Saya mengucapkan terima kasih kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana sudi menjemput saya hadir untuk menyempurnakan Majlis Penutup dan Makan Malam Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2003. Masih segar dalam ingatan saya suasana ceria sewaktu merasmikan MSAM ini pada 20 April lalu.
2. Syabas dan Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada PNB kerana berjaya menganjurkan MSAM 2003, satu matlamat murni dalam mendidik dan menjana masyarakat berilmu dan bijak membuat perancangan kewangan dan pelaburan.
3. Sokongan dan kerjasama padu daripada para peserta pameran seperti badan-badan kawal selia, syarikat-syarikat pelaburan Kumpulan PNB, ejen-ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), agensi-agensi kerajaan dan warga kerja Kumpulan PNB, nyata membuahkan hasil yang baik sekali dan membanggakan. Sesungguhnya usaha pendidikan pelaburan bersepadu dengan penyertaan menyeluruh ini patut didukung oleh semua pihak. `Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat!'
4. Usaha pendidikan pelaburan bersepadu PNB dengan memberi penekanan kepada penyertaan menyeluruh masyarakat pelbagai lapisan patut dicontohi. Saya yakin usaha ini dibuat dengan perancangan yang teliti dan ternyata kini telah memperlihatkan kesan positifnya menerusi penganjuran MSAM 2003. Ini menunjukkan PNB bersungguh-sungguh untuk mendidik rakyat tentang pelaburan, khususnya dalam unit amanah, dan secara langsung meningkatkan jumlah rakyat yang berilmu dan celik pelaburan.
5. Peningkatan ilmu dan kemahiran perlu menjadi penekanan oleh semua pihak, terutamanya pengurus-pengurus dana supaya masyarakat lebih bijak dalam membuat perancangan kewangan dan pelaburan mereka. Memandangkan industri unit amanah kini memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara, penganjuran MSAM ini sangat besar makna dan kepentingannya dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat melabur dan mendidik tentang konsep risiko dan pulangan dalam pelaburan unit-unit amanah.
6. Kesedaran masyarakat terhadap potensi pelaburan dalam unit amanah dan sumbangannya kepada pembangunan ekonomi negara amat perlu dipertingkatkan dan diteruskan. Konsep risiko dan pulangan yang diberi penekanan oleh PNB perlu diberikan perhatian kerana pemahaman kedua-dua konsep ini akan membantu pelabur memahami tentang kadar pulangan bagi sesuatu pelaburan dan naik turun harga saham.
7. Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran MSAM 2003 sememangnya bersesuaian dengan sambutan Jubli Perak PNB, tambahan pula di stadiumnya sendiri. Usaha-usaha pendidikan seperti ini sepatutnya mendapat sokongan dan penyertaan semua pihak bagi memastikan matlamat penganjurannya tercapai.
8. Jumlah pengunjung ke pameran MSAM 2003 ini juga amat membanggakan, lebih-lebih lagi dengan pelbagai usaha giat PNB dan Sambutan 25 tahun PNB pada tahun ini, walaupun ada faktor-faktor yang mencabar seperti hujan. Saya difahamkan bahawa pelbagai aktiviti menarik yang berteraskan pendidikan untuk pelbagai lapisan masyarakat mendapat sambutan hangat seperti tahun-tahun lalu. Syabas! Ini merupakan petanda positif yang menunjukkan masyarakat kita pada hari ini tidak mahu ketinggalan dalam menimba ilmu tentang pelaburan dan kewangan.
9. Pada hari ini kita dapat melihat industri saham amanah negara berpotensi untuk dimajukan dan dikembangkan. Justeru, penglibatan menyeluruh daripada semua rakyat Malaysia amat diperlukan untuk merealisasikan matlamat ini, terutamanya dengan meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mereka tentang pelaburan. Penguasaan, kefahaman dan kemahiran tentang pelaburan dan unit amanah dapat dicapai seandainya rakyat mempunyai inisiatif dan menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
10. Kerajaan akan terus memberi sokongan padu kepada PNB dalam usaha meningkatkan masyarakat berilmu. Sesungguhnya dengan adanya ilmu dan kemahiran, kita mampu bersaing. Arus globalisasi menuntut kita untuk sentiasa berusaha menimba sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran. Hanya dengan inilah profesionalisma dapat dimantapkan.
11. Saya berharap PNB akan terus mengekalkan penganjuran MSAM pada setiap tahun dan juga mengadakan siri pameran berbentuk seperti MSAM ini secara terus sepanjang tahun, terutamanya di kawasan luar bandar dan ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Pameran tersebut perlu menekankan tentang sejarah penubuhan PNB, ilmu pelaburan dan pengurusan serta perancangan kewangan. Pendedahan ini penting dilaksanakan di kalangan generasi muda di peringkat yang awal.
12. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan rasminya menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2003.
Terima kasih.
|
|