Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PEGAWAI-PEGAWAI DAERAH DAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN TAHUN 2003
Lokasi : HOTEL CONCORDE, SHAH ALAM, SELANGOR
Tarikh : 14-04-2003
 


1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri kerana memberi penghormatan kepada saya untuk menyampaikan sepatah dua kata kepada Pegawai-pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan dari seluruh negara. Sebagai seorang yang telah begitu lama berkhidmat dalam kerajaan, mula-mulanya sebagai seorang pegawai M.C.S. dan kemudiannya sebagai seorang pemimpin politik, saya amat menghargai usaha dan dedikasi saudara-saudari memberi khidmat kepada rakyat di pelbagai peringkat, terutamanya di peringkat akar umbi. Syabas dan terima kasih diucapkan kepada saudara-saudari sekelian.



2. Perjumpaan seperti ini amatlah penting untuk kita bertukar pandangan dan pendapat mengenai pelaksanaan pelbagai program pembangunan. Melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik di kalangan Pegawai-pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan, saya yakin pelaksanaan program kerajaan dan khidmat kepada pelanggan dapat dipertingkatkan lagi. Saya juga berharap forum ini mampu mencetuskan idea dan pemikiran baru serta membawa pembaharuan kepada cara kita bekerja dan cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab.



3. Perubahan dan pembaharuan dalam perkhidmatan awam adalah diperlukan memandangkan senario di dalam dan luar negara kian bertambah rumit dan mencabar. Pergolakan global membawa pelbagai tanda tanya tentang masa hadapan kita bersama - termasuk tentang sistem dan susunan dunia baru. Sementara itu, dunia terus dipacu oleh proses globalisasi, liberalisasi dan pembangunan sains dan teknologi yang pesat, yang bakal membawa pelbagai perubahan kepada keadaan sosio-ekonomi global. Ini membawa implikasi besar kepada semua negara di dunia, terutamanya kepada negara-negara membangun seperti malaysia. Di antara lain, perkembangan sistem perdagangan dunia serta reka bentuk pasaran kewangan antarabangsa akan memberi kesan besar kepada kedudukan dan kemajuan negara kita di pentas dunia.



4. Dalam pada itu, keadaan di dalam negara terus berubah dengan kemajuan dan pembangunan yang dibawa. Pelbagai kemudahan dan infrastruktur kini dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh pelusok tanahair. Peluang- peluang bermutu terus disediakan untuk semua rakyat, terutamanya di dalam bidang pendidikan. Dengan itu, kualiti dan taraf hidup rakyat telah bertambah baik dan kini lebih selesa. Walaupun begitu, kemajuan yang dikecapi juga membawa banyak cabaran-cabaran baru. Beban kerja pegawai kerajaan menjadi lebih berat. Harapan dan aspirasi rakyat terhadap perkhidmatan awam di semua peringkat, terutamanya di sektor daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan, semakin meningkat. Rakyat sekarang lebih arif memilih dan menilai perkhidmatan yang diberi, dan keadaan ini dijangka bertambah sukar ("demanding") di masa-masa akan datang.



5. Senario dalaman dan luaran yang amat mencabar ini menuntut kita untuk terus memperbaiki dan memperkemaskan perkhidmatan awam negara. Sektor awam perlu terus relevan dan mampu memainkan peranan yang penting dalam membangunkan negara. Malah setiap sektor tempatan perlu dipertingkatkan lagi untuk membolehkan kita terus melangkah maju. Cita- cita besar negara, iaitu Wawasan 2020, akan menjadi bertambah rumit semakin hampir kita mendekati sasaran kita. Persaingan di rantau ini dan di peringkat antarabangsa akan bertambah sengit. Sekiranya kita tidak dapat bersaing dan menambah nilai ("value add") kepada produk dan perkhidmatan kita, maka kita akan ketinggalan dan mungkin tidak berjaya tergolong di kalangan negara-negara maju.



6. Justeru, kita perlu berusaha dan terus berusaha meningkatkan daya saing kita. Kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam adalah antara faktor penentu keupayaan kita untuk bersaing di arena antarabangsa. Sekiranya sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan ("government service delivery system") di dalam negara hambar, maka daya saing kita akan turut lemah dan tumpul.



7. Peranan saudara-saudari di dalam perkara ini amatlah kritikal. Pegawai-pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan merupakan barisan hadapan dalam menyampaikan perkhidmatan awam negara. Saudara-saudari merupakan titik pertemuan di antara kerajaan dan rakyat. Produk dan khidmat pelanggan yang disampaikan oleh pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan menjadi satu kayu pengukur terhadap kecekapan dan keberkesanan keseluruhan jentera kerajaan.



8. Pemikiran dan budaya kerja baru ("new, first-world thinking and work culture") diperlukan dalam perkhidmatan awam, termasuk di peringkat pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Sikap dan sistem nilai pegawai-pegawai di peringkat ini harus dibangunkan agar perkhidmatan yang diberi dikatakan cekap, berkesan dan responsif, serta sensitif terhadap persekitaran. Pengurangan karenah birokrasi, khidmat pelanggan yang mesra, ketelusan serta ketetapan masa perlu dijadikan tumpuan pejabat-pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan. Sebagai contoh, saya meminta saudara-saudari mengkaji proses-proses kerja yang ada, serta mengurangkan langkah-langkah birokrasi dalam mempertimbangkan mana-mana kelulusan dan permit yang dipohon.



9. Selain itu, struktur dan organisasi di pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu disusun dengan rapi agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna. Pejabat-pejabat ini perlu dibekalkan dengan sumber manusia, kemudahan dan instrumen yang mencukupi. Saya juga berharap kakitangan di pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan dapat diberi latihan dan dibekalkan dengan bahan rujukan (seperti manual kerja yang mudah dibaca) yang boleh membantu mereka menjalankan kerja dengan cekap dan berkesan.



10. Pembangunan negara yang pesat memerlukan pelaksanaan projek di peringkat akar umbi yang berjalan dengan pantas dan lancar. Untuk itu, pegawai-pegawai di peringkat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan harus bersikap "hands-on" dan bersedia untuk menangani apa-apa masalah yang timbul. Sekiranya masa pelaksanaan projek itu singkat, pegawai yang berkenaan patut merancang dan menggerakkan segala jentera yang ada untuk memastikan projek tersebut siap dari segi fizikal dan kewangan mengikut masa yang ditetapkan. Kelewatan sesuatu projek akan memberi kesan yang buruk kepada masyarakat setempat, baik dari segi faedah kepada golongan sasar yang tidak dinikmati mahupun dari segi suntikan kepada ekonomi yang tidak dirasai.



11. Walaupun begitu, saya juga ingin mengingatkan bahawa pelaksanaaan projek tidak berakhir dengan pelancaran bangunan atau infrastruktur yang telah siap dibina. Kelemahan dalam melakukan "follow-up" mahupun penilaian yang berterusan harus dibendung, apatah lagi kelemahan ini boleh dikaitkan dengan mentaliti dunia ketiga yang perlu diatasi dengan segera. Oleh itu, Pegawai-pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengadakan proses dan prosedur yang menitikberatkan kerja-kerja "follow-up" seperti penyelenggaraan ("maintenance") dan penyelesaian isu dan masalah yang timbul setelah infrastruktur tersebut mula digunakan. Saya berharap perkara ini tidak dipandang ringan dan tidak terlepas daripada skop kerja dan tanggungjawab pihak-pihak yang berkaitan.



12. Selain sikap dan budaya kerja yang unggul dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, saya juga ingin menekankan kepentingan nilai integriti dan "accountability" dalam menjalankan kerja-kerja. Ada persepsi yang mengaitkan pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan dengan insiden rasuah dan pecah amanah, termasuk di dalam hal pemberian permit dan pelaksanaan projek-projek. Persepsi seperti ini harus dikikis dan diperbetulkan melalui kecekapan dan ketelusan kerja. Pegawai-pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan harus berhati-hati dan menyiasat sebarang aduan atau kemusykilan dalam kerja-kerja yang dijalankan. Dalam pada itu, hukuman yang berat harus dikenakan ke atas kakitangan yang bersalah, sebagai tindakan punitif dan tindakan pencegahan agar perkara tersebut tidak berulang lagi.



13. Saya berharap persidangan ini dapat menjana rumusan- rumusan yang dapat memantapkan lagi pejabat-pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan di dalam negara. Oleh kerana peranan saudara-saudari dalam perakuan dasar dan strategi pembangunan negara amat bermakna dan diperlukan, saya berharap saudara-saudari akan bertindak proaktif dan memberi input dan maklumbalas yang bernas dalam perkara- perkara yang berkenaan. Ini termasuklah dalam proses Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan yang sedang dijalankan, yang bertujuan untuk menilai semula keutamaan projek-projek dan mengenalpasti apa-apa perubahan yang diperlukan dalam strategi pembangunan negara di masa hadapan.



14. Kerajaan menyanjung tinggi segala usaha dan sumbangan para pegawai daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam memajukan negara. Saya berharap saudara-saudari akan terus mempertingkatkan keupayaan dan kebolehan masing-masing, dalam usaha kita memperkukuhkan perkhidmatan awam dan meningkatkan lagi daya saing negara. Maka dengan harapan itu, dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan persidangan Pegawai-pegawai Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan tahun 2003.



Sekian, terima kasih.


Kami menerima 6,619,370 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri