Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : SEMINAR MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM (I.P.T.A.) ANJURAN JABATAN PENDIDIKAN TINGGI, KEM. PENDIDIKAN MALAYSIA DENGAN KERJASAMA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
Lokasi : INSTITUT LATIHAN KESELAMATAN SOSIAL KWSP (ESSET), BANGI
Tarikh : 03-06-2003
 











"GLOBALISASI DAN CABARAN KEPADA GENERASI MUDA"



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera



YB Tan Sri Musa Mohamad Menteri Pendidikan



YB Dato' Abdul Aziz Shamsuddin Timbalan Menteri Pendidikan



Pro-canselor dan Pengerusi Lembaga Pengarah U.K.M.



YBhg. Dato' Prof. Dr. Hassan bin Said Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi



Naib Canselor dan Rektor I.P.T.A.



Timbalan-timbalan Naib Canselor I.P.T.A.



Dif-dif kehormat



Para pemimpin mahasiswa dari seluruh I.P.T.A.



Tuan-tuan, puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekelian



Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan rasa penghargaan saya kepada pihak penganjur atas undangan untuk menyampaikan ucap utama pada Seminar Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (I.P.T.A.) yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini. Melihat kepada program yang telah diatur ditambah pula dengan kehadiran saudara dan saudari di hadapan saya ini, saya percaya seminar yang bertemakan "Kepimpinan Mahasiswa: Menjana Kecemerlangan Dalam Era Globalisasi" ini akan membuahkan hasil yang baik; meningkatkan kesedaran para pemimpin mahasiswa; menjelaskan hala tuju kepimpinan mahasiswa dalam era globalisasi; memperkuatkan tekad dan komitmen mahasiswa kepada pemerolehan ilmu; serta mempertingkatkan peranan dan tanggungjawab mahasiswa dalam mencurahkan bakti kepada negara dan masyarakat.



Saudara dan saudari sekalian, hari ini, anda semua, para pimpinan tertinggi mahasiswa daripada 18 I.P.T.A. berkumpul untuk berseminar serta bertukar-tukar pandangan, idea dan pengalaman dengan para pembentang kertas kerja dan juga sesama sendiri dengan matlamat yang satu, iaitu untuk mempertajamkan minda bagi menjana kecemerlangan kepimpinan mahasiswa dalam era globalisasi. Jika kita imbau apa yang berlaku pada zaman terdahulu di mana-mana pelosok dunia, setiap zaman melahirkan barisan pemimpinnya sendiri, yang berupaya memimpin pimpinannya ke arah hala tuju dan destinasi yang relevan pada zaman masing-masing. Ini tidak terkecuali dengan para mahasiswa. Untuk itu, ingin saya mengimbas kembali secara sepintas lalu, perkembangan pendidikan tinggi di negara kita dan peranan yang dimainkan oleh pemimpin mahasiswa dalam zaman-zaman yang berbeza.



Saudara-saudari, bilangan I.P.T.A. yang bertambah dari masa ke semasa, yang turut meningkatkan jumlah pemimpin mahasiswa yang dilahirkan pada hari ini, bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Apa yang berlaku di dalam sistem pendidikan tinggi negara hari ini ialah hasil daripada perancangan teliti kerajaan selama lebih 40 tahun, dari zaman selepas merdeka. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memajukan sistem pendidikan negara, untuk melahirkan tenaga- tenaga terlatih dan terdidik dalam usaha mengubah masyarakat Malaysia untuk menjadi sebuah masyarakat yang maju, progresif dan berdaya saing. Empat dekad yang lalu iaitu pada dekad 1960-an, kita hanya ada sebuah universiti sahaja iaitu Universiti Malaya. Jadi pimpinan mahasiswa yang kita ada pada dekad itu juga hanyalah para pemimpin mahasiswa daripada Universiti Malaya. Tidak lama selepas itu, kita tubuhkan Universiti Sains Malaysia pada 1969, disusuli oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1970. Para mahasiswa pada zaman itu, hari ini telah menjawat pelbagai jawatan penting dalam pelbagai bidang profesion baik di dalam sektor kerajaan seperti pentadbiran, politik, pendidikan tinggi dan sebagainya. Ini termasuklah diri saya sendiri. Tidak kurang juga yang telah mencipta nama, membina syarikat masing-masing dalam sektor swasta di pelbagai industri. Ada juga yang menjadi tokoh terkenal baik di dalam mahupun di luar negara.



Hari ini kita melihat berdirinya banyak universiti dan kolej universiti - satu perkembangan yang sihat dan pesat yang berlaku terutamanya selepas era 1990-an. Pastinya, ini memangkinkan jumlah mahasiswa dan pemimpin mahasiswa yang dilahirkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi. Ini satu perkembangan yang menarik, ditambah pula dengan hakikat bahawa ianya bukan hanya dari aspek disiplin ilmu yang diceburi, malahan komposisi etnik, ideologi, wilayah tempat asal mereka serta pelbagai aspek lain juga semakin rencam dan bervariasi. Secara tidak langsung, ia membuka satu lembaran baru yang penuh mencabar buat anda semua, para mahasiswa hari ini. Cabaran sama ada dapatkah atau tidak anda untuk bukan sahaja meneruskan warisan kecemerlangan kepimpinan mahasiswa angkatan 60-an dan 70-an, tetapi lebih daripada itu mewarnai persada kepimpinan ini dengan aspirasi dan semangat baru yang akan meledakkan kecemerlangan dari aspek ilmu, dan seterusnya untuk berbakti kepada masyarakat dan negara. Inilah satu persoalan yang besar yang saya rasa perlu anda semua kupas dan halusi serta renungkan bersama secara mendalam dalam seminar ini.



Saudara-saudari sekalian, dalam kita membicarakan peranan pemimpin mahasiswa hari ini, satu perkara yang amat penting yang tidak boleh kita ketepikan ialah bagaimana pemimpin mahasiswa hari ini dapat memenuhi cabaran yang telah digariskan dalam wawasan 2020, iaitu untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikut acuannya sendiri. Dalam meneliti persoalan ini dan bagaimana barisan pemimpin mahasiswa khususnya dan mahasiswa sendiri amnya dapat memainkan peranan masing-masing, kita perlu meluaskan pandangan, membuka horizon pemikiran, memerhati dan menganalisa situasi dunia dan serantau yang begitu kompleks dewasa ini, terutamanya setelah kita menjengah abad ke 21.



Hakikatnya saudara dan saudari, keadaan dunia pada hari ini jauh berbeza dengan zaman 60-an dan 70-an, semasa negara baru sahaja mengecap nikmat kemerdekaan, tatkala semangat nasionalisme dan patriotisme rakyat terutamanya generasi muda, kental dan berkobar-kobar. Saya tidaklah mengatakan bahawa semangat generasi muda hari ini tidak kental dan berkobar-kobar tetapi apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah tekanan dan cabaran yang anda dan mereka lalui adalah berbeza, selari dengan arus zaman. Dunia pada hari ini sedang melangkah memasuki era globalisasi neo-liberal yang mengenakan tuntutan, tekanan dan kekangan yang saya kira amat berat kepada negara-negara membangun seperti Malaysia. Atas dasar itu, adalah amat penting untuk Malaysia berusaha bersungguh-sungguh dan berpegang teguh kepada prinsip dalam merealisasikan cita-cita menjadi negara maju menurut acuan kita sendiri, agar kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Dalam perkembangan yang selari, perlu untuk kita sama-sama perhatikan bahawa selepas zaman 90-an, dunia sudah masuk ke era pasca-perang dingin, bersama dengan kewujudan dunia unipolar yang didominasi oleh negara-negara atau kuasa-kuasa besar tertentu. Pergolakan dunia pada hari ini, ditambah dengan ketegangan yang berlaku selepas tragedi 11 september dan perang pencerobohan ke atas iraq yang didalangi oleh amerika syarikat, sudah pastinya mengemukakan tuntutan dan cabaran baru ke atas kita semua, tidak terkecuali anda sebagai barisan kepimpinan mahasiswa. Menyedari apa yang berlaku di sekeliling kita sekarang ini dan hakikat bahawa kita sama-sama mempunyai tanggungjawab dan peranan yang perlu dimainkan, saya ingin berkongsi dengan anda semua, lima cabaran besar yang perlu kita depani khususnya cabaran yang saya percaya sangat relevan dengan para mahasiswa hari ini.



Cabaran yang pertama yang sering berlegar-legar di minda saya ialah pentingnya untuk para mahasiswa, didahului oleh barisan kepemimpinan mereka, untuk menangani dengan bijak tuntutan situasi baru yang dibawa oleh globalisasi. Bagaimana harus anda menyesuaikan diri dengan arus perubahan modenisasi yang berlaku sekarang, seterusnya bersikap proaktif dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan ilmu?. Kerajaan amat memandang serius dalam menyepadukan usaha untuk mengubah masyarakat Malaysia menjadi masyarakat berilmu dan ekonomi Malaysia sebagai ekonomi berasaskan ilmu atau lebih dikenali sebagai k- ekonomi. Perubahan ini amat perlu agar kita dapat meningkatkan daya saing sejajar dengan keperluan cabaran era globalisasi. Akan tercapai atau tidak hasrat dan cita-cita ini sangat bergantung kepada iltizam politik yang teguh dengan diampuh oleh komitmen yang jitu dari semua pihak, baik sektor swasta mahupun pihak-pihak lain seperti N.G.O., universiti, pusat penyelidikan dan anda semua, para mahasiswa.



Dalam konteks masyarakat dan ekonomi berasaskan ilmu ini, antara cabaran terpenting yang perlu didukung oleh para mahasiswa ialah bagaimana mereka boleh menyediakan diri untuk memainkan peranan dalam membina ekonomi dan masyarakat berasaskan ilmu ini. Pada saya, tiada apa yang lebih penting dan utama kepada para mahasiswa hari ini selain daripada memberikan sepenuh penumpuan dan fokus kepada pengajian di universiti, bukan hanya semata-mata untuk memperolehi ijazah sebagai tiket untuk melangkah masuk ke alam pekerjaan, tetapi lebih dari itu ialah untuk meningkatkan kualiti diri individu itu sendiri, berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan dan usaha menuntut ilmu itu merupakan proses kehidupan sepanjang hayat.



Kedua, dalam senario geopolitik yang tegang dewasa ini berikutan perang pencerobohan amerika syarikat ke atas iraq, keadaan dunia semakin bergolak. Tindakan unilateral dan hegemoni amerika syarikat bersama sekutu-sekutunya yang tidak mempedulikan Majlis Keselamatan P.B.B. dan undang- undang antarabangsa mengancam kedaulatan dan keselamatan negara lain yang secara tidak langsung menggugat keamanan dunia. Jika hari ini kita hanya memerhatikan kekejaman dan penindasan ini dilakukan kepada rakyat iraq, tidak mustahil perkara yang sama akan kita lalui sekiranya kita tidak bersedia dan berhati-hati. Kita harus sedar dan insaf bahawa adalah amat penting bagi seluruh rakyat Malaysia memupuk semangat patriotisme dan jati diri yang kukuh serta sentiasa meletakkan kepentingan negara dan tanahair mendahului apa jua perkara yang lain. Saya kira sudah tiba masanya untuk para mahasiswa menunjangi teraju utama, berdiri di barisan hadapan dalam usaha untuk memupuk patriotisme dan memperjuangkan keamanan dan kedamaian sejagat.



Seterusnya ialah cabaran yang ketiga. Saudara-saudari sekalian, masyarakat negara kita adalah berbilang kaum, budaya dan agama. Jika di negara lain, kepelbagaian ini sering dilihat sebagai punca masalah dan kekacauan, tetapi di Malaysia, ini merupakan kekuatan dan keunikan kita. Sekalipun terdapat pergeseran kecil sekali-sekali, tetapi itu adalah adat kerana sedangkan lidah lagi tergigit. Namun, secara keseluruhannya masyarakat Malaysia telah menunjukkan perpaduan yang sangat erat disulam rasa persefahaman yang tinggi dan semangat cintakan negara yang menebal. Acara `rumah terbuka' yang diadakan untuk hari perayaan pelbagai kaum dan agama adalah suatu bukti nyata, bagaimana utuhnya perpaduan di negara ini. Begitu juga dalam kita menghadapi tekanan semasa krisis ekonomi tahun 97 dan 98. Negara jiran kita sendiri bergolak dengan rusuhan antara kaum lantaran tekanan masalah ekonomi tetapi ternyata Malaysia dapat menangani krisis itu dengan bijak dan berkesan tanpa menjejaskan hubungan antara kaum. Inilah yang dikatakan, menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Ini juga merupakan hasil dasar kerajaan yang mapan khususnya dasar eknomi baru yang merupakan mekanisme kerajaan untuk memperbetulkan ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara kaum.



Tugas saudara dan saudari di hadapan saya ini serta para mahasiswa yang lain adalah sangat berat dalam usaha untuk mengekal dan terus mempereratkan hubungan antara kaum dan perpaduan nasional yang telah digembelingkan bersama selama ini. Sebagai pemimpin mahasiswa khususnya, andalah yang diharapkan agar dapat memainkan peranan yang besar, sentiasa mengambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi masalah-masalah yang berunsur perkauman. Apa yang disebut sebagai `polarisasi' antara pelajar berbilang kaum di universiti merupakan satu contoh masalah yang saya maksudkan. Lebih penekanan harus diberikan terhadap aktiviti-aktiviti yang boleh melibatkan pelajar pelbagai kaum, yang seterusnya pasti akan dapat meningkatkan perpaduan. Para mahasiswa seharusnya lebih cenderung dan bangga untuk menonjolkan identiti keMalaysiaan berbanding dengan identiti kaum atau negeri masing-masing. Dengan berbuat demikian, mahasiswa telahpun sama-sama menyumbang secara postif ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang kita impikan.



Seterusnya ialah cabaran yang keempat. Salah satu prinsip penting yang harus sentiasa disemat dalam jiwa serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari oleh para mahasiswa ialah penerapan nilai moral yang tinggi serta etika yang murni dan luhur. Hakikatnya, jatuh bangun, gelap gemilangnya masa depan negara terletak di genggaman anda. Barisan kepimpinan yang ada pada hari ini, lambat laun akan bertukar ganti juga dan pada bahu para mahasiswa hari inilah, saya sandarkan harapan dan cita-cita untuk meneruskan usaha-usaha yang dirintiskan hari ini, apabila anda memimpin pada hari esok. Tanamlah di dalam diri anda nilai moral yang tinggi dan etika yang baik, berlandaskan prinsip cekap, jujur, bersih dan amanah, dan sekiranya itu tersemat utuh di dalam diri anda, biarlah apa jua godaan yang datang, anda tidak akan goyah untuk menghadapinya.



Cabaran yang kelima, yang merupakan cabaran terakhir sekali saudara-saudari sekalian ialah, anda sebagai golongan muda yang agresif, bersemangat dan penuh bertenaga, seharusnya mempunyai idealisme yang positif dan realistik dalam bersama- sama mencorak hala tuju hidup dan perjuangan anda dalam apa jua perkara. Luahkanlah suara hati nurani anda dengan menyatakan pendapat yang membina secara berterus-terang tetapi beretika dan bertanggungjawab, terutamanya di dalam perkara yang berkaitan dengan rakyat dan negara. Sentiasalah bersatu hati, minda dan tenaga dan selaraskanlah dengan baik segala aktiviti anda. Jangan cepat melatah atau cenderung untuk mengambil pendirian sepihak dan memekakkan telinga terhadap pihak yang lain apatah lagi mendukung atau menyokong mana-mana parti politik tertentu. Gembelingkan idea dan tenaga anda, bergerak berlandaskan matlamat untuk menyumbang kepada negara dan masyarakat. Realitinya, kerajaan tidak pernah memandang sepi atau menidakkan peranan mahasiswa di dalam negara ini. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan contohnya merupakan satu platform yang kerajaan wujudkan semenjak oktober 1999 sebagai satu pengiktirafan terhadap para mahasiswa, untuk mereka memberikan idea dan pandangan mereka, baik dalam apa jua perkara.



Saudara-saudari sekalian, rasanya tidak adil sekiranya saya hanya menekankan apakah tanggungjawab dan peranan anda kepada negara dan masyarakat tanpa saya memberikan pesanan saya sebagai seorang ayah kepada anak-anaknya, pesanan yang boleh anda jadikan renungan untuk diri sendiri. Walaupun mungkin sebahagian besar daripada anda yang berada di sini tidak sempat melalui proses meritokrasi ketika kemasukan anda ke universiti dahulu, tetapi ketahuilah bahawa meritokrasi merupakan satu proses yang tidak dapat anda elakkan dalam kehidupan anda selepas ini. Gunakanlah segala peluang dan kesempatan yang ada sepanjang anda menjadi pelajar di universiti untuk memperkasakan diri anda sebelum anda melangkah keluar untuk menempuh alam pekerjaan.



Sepanjang anda berada di dalam universiti ini, timbalah sebanyak mungkin ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman agar apabila anda melangkah ke alam pekerjaan nanti, anda mempunyai kualiti diri yang cemerlang dan semangat daya saing yang tinggi untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Sesungguhnya apabila bercakap tentang perkara ini, saya tidak dapat lari dari mengaitkan dan berkata tentang keperluan untuk menguasai bahasa inggeris. Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa bahasa inggeris merupakan bahasa global, bahasa yang digunapakai di peringkat antarabangsa. Kemahiran berbahasa Inggeris dengan baik merupakan satu elemen penting di dalam kita bersaing merebut tempat di dalam pasaran pekerjaan nanti. Apatah lagi dalam kita mengejar arus globalisasi ini yang mana hubungan kita dengan dunia luar semakin tiada sempadan. Adalah amat menyedihkan untuk mengetahui apabila graduan kita tamat pengajian, memperolehi ijazah dengan sebahagian daripadanya mempunyai keputusan yang sangat cemerlang tetapi tetap gagal dalam persaingan pekerjaan kerana kurang kemahiran berbahasa inggeris dan dianggap kurang bernilai apabila ingin diketengahkan untuk pasaran antarabangsa. Masalah ini begitu ketara sekali di kalangan pelajar-pelajar Melayu.



16. Janganlah anda sekali-kali berfikiran bahawa kerajaan menganaktirikan Bahasa Melayu dan lebih mendaulatkan bahasa inggeris. Kerajaan amat memandang tinggi kedudukan bahasa melayu tetapi realiti keperluan Bahasa Inggeris jelas ketara. Saya percaya tidak akan kurang melayunya anak melayu hanya kerana mahirnya mereka di dalam bahasa inggeris. Malahan saya yakin, anak Melayu akan lebih bermartabat, dihormati, disegani dan lebih tinggi nilai dirinya apabila mereka melengkapkan diri mereka dengan keperluan persaingan dunia hari ini. Ibarat kata pepatah, kalau ia benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke langit menjadi bintang.



Satu lagi elemen yang saya rasakan cukup penting untuk dikuasai oleh para mahasiswa ialah kemahiran berkomunikasi dan bersosial. Memang tidak dinafikan bahawa nilai seseorang manusia itu terletak pada ilmu dan kekuatan akalnya. Tetapi sekiranya ilmu dan akalnya tidak mampu dizahirkan untuk kepentingan dirinya apatah lagi untuk dikongsikan bersama orang lain, apakah individu itu boleh dianggap mempunyai nilai yang tinggi?. Saya kira, nilai sebenar diri seseorang manusia itu bergantung kepada kebolehannya untuk menzahirkan apa yang dimiliki dalam dirinya atau di dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai `the ability to express oneself'. Dalam aspek kemahiran bersosial pula, saudara-saudari perlu sedar bahawa realiti dunia pekerjaan, tiada siapa yang akan bekerja secara `solo' atau bersendirian di dalam mana-mana organisasi, malahan kemahiran untuk bekerja secara sepasukan merupakan antara elemen paling penting yang membentuk seorang pekerja yang baik. Konteks bekerja secara sepasukan ini juga merangkumi pelbagai situasi, baik rakan sepasukan berbeza jantina, berbeza kaum, berbeza bahasa dan juga berbeza ideologi dan kerakyatan. Sekiranya untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi ini merupakan satu masalah, percayalah bahawa ijazah yang baik berserta ilmu yang tinggi sekalipun tidak akan membawa kita ke mana-mana. Dua aspek ini jugalah yang digunakan sebagai kayu pengukur oleh syarikat-syarikat atau organisasi-organisasi sebelum mereka mengambil bekerja seseorang individu.



Saudara dan saudari sekalian, sekiranya dulu kemasukan saudara-saudari ke institusi pengajian tinggi awam ini kerana hakikat anda telah diberikan `tongkat' oleh kerajaan melalui sistem kuota yang tersedia sebelum ini, sedarlah bahawa tongkat ini tidak selamanya akan berada dalam genggaman anda. Dan yang pasti, tongkat ini akan tiada gunanya lagi apabila anda melangkah masuk ke alam pekerjaan. Tidak ada lagi bantuan yang boleh diberikan kepada anda selain daripada persediaan yang telah anda sendiri lakukan sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan. Alam pekerjaanlah sebenarnya tempat meritokrasi dalam erti kata yang sebenar dipraktikkan. Alam pekerjaan merupakan satu ruang terbuka dengan akses sama rata diberikan kepada semua individu dan terpulanglah kepada individu tersebut untuk mengguna dan mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan kelebihan yang dimiliki untuk bersaing merebut tempat yang terbaik. Sekiranya hari ini kita lalai dan alpa kerana kita merasakan bahawa tongkat yang diberikan oleh kerajaan ini akan bersama- sama dengan kita setiap masa, percayalah bahawa kitalah yang akan pertama sekali kecundang dan kecewa di dalam alam pekerjaan kelak.



Saudara-saudari sekalian, sesungguhnya seminar kebangsaan yang akan saudara-saudari lalui untuk tiga hari yang akan datang ini merupakan satu peristiwa penting untuk memaju dan memangkinkan peranan mahasiswa dalam pembangunan negara. Saya benar-benar berharap agar seminar ini akan membuka ruang dan laluan untuk kita sama-sama menggilap kegemilangan kepimpinan mahasiswa demi masa depan negara.



Untuk itu, dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan seminar majlis perwakilan pelajar institusi pengajian tinggi awam. Sekian, terima kasih.



Kami menerima 6,619,391 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri