1. Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat allah S.W.T. kerana dengan izin limpah dan rahmatNya, maka dapat kita bersama-sama menyempurnakan majlis pada pagi ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi serta seluruh warga koperasi negara yang telah sudi menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata, seterusnya merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara tahun 2003.
2. Sepertimana yang saudara-saudari sedia maklum, koperasi adalah satu pertubuhan yang bermatlamat untuk meningkatkan kepentingan ekonomi para anggotanya dengan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh anggota-anggota tersebut. Berdasarkan kepada prinsip- prinsip koperasi, asas kepada organisasi koperasi adalah keanggotaan. Oleh yang demikian, apa juga tujuan dan urusan hal ehwal koperasi, kepentingan serta keperluan anggota mestilah diutamakan terlebih dahulu. Aktiviti- aktiviti yang dijalankan perlulah juga menepati matlamat koperasi dan dipersetujui anggota-anggota koperasi.
3. Koperasi adalah wadah aktiviti ekonomi yang unik dan istimewa dari segi falsafah, matlamat dan tujuan, serta hubungannya dengan masyarakat. Berbeza dengan sektor swasta yang berniaga dan bergerak atas modal pelabur yang memilikinya, koperasi bergerak dan berniaga atas dokongan para anggotanya. Sebagai satu organisasi "owner-user", koperasi dipunyai oleh anggota, dikawal secara demokrasi di kalangan anggota, dan aktiviti koperasi dilanggani oleh anggota sendiri. Justeru itu, kita dapat melihat masa depan gerakan koperasi banyak bergantung kepada anggota- anggotanya. Maju dan mundur sesebuah koperasi adalah bergantung kepada sumbangan dan penyertaan anggota- anggotanya di dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
4. Bagi merealisasikan tema hari koperasi negara pada tahun ini, iaitu "anggota teras kejayaan koperasi", saya ingin menegaskan di sini bahawa tuan-tuan sebagai anggota- anggota koperasi mempunyai tanggungjawab yang berat yang perlu dilaksanakan secara lebih berkesan. Koperasi adalah milik anggota-anggotanya. Sikap tolong menolong, bekerjasama, semangat kekitaan dan sayangkan koperasi perlu ada di dalam diri setiap anggotanya. Penyertaan anggota perlu diiringi dengan sikap penuh komitmen dan dedikasi. Saya pasti sikap dan semangat sedemikian boleh menghindarkan sebarang gejala buruk yang mungkin berlaku di dalam koperasi.
5. Koperasi-koperasi di negara kita perlu mempunyai kepimpinan yang jujur, dinamik dan progresif. Kepimpinan ini harus berupaya membawa koperasi mereka dari takuk yang lama dan pemikiran zaman lalu, ke tahap yang lebih moden, lebih maju dan lebih cemerlang. Pemimpin-pemimpin koperasi perlu sedia mengamalkan kaedah-kaedah terbaik ("best practices") di dalam setiap aspek koperasi. Ini adalah tugas dan tanggungjawab para pemimpin koperasi. Sebaliknya, tugas dan tanggungjawab para anggota koperasi adalah untuk memilih dan melantik pemimpin dan pengurus yang berkebolehan dan berwibawa. Setelah pemimpin dilantik, tugas dan tanggungjawab para anggota adalah untuk memantau dan menilai kepimpinan koperasi, agar kepimpinan tersebut sentiasa menepati kehendak dan citarasa para anggota. Justeru, setiap ahli koperasi perlu memainkan peranan yang aktif dalam organisasi masing-masing. Saya berharap anggota-anggota koperasi tidak akan sekali-kali mengambil sikap sambil lewa ataupun terlalu bergantung kepada pihak luar untuk mengawasi koperasi masing-masing. Ingatlah, koperasi ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggotanya. Oleh itu, terpulanglah kepada para anggota koperasi untuk menjaga kepentingan diri serta kepentingan koperasi itu sendiri.
Saudara-saudari sekelian
6. Sepertimana yang telah dilaporkan oleh YB Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi sebentar tadi, sehingga 31 Mei 2003 terdapat sejumlah 4,372 buah koperasi yang berdaftar, dengan keanggotaan seramai 5.02 juta orang, dengan syer/yuran sebanyak 4.4 bilion ringgit dan jumlah aset bernilai 19 bilion ringgit. Persoalan yang penting bagi saya adalah bagaimana kita dapat menggerakkan dan menggembleng sumber yang begitu besar ini, untuk menjana perkembangan koperasi dan perkembangan ekonomi tanahair kita?.
7. Saudara-saudari telahpun sedia maklum, di bawah Dasar Koperasi Negara, gerakan koperasi telah diiktiraf sebagai penggerak dan penyumbang dalam pembangunan negara, serta sebagai pemangkin bersama ekonomi (di samping sektor awam dan sektor swasta). Oleh itu, kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Koperasi, dan saudara-saudari melalui koperasi masing-masing, perlu merangka dan melaksanakan strategi dan cara-cara untuk merealisasikan gerakan koperasi sebagai sektor ketiga penyumbang pembangunan negara. Usaha ini adalah selaras dengan pakej rangsangan pertumbuhan ekonomi negara yang dilancarkan baru-baru ini, yang bertujuan untuk menjana aktiviti ekonomi melalui penggemblengan sumber dalaman, di samping mengurangkan pergantungan kepada sektor luar negara.
8. Justeru, selaras dengan pakej rangsangan tersebut, kerajaan telah menjalankan beberapa usaha bagi menggalakkan sektor koperasi untuk turut serta dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara dan membantu menjayakan projek pembiayaan mikro untuk usahawan kecil dan sederhana. Sektor koperasi berpotensi menyediakan kemudahan kredit dan kewangan kepada para anggota. Usaha ini dapat dijayakan dengan memperkukuhkan peranan bank rakyat serta meningkatkan pengawalseliaan bagi koperasi-koperasi oleh jabatan pembangunan koperasi.
9. Bank Rakyat yang mempunyai kedudukan modal yang kukuh serta rangkaian cawangan yang luas, seharusnya berperanan lebih aktif dalam menyediakan perkhidmatan kewangan dan kemudahan perbankan bagi sektor koperasi. Manakala Jabatan Pembangunan Koperasi seharusnya menjalankan fungsi kawal selia koperasi dengan lebih profesional bagi memastikan koperasi diurus secara berhemat dan cekap, di samping berperanan untuk menyediakan persekitaran dan kemudahan yang boleh memantapkan sumbangan gerakan koperasi dalam pertumbuhan ekonomi tanahair.
10. YB Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dalam ucapannya sebentar tadi telah menggariskan lima perkara yang menjadi sasaran utama dalam pembangunan gerakan koperasi. Saya tertarik dengan tindakan yang akan diambil dalam mewujudkan satu pusat perniagaan dan perdagangan setempat yang dinamakan "hub koperasi" bagi menempatkan produk-produk koperasi di bawah satu bumbung. Melalui konsep satu bumbung ini, saya berharap semangat kerjasama akan dipertingkatkan, sama ada di kalangan koperasi mahupun di antara koperasi dengan pihak lain dari dalam dan luar negara. Koperasi juga boleh menjalin kerjasama dengan pihak swasta dan dengan itu secara tidak langsung koperasi- koperasi dapat menimba kemahiran dan teknologi baru yang boleh diterapkan ke organisasi masing-masing. Dengan pembinaan hub koperasi ini, kerajaan berharap daya saing gerakan koperasi dapat ditingkatkan lagi.
11. Salah satu daripada strategi ekonomi negara ialah untuk membangunkan sumber-sumber pendapatan dan kekayaan yang baru. Saya percaya sekiranya gerakan koperasi dapat dibangunkan dengan lebih terancang dan berkesan lagi, sektor koperasi dapat dijadikan sebagai satu sumber ekonomi yang lebih aktif dalam pertumbuhan negara. Untuk itu kita perlu memastikan gerakan koperasi negara dapat keluar daripada "cycle of low participation, low professionalism and low productivity". Untuk itu, kita perlu merancang dengan jitu dan memastikan tadbir urus organisasi berada di tahap yang baik.
12. Walaupun begitu, kita kadang kala mendengar masalah- masalah koperasi yang berkisar kepada pengurusan yang tidak profesional, yang mengutamakan kepentingan diri berbanding kepentingan koperasi dan anggotanya, serta isu ketidakcekapan anggota lembaga koperasi itu sendiri. Bagi maksud ini, anggota lembaga perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran agar sebarang kegiatan dapat dilaksanakan dengan teratur dan sistematik. Pengurusan yang berkualiti dan berhemah penting bagi memastikan koperasi dapat menjana faedah yang sepatutnya kepada para ahli.
13. Akhir kata, saya ingin mengulangi apa yang telah saya sebutkan sebelum ini, iaitu pemimpin-pemimpin koperasi haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk mentadbir koperasi dengan jujur, cekap dan beramanah. Dalam usaha untuk mengejar pendapatan dan keuntungan, perlu ditekankan bahawa koperasi tidak seharusnya melupakan aktiviti- aktiviti yang boleh memberi perkhidmatan dan memenuhi keperluan anggota-anggota. Sesungguhnya, kejayaan gerakan koperasi akan membawa faedah dan kesejahteraan kepada anggota koperasi serta mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial negara. Pihak kerajaan sentiasa bersedia memberi sokongan padu kepada gerakan koperasi seimbang dengan usaha yang ditunjukkan.
14. Insya-Allah dengan sokongan dan penerimaan warga koperasi atas usaha-usaha murni ini, kita akan lebih berjaya menghasilkan satu gerakan yang berdisiplin dan yang dihormati lagi disegani bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.
15. Maka dengan itu, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara tahun 2003.
Sekian, terima kasih.