahpun menghantar rombongan masing-masing untuk mempelajari cara dan kaedah P.N.B. menguruskan unit amanah. Dalam pada itu, meskipun P.N.B. telah menunjukkan "track record" yang baik sepanjang 25 tahun yang pertama, perjuangannya masih jauh dan belum selesai. P.N.B. perlu terus memastikan bahawa ia tetap relevan dalam usaha untuk meningkatkan penglibatan kaum Bumiputera dalam ekonomi arus perdana.



P.N.B. perlu terus menjalankan tugasnya dengan jujur dan amanah. Kedua-dua sifat ini penting kerana PNB menguruskan dana yang begitu besar bagi pihak pelabur yang begitu ramai. Kepentingan pelabur hendaklah sentiasa diberi keutamaan, dan pelaburan hendaklah dibuat dengan cermat dan teliti. P.N.B. hendaklah mengamalkan sistem pengurusan risiko ("risk management") yang kukuh untuk mengelakkan apa-apa masalah kewangan. Sekiranya para pelabur hilang kepercayaan kepada p.n.b., walaupun sedikit, maka mereka tidak akan melabur lagi dengan P.N.B.. Akibatnya, P.N.B. tidak akan dapat memenuhi objektifnya untuk memanfaatkan rakyat menerusi penggemblengan wang ke arah penjanaan aktiviti ekonomi yang produktif.



Kita juga perlu sedar bahawa suasana ekonomi pada masa kini lebih rumit berbanding masa lalu. Arus globalisasi dan liberalisasi membuka pintu kepada persaingan dari luar sempadan negara. Tuntutan ke atas para profesional kita untuk lebih berdaya maju semakin meningkat. Kebolehan P.N.B. untuk memastikan tahap pulangan yang memuaskan akan menjadi lebih mencabar.



Justeru itu, Sudah nyata tanggungjawab P.N.B. amat berat kerana ia mendukung harapan dan aspirasi kaum Bumiputera secara khusus, dan negara secara amnya. Kita tidak mahu Malaysia dibelenggu permasalahan institusi dunia pertama, mentaliti dunia ketiga. Sebagai insititusi pelaburan yang ulung di Malaysia, saya berharap P.N.B. boleh menerajui usaha-usaha bagi mempercepatkan penghijrahan minda yang diperlukan. Pada hemat saya, segala cabaran yang dihadapi boleh ditangani dengan memupuk sikap dan pemikiran yang sesuai, dan saya yakin para pengurus pelaburan berupaya untuk terus menjayakan P.N.B.. Pengurus-pengurus p.n.b. harus bersedia untuk meningkatkan kebolehan dan keupayaan mereka untuk mengurus wang dengan cekap melalui penimbaan ilmu dan pengalaman sepanjang hayat.



Disamping itu, perhatian juga perlu diberikan untuk memastikan agar P.N.B. terus meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan mereka. Kita seharusnya sentiasa peka kepada kehendak para pelanggan, menerusi pendekatan "demand driven" dan "best practices" kita. Usaha-usaha seperti ini perlu diteruskan, agar keperluan dan citarasa para pelabur dapat dipenuhi.



Walaupun dunia semakin berubah dan kian mencabar, saya yakin organisasi-organisasi seperti P.N.B. mampu menangani apa juga dugaan dan cabaran yang mendatang, sekiranya mereka meningkatkan keupayaan mengurus dan memperkukuhkan semangat jatidiri mereka. Sesungguhnya, kita telahpun berjaya mengadakan tabung unit amanah yang terbesar di dunia (iaitu Amanah Saham Bumiputra), dan tiada apapun yang diluar kebolehan kita. oleh itu, saya menyeru warga P.N.B. untuk terus bekerja keras dan menjalankan amanah menjaga tabungan rakyat dengan penuh jujur dan dedikasi.



Akhir kata, saya bagi pihak kerajaan Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada P.N.B. di atas sambutan ulang tahunnya yang ke 25. Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua individu yang telah menyemai bakti menjayakan P.N.B. selama ini.



Terima kasih.





Kami menerima 6,619,392 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri