Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN KOLEJ TUNKU ABDUL RAHMAN CAWANGAN PERAK
Lokasi : KAMPAR, PERAK
Tarikh : 18-05-2003
 











Saya bersyukur kehadrat ILAHI kerana mendapat penghormatan diundang menjadi tetamu untuk menyempurnakan perasmian Kolej Tunku Abdul Rahman Cawangan Perak pada pagi ini. Saya mengucapkan tahniah atas satu lagi tahap kemajuan yang dicapai oleh Kolej Tunku Abdul Rahman dalam memenuhi asprisasi untuk menyediakan prasarana pendidikan tinggi kepada warga Malaysia.



2. Kolej Tunku Abdul Rahman telah mula menawarkan kemudahan pendidikan tinggi sejak 34 tahun lalu, bermula dengan 700 penuntut dan dalam tempoh masa tersebut telah mengeluarkan lebih 100,000 graduan. Kebanyakan mereka telah memenuhi keperluan tenaga terlatih, sama-sama memainkan peranan di pelbagai sektor membantu usaha membangunkan negara. Ramai di antara graduan Kolej ini telah mencapai puncak kejayaan. Di dalam politik, antara graduan Kolej ini yang telah mencapai kejayaan cemerlang adalah Yang Berhormat Dato' Seri Ong Ka Ting (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Yang Berhormat Dato' Chan Kong Choy (Timbalan Menteri Kewangan) dan Yang Berhormat Dato' Lee Hwa Beng (Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya). Lebih membanggakan, ketiga-tiga mereka datang dari keluarga miskin di Perak , di Pahang dan di Melaka. Prasarana pendidikan yang disediakan oleh Kolej Tunku Abdul Rahman dengan kadar yuran yang rendah telah membolehkan ketiga-tiga pemuda tersebut melanjutkan pelajaran mereka di peringkat tinggi. Ketiga-tiga mereka adalah contoh kepada ribuan lagi anak- anak Malaysia yang lahir dan berasal dari keluarga miskin, tetapi hari ini melalui peluang dan kebolehcapaian (accessibility) mengikuti pengajian di peringkat tinggi telah dapat membawa mereka dan keluarga mereka keluar dari alam kemiskinan.



3. Terbukti bahawa pendidikan berperanan penting merealisasikan agenda pembasmian kemiskinan. Amatlah nyata bahawa pendidikan merupakan pendekatan membasmi kemiskinan paling berkesan. Di samping itu, program pendidikan yang berwawasan, yang berasaskan falsafah pendidikan negara, turut membantu menjalinkan hubungan kaum dan mempereratkan ikatan harmoni di antara warga pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Pendidikan juga membantu menyuburkan amalan demokrasi di dalam sesebuah negara kerana masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan, lebih rasional dan objektif sifatnya, senantiasa memahami dan menghormati kedaulatan undang-undang.



4. Institusi pendidikan berperanan besar dalam membantu usaha pembangunan baik kepada negara, kepada masyarakat dan kepada individu. Kepada negara, institusi pendidikan adalah sumber yang melatih tenaga berpengetahuan dan tenaga mahir yang menjadi semakin diperlukan dalam ekonomi yang lebih berpaksikan pengetahuan (knowledge base economy-k economy). Kepada masyarakat, institusi pendidikan berperanan sebagai agen kepada pelbagai perubahan - perubahan kepada guna tanah, perubahan kepada struktur fizikal dan struktur sosial yang berlaku di persekitaran sesebuah institusi, perubahan kepada budaya pemikiran, cita rasa, nilai dan kualiti kehidupan. Kepada individu, institusi pendidikan secara langsung membantu perkembangan minda dan membina keyakinan diri melalui penguasaan ilmu - penguasaan kemahiran, hingga mengupayakan seseorang individu dapat mencapai taraf profesional dan kepakaran lalu meletakkan individu berada pada taraf sosial dan taraf ekonomi tertentu dalam struktur masyarakat.



5. Globalisasi dan kemajuan pesat teknologi meningkatkan keperluan sumber manusia terlatih yang kaya dengan pengetahuan yang menguasai kemahiran serta analitikal dan `superior' dari segi pemikiran. Keperluan menyediakan tenaga mahir dan tenaga berpengetahuan adalah cabaran berterusan kepada sistem dan pendekatan pendidikan. Setiap institusi pengajian terutama di peringkat pengajian tinggi hendaklah senantiasa mengubah suai kurikulum dan pendekatan pengajaran untuk memenuhi cabaran tersebut. Pengenalan kepada teknologi baru perlu diserapkan secara optima - secara efektif menghala ke arah inovasi dan penciptaan penemuan baru. Institusi pendidikan tidak cukup sekadar menjadi pusat penyebaran pengetahuan sedia ada tetapi perlu berani melakukan eksperimen untuk menghasilkan penemuan baru dan mengeluarkan graduan yang berupaya berdaya saing di pentas dunia yang lebih luas.



6. Graduan Malaysia di era teknologi maklumat perlu diperlengkapkan bukan sahaja dengan kelulusan akademik dan teknikal, tetapi perlu memiliki pelbagai kemahiran, menguasai teknologi maklumat dan komunikasi secara cekap di samping mempunyai kemahiran pengurusan dan semangat usahawan supaya mereka mencapai tahap kematangan, bersedia menghadapi perubahan teknologi yang berlaku secara pesat dan memiliki kekuatan menghadapi realiti dunia semasa.



7. Dalam merangka tanggung jawab institusi di bidang akademik, adalah menjadi hasrat negara untuk institusi pendidikan tidak membataskan peranan semata-mata untuk mengeluarkan graduan dengan segulung ijazah. Semasa berada di institusi pengajian, pembangunan sahsiah mahasiswa hendaklah turut diberi tumpuan. Mahasiswa ijazah pertama, majoritinya berada dalam lingkungan usia 19 - 24 tahun. Usia tersebut adalah usia formatif ke arah menuju kedewasaan. Usia formatif sebelum melangkah ke fasa yang mereka perlu mengambil tanggung jawab lebih luas untuk melangkah ke alam pekerjaan dan hidup berfamili. Mereka amat perlu diterapkan dengan nilai-nilai positif untuk hidup berfamili, bermasyarakat dan bernegara dengan mempunyai nilai, pemahaman, tafsiran dan pandangan yang betul terhadap negara dan dunia.



8. Sekali lagi saya ingin tegaskan kebimbangan saya terhadap nilai dan sikap warga kita yang memperlihatkan pemikiran negara ketiga dalam mengendalikan kemudahan bertaraf dunia pertama. Apalah ertinya bagi negara yang mempunyai kemudahan prasarana dunia pertama jika masih dikendalikan dengan pemikiran dunia ketiga. Kita membina lebuh raya bertaraf dunia, kita telah mampu mengeluarkan kereta dan motosikal buatan sendiri, dihasilkan oleh jurutera dan juruteknik yang berijazah dan berdiploma, namun saban hari kita menghadapi statik kemalangan jalan raya antara yang tertinggi di dunia. Kita melihat eksekutif dan pengurus yang telah memiliki ijazah, berpakaian segak dengan tali leher, `suite', kemeja dan kasut berjenama, namun tanpa segan silu secara terbuka membuang sampah dan puntung rokok di merata tempat, walaupun budaya menjaga kebersihan itu telah patut diamalkan sewaktu di peringkat lulusan tadika lagi. Warga kita memiliki teknologi komputer tetapi kemudiannya menjadi perompak. Kita berusaha melahirkan kumpulan intelek, tetapi gagal menjadikan mereka warga yang menghormati khazanah intelek lalu terlibat menjadi pengedar, pembekal dan konsumer kepada bahan cetak rompak. Negara terus melakukan pelaburan besar di bidang pendidikan untuk melahirkan lebih ramai kumpulan terpelajar - kumpulan intelek, namun di kalangan mereka turut terlibat menjadi konsumer kepada VCD lucah. Bagaimana pula dengan perkara- perkara yang lebih mencabar di alam pekerjaan, menyentuh amalan pembaziran, penipuan, pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah.



9. Taraf negara maju tidak dapat dicapai semata-mata melalui kemudahan prasarana fizikal yang hebat. Taraf moral dan amalan murni sebagai komponen budaya dalam sesebuah negara akan menentukan status tamadun sesebuah negara dan bangsa. Pembentukan minda, pembentukan sahsiah, pembentukan nilai dan pembentukan diri amatlah penting diutamakan. Kerana itu matlamat pendidikan secara total hanya akan tercapai melalui kurikulum dan program kokurikulum yang seimbang. Program pembangunan manusia tidak terbatas sekadar menjaminkan mereka mendapat sekeping ijazah. Institusi pendidikan di Malaysia baik institusi awam mahupun institusi swasta mempunyai tanggung jawab terhadap negara, terhadap masyarakat dan terhadap individu untuk melahirkan warga muda dan warga muka yang seimbang, cemerlang dalam pencapaian akademik - tersohor dari segi keperibadian; menjadi graduan yang kukuh berpegang kepada prinsip, tinggi nilai moral, kaya dengan sifat kemanusiaan, luas dari segi pandangan.



10. Saya percaya jika setiap institusi pengajian di dalam negara dapat menghayati aspirasi dan dapat mendalami wawasan negara, mereka dapat berperanan secara berkesan membantu negara melahirkan graduan yang seimbang dari segi menguasai pengetahuan dan menguasai kemahiran serta diperkukuhkan dengan pengalaman dan diperlengkapkan dengan kematangan melalui pendidikan berkualiti dan komprehensif. Jika peranan tersebut dapat dipenuhi, maka institusi pendidikan di Malaysia akan dipandang tinggi kerana menghasilkan graduan yang memiliki kualiti yang amat istimewa. Saya menyeru kepada para mahaguru di setiap institusi pendidikan untuk bersedia dan secara bersungguh membantu negara mengambil peranan untuk merealisasikan impian ini. Anggaplah peranan ini sebagai satu khidmat kepada negara. Anggaplah tugas ini sebagai satu penghormatan - sebagai satu tugas mulia yang akan menguntungkan institusi pendidikan dalam jangka panjang. Anggaplah permintaan ini sebagai satu usaha ke arah meletakkan satu piawaian supaya institusi pendidikan di Malaysia memiliki `branding' yang unik lagi istimewa yang dapat mengharumkan nama institusi pendidikan dan negara Malaysia.



11. Kampar di satu masa dahulu dikenali dengan kekayaan hasil bumi dan telah mengeluarkan bijih timah ke serata dunia. Kini Kampar dalam tempoh yang singkat telah mula dikaitkan sebagai sebuah kota pelajar - satu `education hub'. Susulan kepada wawasan bijak kepimpinan kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan, Kampar dianjurkan akan kembali menjadi bandar yang lebih makmur dari era kegemilangan bijik timah di Lembah Kinta dahulu. Dalam tempoh yang tidak terlalu lama, Kampar yang sedang dalam proses menjadi pusat pertumbuhan ilmu, akan mengeluarkan ribuan malah ratusan ribu graduan baik dari Kolej Tunku Abdul Rahman mahupun Universiti Tunku Abdul Rahman. Setiap graduan yang dihasilkan oleh kedua-dua institusi ini akan mempunyai kenangan penuh nostalgia kepada bandar ini dan kepada negeri Perak.



12. Dalam tempoh jangka panjang, Kampar akan memperolehi banyak manfaat. Kampar mungkin juga akan membangun sebagai pusat pelancongan pelajar ataupun `education tourist spot'. Kampar akan mempunyai penduduk dengan komposisi nisbah pelajar yang ramai Di antara graduan yang telah tamat pengajian, peratusan besar dipercayai akan berkunjung semula ke Kampar atas pelbagai sebab, utama sekali nostalgia kenangan di hari muda terutama di kalangan mereka yang talian kasih dan ikatan jodoh berputik di sini. Keperluan barangan dan corak urusniaga di Kampar akan banyak dipengaruhi oleh arah haluan generasi remaja dan masyarakat pelajar. Kampar perlu menyediakan kemudahan dan `outlet' yang sesuai dan sihat bagi menampung keperluan sosial, keperluan kemudahan dan keperluan perkhidmatan kumpulan ini yang harmoni dengan budaya persekitaran. Oleh itu, eloklah difikirkan perancangan pembangunan bandar Kampar secara tersusun - secara komprehensif, malah amat bertepatan untuk Kerajaan Negeri Perak mula memikirkan satu pelan induk pembangunan Kampar dengan berimejkan kota pelajar.



13. Saya juga berpandangan bahawa dalam program pembangunan yang sedang berlaku di Kampar ini, adalah baik untuk masyarakat tempatan dipandu, di bawa bersama dan diberikan keutamaan mendapat manfaat dari pada peluang-peluang pertumbuhan ekonomi yang sedang dan akan berlaku di kawasan persekitaran. Adalah diramal bahawa susulan dari pertumbuhan ekonomi yang berlaku, banyak kegiatan hiliran akan menyusul yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat sekitar. Lanskap sosial dan lanskap ekonomi di Kampar akan melalui satu transformasi. Kampar akan menjadi sebuah bandar yang tentunya amat memerlukan industri perkhidmatan yang cekap dan efektif, yang moden dan canggih serta tenaga perkhidmatan awam yang setimpal dari segi saiz, keupayaan dan kompetensi (competency) dengan perkembangan yang sedang rancak berlaku. Oleh itu agensi-agensi berkaitan hendaklah bertindak secara proaktif terhadap perkembangan yang berlaku ini. Dalam perancangan tersebut pemimpin dan masyarakat tempatan janganlah bersikap pasif dan menjadi penonton semata-mata. Sewajarnya masyarakat tempatan dari semua golongan, lapisan dan kumpulan dijadikan rakan perkongsian bistari dalam proses perubahan ini. Kesan limpahan pembangunan di Kampar hendaklah dapat memberi manfaat yang seimbang lagi saksama kepada masyarakat Malaysia pelbagai kumpulan berteraskan semangat Dasar Ekonomi Baru.



14. Semoga segala usaha pembangunan yang dijalankan baik di pihak Majlis Universiti dan Kolej Tunku Abdul Rahman mahupun di pihak Kerajaan akan memberikan manfaat untuk kesejahteraan pelajar ,ibu bapa, tenaga pelajar dan tenaga pengurusan kedua institusi tersebut begitu juga kepada rakyat jelata di sekitar Kampar.



Terima kasih.












? ?

Kami menerima 6,619,402 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri