|
"Ke Arah Pemantapan Usahawan Bumiputera"
Terlebih dahulu marilah kita panjatkan rasa syukur kita kehadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya kita dapat bertemu di sini hari ini dalam majlis penting untuk memartabatkan bangsa Melayu Pulau Pinang dalam dunia niaga serta menentukan mereka tidak terpinggir dalam arus dunia perniagaan. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana menjemput saya merasmikan ekspo ini.
2. Kejayaan kita memacu ekonomi negara kita dan ekonomi keluarga banyak bergantung usaha-usaha gigih kita semua dan hanya mereka yang bersungguh-sungguh sahaja yang akan menempuh. Dan pada petang ini kita sendiri akan saksikan kejayaan-kejayaan usahawan-usahawan kita melalui produk- produk keluaran syarikat mereka. Saya amat berbangga kerana diberitahu seramai lebih 200 usahawan menyertai ekspo usahawan Bumiputera Pulau Pinang ini. Ini petanda bahawa masa depan produk-produk keluaran usahawan ini mempunyai potensi untuk berkembang maju baik di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
3. Buktinya, saya dimaklumkan bahawa pada tahun lepas Ekspo Usahawan Bumiputera telah berjaya menerima tempahan produk melebihi RM5 juta dan saya berharap pada tahun ini angka itu akan meningkat. Memang banyak usahawan dan syarikat bumiputera yang boleh menjadi kebanggaan kepada kita. Keluaran produk syarikat mereka adalah setanding dari segi kualiti, pembungkusan dan lain-lain lagi. Cuma yang membezakan kita dengan mereka ialah dari segi iklan dan promosi. Kita masih kurang agresif dari sudut ini. Saya tidak salahkan pengurusan syarikat kerana mereka mempunyai keinginan untuk berbuat demikian tetapi tidak kemampuan dari segi kewangan.
4. Iklan dan promosi memerlukan sumber kewangan yang besar. Untuk meminjam kewangan dari institusi kewangan bukannya mudah kerana institusi kewangan lebih menekankan rekod prestasi atau jenama yang sudah terkenal sebelum bersedia mengeluarkan kewangan. Inilah yang menyebabkan produk-produk keluaran bumiputera kurang atau tidak mendapat perhatian pembeli. Untuk mengatasi masalah ini adalah lebih baik pihak tertentu mengumpulkan semua produk keluaran usahawan bumiputera dalam satu konsortium atau syarikat pemasaran yang berkemampuan untuk menjalankan promosi dan iklan bagi semua produk asalkan produk-produk itu tidak bertindih antara satu sama lain. Perlu saya sebut di sini bahawa produk-produk ini mempunyai potensi besar akan tetapi yang kurang diberikan perhatian ialah dari segi bungkusan yang tidak dibuat secara komersial, jika ingin menembusi pasaran global.
5. Seperti yang saya sebutkan tadi permintaan untuk produk-produk tempatan adalah tinggi. Misalnya, perusahaan makanan ringan seperti kerepek dan kuih-kuih tradisional cukup tinggi dari luar tetapi pengusaha-pengusaha kita tidak mampu melayan permintaan itu kerana mengusahakan secara tradisional. Ketiadaan mesin-mesin yang canggih, pembungkusan yang tidak menarik serta tidak mempunyai kepakaran untuk menjaga kualiti produk menyebabkan produk- produk desa gagal bersaing dengan produk yang dihasilkan oleh pengusaha bukan Melayu. Saya yakin jika pengusaha- pengusaha bumiputera melabur dalam aspek ini, saya amat yakin produk-produk desa boleh menembusi pasaran antarabangsa. Projek satu kampung satu produk adalah salah satu langkah untuk membantu pengusaha kecil bumiputera di desa memajukan perniagaan mereka. Pakej yang diumumkan oleh kerajaan boleh digunakan untuk membeli mesin, menyediakan kemudahan pembungkusan dan mewujudkan pusat R & D bagi menjaga kualiti produk bagi setiap kawasan. Saya juga berharap anak-anak pengusaha yang berkelulusan dalam bidang yang berkaitan boleh membantu dalam hal ini.
6. Saya juga ingin menarik perhatian saudara-saudari pengusaha kita mengenai pasaran produk makan halal yang semakin meningkat. Malaysia sedang dan telah membuat pelbagai persiapan untuk menjadi Pusat Makanan Halal Dunia menjelang tahun 2010. Pasaran produk makanan halal dunia ketika ini mencecah RM600 bilion setahun dan banyak tertumpu di Timur Tengah, Amerika Utara, Asia Tenggara, China dan Eropah. Namun penglibatan negara masih lagi terhad. Dengan kelebihan yang ada pada kita, sebagai sebuah negara Islam, pengusaha-pengusaha kita mempunyai peluang lebih terbuka untuk meluaskan lagi produk masing- masing sehingga melewati sempadan Malaysia dan Asia Tenggara. Setakat ini kita hanya menyumbang 0.4 peratus kepada perdagangan makanan di peringkat global dengan jumlah eksport makanan mencecah RM6.8 bilion pada tahun 2000. Saya harap peluang ini tidak dipersia-siakan pengusaha-pengusaha bumiputera. Yang perlu ialah pelaburan dan kualiti produk.
7. Dunia perniagaan hari ini makin canggih, penuh persaingan dan usahawan tidak dapat lari daripada hakikat ini. Ini menuntut semua peniaga, tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera juga turut berubah dan berhijrah daripada perniagaan konsep lama kepada konsep baru. Jika dulu tiada komputer dan internet, kini sudah ada. Jika dulu produk terpaksa dipromosi cara lama, kini boleh dibuat melalui internet dan boleh diakses di rumah di merata tempat di seluruh dunia. Tempahan boleh dibuat melalui internet dan penghantaran boleh dibuat dengan cepat melalui kargo udara. Ini semua perubahan. Jika tiada usaha dilakukan untuk berubah kita akan ketinggalan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu usahawan-usahawan kita sama ada melalui latihan mahupun memberi pinjaman kewangan melalui beberapa program yang diadakan. Kita ambil contoh pakej rangsangan yang diumumkan bulan lalu, tambahan dana sebanyak RM200 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan (TEKUN), RM 1.0 billion telah disediakan oleh Bank Negara Malaysia iaitu RM600 juta untuk Tabung IKS dan RM400 juta bagi Tabung Usahawan Baru.
8. Dengan adanya tambahan dana ini, saya berharap tidak timbul lagi peniaga-peniaga meminjam daripada "along". Dan pihak pemberi pinjaman pula jangan melenggahkan kelulusan permohonan. Bank-bank pula mesti membantu golongan- golongan ini kerana mereka juga menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. Tiada lagi alasan untuk tidak membantu para peniaga kecil dan kita akan memantau perkembangannya. Kerajaan telah merancang secara inovatif dan pragmatic untuk memacu ekonomi negara untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat. Tiba pula masanya ada timbal balas dan kerjasama dari semua pihak bagi menghadapi suasana dunia selepas Perang Iraq, penyakit SARS dan ketidak tentuan ekonomi dunia.
9. Pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) akan memberi kesan positif kepada industri-industri tempatan. Ini kerana ia akan memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menerokai pasaran 10 buah negara serantau. Rantau ASEAN menyediakan peluang pasaran yang besar dengan jumlah penduduk seramai 510 juta dan Keluaran Negara Kasar sebanyak RM3,116 bilion setahun dan menjadikan pasaran terbesar selepas Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun.
10. Usahawan Bumiputera hendaklah merebut peluang meluaskan pasaran mereka dengan mengembangkan operasi ke luar negara dan terutama di negara ASEAN ini. Syarikat Bumiputera juga boleh memperolehi sumber bahan mentah daripada rantau ASEAN dengan harga yang kompetitif. Ia juga akan dapat mengurangkan kos perniagaan syarikat Bumiputera dan menjadikan ia lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
11. Salah satu bidang yang boleh diketengahkan oleh usahawan Bumiputera adalah industri asastani (agrobase industry) dan industri berasaskan makanan halal. Permintaan kepada makanan telah berkembang berkali ganda disebabkan pertambahan penduduk di dunia ini. Sebagai contoh permintaan jus buah-buahan sepertimana yang diusahakan oleh PERDA adalah amat tinggi di pasaran Asia di mana permintaan di asia telah meningkat dari US356 juta (1990) kepada USD710 juta (1996) iaitu dengan kenaikan sebanyak 19.9% setahun. Pada masa ini ianya telah meningkat melebihi USD1 billion. 12. Dalam jangka panjang dan sederhana, dijangkakan pasaran jus buah-buahan dan pelbagai produk makanan berasaskan buah-buahan, sayur-sayuran segar, hasil tenusu dan produk marin akan terus berkembang di pasaran Asia, memandangkan trend pengguna yang lebih mengutamakan pengamalan pemakanan sihat. Trend ini sebenarnya membuka peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menjalankan projek-projek pertanian secara berskala besar dengan bantuan penggunaan teknologi mesin terkini.
13. Dalam pada itu, keadaan hala tuju ekonomi pula telah menjadi semakin beorientasikan pasaran manakala halangan terhadap persaingan dari luar telah menjadi semakin berkurangan kesan dari globalisasi, liberalisasi pasaran dan pelaksanaan AFTA. Kerajaan amat bimbang sekiranya usahawan-usahawan Bumiputera tidak mempersiapkan diri masing-masing untuk menghadapi situasi ini, mereka akan terus terpinggir dalam kancah persaingan pasaran yang amat sengit. Sikap rendah diri dan kurang yakin sudah sepatutnya keluar dari minda kita.
14. Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang ini.
Terima kasih.
|
|