Terlebih dahulu saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama hadir di Majlis Perasmian Wisma TNB Perda pada hari ini.
2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Tenaga Nasional Berhad kerana memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan bangunan Wisma TNB Perda ini. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di atas usaha mendirikan sebuah lagi bangunan yang indah di negeri Pulau Pinang khususnya di bandar Perda ini.
3. Saya yakin kewujudan bangunan ini dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada warga kerja TNB untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu kepada pelanggan khususnya penduduk di daerah Bukit Mertajam dan Seberang Perai. Saya percaya dengan adanya kemudahan tersebut, penduduk daerah ini akan dapat berurusan dengan TNB dalam suasana yang lebih mudah dan selesa. Saya harap kemudahan-kemudahan termasuk pembayaran bil-bil elektrik, permohonan bekalan baru, masalah-masalah bekalan elektrik yang disediakan oleh Tenaga Nasional dapat dimanfaatkan oleh para penduduk di sini.
4. Rakyat sedar akan tanggungjawab untuk membayar bil dengan cepat. Sekiranya khidmat mesra pelanggan diperhebat melalui perkhidmatan yang cekap dan berkesan, ia pasti dapat membantu TNB memperolehi kutipan yang tinggi.
5. Sebagai satu agensi yang berhubung terus dengan masyarakat, Tenaga Nasional dan juga agensi-agnesi yang memberi khidmat sepertinya haruslah lebih peka kepada permintaan dan juga layanan yang diberikan. Adalah tidak wajar sekiranya pihak pengurusan hanya mementingkan keuntungan tanpa memberi perkhidmatan yang berkualiti.
6. Perkhidmatan yang bermutu dan berkualiti bukan sahaja terbatas kepada end product, umpamanya elektrik dari Tenaga Nasional, air dari syarikat yang membekalkan air atau pun perkhidmatan telefon oleh syarikat-syarikat telekomunikasi. Sejak kebelakangan ini, kita selalu mendengar dan juga membaca didalam keluhan penguna- pengguna yang mana perkhidmatan diberi, terutama dikaunter- kaunter dan juga layanan semasa aduan dibuat melalui telefon, adalah tidak wajar.
7. Sikap segelintir mereka yang menguruskan kaunter, kadangkala, indah khabar daripada rupa. Kita akui pada umumnya sikap mereka yang meguruskan kaunter yang memberi perkhidmatan kepada pelanggan dikaunter-kaunter adalah baik tetapi ada juga yang bersikap seolah-olah pengguna tidak mempunyai hak untuk membuat aduan. Begitu juga dengan mereka yang memberi perkhidmatan melalui telefon. Terdapat banyak aduan mengenai panggilan yang dibuat kepada talian aduan samada tidak dijawab ataupun diberi layanan yang kasar.
8. Kita harus ingat, kekuatan sesuatu syarikat seperti Tenaga Nasional bergantung kepada kepuasan pengguna, atau customer's satisfaction. Sikap tidak acuh harus dikikis. Pelanggan harus dilayan dengan mesra kerana tanpa pelanggan, kehidupan pekerja-pekerja mungkin terjejas. Tidak ada sebab mengapa kita harus memberi layanan yang kurang mesra kerana sebagai rakyat Malaysia, kita ini terkenal diseluruh dunia dengan budi bahasa.
9. Saya menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh TNB untuk mempertingkatkan perkhidmatan di negeri Pulau Pinang dengan menyediakan ruang perkhidmatan pejabat yang lebih selesa untuk pelanggannya dan mewujudkan satu sistem penyampaian aduan terkini.
10. Saya percaya rakyat sedar akan pembangunan yang semakin pesat di setiap daerah di negeri ini. Pembangunan dan segala kemajuan yang telah kita capai sekarang ini adalah hasil perancangan yang rapi dan usaha gigih semua pihak mahupun kerajaan dan swasta. Kita harus bersyukur kerana dapat berada di dalam sebuah negara yang aman dan makmur di samping menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat dan menggalakkan.
11. Kerjasama yang erat antara agensi kerajaan dan swasta menjadi kian dinamik dengan persediaan prasarana yang serba lengkap dan menarik. Saya yakind engan pertumbuhan ekonomi yang mantap berlandaskan kepada penggunaan teknologi terkini, sudah tertentu kita dapat meyakinkan para pelabur asing untuk datang melabur di negara ini, khususnya negeri pulau pinang. Kerjasama ini perlu diteruskan untuk memastikan projek-projek yang dirancang tidak tergendala dan dapat berjalan lancar.
12. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada kerajaan negeri pulau pinang untuk memberikan segala kerjasama kepada TNB dalam menjayakan projek bekalan elektrik di negeri ini. Kepada penduduk Bukit Mertajam khasnya, saya berharap agar dapat menggunakan kemudahan bekalan elektrik yang disediakan oleh TNB dengan sebaik-baiknya. Semoga doa dan usaha kita diberkati allah subhanu wa taala.
13. Akhir sekali, dengan lafaz Bismillahir Rahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Wisma Pejabat Tenaga Nasional bandar Perda ini.
Terima kasih. |