Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : UPACARA PECAH TANAH KOLEJ UNIVERSITI KEJURUTERAAN UTARA MALAYSIA(KUKUM)
Lokasi : TAPAK PROJEK, PAUH
Tarikh : 02-06-2003
 











Saya merasa amat gembira sekali pada hari ini kerana satu lagi impian kerajaan nampaknya sedang giat direalisasikan. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang telah memudahkan jalan bagi Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) mengorak langkah memulakan operasinya sejak setahun yang lalu, dan seterusnya terus bergerak ke hadapan sehingga sampai ke tahap di mana upacara yang amat bersejarah pada hari ini.



2. Pada hari ini, satu lagi lembaran sejarah sedang diukir. Alhamdulillah sekali lagi ke hadrat Illahi yang mengizinkan perhimpunan pagi ini diadakan. Semoga majlis ini diberkati Nya dan dijadikan Nya sebagai asas kepada perkembangan-perkembangan lain yang dapat terus-menerus menyemarakkan lagi pembangunan di dalam negara kita yang tercinta ini.



3. Kepentingan pendidikan sememangnya tidak dapat dipertikaikan. Negara membangun seperti Malaysia tiada pilihan lain untuk menangani pelbagai cabaran yang melintang dalam ia meniti jalan menuju kepada status negara maju, sebagaimana yang ia cita-citakan. Dasar kerajaan di dalam aspek pendidikan tidak pernah berubah sejak dari dahulu lagi. Pendidikan merupakan sebahagian dari perjuangan kita yang kekal abadi.



4. Setelah sekian lama kita mengamalkan dasar ini, hasilnya kian terserlah. Unit Perancang Ekonomi dalam laporannya bertajuk `Kualiti Hidup Malaysia Tahun 2002' menyatakan bahawa pendidikan adalah penyumbang yang ketara dalam peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia, dengan peningkatan indeks kualiti hidup sebanyak 18.4 mata di antara tahun 1990 dan tahun 2000. Dengan hasil yang begitu baik ini, kerajaan akan terus menjadikan pendidikan sebagai salah satu pemacu utama pembangunan negara.



5. Walaupun terlalu banyak yang telah kita lakukan di dalam arena pendidikan, dan agak hebat juga kemajuan yang telah kita capai setakat ini, namun begitu, hakikatnya ialah perjalanan kita masih jauh sekali. Negara masih memerlukan ramai jurutera mahir yang mampu menjadi pemimpin-pemimpin Sains dan Teknologi di dalam alaf baru yang serba mencabar ini. Siapakah pemimpin-pemimpin Sains dan Teknologi ini? Mereka adalah tenaga muda terpelajar yang bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran, tetapi juga memiliki dan mengamalkan sikap dan nilai positif untuk meningkatkan keupayaan diri serta memakmurkan negara. Dalam dunia yang bergerak dengan berpaksikan kepada ilmu pengetahuan semata- mata ini, tanpa ilmu dan amal, maka segala aspirasi dan harapan tidak akan menjadi kenyataan.



6. Selaras dengan tuntutan tersebut, dan sesuai dengan cita-cita negara untuk menjadikan sekurang-kurangnya 50% dari anak muda kita yang berusia dalam lingkungan 18-25 tahun mendapat pendidikan tertiari, maka banyak universiti- universiti baru ditubuhkan. KUKUM merupakan yang terbongsu di antara universiti-universiti awam di negara ini. Walaupun perbelanjaan penubuhan sesebuah universiti itu bukannya sedikit, kerajaan tetap sanggup mengeluarkan perbelanjaan tersebut. Ini kerana kita yakin bahawa pendidikan adalah pelaburan yang tidak pernah mendatangkan kerugian.



7. Dalam kesemua rancangan 5 tahun Malaysia, pendidikan menelan belanja amat besar. Sungguhpun kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi membiayai pendidikan tinggi, tetapi IPTA masih tidak dapat menyediakan infrastruktur, kemudahan dan tempat yang cukup bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat. Setiap tahun lebih kurang 400 ribu pelajar daripada sekolah bantuan kerajaan, swasta mahupun persendirian menduduki peperiksaan SPM dan rekod pada tahun 2002 adalah seramai 412,577 orang manakala untuk peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bilangan calon tahun 2002 adalah sejumlah 47,022 orang. Daripada jumlah ini hanya 30% yang berjaya melanjutkan pengajian mereka ke institusi-institusi pengajian tinggi samada di dalam mahupun luar negara. Peluang pengajian di IPTA adalah terhad kerana IPTA yang sedia ada hanya dapat menampung 10% daripada pelajar lepasan SPM dan STPM yang layak pada setiap tahun.



8. Namun begitu, wajar diingatkan bahawa bilangan universiti yang ada dan bilangan graduan yang dihasilkan sahaja tidak cukup untuk dijadikan kayu ukur kemajuan pendidikan tinggi negara. Persoalan-persoalan asas seperti universiti yang bagaimanakah yang kita ada, dan graduan jenis apakah yang kita keluarkan harus senantiasa difikirkan dan diambil tindakan yang sewajarnya. Ini amat mustahak, lebih-lebih lagi sekiranya difikirkan bahawa terlalu banyak harapan diletakkan di atas bahu institusi-institusi pendidikan tinggi negara.



9. Kita harus bersyukur kerana negara kita aman dan makmur. Dalam suasana sebegini kita dapat merancang pelbagai kegiatan serta membuka banyak peluang yang saling menguntungkan rakyat jelata. Antara peluang itu ialah bidang pendidikan yang terbuka kepada semua rakyat menimba ilmu dari peringkat yang serendah-rendahnya hinggalah ke peringkat menara gading. Berkat perancangan yang rapi dan tersusun, maka pada hari ini kita dapat melahirkan ramai cerdik pandai, golongan profesional dan teknokrat yang kini menjadi tenaga penggerak utama di dalam pelaksanaan rancangan-rancangan pembangunan negara. Hari ini telah terbukti negara kita telah dan sedang mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi dalam banyak bidang. Oleh yang demikian saya berharap pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dapat menyesuaikan diri mereka dengan keperluan pasaran, relevan dan berguna kepada masyarakat.



10. Kita memerlukan sumber tenaga manusia berpengetahuan, berkemahiran dan beketerampilan bagi membolehkan kita berdaya saing. Kekurangan tenaga kerja mahir terutamanya guna tenaga akan memperlahankan peralihan Malaysia ke ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan membantutkan pencapaian aspirasi negara untuk mewujudkan struktur sumber manusia yang mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia.



11. Dengan bertambah pentingnya ekonomi berasaskan pengetahuan dalam abad ke-21 ini, maka ketiga-tiga mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris akan terus menjadi lebih penting untuk para pelajar menimba ilmu pengetahuan yang berasaskan sains dan teknologi. Kekurangan tahap prestasi pelajar khususnya Bumiputera dalam Matematik dan Sains serta kelemahan mereka menguasai Bahasa Inggeris dengan baik telah menjejaskan penyertaan mereka di dalam bidang berkaitan di peringkat universiti. Kedudukan negara ini masih rendah dari segi kemajuan di bidang penyelidikan apabila dibandingkan dengan negara maju. Misalnya, bilangan ahli sains dan teknologi di bidang penyelidikan dan pembangunan di Malaysia dalam tempoh 1990-1996 hanyalah 2 orang bagi setiap 10,000 penduduk berbanding dengan 71 orang di Jepun dan 29 orang di Korea Selatan. Sekiranya keadaan ini berterusan, keupayaan Malaysia untuk menjadi kompetitif pada peringkat antarabangsa akan terjejas.



12. Saya gembira kerana di KUKUM ini, pendekatan pengajaran pembelajaran yang digunakan adalah pendekatan `hands-on' di mana pelajar menjalankan lebih banyak praktikal berbanding pembelajaran teori. Selain itu, di sini, kemahiran komunikasi dan keusahawanan juga amat dititikberatkan. Harapannya agar graduan KUKUM nanti mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang unggul, yang membolehkan mereka berupaya menyumbang kepada negara dengan cara yang lebih positif. Mereka tidak perlu lagi menunggu untuk mendapat kerja makan gaji semata-mata kerana mereka sudah dilengkapkan dengan keupayaan untuk berdikari. Sebagai usahawan, mereka ini adalah golongan `job-creators' dan bukannya `job-seekers'. Ini kerana usahawan-usahawan muda ini kelak bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan untuk diri mereka sendiri, malah mereka juga akan dapat membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang lain.



13. Saya juga dimaklumkan bahawa pembangunan kampus KUKUM adalah berpandukan kepada konsep KAMPUS ALAM. Sebuah Kampus Alam bukan sahaja menitik-beratkan aspek alam sekitar, tetapi juga aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya bagi membina suasana kondusif yang memungkinkan pelajar dan staf dapat belajar dan bekerja dengan sebaik-baiknya. Saya harap kampus ini akan menjadi sebuah kampus yang mesra pelajar, mesra staf, dan mesra masyarakat. Hendaknya KUKUM akan mengambilkira kepentingan semua golongan, termasuklah golongan Orang Kurang Upaya.



14. Syabas saya ucapkan kepada KUKUM dan kerajaan negeri atas segala daya usaha murni yang dilakukan bagi membangunkan tempat ini. Saya harap kejayaan yang kita semua harap-harapkan tidak tinggal harapan semata-mata. Sebaliknya, ia dapat direalisasikan dalam masa beberapa tahun lagi bila mana graduan kelompok pertama dan kedua KUKUM berijazah.



15. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Upacara Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia.



Terima kasih.



?

Kami menerima 6,616,799 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri