English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MEMBENTANGKAN USUL-USUL MENGENAI LAPORAN KAJIAN SEMULA DAN PERSEMPADANAN BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA PARLIMEN DAN NEGERI BAGI NEGERI-NEGERI TANAH MELAYU DAN NEGERI SABAH
Lokasi : BANGUNAN PARLIMEN
Tarikh : 07-04-2003
 


Tuan Yang DiPertua, saya memohon kebenaran untuk saya mengemukakan usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian, Pilihan raya Parlimen dan Negeri Dalam Negeri-negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dan Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan raya Parlimen dan Negeri dalam Negeri Sabah di dalam aturan urusan mesyuarat hari ini, kedua-duanya sekaligus.



Sebab utama saya memohon kebenaran Tuan Yang Di-Pertua ialah, kedua-dua usul ini adalah berkenaan dengan perkara yang sama, hanya berlainan tempat sahaja. Di samping itu butir-butir perbahasan berkenaan dengan kedua-dua usul ini adalah juga sama. Cara ini akan membolehkan seseorang ahli dewan yang mulia ini berucap menyentuh kedua-dua perkara itu bersekali dengan tidak payah diulang hujah-hujah yang sama jika dibahaskan berasingan. Cara ini juga akan menjimatkan masa dewan ini.



Tuan Yang Di-Pertua, saya mohon kebenaran.



Tuan Yang Di-Pertua,



Saya mohon mencadangkan -



"Bahawa dewan ini membuat ketetapan di bawah Seksyen 10 Jadual Ketiga Belas kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya) (Negeri-negeri Tanah Melayu) 2003, yang telah dibentangkan dalam dewan ini pada 3 April 2003 bersama dengan Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 10 Mac 2003 mengenai persempadanan bahagian- bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri dalam negeri- negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dan bahagian-bahagian pilihan raya negeri di setiap negeri dalam negeri-negeri Tanah Melayu, yang akan dibuat di bawah seksyen 12 jadual tersebut untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan."



Tuan Yang Di-Pertua,



Saya juga mohon mencadangkan-



"Bahawa dewan ini membuat ketetapan di bawah seksyen 10 jadual ketiga belas kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya (negeri Sabah) 2003, yang telah dibentangkan dalam dewan ini pada 3 April 2003 bersama dengan Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 10 Mac 2003 mengenai persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya parlimen dan negeri dalam negeri Sabah dan yang akan dibuat di bawah seksyen 12 jadual tersebut untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan". Tuan yang di-pertua,



2. Sebagaimana ahli-ahli yang berhormat sedia maklum menurut fasal (2) perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya adalah bertanggungjawab untuk mengkaji semula dan mempersempadankan seluruh bahagian pilihan raya parlimen dan bahagian pilihan raya negeri pada lat tempoh tidak kurang daripada 8 tahun. Urusan persempadanan yang dijalankan hendaklah siap dalam tempoh tidak lebih daripada 2 tahun dari tarikh bermulanya kajian semula itu. Tarikh bermulanya kajian semula kali ini ialah pada 8 Ogos 2002 berasaskan kepada notis pengesyoran- pengesyoran sempadan bahagian-bahagian pilihan raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada tarikh tersebut.



Tuan Yang Di-Pertua,



3. Suruhanjaya Pilihan Raya mengikut kuasa yang diberikan oleh fasal (2) perkara 113 Perlembagaan telah mengesyorkan tambahan 25 kerusi parlimen iaitu 2 bagi negeri Pulau Pinang, 1 bagi Perak, 3 bagi Pahang, 5 bagi Selangor, 1 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 1 bagi Negeri Sembilan, 1 bagi Melaka, 6 bagi Johor dan 5 bagi negeri Sabah. Dengan cadangan tambahan ini, maka bilangan kerusi parlimen yang ada bagi seluruh malaysia akan bertambah daripada 194 kepada 219.



4. Sepertimana kerusi parlimen, kerusi negeri juga dicadangkan tambahannya oleh SPR mengikut kuasa yang diberikan oleh fasal (2) perkara 113 perlembagaan. Tambahan kerusi negeri yang disyorkan oleh SPR ialah 63 kerusi iaitu 2 untuk negeri Kelantan, 7 untuk Pulau Pinang, 7 untuk Perak, 4 untuk Pahang, 8 untuk Selangor, 4 untuk Negeri Sembilan, 3 untuk Melaka, 16 untuk Johor dan 12 untuk Sabah. Dengan cadangan tambahan kerusi ini, maka kerusi negeri bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah telah bertambah daripada 442 kepada 505 iaitu pertambahan sebanyak 63 kerusi.



5. Bagi negeri Terengganu, sungguhpun kerusi parlimen dan negeri tidak bertambah iaitu kekal pada bilangan 8 bagi kerusi parlimen dan 32 bagi kerusi-kerusi negeri, namun Suruhanjaya Pilihan Raya, berdasarkan kepada kriteria- kriteria dan panduan-panduan tertentu mendapati adalah perlu mengubahsuaikan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya bagi seluruh negeri Terengganu supaya taburan pemilih menjadi lebih seimbang dan rakyat mendapat perwakilan yang lebih adil.



Tuan Yang Di-Pertua,



6. Suruhanjaya Pilihan Raya telah pun menyiapkan kedua-dua laporannya berpandukan kepada prosedur-prosedur yang diberikan di dalam bahagian ii jadual ketiga belas perlembagaan. Kajian semula dan persempadanan yang telah dijalankan itu adalah juga diasaskan, setakat mana yang boleh, kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam bahagian i jadual ketiga belas Perlembagaan.



7. Laporan-laporan kajian semula dan persempadanan ini telah diserahkan kepada saya pada 21 Mac 2003 sebagaimana yang dikehendaki oleh seksyen 8 jadual ketiga belas perlembagaan. Laporan-laporan itu telah pun dibentangkan di dalam dewan ini sebagai kertas statut no. 35 tahun 2003 dan kertas statut no. 36 tahun 2003.



8. Sebagaimana ahli-ahli yang berhormat dapat lihat, laporan-laporan Suruhanjaya mengenai kajian semula dan persempadanan bahagian pilihan raya parlimen dan negeri bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri Sabah mengandungi 6 bab iaitu bab a hingga f. Laporan-laporan itu terkandung di dalam 2 jilid iaitu jilid i mengandungi bab a hingga e dan jilid ii mengandungi bab f, iaitu peta syor-syor persempadanan yang baru.



9. Bab a dalam laporan kajian semula dan persempadanan bahagian pilihan raya parlimen dan negeri bagi Negeri-negeri Tanah Melayu ada menerangkan dengan jelas latar belakang mengenai perkara-perkara bersabit dengan objektif kajian semula, keadaan sesebuah negeri, skop, penentuan bilangan pemilih, keadaan kemasyarakatan dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya. Bab a bagi negeri sabah mengandungi maklumat-maklumat mengenai objektif kajian semula, latar belakang keadaan negeri sabah seperti penduduk dan kebudayaan, keadaan muka bumi dan kawasan pilihan raya yang sedia ada. Bab b dalam kedua-dua laporan tersebut ada diterangkan mengenai aspek-aspek perundangan, panduan tugas dan kriteria pembahagian kawasan yang dipersempadankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Perkara yang penting di dalam bab b kedua-dua laporan ini yang perlu saya sebutkan ialah berkaitan dengan unit kajian semula kerusi-kerusi parlimen dan negeri.



10. Bagi tujuan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya fasal (6) perkara 113 dalam perlembagaan telah membahagikan Malaysia kepada unit kajian semula yang berasingan iaitu:



10.1 Negeri-negeri Tanah Melayu (termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya);



10.2 Negeri Sabah;



10.3 Negeri Sarawak (yang tidak terlibat dalam kajian semula ini buat masa ini)



Oleh sebab pembahagian Malaysia dibuat kepada tiga unit kajian semula seperti yang tersebut itu, Suruhanjaya Pilihan Raya perlulah mengemukakan laporan-laporan yang berasingan, iaitu satu bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan satu lagi bagi negeri Sabah. Negeri Sarawak tidak terlibat di dalam kajian semula ini buat masa ini.



Tuan Yang Di-Pertua,



11. Bab b laporan-laporan kajian semula dan persempadanan ini juga ada menerangkan bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan kajian semula dan persempadanan di samping maklumat-maklumat lain bersabit dengan prinsip-prinsip persempadanan, daftar pemilih, asas yang digunakan, purata bilangan pemilih bagi parlimen dan negeri, pembahagian daerah-daerah mengundi, nama-nama bahagian pilihan raya dan pemetaan. Sebagaimana yang telah saya terangkan sebentar tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya telah memulakan kerja kajian semula sejak bulan Ogos 2002 dan dengan yang demikian asas kajian semula daripada segi bilangan pemilih ialah daftar pemilih yang disahkan pada bulan Disember 2001 bagi Negeri- negeri Tanah Melayu dan Sabah. Jumlah pemilih bagi Negeri- negeri Tanah Melayu, termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ialah sebanyak 8,347,107 orang. Ini merupakan tambahan 22 peratus pemilih daripada pemilih tahun 1994 yang berjumlah 6,839,844 orang. Bagi negeri Sabah, jumlah pemilih ialah sebanyak 746,442 iaitu tambahan sebanyak 25% berbanding pemilih tahun 1994 yang berjumlah 598,312.



Tuan Yang Di-Pertua,



12. Bab c laporan-laporan Suruhanjaya itu mengandungi keterangan-keterangan berhubung dengan notis-notis dan pengesyoran-pengesyoran dan juga pameran-pameran serta rayuan-rayuan dan bantahan-bantahan dan seterusnya mengenai pindaan-pindaan kepada syor-syor Suruhanjaya yang keseluruhannya dilakukan mengikut prosedur yang terkandung di dalam bahagian ii jadual ketiga belas perlembagaan. Berhubung dengan rayuan-rayuan dan bantahan-bantahan bagi syor-syor yang disiarkan menerusi notis yang dipamerkan buat pertama kali pada 8 Ogos hingga 7 September 2002, Suruhanjaya telah menerima sebanyak 285 rayuan bagi negeri- negeri tanah melayu. Rayuan-rayuan itu telah diproses dan sebanyak 143 siasatan tempatan di semua negeri di semenanjung malaysia telah dijalankan. Bagi pameran yang kedua yang dibuat pada 16 Januari hingga 15 Februari 2003, Suruhanjaya telah menerima sebanyak 47 rayuan dan telah menjalankan sebanyak 11 siasatan tempatan di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Bagi negeri Sabah 66 rayuan telah diterima. Sebanyak 28 siasatan tempatan telah dijalankan di negeri Sabah di dalam bulan Oktober 2002. Pindaan-pindaan dibuat selepas siasatan-siasatan itu selesai dijalankan. Setelah notis dan syor-syor pindaan yang kedua dipamerkan daripada 27 Disember 2002 hingga 26 Januari 2003, sebanyak 16 rayuan telah diterima dan dua siasatan tempatan telah dijalankan pada 27 Februari 2003.



13. Bab d laporan-laporan itu mengandungi perakuan-perakuan Suruhanjaya Pilihan Raya. Perakuan-perakuan ini dapat diteliti sepenuhnya di dalam jadual i dan jadual ii yang menerangkan bahagian-bahagian pilihan raya parlimen dan negeri yang dicadangkan bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah dan juga daerah-daerah mengundi di dalam bahagian- bahagian pilihan raya parlimen dan negeri serta bilangan pemilih di dalam tiap-tiap bahagian pilihan raya.



14. Sepertimana ahli-ahli yang berhormat boleh lihat di dalam laporan-laporan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya ada mengesyorkan beberapa perubahan nama kepada bahagian pilihan raya yang sedia ada sekarang. Sebab-sebab perubahan itu dilakukan juga diberikan dalam laporan-laporan itu. Bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang baru Suruhanjaya telah mencadangkan nama-nama tertentu yang difikirkan sesuai dan ada antara nama-nama ini diubah setelah menimbangkan rayuan- rayuan yang dibuat oleh pengundi-pengundi tempatan atau pihak-pihak yang layak.



15. Bab e dalam kedua-dua laporan mengandungi lampiran- lampiran dan maklumt penting berkaitan dengan syor-syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.



16. Bab f dalam kedua-dua laporan mengandungi peta-peta yang menunjukkan sempadan-sempadan bahagian-bahagian pilihan raya parlimen dan negeri bagi Negeri-negeri Tanah Melayu, termasuk Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya dan Sabah. Peta-peta yang disediakan itu mengandungi asas-asas maklumat yang paling kemas kini, khususnya mengenai pertalian jalanraya, kereta api serta rangkaian sungai-sungai dan lain-lain lagi.



Tuan Yang Di-Pertua,



17. Satu perkara yang perlu dinyatakan di sini mengenai purata pemilih bagi negeri Sabah ialah bahawa amat sukar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menseimbangkan pemilih bagi tiap-tiap bahagian pilihan raya berpandukan kepada purata pemilih. Ini kerana terdapat kawasan-kawasan luar bandar yang keadaan topografi dan demografinya amat luar biasa, menyebabkan bilangan pemilih yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian tertentu di luar bandar lebih rendah daripada yang sepatutnya. Ini adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi negeri Sabah oleh kerana konsentrasi penduduk adalah tertumpu kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja, khususnya kawasan-kawasan yang telah membangun dan yang sedang dimajukan.



18. Sungguhpun demikian Suruhanjaya Pilihan Raya di dalam usahanya untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan di mana kemudahan-kemudahan perhubungan dan pengangkutan sangat terhad atau langsung tidak wujud, telah cuba mengurangkan keluasan sesebuah kawasan pilihan raya tanpa banyak menjejaskan jumlah pemilih supaya tidak jauh daripada angka purata pemilih yang telah ditetapkan.



Tuan Yang Di-Pertua,



19. Mengikut seksyen 9 jadual ke tiga belas perlembagaan, laporan-laporan itu hendaklah dibentangkan bersama dengan draf suatu perintah yang hendak dibuat di bawah seksyen 12 untuk menguatkuasakan dengan atau tanpa ubahsuaian syor-syor yang terkandung di dalam laporan itu. Draf-draf perintah itu sekarang ini ada di hadapan dewan ini sebagai kertas statut no. 37 tahun 2003 dan kertas statut no. 38 tahun 2003.



20. Sebagaimana ahli-ahli yang berhormat sedia maklum, kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya parlimen dan negeri bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dibuat sebagaimana yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya mengikut prosedur-prosedur dan prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Penambahan kerusi di Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah juga adalah sesuai dengan kemajuan negara dan perkembangan sosio-ekonomi sejak 8 tahun yang lalu serta juga peningkatan penduduk atau bilangan pemilih. Perubahan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri-negeri yang tidak mendapat tambahan kerusi parlimen atau negeri perlu dibuat bersesuaian dengan pembangunan infra-struktur dan perubahan muka bumi atau penempatan penduduk di seluruh Semenanjung Malaysia. Penambahan dan perubahan kawasan-kawasan pilihan raya parlimen dan negeri sebagaimana yang disyorkan dalam laporan- laporan itu akan memberikan peluang kepada rakyat untuk mendapat perwakilan yang lebih adil dan berkesan. Saya yakin ahli-ahli yang berhormat akan menyambut baik langkah yang telah diambil itu dan memberi sokongan kepadanya.



21. Akhirnya sukalah saya mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan penghargaan saya kepada pengerusi dan ahli- ahli SPR serta setiausaha dan seluruh pegawai-pegawai serta kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya yang telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam menyiapkan laporan ini dengan sempurnanya dalam tempoh yang singkat untuk dibentangkan bagi kelulusan dewan yang mulia ini.



Tuan Yang Di-Pertua,



22. Saya mohon mencadangkan.

Kami menerima 4,467,547 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri