|
Tema: Pengupayaan Dengan Penuh Kebertanggungjawaban Empowerment With Accountability
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian Kementerian Pembangunan Luar Bandar menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Konvensyen Gerakan Desa Wawasan ini. Saya berharap Konvensyen yang telah diadakan ini dapat menjana idea-idea baru untuk ditauladani oleh kepimpinan di desa dalam usaha membawa kesejahteraan kepada penduduk.
2. Apabila GDW ini dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 1996, ianya merupakan satu proses untuk membangkitkan kesedaran dan pembangunan potensi penduduk desa bagi membawa perubahan dan pembangunan yang lebih pesat ke kawasan luar bandar. Gerakan ini menekankan kepada penggemblengan tenaga, daya usaha serta penglibatan aktif penduduk desa itu sendiri dalam proses perancangan dan pelaksanaan program pembangunan di desa mereka.
Matlamat akhir pelaksanaan GDW adalah supaya penduduk desa mempunyai keazaman yang tinggi dan berusaha menjadikan kampung mereka sebagai desa yang maju, menarik dan menguntungkan menerusi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat serta institusi kepimpinan desa.
4. Dalam menempuh alaf baru yang sedang berkembang pesat , penduduk desa sentiasa menghadapi pelbagai cabaran global yang menuntut mereka membuat perubahan selaras dengan cabaran-cabaran semasa yang sedang dihadapi. Antara cabaran- cabaran tersebut termasuklah perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), globalisasi, liberalisasi perdagangan dan K-Ekonomi. Di dalam mengharungi gelombang teknologi maklumat dan komunikasi sekarang ini, terdapat jurang digital yang meluas di antara penduduk bandar dengan penduduk desa.
5. Kajian yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mendapati 25.5% responden di bandar mempunyai komputer yang disambung kepada internet berbanding hanya 9.6% responden dari luar bandar. Tahap pencapaian kemajuan teknologi dari segi info-struktur dan keupayaan memiliki komputer amat jauh berbeza. Ini menyebabkan jurang pengetahuan semakin melebar. Akibatnya penduduk bandar lebih bersedia menghadapi cabaran yang datang secara berterusan melalui teknologi maklumat dan komunikasi berbanding dengan penduduk desa. Kekurangan kemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan masyarakat desa tidak dapat memanfaatkan maklumat terkini dan seterusnya tidak dapat mempromosikan produk-produk keluaran mereka secara global di samping gagal mencari peluang- peluang perniagaan baru.
6. Cabaran globalisasi dan liberalisasi perdagangan serta kesannya kepada aktiviti ekonomi desa juga perlu diambilkira. Kedua-dua cabaran ini mempunyai kesan baik dan buruk kepada penduduk desa. Secara positifnya globalisasi dan liberalisasi akan membuka peluang-peluang perniagaan dan penggunaan barangan tanpa had. Peluang ini, jika direbut oleh penduduk desa dengan sebaik mungkin bersandarkan sumber- sumber desa yang pelbagai, akan memberi kemakmuran yang melimpah ruah kepada mereka.
7. Pada masa kini, kita sedang berada dalam proses transformasi ekonomi dari sebuah ekonomi yang berasaskan pengeluaran kepada ekonomi berasaskan pengetahuan iaitu K- Ekonomi. Dalam K-Ekonomi, pengetahuan, kreativiti dan inovasi merupakan faktor penting dalam menjana keuntungan ekonomi. Ia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada faktor- faktor pengeluaran seperti tanah, buruh dan modal. Sekiranya penduduk desa mempunyai ilmu yang cukup dalam bidang teknologi terkini di samping kemahiran dalam pertanian, teknikal, perindustrian dan sebagainya, saya yakin bahawa kita mampu untuk menghadapi era K-Ekonomi ini. Golongan yang terlibat dalam sektor pertanian di luar bandar perlu lebih peka terhadap transformasi ke arah K-Ekonomi ini kerana sektor pertanian masih menghadapi banyak kekangan. Antaranya tenaga kerja yang sudah berumur, kekurangan tenaga kerja, tahap pendidikan yang secara relatif rendah dan penggunaan teknologi yang minima. Oleh itu, satu anjakan paradigma perlu dilakukan dengan segera agar penduduk desa bersedia untuk menerima K-Ekonomi sebagai landasan dalam menjana pembangunan dan pertumbuhan di kawasan luar bandar.
8. Dalam hal ini, penduduk desa perlu menerima dan bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini kerana ia akan menentukan hala tuju dan pencapaian penduduk desa itu sendiri. Kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan daya tahan serta daya saing supaya kita berjaya mencapai matlamat pembangunan desa yang cemerlang dan bertaraf dunia. Sebaliknya jika kita tidak mampu untuk membuat perubahan dan persediaan secukupnya maka kita akan ketinggalan dan terpinggir dalam arus perdana pembangunan yang bersifat global. Ini bermakna, kita tidak mempunyai pilihan melainkan terus bersedia dan menyambut cabaran- cabaran tersebut dengan melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang-bidang teknologi terkini di samping perubahan sikap ke arah yang lebih positif.
9. Menjelang tahun 2020 kita mempunyai cita-cita hendak mewujudkan desa bertaraf dunia yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
Kampung-kampung menjadi lebih kompetitif dengan sektor pertanian, industri dan perkhidmatan menjadi aktiviti utama penduduk desa; Perkampungan-perkampungan tradisional harus menjadi lebih tersusun;
Industri besar dan kecil harus juga terletak di kawasan luar bandar. Industri-industri ini kebanyakannya berasas pertanian atau berasaskan sumber bio-diversiti dan sumber- sumber lain yang ada di desa;
Industri perkhidmatan muncul di pusat-pusat pertumbuhan yang akan juga dijadikan pusat pemasaran hasil-hasil desa;
Mampu mengeksport barangan ke pasaran dunia dan bersaing di pasaran global;
Pendapatan keseluruhan penduduk desa secara purata akan berada sekurang-kurangnya 80% pendapatan penduduk bandar; Kawasan desa harus cukup menarik dan mampu menjadi daya tarikan agar penduduk bandar berhijrah semula ke desa dan juga pelancong-pelancong asing datang mengunjunginya;
Pemikiran warga desa yang positif dan sentiasa berusaha ke arah penambahbaikan;
Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih; dan
Alam sekitar yang terpelihara 10. Dalam hal ini, saya ingin mengambil contoh sebuah syarikat tempatan di Kuala Kangsar, Perak yang mengeluarkan pingat sebagai produk keluarannya telah berjaya memasarkan produk tersebut ke luar negara. Persoalannya sekarang ialah bagaimana merealisasikan desa yang bertaraf dunia ke dalam agenda GDW yang sedang kita laksanakan? Adakah perlaksanaan GDW sejak tahun 1996 dapat mendorong kita untuk mencapai ciri-ciri desa bertaraf dunia? 11. Justeru, saya ingin mengimbas kembali pencapaian perlaksanaan GDW yang telah dan sedang kita laksanakan sekarang sebagai landasan untuk kita menuju ke arah desa yang bertaraf dunia. Sejak GDW dilaksanakan pada tahun 1996, saya dimaklumkan hampir separuh daripada 3,300 kampung yang terpilih menyertai GDW gagal memajukan kampung dengan aktiviti sosial dan ekonomi mengikut matlamat program yang telah ditetapkan. Kampung yang gagal mencapai matlamat diberi Gred C iaitu hanya mengekalkan logo dan papan tanda GDW sahaja. Kampung berkenaan lemah dari segi kepimpinan serta kurang penglibatan penduduk setempat. Hanya 12.3% atau 406 kampung GDW sahaja yang menunjukkan perubahan mencapai matlamat Gred A, manakala 1,436 (43.5%) kampung GDW mendapat Gred B iaitu pencapaian sederhana. Selebihnya Gred C iaitu 1,458 (44.2%) kampung.
12. Antara faktor lembapnya pencapaian matlamat GDW ini ialah masalah sikap yang berkait rapat dengan minda atau `mindset' di setiap peringkat perlaksanaan yang sukar menerima perubahan dan kurang kreatif dalam menjana pembangunan. Oleh itu, adalah perlu kita memfokuskan agenda GDW ini kepada matlamat perubahan minda bagi semua pihak yang terlibat dalam gerakan ini. Bagi penduduk desa pula, mereka perlu memiliki pemikiran yang positif dan sentiasa sensitif kepada perubahan dan pembaikan untuk mencapai desa yang bertaraf dunia. Oleh yang demikian, ianya memerlukan program perancangan dan perlaksanaan yang lebih teliti dan bersesuaian dengan tuntutan semasa.
13. Kelembapan GDW ini juga dikaitkan dengan aktiviti ekonomi yang terhad dan tidak mapan. Ini juga boleh dikaitkan dengan masyarakat luar bandar yang masih belum cukup berupaya menjanakan idea-idea kreatif dalam mencari peluang-peluang dan niche mereka di pasaran tempatan dan global.
14. Pada konvensyen GDW yang lepas, saya telah meminta supaya usaha-usaha digiatkan ke arah mewujudkan new sources of wealth atau sumber kekayaan baru yang dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan menggunakan sumber- sumber biodiversiti. Melalui hasil kajian seperti ini, sumber-sumber kekayaan baru seperti herba dan rumpai laut boleh diterokai dan dieksploitasi dalam mencipta peluang ekonomi komersial yang luas dan mempunyai nilai pasaran yang berpotensi tinggi bagi penduduk desa. Herba mempunyai banyak kegunaan daripada bahan-bahan ubatan kepada wangian, cucian dan pencegahan serangga. Di Malaysia, nilai pasaran produk herba pada tahun 2000 mencecah RM4.6 billion. Hutan hujan tropika Malaysia kaya dengan biodiversitinya termasuk tumbuhan herba yang masih belum diterokai seluasnya. Mungkin hanya lidah buaya dan tongkat Ali sahaja yang telah dikomersialkan oleh sebilangan kecil syarikat tempatan. Herba-herba jenis lain juga mempunyai nilai dan faedahnya sendiri seperti hempedu bumi untuk kencing manis, darah tinggi dan tonik kesihatan dan juga misai kucing untuk mengubati batu karang, gout dan darah tinggi.
15. Dalam alaf baru ini, peluang untuk mencipta sumber ekonomi tidak lagi bergantung kepada saiz tanah semata- mata, tetapi lebih cenderung kepada ilmu, kreativiti, teknologi, pasaran dan modal yang perlu dimiliki oleh individu. Sumber-sumber kekayaan baru ini juga tidak terhad kepada pertanian semata-mata tetapi diperluaskan kepada bidang-bidang ekonomi lain seperti perkhidmatan, pelancongan, pendidikan dan sebagainya. Masyarakat desa perlu terlibat sendiri dalam projek-projek pembangunan ekonomi yang lebih memberi impak kewangan yang berkesan dan berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.
16. Selain itu, kita juga perlu berfikir secara global dalam usaha merebut peluang ekonomi yang ada di pasaran dunia. Kita tidak boleh lagi tertumpu kepada pasaran yang sempit dan terhad, tetapi perlu melihat lebih jauh dan luas khususnya peluang-peluang pasaran di luar negara sama ada di rantau Asia, Eropah mahu pun di Timur Tengah. Misalnya, meletakkan labu sayung sebagai satu jenama bertaraf dunia sama ada melalui pengekalan bentuk labu sayung itu sendiri atau merekabentuk produk-produk baru. Di samping itu, dalam konteks persaingan global, aspek-aspek kualiti yang konsisten, penawaran yang tidak terputus dan kos yang rendah merupakan faktor yang penting menentukan kejayaan perniagaan. Di sinilah daya saing dan daya tahan pengusaha bergantung kepada kreativiti dan inisiatifnya dalam mencipta peluang yang lebih baik untuk merebut pasaran. Misalnya, kita boleh mengimport produk separa siap dari negara lain dengan harga yang murah, membuat penambahbaikan sama ada dari segi corak, warna atau hiasan luarannya dan mengeksportnya kembali dengan harga yang mahal ke pasaran yang lebih luas.
17. Setelah melihat pencapaian setakat ini dan mengambilkira kekurangan-kekurangan yang ada, saya meminta KPLB meninjau semula bagaimana GDW ini dapat diperkukuhkan lagi dengan memperhitungkan hanya tinggal 16 tahun atau 5,840 hari atau 140,160 jam sahaja lagi untuk kita mencapai Wawasan 2020. Oleh itu, saya ingin menyarankan agar Gerakan Desa Wawasan yang ada sekarang ini diubahsuai kepada satu gerakan dan mungkin dikenali sebagai Gerakan Daya Wawasan. Dalam usaha pengukuhan ini, perkara yang perlu diberi perhatian ialah aspek daya itu sendiri. Daya - ia merupakan satu dorongan dan ketahanan dalaman serta kebolehan seseorang individu dan kepimpinan masyarakat dalam berhadapan dengan cabaran semasa atau dalam mencapai sesuatu matlamat. Hendak maju seribu daya dan jika tidak seribu dalih.
18. Dalam semakan ini, saya syorkan KPLB memberi perhatian perkara-perkara berikut :
Apakah bentuk-bentuk daya yang perlu ada pada penduduk desa. Saya suka merujuk kepada tiga bentuk daya yang penting iaitu daya manusia, daya ekonomi dan daya pasaran. Daya manusia merujuk kepada kreativiti, kebertanggungjawaban, kepimpinan, kerjasama, ketekunan, toleransi, responsif dan nilai-nilai positif yang dimiliki oleh manusia itu sendiri. Daya ekonomi pula lebih cenderung kepada keusahawanan, sumber, tenaga kerja, modal, tanah, kewangan dan kepakaran. Manakala daya pasaran pula merujuk kepada daya saing, pemasaran, daya tahan, kualiti, rangkaian (networking) dan komunikasi;
GDW adalah merupakan tanggungjawab bersama dan ia memerlukan komitmen dari semua pihak. Tanggungjawab untuk menjayakan GDW ini bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi ia juga merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan pembabitan aktif penduduk desa, pemimpin, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan juga Institusi Pengajian Tinggi (IPT);
Adalah penting masyarakat luar bandar sendiri memainkan peranan proaktif dalam menentukan corak pembangunan yang berorientasikan community-based development atau pembangunan berteraskan masyarakat yang dapat membawa kesejahteraan kepada penduduknya. Dalam konteks ini, pelaksana GDW di peringkat akar umbi iaitu JKKK perlu diberi perhatian yang serius. Oleh kerana JKKK adalah jentera yang strategik di peringkat akar umbi, pemilihan JKKK perlu diteliti dan ahli- ahlinya perlu memenuhi syarat-syarat tertentu dan harus diadakan piawaian yang minima dalam kriteria pemilihan tersebut. Di sini saya ingin meminta pihak KPLB untuk mengkaji semula kemantapan organisasi JKKK yang sedia ada sebagai asas dalam merangka semula keperluan pengukuhan JKKK di kawasan luar bandar;
Pengupayaan ini memerlukan strategi peningkatan kefahaman yang berterusan dan bertubi-tubi melalui pendedahan, latihan dan sebagainya. Oleh itu, modul latihan perlu dibentuk sebegitu rupa supaya menepati keperluan GDW ; dan
Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan yang penting dan aktif dalam membantu Kerajaan dan juga masyarakat luar bandar untuk merealisasikan pencapaian matlamat GDW. Kerajaan Negeri boleh menjadikan GDW ini sebagai agenda utama dalam pembangunan negeri dan daerah di samping menjalankan pemantauan tentang kejayaan perlaksanaan GDW. Di sinilah pentingnya sinergi di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri di samping penglibatan aktif dari pihak NGO, swasta, IPT, JKKK, penggerak dan penduduk desa itu sendiri.
19. Peningkatan daya ini hendaklah dilihat secara total dengan penuh kebertanggungjawaban untuk melahirkan penduduk desa yang berdisiplin dan membantu dalam mewujudkan nation building yang mempunyai nilai-nilai murni dalam bentuk acuan kita sendiri sebagai yang dituntut dalam Wawasan 2020. Kita tidak mahu mewujudkan penduduk desa yang mempunyai daya ekonomi dan pasaran yang tinggi tetapi lemah dalam daya kemanusiaan.
20. Dengan meninggalkan tanggungjawab tambahan ini kepada KPLB, maka dengan lafaz Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, saya dengan ini merasmikan Majlis Konvensyen Gerakan Desa Wawasan Peringkat Kebangsaan Tahun 2003.
Terima kasih.
|
|