MENGURUS KEJAYAAN
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO
Ketua dan Barisan Jawatankuasa Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO
Yang Amat Berbahagia Datin Seri Dr. Siti Hasmah binti Mohd. Ali
Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden- Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Ahli- Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Para Pemimpin veteran UMNO, Para Pemimpin UMNO berbagai peringkat
Dif-dif terhormat
Para perwakilan dan pemerhati Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
MUKADIMAH
Alhamdulillah, diangkatkan setinggi lafaz kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan inayat dariNya juga kita sekali lagi dapat berhimpun untuk memenuhi tanggungjawab fardhu kifayah terhadap parti, bangsa, negara dan agama.
2. Saya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan ahli Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO yang telah dapat menyempurnakan urusan mesyuarat di peringkat organisasi masing-masing berlandaskan perlembagaan parti hingga memungkinkan Perhimpunan Tahunan ini dapat dilangsungkan. Sejak berakhirnya Perhimpunan tahun lalu, Wanita, Pemuda dan Puteri aktif melaksanakan pelbagai kegiatan di seluruh negara. Melalui kehadiran dan melalui pelbagai kegiatan yang dianjurkan, saudara-saudari telah berjaya meresapkan semangat UMNO, ke dalam penghidupan rakyat, hingga kehadiran UMNO itu terasa berada di mana sahaja dan sokongan rakyat terhadap UMNO terus meningkat.
3. Pergerakan Wanita, telah memperhebatkan program Ketua 10. Melalui program tersebut Pergerakan Wanita senantiasa mengawasi sentimen politik di peringkat akar umbi dan bertindak sebagai mata dan telinga kepada parti. Ahli-ahli wanita bertindak sebagai barisan hadapan parti, menemui pengundi melalui sesi pertemuan rumah ke rumah, mendengar rintihan rakyat dan menerangkan dasar kerajaan, disamping membersihkan fikiran rakyat dari sebarang racun fitnah yang disebarkan oleh pembangkang. Sesungguhnya parti amat berterima kasih atas ketekunan usaha Pergerakan Wanita di peringkat akar umbi yang menjadi jambatan berkesan, menempatkan UMNO di hati rakyat. Saya menyeru Pergerakan Wanita untuk melipatgandakan usaha ini, supaya kepimpinan parti, akan senantiasa memperolehi maklumat yang lengkap dan kemaskini. Penghargaan dan tahniah kepada Dato' Seri Rafidah Aziz, barisan pimpinan Pegerakan Wanita dan seluruh ahli Wanita UMNO.
4. Pergerakan Pemuda, memperlihatkan kehebatan merintis usaha menganjurkan satu gerakan dan perhimpunan `AMAN MALAYSIA'. 1,500 pertubuhan telah berjaya dibawa bersama, mendokong gerakan `AMAN MALAYSIA', mendapatkan 2.5 juta tandatangan, mengumpul dana berjumlah 1.8 juta ringgit, hingga kepada kemuncak, menghimpunkan 200,000 orang di Perhimpunan Keamanan di Bukit Jalil. Peranan Pemuda menggerakkan rakyat menolak peperangan, hegemoni dan unilateralisme mendapat sokongan luar biasa dari seluruh peringkat masyarakat terutama di kalangan remaja. Ia jelas memperlihatkan, kehebatan keupayaan Pergerakan Pemuda, membangkitkan kesedaran rakyat, untuk menegakkan prinsip, menentang sebarang bentuk penjajahan. Kepada Dato' Hishammuddin, barisan jawatankuasa dan seluruh ahli Pergerakan Pemuda UMNO, saya mengucapkan syabas dan setinggi tahniah.
5. Pergerakan Puteri, terus berkembang dan telah menjadi satu entiti bermakna di dalam parti. Meskipun pertama kali melangsungkan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian, ianya telah dilangsungkan secara tersusun dalam semangat kepartian yang memperlihatkan kematangan. Ahli-ahli Puteri, buat pertama kalinya, hadir sebagai perwakilan di Perhimpunan kali ini. Jantina dan usia muda mereka, telah cuba diperlekeh dan dijadikan bahan olokan terutama oleh parti lawan, hingga ada orang tua yang tergamak berlaku sumbang - berlaku biadab terhadap ahli Puteri ketika pilihanraya kecil di Anak Bukit. Namun semangat ahli-ahli Puteri tidak luntur. Saya percaya Puteri akan bertambah kuat. Puteri UMNO adalah lambang dan corak emansipasi wanita muda yang dinamik lagi progresif yang UMNO perjuangkan dalam negara yang mengutamakan kemajuan dan tidak mendiskriminasi sumber manusia berasaskan jantina. Program `English-on-Wheels' yang telah saya lancarkan di Marang adalah contoh komitmen Puteri membantu usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar terutama yang berada di luar bandar. Saya menghargai dan mengucapkan tahniah kepada Saudari Azalina, barisan jawatankuasa dan ahli-ahli Puteri atas prestasi cemerlang dan kejayaan yang diperlihatkan.
6. Contoh-contoh yang saya sebutkan adalah picisan dari pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh saudara-saudari. Aktiviti yang dijalankan oleh saudara-saudari, laksana putaran darah, beredar dalam setiap saluran parti, menghidupkan denyutan nadi - menggerakkan degupan jantung, menyawakan UMNO hidup segar - hidup gagah. Saudara- saudarilah pendokong parti, penuh semangat - penuh tenaga, senantiasa berada di barisan hadapan, sedia berkorban - sedia berkhidmat, pantas bergerak - bijak bertindak, dihormati kawan - digeruni lawan.
2003
Saudara-saudari
7. Tahun 2003 telah enam bulan berlalu. Setengah tahun pertama tahun 2003 merakamkan banyak peristiwa duka - merakamkan pelbagai tragedi penderitaan. Serangan yang mengakibatkan kemusnahan satu tamadun negara-bangsa di Iraq, serangan pengganas berani mati di Arab Saudi dan Maghribi, gempa bumi di Algeria, wabak SARS yang melanda dunia, sengketa di Aceh, polemik baru cetusan Amerika Syarikat yang disasarkan terhadap Syria dan Iran; setiap satunya meningkatkan keadaan ketidaktentuan politik dan mempengaruhi secara langsung iklim ekonomi dunia yang telah sedia muram. Masalah Palestin selagi tidak selesai secara yang dapat diterima, program pemulihan Afghanistan yang tidak meyakinkan, keraguan terhadap perkembangan pasca peperangan di Iraq, serta amaran bernada otokratik Amerika Syarikat kepada negara yang berbeza pendapat dengannya, mencetuskan lebih banyak tandatanya, menimbulkan lebih banyak kebimbangan kepada dunia.
8. Negara-negara kecil, terutamanya negara Islam, paling tertekan akibat tata dunia yang sedang dibina oleh pentadbiran Amerika Syarikat. Tata dunia ini didominasi oleh satu kuasa raksaksa sahaja. Kuasa ini giat meningkatkan kekuatan ketenteraannya serta berhasrat meluaskan pengaruhnya di serata dunia. Kuasa ini sanggup membelakangkan undang-undang antarabangsa dan meminggirkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu demi mencapai hasrat dan matlamatnya.
9. Akibatnya, budaya rimba kembali bertakhta di arena antarabangsa. Yang kuat boleh melakukan apa sahaja, termasuk memalsukan maklumat perisikan dan menyerang negara lain yang berdaulat tanpa alasan kukuh. Serangan secara `pre-emptive', dihalalkan terhadap negara yang dianggap boleh memberi ancaman kepada kepentingannya, walaupun dari segi hakikatnya, negara tersebut tidak berupaya melancarkan sebarang serangan dan tidak pun melakukan perkara-perkara seperti yang didakwa. Negara yang membantah atau mempunyai perbezaan pandangan serta tidak rela bersubahat, dilabel sebagai musuh. Negara yang sanggup bersubahat dianugerahkan ganjaran - diberikan upah dalam bentuk kewangan dan bantuan ketenteraan.
10. Ketidakadilan yang semakin ketara ini bertanggungjawab kepada terbentukanya gerakan yang memilih bertindakbalas dengan cara melakukan keganasan. Pihak-pihak yang merasa kumpulan mereka begitu tertindas dan merasa kecewa kerana tidak mendapat keadilan, memilih cara tersendiri yang turut mengenepikan undang-undang. Tindakan balas terhadap ketidakadilan yang berlaku di Asia Barat, kini tidak terbatas dalam lingkungan geografi berkenaan. Kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya di merata dunia dijadikan sasaran membalas dendam. Akibatnya lebih banyak nyawa terkorban - lebih banyak harta benda dirosakkan, lalu keselamatan dunia lebih terancam dan iklim ekonomi bertambah muram jadinya. Perbuatan kejam yang berlaku, menambahkan penderitaan - meningkatkan kesengsaraan manusia, terutama di kalangan mereka yang lemah dan tidak berdosa - orang tua, wanita dan anak kecil. Penderitaan yang ditanggung oleh ramai manusia di hari ini kerana sikap sombong dan sikap angkuh di kalangan yang berkuasa, mengingatkan kita akan kisah kezaliman yang terkandung dalam Al-Quran tentang sifat sombong dan perangai angkuh Namrud dan Firaun.
11. Hari ini, banyak negara menghadapi dilemma, untuk mengimbangkan ugutan dan tekanan kuasa luar bernada otokratik, disamping menghadapi tekanan politik di dalam negara oleh kumpulan yang cepat mengambil kesempatan membakar sentimen rakyat. Dalam menghadapi ancaman penjajahan baru, perpecahan sesama sendiri akan menguntungkan pihak luar yang mempunyai muslihat agenda antarabangsa mereka. Oleh itu kekuatan dalaman, kekuatan minda dan kekuatan diri warga, merupakan benteng penting pertahanan. Semangat kental untuk tidak membenarkan negara dijajah dan warga diperkosa adalah kubu utama yang wajib dibina. Semangat yang pernah diperlihatkan oleh rakyat Vietnam ketika menentang campurtangan asing di negara tersebut dalam tahun enam puluhan dan tujuh puluhan, terbukti berupaya menewaskan kekuatan ketenteraan dan kekuatan persenjataan. Tetapi barang diingat, Vietnam dalam menghadapi campurtangan asing ketika itu, berada dalam era dunia `dua pola'. Dunia ketika itu masih diimbangi oleh kuasa Soviet Union. Dalam era `unipola', kekuatan untuk menghadapi campurtangan asing memerlukan semangat juang dalaman yang berganda.
12. Persekitaran semasa dunia kini, menuntut setiap kita senantiasa berwaspada - senantiasa bersedia, demi menjamin kemerdekaan negara dan kemerdekaan warga tidak tergadai. Seluruh rakyat wajib bersatu, bermuafakat, mencapai kata sepakat, berpegang kepada satu prinsip dan bersuara dengan satu nada dalam menghadapi senario dunia semasa. Inilah cabaran besar yang menjadi tanggungjawab Wanita, Pemuda dan Puteri. Membina benteng pertahanan bangsa - membina kubu pertahanan negara; memperkukuhkan jatidiri - memperkukuhkan semangat juang; memiliki kekuatan minda - memiliki kekuatan fizikal; kental semangat - teguh azam, merdeka pada jiwa - merdeka pada hati. Jadikanlah seruan ini sebagai pegangan perjuangan Wanita, Pemuda dan Puteri, patah sayap bertongkat paruh - namun menyerah tidak sekali, tidak rela berputih mata - berpantang ajal sebelum maut.
BERSYUKUR
Saudara-saudari
13. Dalam menghadapi kemelut dunia, sesungguhnya kita amat bersyukur kerana kita masih berada dalam sebuah negara yang aman, sebuah negara yang sejahtera, sebuah negara yang majoriti rakyatnya senantiasa memberikan keutamaan kepada perpaduan. Kepimpinan negara terus memikirkan nasib rakyat. Kita bersyukur kerana negara berada di bawah kepimpinan yang rasional lagi bertanggungjawab - pimpinan yang senantiasa mengutamakan kepentingan rakyat. Segala pemikiran dan segala usaha dirintis untuk meringankan kesusahan rakyat dalam menghadapi gelora politik dan mendung ekonomi. Pelbagai pendekatan pragmatik yang relevan dengan realiti semasa diperkenal dan dilaksanakan.
14. Ketika dunia dilambung gelora politik yang memendungkan iklim ekonomi, penghidupan rakyat di negara ini masih terurus dengan baik. Bekalan makanan, khidmat asas sosial dari segi kemudahan pendidikan, kesihatan, perhubungan dan telekomunikasi, bekalan air dan elektrik, keselamatan negara dan ketenteraman awam sama sekali tidak terjejas. Hari-hari perayaan disambut dalam suasana paling meriah dan memuhibbahkan lagi hubungan antara kaum. Kadar inflasi di tahap rendah. Pakej ransangan ekonomi diperkenalkan. Pada ketika ada negara yang terpaksa melakukan potongan gaji, kakitangan awam di negara ini mendapat nikmat diberikan bonus.
15. Sewajarnyalah nikmat anugerah dari ILLAHI ini kita sambut dengan penuh kesyukuran. Bersyukur atas nikmat, bersyukur atas rezeki, bersyukur atas rahmat - semuanya kurniaan ILLAHI. Bersyukur rakyat hidup bahagia dalam keadaan rukun dan damai, selamat dan sejahtera. Bersyukur negara masih berdaulat - merdeka dari segi politik, merdeka menentukan halatuju ekonomi, merdeka dari segi pemikiran, merdeka menyuarakan pendirian. Bersyukur kerana telah dianugerahkan dengan pimpinan seorang negarawan yang senantiasa mengutamakan kepentingan warga dan kepentingan negara; Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad yang bekerja dan terus bekerja untuk parti, untuk bangsa, untuk negara dan untuk agama. Bersuara dan terus bersuara untuk menegakkan keadilan - untuk memperjuangkan kebenaran sejagat.
16. Kepada umat Islam, kesyukuran ini hendaklah diperlihatkan secara meningkatkan amal makruf dan menjauhkan diri dari kemungkaran. Kepada seluruh warga Malaysia, kesyukuran ini hendaklah dicerminkan dengan semangat yang taat dan setia kepada negara. Kepada kakitangan awam, kesyukuran ini hendaklah dijelmakan melalui kesungguhan untuk meningkatkan kecekapan memberi khidmat yang bermutu lagi mesra kepada rakyat. Kepada sektor swasta kesyukuran ini hendaklah diterjemahkan dalam bentuk meningkatkan dayasaing dan produktiviti. Kepada para mahasiswa dan pelajar kesyukuran ini hendaklah ditunjukkan dengan pencapaian prestasi yang cemerlang. Kepada para belia dan remaja, kesyukuran ini hendaklah digambarkan melalui amalan murni dan sifat bertanggungjawab terhadap diri dan keluarga. Marilah setiap seorang dari kita berazam dan bertekad, bersama membuktikan rasa syukur kepada Allah SWT; semoga nikmat dan rahmat dariNya terus dilimpahkan kepada kita. Ayat 7, surah Ibrahim adalah peringatan:
Maksud, "Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi ni'matKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras"
UMNO
CABARAN DAN DUGAAN
Saudara-saudari
17. UMNO telah mencapai usia 57 tahun di bawah pimpinan lima tokoh. Setiap seorang dalam tempoh pimpinan masing- masing telah melakukan pengorbanan dan memberikan sumbangan besar kepada parti, bangsa, negara dan agama. Setiap seorang juga memiliki identiti kejayaan di era masing- masing. Dato' Onn Jaafar (Allahyarham) telah menyatupadukan bangsa Melayu hingga memiliki kekuatan menggagalkan Malayan Union. Tunku Abdul Rahman (Almarhum) telah menebus kemerdekaan sebuah negara. Tun Abdul Razak (Allahyarham) telah mengisi kemerdekaan dari segi melaksanakan program pembangunan secara tersusun melalui rancangan pembangunan lima tahun; dan melalui formula Dasar Ekonomi Baru, mengusahakan berlakunya pengagihan saksama kekayaan ekonomi, sebagai landasan kestabilan politik. Tun Hussein Onn (Allahyarham) telah memperkukuhkan kredibiliti institusi pentadbiran dengan menekankan aspek kedaulatan undang- undang. Dato' Seri Dr. Mahathir telah memperlengkapkan erti kemerdekaan dengan menobatkan bangsa Melayu, warga dan negara Malaysia sebagai bangsa, warga dan negara yang dihormati oleh dunia.
18. Kebijaksanaan pimpinan Melayu telah meletakkan UMNO sebagai parti yang paling dihormati, paling kredibel, paling mendapat penerimaan dalam sistem politik dan sistem demokrasi di negara ini. Dalam memenuhi agenda memperjuangkan nasib bangsa Melayu, kaum-kaum lain turut yakin dengan pendekatan UMNO yang pragmatik dan berasa selesa selagi tampuk pemerintahan negara berada di tangan UMNO. Apabila makhamah membuat keputusan mengharamkan UMNO dalam tahun 1988, kebimbangan bukan sahaja dirasai oleh orang-orang Melayu, malah oleh parti-parti politik yang mewakili bukan Melayu. UMNO membawa wadah perjuangan yang dapat mengimbangkan tugas dunia dan tanggungjawab akhirat. UMNO terbukti mengamalkan dasar saksama bagi seluruh rakyat di negara ini. UMNO tidak pernah bersifat ekstrim atau mengamalkan tafsiran sempit dalam mengendalikan urusan bangsa, urusan warga, urusan agama malah urusan di peringkat antarabangsa.
19. Terpilihnya Perdana Menteri Malaysia menjadi Pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), adalah satu penghormatan kepada negara dan kepada warga Malaysia, malah kepada UMNO juga. UMNO amat berbangga kerana Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir adalah seorang putera dari UMNO. Kepimpinannya berputik dan mekar di taman UMNO. Di dalam UMNOlah, beliau memperlihatkan bakat dan mempertajamkan daya kepimpinan, merasai asam garam - melalui pahit manis; merenangi gelombang cabaran, mendalami dasar perjuangan, bangun - jatuh - dan bangun semula, melangkah tapak demi tapak, mendaki tangga demi tangga - hingga terpilih menjadi Presiden parti, menjadi Perdana Menteri, menjadi negarawan terbilang, kini diterima memimpin di peringkat antarabangsa. Sesungguhnya sokongan padu UMNO kepada beliau, telah memberi keyakinan kepadanya memperhebatkan kejayaan UMNO. UMNO pula kuat dan berpengaruh kerana UMNO mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat.
20. Bahawa kepercayaan dan sokongan yang dicapai oleh UMNO tidak diperolehi dengan mudah. Tidak ada lampu ajaib untuk digosok yang membolehkan sesuatu sokongan berlaku dalam sekelip mata. Demikian pula, hilangnya kepercayaan dan sokongan adalah akibat hakisan kepercayaan dan hakisan sokongan berpunca dari perlakuan, perbuatan dan pengucapan yang tidak mendapat restu rakyat. Sedarlah! Jika ahli-ahli UMNO mula bersifat terlalu selesa, kepercayaan dan sokongan, tidak dapat kekal selama-lamanya.
21. Oleh itu di saat-saat merasa bangga menjadi ahli kepada sebuah parti politik yang begitu gemilang prestasinya, saya terpanggil untuk berkongsi dengan saudara-saudari akan ungkapan kata-kata yang ditulis oleh orang tua saya, Haji Ahmad Badawi (Allahyarham) di papan hitam di ruang mesyuarat dan kuliah di rumah kami di Kepala Batas. Ungkapan kata- kata tersebut berbunyi:
"Tiap-tiap umat akan menghadapi tiga ketika:
Pertama: Ketika kebahagiaan dan kekecewaan
Kedua: Ketika gelora dan perselisihan
Ketiga: Ketika kejatuhan dan kehancuran.
22. Di saat-saat merenung masa hadapan UMNO untuk menghadapi cabaran dan jalan perjuangan yang masih panjang, saya bertanya dan pertanyaan itu saya kemukakan untuk renungan kita bersama, di tahap manakah UMNO pada masa ini dan dapatkah kita terus mempertahankan supaya UMNO kekal berada pada tahap `kebahagian tanpa kekecewaan'.
23. Saya mengimbas akan peringatan yang telah disuarakan oleh Dr. Mahathir bin Mohamad selaku Presiden Parti, dalam ucapan dasar di Perhimpunan UMNO tahun 2002. Beliau memperingatkan orang Melayu, bahawa politik boleh mendatangkan jawatan, pangkat dan gelaran, dan upahan yang dianggap lumayan. Beliau menyingkap, bahawa perpaduan erat, merupakan ramuan rahsia kekuatan yang menjadi senjata berkesan, menjayakan perjuangan orang Melayu yang telah dijajah selama 450 tahun, hingga sewaktu mengadakan rundingan dengan Inggeris, telah dapat mengalahkan satu kuasa dunia yang baru sahaja menang perang besar.
24. Saya amat memahami kebimbangan beliau. Bahawa hari ini orang Melayu kurang mengutamakan perpaduan. Apa sahaja boleh memecahbelahkan orang Melayu. Rebutan tempat dalam parti, sangkaan buruk yang tidak berasas kepada pemimpin, kekecewaan dalam mendapat peluang perniagaan, hasutan oleh parti lawan, perasaan terlalu terselamat dan berbagai-bagai lagi memecahbelahkan orang Melayu. Kata Dr. Mahathir lagi, mereka bukan sahaja sanggup berpecah tetapi ramai yang sanggup bersubahat dengan orang yang bermusuh dengan kita untuk menggagalkan perjuangan kita, perjuangan nasionalis bangsa Melayu.
25. Saya turut bimbang betapa kejayaan telah merosakkan atau `undermine' pemikiran Melayu sehingga mereka anggap mereka sudah selamat dan boleh berbuat apa sahaja. Hari ini semangat kebangsaan mereka luntur dan kemampuan mereka menghadapi cabaran sudah menurun. Kerana perpecahan, kuasa politik semakin susut. Orang Melayu mencari perlindungan daripada kuasa politik, tetapi kerana perpecahan, kuasa politik Melayu mungkin tidak sekuat dahulu. Bahawa jika tidak dibendung secara tegas, jika tidak dicegah secara berani, satu hari kuasa UMNO, dan sekaligus kuasa politik Melayu boleh luput sama sekali.
26. Sedarlah! Jika UMNO hilang kuasa politik, masyarakat Melayu tidak mempunyai alternatif baik yang dapat menggantikan peranan UMNO, dari segi pengalaman dan kematangan, memimpin sebuah kerajaan yang mendapat keyakinan rakyat pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa. Melaksanakan secara efektif formula perimbangan kuasa pentadbiran bukan boleh dicuba-cuba. Negara menghadapi risiko besar jika mahu dijadikan satu makmal politik untuk membuat eksperimen formula kimia politik yang baru. Ujian asid sedemikian mungkin membawa kepada satu `explosion', satu ledakan politik yang boleh membawa kemusnahan. Sebarang kekacauan yang berlaku di bumi ini akan hanya membuka pintu, memberikan justifikasi, membolehkan campurtangan kuasa asing yang sedang bernafsu ghairah, bagai helang yang cepat mahu menyambar mangsa, maka direbut kesempatan untuk campurtangan dalam urusan negara lain.
27. Orang Melayu belum cukup kuat. Melayu bukan terlalu ramai bilangannya. Melayu masih belum berada di hadapan malah belumpun setanding dengan kaum-kaum lain dari segi penguasaan ilmu, perniagaan, perdagangan, ekonomi dan sebagainya. Jangan leka semata-mata kerana pimpinan kerajaan dan perkhidmatan awam dikuasai oleh Melayu. Jangan ingat kuasa Melayu dalam arena politik boleh kekal selama- lamanya. Tugas UMNO, tugas kepimpinan UMNO, tugas semua ahli UMNO, ialah untuk menyeru dan memberi panduan serta contoh teladan kepada semua orang Melayu, supaya menepati perjuangan kerana agama, bangsa dan negara; perjuangan yang diredhai Allah. Di samping memberi panduan - memberi teguran, ahli-ahli UMNO hendaklah secara berani - secara tegas, menolak unsur-unsur yang membuatkan rakyat rasa meluat kepada UMNO.
28. UMNO ditubuh untuk menyatukan Melayu, untuk membela dan memperjuangkan nasib bangsa Melayu. UMNO bukan gelanggang `litar lumba' untuk berebut kuasa hingga jawatan dijadikan kiblat perjuangan. Perebutan jawatan telah seringkali menghalalkan cara, telah berulang kali membawa kepada keruntuhan nilai, sehingga kawan menjadi lawan. Perpaduan di dalam parti sanggup diretakkan - perpaduan sesama bangsa sanggup dipecahkan kerana jawatan. Menyokong individu lebih diutamakan dari menyokong parti. Survival individu lebih dipentingkan dari survival bangsa. Pertandingan dilihat sebagai peluang mendapat keuntungan diri. Nama baik pemimpin sanggup dihitamkan kerana terpengaruh dengan ganjaran upah. Kuasa undi dinilai dengan ringgit. Ingatlah calon yang membayar upah telah juga mengambil upah lebih besar dari pihak lain. Calon yang mempengaruhi perwakilan untuk menjual maruah telah lebih dahulu hilang maruahnya sendiri.
29. Kelangsungan UMNO bergantung kepada niat dan pegangan ahli. Semangat juang untuk parti janganlah berakhir dengan tempoh masa menyandang jawatan iaitu selagi diri diberikan kedudukan dan imbuhan. Sebaik sahaja kehilangan jawatan, sebaik sahaja kehilangan kedudukan, sebaik sahaja gagal mendapat imbuhan, kepimpinan parti diugut, dicerca, diserang secara berdepan, ditikam dari belakang dan orang yang dipilih menggantikan tempatnya, dipulaukan pula.
30. Selama manakah parti akan menanggung sarat dari ahli yang berfikiran sempit? Selama manakah pemimpin parti harus tunduk kepada ugutan ahli yang berjiwa kecil? Menghadapi ahli parti yang berfikiran sempit dan ahli parti yang berjiwa kecil, sebenarnya lebih membebankan dari menghadapi musuh, lebih berat dari menghadapi parti pembangkang. Mereka sanggup menggunakan apa sahaja muslihat untuk mengekalkan jawatan di dalam parti meskipun telah ditolak rakyat di dalam pilihanraya. Ahli-ahli parti seperti inilah yang menjadi beban ketika UMNO menghadapi pilihanraya. Ahli- ahli parti seperti inilah yang telah membantu kemenangan pembangkang di dalam pilihanraya. Ahli-ahli parti seperti inilah yang berada dalam tahap `kekecewaan' yang boleh membawa parti ke tahap `gelora dan perselisihan'. Jika tidak dibendung secara tegas mereka akan membawa parti ke tahap `kejatuhan dan kehancuran'.
KEHILANGAN KUASA
Saudara-saudari
31. Setiap peristiwa, dijadikan Allah sebagai peringatan dan pengajaran umat terkemudian. Kegagalan belajar dari sejarah buruk, memungkinkan sejarah buruk berulang kembali. Banyak peristiwa memperlihatkan tahap `kejatuhan dan kehancuran' bermula dari tahap `gelora dan perselisihan'. Ianya pula berlaku ketika kejayaan telah dicapai kerana kegagalan mengurus kejayaan secara bijaksana. Kejayaan seringkali membawa kepada khayalan dan rasa terlalu selesa. Nafsu dibenarkan menguasai akal, lalu kesilapan demi kesilapan terus berlaku. Dari kisah lucu Mat Jenin membawalah kepada keruntuhan empayar perniagaan hingga terhapusnya empayar politik, semuanya berpunca dari kesilapan mengurus kejayaan. Jika kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran, kejayaan dan kekayaan juga, jika tidak dilandaskan kepada iman yang kukuh, boleh membawa kepada kemusnahan.
32. Empayar Rom yang merentas dari Scotland hingga ke Sahara, tumpas dan dikalahkan oleh `Franks' disebabkan kelemahan perpaduan politik Rom, walaupun orang `Franks' lebih primitif serta memiliki kekuatan ketenteraan jauh lebih rendah. Sikap terlalu bergantung kepada sumber tenaga abdi membuatkan orang-orang Rom tidak bersedia melibatkan diri secara langsung melakukan pekerjaan yang mereka anggap rendah martabatnya dan akibatnya mereka tidak berkeupayaan menjadi `industrious'. Kerajaan Rom turut melakukan kesilapan dengan memaksa rakyat menerima agama Kristian yang dianggap telah mengenepikan kebebasan rakyat beragama. Akhirnya Empayar Rom jatuh kerana pada peringkat berada di puncak kejayaan, mereka gagal memahami kelemahan struktur dan gagal meramalkan punca yang melemah dan mengancam kuasa mereka.
33. Empayar Islam yang merentas dari Benua India ke Lautan Atlantik merupakan empayar terbesar dalam sejarah berkerajaan hingga menjadi paksi utama geo-politik dunia, berjaya membina tamadun keilmuan, memunculkan ramai cendikiawan, memiliki kekuatan ketenteraan yang gagah lagi berdisiplin. Era keagungan Empayar Islam tidak dapat bertahan dan akhirnya runtuh. Keruntuhan Empayar Islam adalah pengajaran yang perlu diselami dari aspek kepimpinan dan perpaduan, perbalahan politik, perbalahan sesama pemimpin, perebutan kuasa dan hasrat menubuhkan dinasti berlandaskan keturunan. Sebenarnya pemimpin Islam di waktu itu lagi, sepatutnya mengambil iktibar, akan akibat kehilangan fokus perjuangan, seperti apa yang telah diperlihatkan oleh Allah SWT dalam Peperangan Uhud. Betapa tarikan kebendaan yang dipengaruhi oleh nafsu tamak menggugat iman tentera Islam lalu kemenangan yang diperolehi di peringkat awal beralih kepada kekalahan.
34. Bangsa Melayu turut mempunyai era kegemilangan di zaman Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Melaka di era kegemilangan memenuhi peranan sebagai pusat yang memperlihatkan kuasa politik, kuasa maritim dan menjadi pusat kemakmuran perdagangan alam Melayu. Melaka pernah berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu, sebuah kota metropolitan perkembangan bahasa dan perkembangan budaya yang mempertemukan budaya barat dan budaya timur. Di puncak keagungannya terdapat 80 bahasa dan dialek yang dipertuturkan di Melaka. Melaka adalah tapak yang telah melonjakkan penyebaran Islam di alam Melayu. Segalanya tinggal sebagai kenangan setelah Melaka tewas di tangan penjajah. Kerja penjajah dipermudahkan kerana pertelingkahan yang berlaku di kalangan pembesar. Hasad dengki telah mendorongkan fitnah, hasutan telah menimbulkan prasangka dan ketidakadilan, lalu akhirnya tercetus persengketaan. Sasterawan Zurinah Hassan secara tepat dalam puisinya mengungkapkan bahawa yang ditentang oleh si Tuah bukannya Jebat, tetapi penderhakaan dan perebutan kuasa. Yang dipertahankan oleh si Tuah bukannya Raja, tetapi sebuah kerajaan. Kerana tanpa kerajaan tidak akan wujud sebuah negara. Tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa. Episod yang berlaku, menghilangkan keramat Keris Taming Sari. Taming Sari, lambang kekuasaan, digunakan untuk bertarung sesama sendiri. Hang Tuah juga tidak berupaya mempertahankan kejatuhan Melaka. Ingatlah! Bagi bangsa Melayu, Keris Taming Sari itu adalah lambang kuasa, dalam bentuk kerajaan yang ada. Hang Tuah lambang perwira bangsa itu adalah UMNO. UMNO yang telah teruk dicalar fitnah sepertimana Hang Tuah, tentunya hilang kredibiliti dan hilang tempat dalam kerajaan.
Saudara-saudari
35. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, parti-parti politik bangkit di negara masing-masing untuk memperjuangkan kemerdekaan. Parti-parti politik tersebut mendapat sokongan kukuh rakyat dalam kehangatan bara kemerdekaan. Parti Kongres India memainkan peranan penting ketika memperjuangkan kemerdekaan dan melahirkan tokoh-tokoh besar seperti Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru. Parti Kongres mendapat sokongan padu dan diterima sebagai parti nasional yang mewakili seluruh rakyat merentas pelbagai agama, kumpulan etnik dan kasta. Kejayaan telah menjadikan pemimpinnya melupai pendekatan asas perjuangan untuk membela nasib di kalangan penyokong terutama di kalangan kasta bawahan dan golongan miskin. Amalan rasuah berlaku secara berleluasa dan pengagihan ekonomi yang tidak saksama membuatkan pengaruh Parti Kongres terhakis dan akhirnya ditewaskan buat pertama kalinya dalam tahun 1977 setelah 38 tahun berkuasa.
36. Kuomintang Nationalist Party (KMT) memerintah Taiwan sejak tahun 1949. KMT bertanggungjawab melakukan transformasi Taiwan dari sebuah negara miskin pertanian hingga menjadi salah satu ekonomi paling berjaya di Asia dan meletakkan Taiwan setanding dengan negara maju. Ketika berada di puncak kuasa KMT mempunyai aset bernilai 6 billion dollar Amerika. KMT kecundang dalam pilihanraya Presiden pada Mac 2000, setelah 51 tahun berada di tampuk kuasa disebabkan amalan pembelian undi dan amalan ugutan menggunakan kumpulan `gangster', ditambah dengan skandal rasuah dan perpaduan yang semakin luntur.
37. Liberal Democratic Party (LDP) adalah satu-satunya parti yang dominan dalam era moden Jepun. Jepun di bawah kuasa pemerintahan LDP muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia, dan mengetuai dunia dari segi inovasi teknologi. Rentetan skandal rasuah yang berlaku dalam tahun- tahun tujuh puluhan hingga lapan puluhan adalah punca yang membawa kepada kejatuhan apabila ia kehilangan majoriti di Parlimen dalam tahun 1993, setelah 38 tahun berkuasa. Di samping rasuah, LDP dilihat sebagai parti yang dikuasai oleh beberapa broker kuasa atau `kingmaker' untuk sekian lamanya. LDP dianggap bernasib baik, walaupun tidak segagah dahulu, kembali dapat berkuasa kerana parti-parti lawan masih gagal menawarkan alternatif yang baik kepada pengundi.
MASA HADAPAN
Saudara-saudari
38. Begitulah nasib yang menimpa beberapa pemerintahan dan parti politik yang berlaku sepanjang waktu. Hasad dengki dan perebutan jawatan mencetuskan fitnah, mencetuskan perpecahan, melemahkan perpaduan. Lupa kepada tanggungjawab sebenar, penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah dan sikap mencari keuntungan peribadi, adalah faktor yang membawa kehilangan kuasa dan kehilangan sokongan. Setiap kejadian itu adalah kerana kealpaan manusia kepada ingatan Allah SWT. Ayat 53 surah Al Anfaal perlu dijadikan peringatan:
MaksudNya: "(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu ni'mat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
39. Maha adil kebesaran ILLAHI, sesuatu nikmat itu akan berkekalan selagi mereka taat dan bersyukur, tetapi kalau mereka menderhaka maka buruklah balasannya di dunia dan di akhirat. Bersyukurlah atas nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kepada UMNO yang masih diberikan kuasa. Bersyukurlah kerana perlindungan dari Allah, UMNO masih terpelihara dan selamat di bawah pimpinan yang tidak merestui kemungkaran. UMNO terus dapat bertahan kerana majoriti ahli-ahli UMNO masih mempunyai niat yang suci, nilai yang jernih, hasrat yang ikhlas, untuk meneruskan perjuangan yang murni. Ahli- ahli UMNO majoritinya, masih berfikiran rasional dan masih mengutamakan kepentingan parti. Ahli-ahli UMNO majoritinya, masih berpegang kepada prinsip keimanan, yang mengakui penentuan ILLAHI. Bahawa Allah SWT melakukan sesuatu secara adil - secara saksama untuk kebaikan ummah. Bahawa setelah menggunakan akal fikiran dan melakukan usaha, bahawa sesudah mencurahkan segala daya dan upaya, memikir, mentadbir dan memilih - dengan tenang hati, berserahlah diri bulat-bulat kepada Allah SWT; kerana kewajipan seseorang ialah berusaha sekadar daya upayanya, dan kesudahannya terserah kepada Allah seperti yang terkandung dalam ayat 68 surah Al-Qasas:
Maksudnya: "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya."
40. Demikianlah bisikan peringatan ninda saya Abdullah Fahim (Allahyarham) ketika saya masih di bangku sekolah yang saya jadikan pedoman dan pelita untuk menyuluh perjalanan hidup saya.
Saudara-saudari,
41. UMNO telah begitu banyak melaksanakan program pembangunan dan menunaikan tanggungjawab mengisi agenda kemerdekaan. Tidak sepatutnya UMNO ditolak oleh rakyat, memandang kepada jasa dan khidmat yang telah banyak dilakukan, dalam meningkatkan syiar Islam, mendaulatkan kemerdekaan negara dan menobatkan maruah bangsa. Pengisian luar telah dapat kita sedia - telah dapat kita lengkapkan. Marilah kita sama bertekad dengan hati yang ikhlas - hati yang tulus, mengusahakan pengisian dalaman menjadikan perjuangan UMNO satu ibadah yang mendapat keredaan ILLAHI.
42. Sebenarnya kita di hari ini sedang mewarisi satu kejayaan. Kita mewarisi sebuah negara yang rakyatnya besatu padu. Kita mewarisi sebuah negara yang stabil politiknya. Kita mewarisi sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi. Kita mewarisi sebuah negara yang telah dilengkap dengan pembangunan prasarana yang canggih dan moden. Kita mewarisi sebuah parti politik yang terkuat dan terbesar di dalam negara. Demikian kejayaan yang sedang kita warisi.
43. Kejayaan tidak akan kekal jika kita terlalu awal berasa berpuas hati lalu menjadi manusia yang cepat leka dan mudah lupa. Menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahan malah meningkatkan prestasi kejayaan ini. Untuk itu, kita harus berupaya mempunyai pandangan jauh dan wawasan luas melihat dan mentafsir setiap perkara secara global. Kita perlu meningkatkan keupayaan minda. Kita perlu meningkatkan dayasaing untuk menentukan kelangsungan kejayaan dapat ditingkatkan. Kita harus membina kekuatan rohani demi mempertahankan identiti budaya bangsa dalam menghadapi arus pengaruh globalisasi. Kita harus meningkatkan ketahanan diri dari terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh menyimpangkan tumpuan kita dari asas dan matlamat utama perjuangan. Kita perlu mempereratkan perpaduan di kalangan ahli parti, sesama bangsa Melayu dan sesama warga Malaysia. Percayalah! Jika niat dan pegangan kita kepada perjuangan adalah tulus dan ikhlas, jernih dan bersih, suci dan murni, kita akan dapat menguruskan kejayaan yang sedang diwarisi ini dengan penuh berjaya untuk membawa kita ke tahap lebih cemerlang.
44. Saya yakin ramai ahli UMNO yang tidak `bernama', yang tidak berjawatan, yang tidak berkedudukan, yang sekalipun tidak pernah menjejak kaki di dewan ini, apalagi dapat bersua Perdana Menteri, mereka memiliki semangat kesetiaan dan perjuangan yang tulin, bersih dan hening hati nuraninya. Saya berpegang bahawa niat suci mereka, usaha murni mereka, keikhlasan mereka, telah memudahkan para malaikat, mengangkat doa mereka ke pintu langit yang terbuka, lalu mendapat makbul Allah SWT., lalu negara kita dilimpahi berkat, UMNO masih selamat dan seluruh rakyat mendapat rahmat.
45. Sama-samalah kita berusaha memelihara kejernihan parti yang kita warisi ini dari sebarang pencemaran disebabkan kealpaan dan kecuaian manusia. Sama-samalah kita mempastikan bahawa kedudukan dan jawatan yang Allah pinjamkan kepada kita, tidak dipersalahgunakan hingga boleh melengahkan timbangan kita di Padang Mahsyar dan menyulitkan perjalanan kita menyeberangi Siratul Mustakim.
46. Ingatlah akan musuh utama Adam itu. Bahawa Iblis telah menderhaka kepada Allah kerana sifat sombong dan takabur yang engkar perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam A.S.. Iblis telah diberi tangguh, lalu menaruh dendam terhadap Nabi Adam dan keturunan Baginda. Iblis berazam untuk menyesatkan anak Adam dan telah secara terbuka bersumpah di hadapan Allah SWT akan mendampingi kita dari hadapan, dari belakang, dari kiri, dari kanan, menghasut dan menggoda untuk menghancurkan anak Adam. Bahawa menjadi pekerjaan Iblis untuk memporakperandakan anak Adam, melainkan dari kalangan mereka yang ikhlas dan mukhlisin, iaitu disucikan dengan rahmat Allah. Ayat 82
dan 83 Surah Sad menerangkannya:
Maksudnya: (Iblis) bersumpah: "Maka demi kekuasaan Tuan hamba (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba Tuan hamba dari kalangan zuriat Adam itu yang ikhlas dan mukhlisin, disucikan (dengan Rahmat Tuan hamba)"
47. Sama-samalah kita memohon perlindungan ILLAHI supaya kita senantiasa dilindungi dari pengaruh Iblis yang dilaknat, hingga boleh membuatkan kita tergelincir dan terpesong dari landasan perjuangan yang suci.
Saudara-saudari
48. Pada 9 Mei lalu, sewaktu menjadi tetamu di Malam Puisi anjuran Utusan Melayu, bertempat di dewan DBKL saya telah diminta mendeklamasikan puisi. Saya telah diminta untuk memilih mana-mana puisi yang telah dihasilkan oleh para sasterawan yang terkenal. Tetapi ketika itu, saya telah diilhamkan untuk melakar beberapa baris ayat, jikapun dapat dikatakan puisi. Baris-baris ayat itu, bagi saya, lebih tepat, menggambarkan jiwa dan pegangan saya. Pada malam ini, saya memilih untuk membaca puisi yang ditulis itu, buat kali kedua, dengan harapan, pegangan hidup saya, dalam mencari `damai abadi' ini, dapat saya berkongsi bersama saudara-saudari; jika baik jadikanlah pegangan:
"AKU CARI DAMAI ABADI"
Aku cari bukan harta bertimbun-timbun
Untuk hidup kaya
Aku cari bukan wang berjuta-juta
Untuk hidup bergaya
Aku cari bukan kawan-kawan
Untuk hidup sekadar berfoya-foya
Aku cari mana dia Al-Ghazali
Aku cari mana dia Al-Shafie
Kita bongkar rahsia kitab suci
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah Nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi.
Saudara-saudari,
49. Marilah kita pohonkan perlindungan dan keberkatan dari Allah SWT dengan membaca umul kitab, Al-Fatihah.
50. Dengan kebesaran kalimah "BISMILLAH" saya rasmikan Pehimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Tahun 2003.
HIDUP UMNO
HIDUP MELAYU
|
� |