English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN DPPIKLS YANG KE-75
Lokasi : SHANGRI-LA HOTEL
Tarikh : 05-06-2003
 










Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (DPPIKLS) kerana sudi menjemput saya untuk berucap di Majlis ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan DPPIKLS Yang Ke-75 pada tahun ini.



2. Ini bermakna Dewan ini telah melalui pelbagai fasa penting dalam sejarah negara. Misalnya, semasa kependudukan Jepun pada tahun 1942 selama tiga tahun, sebelum dan selepas merdeka, empat Perdana Menteri, 13 Mei 1969 dan sebagainya. Dan saya cukup bangga Dewan ini masih terus dapat bertahan, bertambah dinamik serta boleh dianggap contoh terbaik kepada semua pihak. Syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam pentadbiran Dewan Perniagaan ini dan saya ucapkan selamat maju jaya dan terus berjaya pada masa depan.



3. Walaupun dari segi bilangan jumlah penduduk kaum India di negara kita ini kecil dan minoriti tetapi sumbangan saudara-saudari kepada pembangunan negara ternyata bererti. Ternyata sekali saudara-saudari amat aktif dalam bidang perniagaan kecil mahupun besar dan juga berjaya dalam bidang pendidikan.



4. Di Kuala Lumpur, terutama Jalan Tuanku Abdul Rahman (dulu Batu Road) dan Jalan Masjid India begitu sinonim dengan nama tokoh seperti Tan Sri Kishu Tirathrai, Datuk G.S Gill, H.N Kamdar Lachman Naraindras dan kaitan mereka dengan gedung perniagaan saperti Dyalchand, Gian Singh & Co, C.J Doshi, Chanrai's, Harbhajan's, Kamdar, Gulati"s, Mydin, G.S Gill, P.Lal Store, Biwanis dan banyak lagi yang tidak dapat saya sebutkan. Kebanyakannya bermula sebagai perniagaan keluarga dan bertahan sehingga kini walaupun terpaksa menempuh cabaran dan peristiwa, peristiwa 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi dan kegawatan ekonomi 1997/98. Tidak lengkap jika saya tidak menyebut nama-nama besar yang telah membina empire dunia perniagaannya. Nama seperti Tan Sri Arumugam, Datuk Santankumar, Ravi Menon, Tan Sri G.Gnanalingam, Tan Sri Mohan Swami, semua ini tokoh berjaya yang menjadi kebangaan kita, khasnya masyarakat kaum India.



5. Saudara-saudari juga aktif dalam perniagaan hidangan makanan dan perniagaan runcit. Berani saya katakan bahawa perniagaan makanan ini telah menjadi trademark bagi orang India. Nasi Kandar Penang, Nasi Kandar Kayu, Nasi Daun Pisang, Restoran Kepala Ikan dan berbagai lagi jenama restoran, semuanya dikaitkan dengan peniaga India dan setiap corner-lot rumah kedai mereka monopoli. Bidang perniagaan runcit pun begitu juga dan banyak terdapat di Leboh Ampang. Apa ertinya kepada kita semua dan apa ertinya kepada masyarakat India di negara ini.



6. Sebenarnya kejayaan saudara-saudari adalah kerana dasar negara kita yang tidak mendiskriminasi mana-mana pihak dan kaum di negara ini. Sebagai warga negara ini, saudara- saudari mempunyai hak yang sama untuk menikmati pembangunan negara, baik ekonomi mahupun keadilan sosial. Hak dan kepentingan saudara-saudara dilindungi. Suara dan tuntutan saudara-saudari didengar dan diambilkira ketika kerajaan menggubal sesuatu dasar. Suara saudara-saudari didengar melalui parti politik, misalnya MIC yang menganggotai Barisan Nasional dan melalui wakilnya dalam barisan Kabinet, dalam hal ini YB Dato' Seri Samy Vellu, seorang yang begitu lantang menyuarakan kepentingan kebajikan saudara-saudari.



7. Kita, kerajaan Barisan Nasional mengamalkan sikap terbuka. Kita tidak mahu ada mana-mana golongan terpinggir, baik dari segi pendidikan, ekonomi dan sosial. Jika kita bercakap fasa ekonomi dan perniagaan, ingin saya katakan di sini mengenai komitmen kerajaan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi kaum keturunan India. Usaha akan terus dibuat dari segi pemilikan ekuiti korporat, misalnya meningkatkan pemilikan ekuiti daripada 1.5 peratus pada tahun 1999 kepada tiga peratus menjelang tahun 2010. Angka ini boleh dicapai jika jalinan kerjasama bistari antara peniaga Melayu, Cina dan India dipertingkatkan lagi serta benteng curiga itu dipecahkan dan dihapuskan. Jalinan kerjasama ini penting untuk masa depan Malaysia dalam satu semangat menjayakan Wawasan 2020, Malaysia negara maju.



8. alam bidang pendidikan di dapati ramai profesional terdiri daripada masyarakat kaum India. Ramai di antaranya berjaya dan menjadi ternama dalam profesion kedoktoran, peguam, doktor haiwan, dentist,akauntan dan jurutera. Doktor keturunan India pada tahun 2002 ialah seramai 3,730 orang (30% dari pada jumlah keseluruhan doktor di Malaysia), peguam seramai 2,714 orang (26% daripada jumlah keseluruhan peguam), doktor haiwan seramai 310 orang (29% daripada jumlah keseluruhan doktor haiwan), dentist seramai 462 (21% daripada jumlah keseluruhan dentist), akauntan seramai 907 orang (6% daripada jumlah keseluruhan akauntan) dan jurutera seramai 2,058 (5% daripada jumlah keseluruhan jurutera).



9. Banyak juga persatuan profesional dikuasai oleh kaum India dan mereka ini aktif, agresif dan lantang. Ini satu lagi bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional memberi seluas- luasnya peluang kepada mana-mana kaum untuk berjaya dalam bidang yang mereka minati. Mereka yang bijak menggunakan peluang disusuli dengan kerajinan, kreatif dan inovatif akan beroleh kejayaan serta menempa nama. Ini juga bermakna kaum yang kecil bilangannya mereka tetap berpengaruh dan kaya- raya. Rahsia di sebalik kejayaan kaum-kaum ini ialah mereka dapat bersatu, menggembleng tenaga mereka yang kecil itu untuk mencapai tujuan yang besar dan berpandukan matlamat yang bulat. Dan setiap daripada mereka ini terdiri daripada orang-orang yang terlatih, berpendidikan tinggi dan mempunyai keazaman berjuang dalam kehidupan.



10. Dalam hal ini, saya berpendapat saudara-saudari yang telah mendapat pendidikan terbaik dan menjadi kaya-raya perlu menyumbang pula kepada kaumnya . Sumbangan yang lebih bermakna ialah dalam bidang pendidikan. Kita mahu melihat tidak ada satu kaum pun di negara kita ini yang tercicir daripada mendapat pendidikan rendah dan tinggi. Masyarakat yang mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi boleh menentukan halatuju masa depan kaumnya, bangsanya dan negaranya. Maju mundurnya kaum dan bangsa untuk berdiri tinggi dan berjalan seiring dengan kaum-kaum lain itu bergantung kepada keikhlasan kaum dan bangsa itu membantu mereka. Saya tertarik dengan Seri Murugan Centre, sebuah pusat tuisyen di Brickfield yang memberi khidmat tuisyen kepada para pelajar yang dibiayai oleh ibu bapa pelajar sendiri. Dalam hal ini Dewan ini melalui ahli-ahlinya boleh menubuhkan pusat-pusat tuisyen seperti itu di Kuala Lumpur dan Selangor bagi tujuan memberi pendidikan tambahan kepada golongan yang kurang mampu.



11. Kebolehan kita memacu ekonomi kita ke tahap pertumbuhan yang baik dan mapan ialah kerana keupayaan kita memperbaharui, merancang dan melaksanakan rancangan tersebut dengan berkesan. Dasar hands-on yang dipraktikkan sejak krisis matawang 1997/98 sehinggalah sekarang telah berjaya mengawal keadaan daripada menjadi tidak teratur dan teruk. Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri boleh dikatakan bermesyuarat setiap minggu. Melalui perbincangan yang kerap telah melahirkan idea bagaimana menguruskan ekonomi negara. Sebab itu kita dapat pulih dari kegawatan ekonomi tanpa bantuan IMF walaupun dikritik hebat dengan cara kita mengendalikannya. Nampaknya cara kita itu diterima akhirnya.



12. Bank Negara dalam laporan suku pertama tahun ini menyebut bahawa ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh, iaitu berkembang empat peratus. Pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2003 ini adalah positif dan merangkumi pelbagai sektor. Walaupun ekonomi kita pada satu ketika berlaku ketidakpastian akibat kesan Perang Iraq dan SARS tetapi saya percaya pada suku kedua tahun ini keadaannya adalah positif. Ini dibantu dengan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini. Saya yakin pakej ini akan membantu menjana ekonomi kita. Keyakinan saya ini bersandarkan kepada keyakinan pelabur-pelabur institusi mengenai masa depan ekonomi negara yang dibantu pula dengan tadbir urus korporat kita yang cemerlang. Ini berdasarkan laporan Kaji Selidik Tadbir Urusan Korporat BSKL - PWC 2002 yang telah membuat penemuan yang lebih positif berbanding Kaji Selidik 1998 dulu. Antara penemuan tersebut yang dianggap penting ialah pelabur-pelabur institusi menunjukkan kesanggupan untuk membayar sekurang-kurangnya premium 10% atas pelaburan untuk syarikat-syarikat yang mengamalkan Tadbir Urus Korporat yang cemerlang, pelabur-pelabur institusi memberi isyarat bahawa maklumat bukan kewangan mempunyai pengaruh yang kuat dalam keputusan pelaburan mereka dan syarikat-syarikat awam tersenarai sekarang sedar komunikasi untuk pemegang saham dan pelabur memainkan peranan yang penting dalam mempertingkat keyakinan para pelabur. Kesedaran tadbir urus yang baik merupakan unsur penting dalam mempertingkatkan kepercayaan orang ramai, memupuk keyakinan pelabur dan memastikan penjanaan modal berterusan dalam pasaran. Saya harap syarikat-syarikat awam yang tersenarai di Malaysia akan terus berusaha untuk mengamalkan tadbir urus korporat yang baik dan cemerlang.



13. Kerajaan telah merancang dan menyediakan segala- galanya. Dan tugas untuk mengembalikan semula keajaiban ekonomi memerlukan sokongan serta penggemblengan tenaga semua pihak termasuk saudara-saudari. Ia boleh dicapai dengan syarat rakyat bersatu padu, memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional dan mengamalkan sikap toleran apabila bertindak. Ini amat penting sekiranya kita mahu mengwujudkan iklim perdagangan yang selamat dan stabil.



14. Arus globalisasi yang sedang melanda dunia pada masa kini bukanlah sesuatu yang baru. Untuk terus kekal berjaya, kita kena tingkatkan daya saing kita. Kita mesti bersedia menerima perubahan dan mesti bersedia untuk berhijrah minda. Perniagaan secara konvensional telah berpindah kepada cara yang lebih canggih dan sofistikated. Hanya mereka yang mempunyai daya saing dan daya kreatif yang tinggi boleh bertahan dalam arus globalisasi. Kerajaan akur kepada perkembangan ini dan telah mengambil langkah-langkah yang pro-aktif dalam mendidik warga peniaga dan pengusaha kita supaya mampu menjalankan perniagaan pintar bertaraf global. Agensi-agensi kerajaan seperti MIDA dan SMIDEC sentiasa menggubal skim-skim khas untuk membantu perkembangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya dalam kegiatan Penyelidikan dan Pembangun (R&D).



15. Di sinilah terletaknya peranan dan tanggungjawab organisasi-organisasi Bukan Kerajaan khususnya dewan-dewan perniagaan untuk menyalurkan dasar-dasar pembangunan ekonomi kerajaan kepada para ahli dewan masing-masing. Inilah yang saya maksudkan sebagai kerjasama pintar di antara kerajaan dan sektor swasta. Kerjasama pintar ini membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak. Perniagaan baru muncul boleh dikembangkan seperti bioteknologi. Syarikat yang maju dan untung juga membawa keuntungan kepada kerajaan melalui pungutan cukai. Swasta buat wang dan kerajaan kutip wang. Wang hasil cukai ini kita gunakan untuk lain-lain manfaat kepada rakyat. Di atas kesedaran akan kepentingan kerjasama seumpama ini kerajaan telah mewujudkan banyak forum untuk mendengar pandangan serta cadangan daripada sektor swasta dalam merangka dasar pembangunan kita.



16. Di antaranya ialah Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) serta dialog-dialog tahunan di antara sektor swasta dengan agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna dan lain-lain lagi. Segala bentuk pandangan serta cadangan ini telah diambil perhatian oleh kerajaan dan ini dicerminkan melalui pembentangan belanjawan rakyat setiap tahun.



17. Saya ucapkan tahniah kepada kesemua ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor kerana telah berjaya menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada pembangunan status sosio ekonomi warga Malaysia berketurunan India di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.



18. Saya difahamkan DPPIKLS merupakan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India yang terbesar di negara ini dari segi bilangan keahliannya yang berjumlah 700 buah syarikat. Sebagai sebuah pertubuhan Bukan Kerajaan yang aktif mempromosikan dasar-dasar Kerajaan, adalah menjadi harapan saya agar SPPIKLS akan sentiasa peka terhadap perkembangan arus perdagangan semasa dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memaklumkannya kepada ahli-ahli dewan.



19. Akhir sekali, adalah menjadi harapan saya agar DPPIKLS akan berkembang maju dan terus menerus memainkan peranannya dengan berkesan.



Terima kasih



Kami menerima 4,467,660 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri