Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia Nya dapat saya hadir pada hari ini untuk merasmikan Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia atau (ILMI).
2. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kepimpinan Kementerian Pertahanan khususnya Menteri Pertahanan YB Dato' Seri Najib Tun Razak kerana menjemput saya untuk merasmikan ILMI ini. Saya berasa amat bangga dengan Angkatan Tentera dan Kementerian Pertahanan yang telah berjaya menubuhkan ILMI dan sekali gus menambahkan lagi satu lagi aset penting dalam Angkatan Tentera. Saya percaya seluruh Anggota Tentera kita mengalu-alukan penubuhan ILMI ini.
3. Saya berharap ILMI ini dapat diurus dan ditadbir dengan baik untuk dapat membina sumber tenaga manusia yang berilmu, produktif, beramanah dan bertanggungjawab terhadap agama bangsa dan negara. Saya juga berharap ILMI akan menjadi sebuah Pusat Latihan dan Kefahaman Islam yang menitikberatkan kecemerlangan dalam bidang-bidang ilmu - ekonomi, sains, teknologi mahupun ketenteraan. Ini penting kerana dunia hari ini memerlukan anggota tenteranya yang sentiasa berilmu dan mempunyai tahap kemahiran yang tinggi sejajar dengan kehendak dunia moden yang lebih sophisticated.
4. Oleh yang demikian, adalah diharapkan ILMI yang ditubuhkan oleh kerajaan ini akan menjadi pemangkin dan penggerak ke arah membina dan melatih Anggota Angkatan Tentera untuk mencapai kecemerlangan. Marilah kita sama- sama melakukan proses muhasabah dan hijrah minda secara serius untuk mengkaji semula dasar dan budaya pembinaan ilmu di dalam ATM. Kita tidak boleh dianggap berjaya jika cuma berbangga dengan apa yang kita lihat. Masyarakat yang bermegah-megah dengan kegemilangan sejarahnya tidak dapat lagi berbangga dengan keadaan sekarang. Jika kita benar- benar menghargai kegemilangan tamadun Islam terutamanya dari segi ketenteraan maka kita harus berusaha sekarang ini untuk memperbaiki kedudukan orang Islam. Oleh itu marilah kita mencari jalan untuk menjadi bangsa dan negara pencipta serta pengembang ilmu dan tidak sebagai negara pengimport dan pengguna ilmu semata-mata. Kita perlu bekerja lebih kuat lagi bagi memastikan negara kita mencapai hasrat untuk menjadi negara maju - wawasan 2020.
5. Negara kita sedang berhadapan dengan berbagai cabaran baik dari segi ekonomi, sosial dan budaya ekoran globalisasi. Di samping itu, pada masa yang sama, umat Islam juga sedang berhadapan dengan tekanan dan penindasan oleh kuasa-kuasa besar dunia. Sepatutnya cabaran-cabaran ini akan menjadikan umat Islam semakin kuat dan bersatu padu. Akan tetapi ia adalah sebaliknya menjadi semakin lemah dan berbalah sesama sendiri. Saya harap ILMI akan dapat mengkaji punca masalah yang berlaku pada dunia Islam untuk dijadikan panduan dalam menjana ketahanan jatidiri Anggota Tentera kita.
6. Umat Islam di Malaysia perlu melihat segala pergolakan yang berlaku di persekitaran kita sebagai cabaran dan menjadikan cabaran-cabaran ini untuk kita sama-sama meningkatkan lagi kemajuan negara kita Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang kukuh, maju dan terus berwibawa. Kita perlu terus meneliti dan mengkaji tentang kekuatan dan kelemahan kita. Untuk itu, umat Islam harus berusaha menimbulkan pengertian yang lebih meluas tentang ilmu yang terdapat dalam Islam. Ilmu ialah umpama obor dalam kehidupan manusia sejagat.
7. Oleh yang demikian, saya mengharapkan ILMI yang ditubuhkan hari ini perlu seiringan dengan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia dan juga Institusi Agama Kerajaan yang lain khususnya untuk memberikan kefahaman dan penghayatan Islam sebenar kepada seluruh warga Malaysia. Apabila kita diseru untuk kembali kepada Islam, bukanlah bermakna kita meninggalkan kemajuan, atau apa sahaja bentuk usaha keduniaan.
8. Pada hemat saya kemajuan diperlukan sebagai senjata kekuatan Umat Islam. Jika sekiranya kemiskinan, kelemahan dan kemelaratan serta kedangkalan ilmu terus menjadi kekangan utama masyarakat Islam, maka selama itulah umat Islam tidak memiliki kemampuan membangunkan negara. Saya sungguh mengharapkan agar usaha-usaha untuk meningkatkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam Angkatan Tentera Malaysia diteruskan dan diperhebatkan. Ia juga perlu dilaksanakan dengan cara yang cukup ikhlas tanpa mempunyai sebarang agenda yang tertentu. Usaha membangunkan Institusi Keagamaan seperti ILMI ini tentulah sebahagian daripada langkah murni ke arah menjadikan Islam sebagai satu cara hidup atau Ad'Din. Saya yakin, dengan cara ini Islam akan lebih difahami oleh semua pihak.
9. Saya menaruh harapan agar ILMI ini tidak hanya dapat dimanfaatkan di dalam Angkatan Tentera Malaysia sahaja, bahkan oleh seluruh umat Islam di Malaysia dan juga organisasi ketenteraan negara-negara Islam. Sesungguhnya pihak kerajaan akan tetap memberi sokongan bagi mempastikan penubuhan ILMI ini mencapai matlamatnya.
10. Dengan harapan itu saya dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia ini.
Terima kasih. |