Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA 2003
Lokasi : STADIUM MERDEKA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 20-04-2003
 



Alhamdulillah berbanyak syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan berkat dan kudratNya dapat kita berkumpul pada pagi yang bahagia ini, dalam suasana yang aman sentosa dan tenteram. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Permodalan Nasional Berhad kerana telah sekali lagi menjemput saya untuk melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia 2003.



Penganjuran Minggu Saham Amanah pada tahun ini sungguh bermakna kerana PNB baru sahaja menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25, di mana saya telah juga diberi penghormatan untuk merasmikan majlis tersebut. Saya ingin merakamkan penghargaan kerajaan kepada PNB yang telah bekerja keras menganjur Minggu Saham Amanah Malaysia bagi kali yang keempat berturut-turut semenjak tahun 2000.



3. Pada hemat saya, Minggu Amanah Saham adalah penting untuk meningkatkan fahaman orang ramai tentang unit amanah, industri unit amanah dan pasaran saham pada umumnya. Saya yakin bahawa, dengan usaha dan komitmen yang waja, PNB dan industri unit amanah akan berjaya mendidik rakyat tentang faedah membuat pelaburan menerusi unit amanah.



Tuan-tuan dan puan-puan



4. Alhamdulillah, ekonomi negara pada masa kini kukuh dan mempunyai potensi dasar untuk mencatatkan pertumbuhan yang baik. Gandingan usaha di antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat Malaysia telah memastikan bahawa kita hampir pulih sepenuhnya dari akibat krisis kewangan yang telah melanda rantau ini pada tahun 1997 dan 1998.



5. Namun begitu, perkembangan semasa menunujukkan betapa mudah kemakmuran dan keselesaan yang kita nikmati boleh terjejas. Keadaan di iraq yang semakin huru-hara mungkin akan merumitkan dan mengurangkan eksport negara ke pasaran timur tengah. Wabak SARS pula sudah mula meninggalkan kesan buruk ke atas sektor pengangkutan dan pelancongan negara. Semua faktor ini boleh menghakis keyakinan dan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.



6. Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang wajar untuk menghadapi cabaran ini bagi merangsangkan ekonomi. Perlu juga diambil kira bahawa salah satu kelebihan yang dipunyai Malaysia ialah kadar tabungan (savings rate) yang tinggi, yang melebihi 34% Keluaran Negara Kasar (KNK).



7. Tabungan ini, yang mana sebahagiannya dilabur dalam unit amanah, merupakan sumber kewangan yang memanfaatkan negara. Ini adalah kerana ia boleh disalurkan untuk kegunaan produktif yang boleh memberangsangkan ekonomi. Setiap pelaburan yang dibuat dalam unit amanah akan dilaburkan semula di pasaran modal atau pasaran kewangan. Ia mungkin digunakan untuk penggembelingan modal baru yang seterusnya dibelanjakan untuk mendirikan kilang, membiayai projek pembangunan, atau aktiviti ekonomi yang lain. Dengan cara ini, tabungan rakyat sedikit sebanyak dapat melindungi negara daripada kesan luaran yang boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.



Tuan-tuan dan puan-puan



8. Pada pendapat saya, menjual-beli unit amanah adalah cara yang bijak untuk membuat pelaburan di pasaran modal. Pada masa kini, terdapat hampir 880 syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur. Sudah tentu seorang pelabur tidak akan mempunyai masa dan sumber untuk meneliti prestasi setiap syarikat yang tersenarai sebelum melaburkan wang.



9. Sebaliknya, pelaburan menerusi unit amanah wang lebih mudah dan mengurangkan risiko, kerana sesebuah dana terdiri daripada pelaburan dalam pelbagai syarikat, pelbagai sektor ekonomi dan pelbagai instrumen kewangan. Ini bermakna, kejatuhan harga satu pelaburan boleh ditampung oleh kenaikan harga di sektor yang lain. Sebagai contoh, saya difahamkan kumpulan PNB kini telah melabur dalam 362 buah syarikat yang merangkumi kesemua sektor ekonomi Malaysia. Tambahan pula, pengurusan dana itu dilakukan oleh para profesional yang digajikan untuk melindung nilai wang pelabur.



10. Menurut statistik terkini, semakin ramai di kalangan masyarakat mengambil keputusan untuk melabur dalam unit amanah. Ini merupakan petanda baik bagi masa depan industri unit amanah. Walaupun pasaran saham turun naik, bilangan unit yang dijual oleh keseluruhan industri terus meningkat daripada 46.5 bilion dalam tahun 1998 kepada 84.5 bilion pada tahun lepas.



11. Namun, perlu disedari bahawa asas peningkatan jualan ini adalah keyakinan rakyat terhadap kemampuan para pengurus dana untuk menguruskan pelaburan dengan baik. Oleh itu, segala kerja perlu dijalankan dengan penuh kejujuran dan integriti. Pengurusan dana perlu dilakukan dengan teliti dan berhemah supaya amanah pelabur dijaga. Ini termasuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam urus tadbir korporat (corporate governance). Berbanding dengan pelabur individu, pelabur institusi mempunyai kemampuan dan sumber yang mencukupi untuk memantau tingkah laku syarikat yang dilaburinya.



12. Saya sarankan agar institusi-institusi seperti PNB memberi perhatian yang serius kepada isu ini, kerana urusniaga mereka dijalankan bagi pihak para pelabur yang telah menaruh kepercayaan kepada mereka. Wang yang mereka uruskan adalah wang rakyat. Justeru itu, inisiatif yang telah diambil oleh institusi-institusi pelaburan, seperti penubuhan badan pengawas pemegang saham minoriti, perlu disokong dan diteruskan, agar pelabur kecil diberi suara yang efektif dan pelaburan mereka dilindungi.



13. Di samping itu, syarikat unit amanah perlu memberi perhatian teliti supaya meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Mereka hendaklah peka terhadap kemahuan dan keperluan para pelabur. Ada pelanggan yang mahukan pulangan yang tinggi, ada pula mahukan pulangan yang lebih stabil. Maka, produk yang ditawarkan hendaklah inovatif dan serasi dengan profil risiko - pulangan yang dikehendaki.



Tuan-tuan dan puan-puan



14. Peningkatan jualan unit amanah mencerminkan keyakinan orang ramai untuk menambah tabungan mereka. Selain itu, ia menunjukkan orang ramai bersedia mempelbagaikan pelaburan dengan membeli unit amanah, selain bentuk tradisional seperti deposit bank, polisi insurans ataupun pelaburan tetap dalam bentuk hartanah.



15. Amalan menabung dan melabur perlu digalakkan, kerana ramai di antara masyarakat Malaysia, terutamanya kaum bumiputera masih tidak melaksanakan perancangan kewangan ataupun "financial planning" yang baik. Kita tidak seharusnya menggadaikan keselesaan jangka masa panjang kerana terlalu ghairah mahu menikmati kemewahan jangka pendek. Apa yang perlu ditekankan ialah mengapa perancangan kewangan itu penting, kaedah-kaedah yang boleh digunakan dan apa yang boleh dicapai di masa depan jika perancangan kewangan yang baik dilakukan di waktu muda.



16. Rakyat perlu sedar wang pencen dan simpanan mereka mungkin tidak dapat menampung keperluan pesaraan. Ada di antara mereka yang masih lagi terpaksa membayar balik hutang bank bagi pinjaman membeli rumah. Ada yang masih mempunyai anak-anak yang bersekolah, atau melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej dan universiti. Perbelanjaan dan yuran pendidikan pastinya lebih tinggi di masa akan datang. Malang lagi, ada di antara mereka ataupun anggota keluarga terdekat yang mengalami masalah kesihatan dan terpaksa mendapatkan rawatan berulang kali di hospital.



17. Kesemua ini belum lagi termasuk perbelanjaan harian bagi menampung keperluan makan minum, bayaran bil-bil dan sebagainya. Jika simpanan tatkala itu tidak mencukupi, atau kita langsung tidak mempunyai simpanan lain, sudah tentulah duit pencen yang kita terima atau wang yang telah kita keluarkan daripada kwsp tidak akan cukup untuk menampung keperluan keluarga di hari tua.



18. PNB dan industri unit amanah harus menerajui usaha mendidik masyarakat, supaya mereka dapat membuat keputusan pelaburan yang betul dan bijak, yang mana dapat memberikan pulangan yang diharapkan dalam tempoh yang dikehendaki.



19. Perancangan awal untuk menabung bagi tujuan pendidikan dan kesihatan di kalangan orang ramai secara tidak langsung akan membantu mengurangkan bebanan kewangan kepada kerajaan. Pada masa yang sama, ianya membolehkan kerajaan memberi lebih tumpuan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak berkemampuan dan bagi mereka yang di luar bandar.



20. Perancangan kewangan yang dimaksudkan bukanlah bertujuan untuk menjadikan kita semua jutawan segera seperti yang sering kali dijanjikan oleh pengusaha skim cepat kaya, tetapi adalah untuk memastikan masa depan yang lebih selesa, supaya kelak kita boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa terlalu mengharapkan bantuan orang lain, termasuklah anak-anak kita sendiri.



21. Walaupun kerajaan akan terus membantu dan menyediakan kemudahan kepada rakyat jelata, mereka yang berjaya dan mempunyai sumber kewangan sendiri tidak harus berpegang kepada mentaliti subsidi dan sentiasa bergantung kepada kerajaan untuk bantuan. Sebaliknya, usaha yang gigih dan pengurusan kewangan yang mantap akan menyumbang kepada sebuah negara yang lebih maju dan kaum bumiputera yang mampu berlari tanpa tongkat. Insyaallah, impian ini dapat dicapai dalam jangkamasa yang singkat.



Tuan-tuan dan puan-puan,



22. Suasana ekonomi global yang lembab dan peristiwa seperti serangan ke atas pusat dagangan dunia pada 11 September 2001 menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara pada tiga tahun pertama rancangan Malaysia kelapan berada di bawah paras yang diharapkan. Oleh itu kita mestilah berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencatatkan kadar pertumbuhan yang baik di tahun-tahun akan datang, agar matlamat Wawasan 2020 berjaya dicapai.



23. Saya yakin bahawa dengan sokongan padu semua lapisan masyarakat Malaysia kita boleh lakukan dengan jayanya. Pengalaman semasa krisis kewangan dulu menunjukkan bahawa kita berupaya mengharungi kemelesetan paling buruk yang pernah kita alami sebelum ini dengan cara kita sendiri tanpa meminta bantuan orang asing.



24. Di samping itu kita perlu juga membina dan membentuk pemikiran dan sistem nilai yang positif dan sesuai bagi membangunkan budaya produktiviti dan kecemerlangan, serta memastikan kejayaan kita dapat dikekalkan. Jika kita tidak mengubah pemikiran, sikap dan mentaliti kita, impian dan wawasan kita tidak mungkin akan dapat dicapai. Untuk melahirkan sebuah negara Malaysia yang lebih maju dan dinamik, kita memerlukan rakyat Malaysia yang juga berfikiran lebih terbuka, positif dan baik.



25. Kita perlu menilai kelemahan dan kekurangan kita dengan jujur dan terbuka, dan kemudian berusaha untuk memperbaiki diri dan pemikiran kita kepada yang lebih baik dan sempurna. Misalnya, jika dulu kita tidak merancang kewangan kita dengan baik, maka kini kita perlulah memikirkan perkara ini dengan serius. Jika dulu kita berpuas hati dengan pulangan yang dapat kita capai, maka kini kita perlulah berkerja keras untuk mengekalkan dan memperbaiki prestasi itu.



Tuan-tuan dan puan-puan,



26. Akhir kata, saya berharap orang ramai akan mengambil kesempatan daripada berbagai-bagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang Minggu Saham Amanah Malaysia 2003 ini untuk meningkatkan pengetahuan tentang unit amanah. Dengan harapan saudara saudari dapat memanfaatkan Minggu Saham Amanah ini dengan sepenuhnya, dan dengan lafaz "bismillah hirrahman nirrahim" saya dengan sukacitanya melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia 2003.


Kami menerima 6,616,766 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri