Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG KOPERASI PESERTA-PESERTA FECRA BERHAD (KPFB) KE 22
Lokasi : DEWAN TUN HUSSEIN ONN, PWTC
Tarikh : 09-08-2003
 
Di pagi hari yang mulia ini, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana telah mengurniakan kepada kita kesihatan dan keamanan yang berpanjangan yang membolehkan kita bersama berkumpul pada hari ini.



2. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada tuan- tuan semua kerana telah sudi menjemput saya ke majlis ini dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peserta-peserta Felcra Berhad(KPFB) kali ke~22.



3. Sesungguhnya jemputan ini telah memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan tuan-tuan yang merupakan tenaga penggerak utama Gerakan Koperasi Felcra Berhad dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan di atas kejayaan mengadakan mesyuarat agung pada kali ini sepertimana yang telah ditetapkan oleh peraturan-peraturan koperasi di negara kita.



4. Kerajaan telah mengambil langkah bijak memperkenalkan dasar pengkorporatan negara untuk mengubah imej agensi- agensi yang berpotensi menjadi sebuah badan korporat. Selain daripada membantu menjimatkan belanja mengurus kerajaan, dasar ini telah membuka peluang baru kepada penerapan disiplin bisnes oleh staf yang terlibat.



5. Pengalaman baru ini telah membuatkan kumpulan tenaga kerja Felcra Berhad berusaha bersungguh-sungguh menerapkan budaya kerja baru iaitu budaya kerja korporat. Berkat usaha gigih semua pihak, Felcra Berhad telah menunjukkan pencapaian yang baik di dalam tempoh 6 tahun selepas dikorporatkan.



6. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Felcra Berhad yang telah membuktikan bahawa langkah kerajaan mengkorporatkannya adalah merupakan langkah yang amat wajar. Dengan keunikan strategi operasi berimbangnya Felcra Berhad telah mampu mencatat keuntungan untuk syarikat dan di dalam masa yang sama mampu menjaga kepentingan lebih daripada 80 ribu masyarakat pesertanya.



7. Pelaksanaan berkesan program obligasi sosial telah menempatkan Felcra Berhad lebih daripada plantation house yang lain di negara ini yang hanya memberi tumpuan kepada pencapaian keuntungan syarikat masing-masing semata-mata.



8. Felcra Berhad adalah agensi pembangunan tanah yang pertama dikorporatkan dan kejayaannya menjaga kepentingan warga desa adalah merupakan satu hadiah kepada kerajaan. Jumlah dividen tiap tahun yang dikeluarkan oleh Felcra Berhad adalah puluhan malahan ratusan juta iaitu di antara RM100 ~ RM200..juta bergantung kepada faktor harga. Begitu juga dengan perlantikan peserta PPRT yang kini seramai lebih 8..ribu orang dengan agihan dividen tahunan di antara RM15 ~ RM20..juta. Di samping itu tidak lupa juga dengan rekod pengeluaran zakat padi di Seberang Perak yang mencecah kepada angka lebih RM1..juta untuk setiap musim.



9. Saya bersetuju untuk mengatakan bahawa Felcra Berhad adalah di antara produk dasar pengkorporatan kerajaan yang berjaya. Warga kerja Felcra Berhad yang terdiri daripada staf, masyarakat peserta, pekerja dan kontraktor telah bertungkus lumus untuk menjadikan Felcra Berhad sebagai sebuah badan korporat milik kerajaan yang prihatin terhadap nasib warga desa yang dahagakan nilai pembangunan. Tahniah diucapkan.



10. Kita mesti berbangga menjadi sebahagian daripada warga Felcra Berhad. Baik staf mahupun peserta. Kerana kita telah berjaya mencipta sebuah lagi syarikat gergasi milik orang Melayu, dijana perkembangannya oleh intelektual kepimpinan Melayu untuk manfaat kumpulan sasar yang rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu.



11. Kita telah berjaya membawa masuk ahli korporat luar negara untuk berbincang dan berniaga dengan kita. Oleh kerana kita ada kekuatan, kita ada produk contohnya industri berasaskan sawit, maka kita dapat mengetengahkan negotiation power di dalam urusan business negotiation dengan mereka. Ini adalah lambang kejayaan Felcra Berhad dan lambang kejayaan negara kita yang tercinta Malaysia. Saya berharap semoga tuan-tuan akan meneruskan usaha-usaha murni ini demi kesejahteraan bangsa, agama dan negara.



12. Gerakan koperasi di Felcra Berhad pelengkap kepada arus pengkorporatan. Saya hendak mengambil kesempatan di sini untuk meminta barisan kepimpinan koperasi peserta Felcra Berhad (KPFB) supaya melihat arus pengkorporatan Felcra sebagai satu peluang untuk KPFB terus berkembang.



13. Selaras dengan pengenalan pakej khas rangsangan ekonomi negara baru-baru ini dan penekanan kerajaan kepada industri kecil dan sederhana, KPFB boleh bertindak sebagai pelengkap kepada arus pengkorporatan Felcra itu sendiri.



14. Saya hendak menyarankan supaya KPFB melihat Felcra Berhad sebagai potential business partner dan bukannya sebagai tempat bergantung harap. Menjadi rakan niaga di bidang perladangan yang merupakan core business tuan-tuan selama lebih 37 tahun perlu diperkemaskan. Kalau kini hanya tertumpu sebagai pelaksanaan kerja-kerja pertanian dan pembekal input pertanian, KPFB harus mengorak langkah yang lebih berani menyertai Felcra Berhad di dalam bidang Plantation Consultancy dan R. & D.



15. Begitu juga di dalam bidang trading yang mempunyai 1001 rangkaian niaga yang pelbagai. KPFB juga boleh memainkan peranan sebagai agen pengedar tunggal barangan keperluan harian kepada 80..ribu masyarakat peserta melalui program smart partnership dengan Felcra Berhad.



16. Yang lebih menarik kini kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah melantik Felcra Berhad sebagai agen pemasaran produk luar bandar bertujuan menyemarakkan lagi program 1 daerah 1 industri atau 1D 1I.



17. Felcra Berhad akan diberikan peruntukan oleh kerajaan bagi menyediakan marketing infrastructure untuk produk- produk ini. Felcra Berhad akan menyediakan pelan promosi dan pemasaran di peringkat dalaman dan global.



18. Jadi di sini, saya lihat KPFB juga mempunyai peluang keemasan di dalam aktiviti ini dengan menggembeling sumber dalaman yang ada sama ada menjadi pengeluar produk luar bandar yang beRMutu tinggi yang kemudiannya akan dipasarkan oleh Felcra Berhad. Ataupun KPFB boleh bertindak sebagai agen pemasaran yang dilantik oleh Felcra Berhad khusus untuk pasaran di kalangan peserta dan peneroka Felcra Berhad, risda dan felda yang jumlahnya melebihi 350 ribu di sebuah negara.



19. Saya juga melihat potensi Felcra Berhad yang boleh dilantik sebagai agensi pelaksana rasmi program-program pembangunan kementerian pembangunan luar bandar. Kementerian ini menerima peruntukan pembangunan tahunan yang sangat besar untuk pelbagai aktiviti dan program pembangunan fizikal di dalam sektor luar bandar.



20. Sekiranya kementerian melantik Felcra Berhad sebagai agensi pelaksana rasminya, saya percaya KPFB juga boleh menyertai sebagai kontraktok usahasama dengan Felcra Berhad di dalam bidang pembinaan bangunan-bangunan prasarana sosial, jalan masuk, jambatan dan sebagainya. Yang pastinya, sekiranya kita pandai mengatur sumber- sumber dalaman yang ada, insya'Allah kita akan dapat manfaat daripadanya sama ada untuk jangka pendek mahupun jangka panjang. Peluang mesti diikuti dengan kemahuan untuk berjaya dan usaha yang bersungguh-sungguh.



21. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengimbas sedikit pengalaman-pengalaman dan perkembangan gerakan koperasi di Malaysia. Gerakan koperasi diperkenalkan di Malaysia sejak 80 tahun yang lalu, berperanan sebagai sebuah institusi untuk membangunkan taraf sosio-ekonomi anggotanya dengan menitikberatkan penerapan konsep bekerja bersama-sama, tolong menolong dan bantu membantu demi memenuhi keperluan dan manfaat bersama.



22. Gerakan koperasi diteraskan oleh nilai-nilai sejagat seperti berdikari, demokrasi, persamaan hak (equality), keadilan (equity) dan semangat bersatu padu (solidarity) dan nilai etika seperti ketelusan, kejujuran dan keikhlasan, semangat mementingkan tanggungjawab sosial dan berbakti kepada masyarakat.



23. Gerakan awal koperasi tidak bertujuan memaksimumkan keuntungan sehingga mahu melakukan penindasan atau penipuan terhadap anggotanya sendiri. Sebaliknya, koperasi bertujuan memberikan keperluan atau perkhidmatan pada kadar yang berpatutan. Prinsip ini yang perlu dijaga supaya identitinya kekal.



24. Koperasi juga mempunyai falsafahnya sendiri. Ia tidak mementingkan keuntungan yang maksimum, tetapi apa yang diutamakan ialah kebajikan anggotanya. Koperasi juga bertujuan menawarkan perkhidmatan dan barangan dengan harga yang berpatutan. Perkhidmatan yang ditawarkan hendaklah berkualiti dan boleh menjadi alternatif yang baik kepada masyarakat.



25. Koperasi dikawal, ditadbir dan diuruskan oleh anggotanya sendiri sebagai pemilik dan pelanggan. Keunikan ini memudahkan koperasi menjalankan aktiviti- aktiviti bagi meningkatkan taraf pendapatan anggotanya. Pada masa yang sama koperasi akan mempunyai jaminan pasaran di kalangan anggotanya bagi aktiviti atau projek yang dijalankan.



26. Koperasi dimiliki oleh anggotanya dan koperasi bergerak serta berniaga atas sokongan para anggotanya yang bersemangat koperasi. Koperasi dipunyai oleh anggota yang dikawal secara demokrasi di kalangan anggota dan aktiviti koperasi dilanggani oleh anggota sendiri. Berdasarkan prinsip ini, kita dapat melihat bahawa masa depan gerakan koperasi banyak bergantung kepada anggotanya. Anggota koperasi adalah teras kepada kejayaan koperasi itu sendiri.



27. Saya ingin menegaskan bahawa tuan-tuan sebagai anggota koperasi mempunyai tanggungjawab yang berat bagi memastikan supaya gerakan koperasi tuan-tuan berada di landasan kejayaan sepenuhnya. Sebagai anggota kita juga mesti menanamkan semangat kekitaan dan sayangkan koperasi di dalam diri kita. Kita juga mesti menyatakan komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bagi untuk menghindar sebarang gejala yang tidak diingini meresap dan menular di dalam koperasi kita.



28. Koperasi ini telah kita bina bersama dan lantaran itu kita mesti mempertahankannya supaya ia terus berkembang dan berdaya maju serta mampu bersaing di dalam arus pembangunan nasional dan menyertai pelbagai aktiviti pembangunan ekonomi negara.



29. Seperkara yang utama yang hendak saya sampaikan kepada pemimpin koperasi khususnya pemimpin koperasi peserta-peserta Felcra Berhad ialah tuan-tuan harus mampu untuk menukar gaya kepimpinan cara lama kepada pendekatan yang lebih moden yang berteraskan ciri kepercayaan dan ketelusan atau trust and transparent.



30. Untuk itu, pemimpin-pemimpin koperasi semestinya bersedia untuk mengalami perubahan melalui penerapan tabiat suka membaca, menghadiri siri-siri latihan yang berkaitan dan tidak segan untuk bergaul dengan ahli-ahli korporat yang telah berjaya. Kita mesti mempunyai fikiran yang terbuka.



31. Pemimpin koperasi juga harus bersedia untuk mengamalkan ciri-ciri kepimpinan yang terbaik dan melaksanakannya selaras dan seiring dengan kehendak dan citarasa anggota. Idea atau pandangan daripada anggota mesti ditimbang dengan sewajarnya dan tidak dipandang sepi begitu sahaja. Kita mestilah selalu mengingati bahawa tampuk kepimpinan koperasi adalah ditentukan oleh anggota.



32. Pemimpin koperasi hendaklah sentiasa aktif memikirkan masa depan koperasi di dalam semua aspek. Kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa ketika menjalankan tanggungjawab dan hendaklah sentiasa berusaha untuk mengurangkan pergantungan koperasi kepada sumber luar.



33. Di peringkat nasional, saya difahamkan bahawa sehingga kini bilangan koperasi yang berdaftar ialah sebanyak 4,370 buah dengan jumlah anggota seramai 5.02..juta orang dan jumlah modal syer sebanyak RM4.3..bilion. Manakala jumlah aset pula ialah RM19..bilion. Angka-angka ini menunjukkan jumlah dana yang besar yang telah dikumpulkan oleh gerakan koperasi nasional.



34. Di dalam konteks gerakan koperasi di Felcra Berhad pula jumlah modal syer terkumpul ialah RM10.9..juta dengan nilai urusniaga terus meningkat kepada RM96.2 juta. Perkembangan ini sebenarnya merupakan impak positif kepada imej gerakan koperasi masa kini. Gambaran yang baik ini adalah merupakan hasil usaha tuan-tuan sebagai tenaga penggerak koperasi. Sekarang kita perlu memikirkan bagaimana kita dapat menggerak dan menggembeling sumber dana yang besar ini supaya ia dapat menjana pendapatan dan perkembangan koperasi secara keseluruhannya.



35. Gerakan koperasi telah diiktiraf sebagai penggerak dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan kini telah dikenali sebagai satu sektor baru selepas sektor awam dan sektor swasta.



36. Justeru itu sebagai sebuah sektor yang telah diiktiraf dapat menyaingi kedua-dua sektor tradisi negara maka gerakan koperasi perlu memperkemaskan rangka strategi pelaksanaan aktivitinya supaya dapat memainkan peranan di dalam memakmurkan ekonomi negara.



37. Sebelum mengakhiri ucapan ini saya ingin berpesan supaya koperasi di Felcra Berhad ini sentiasa peka dengan perkembangan-perkembangan yang berlaku khususnya di dalam sektor ekonomi negara. Mana-mana perkembangan yang boleh diterjemahkan sebagai peluang hendaklah direbut dengan segala kekuatan yang ada.



38. Saya juga hendak melihat supaya pendokong dan penggerak koperasi di Felcra Berhad ini turut berperanan sebagai agen penyampai maklumat positif bagi pihak kerajaan kepada masyarakat desa keseluruhannya. Kita mesti bekerjasama di dalam soal ini supaya kestabilan dan keamanan politik negara kini dapat kita pertahankan bersama.



39. Dengan lafaz kalimah suci "Bismillahi ~ Rahmani ~ Rahim" saya dengan ini merasmikan mesyuarat agung koperasi peserta-peserta Felcra Berhad (KPFB) bagi kali ke~22.



Terima kasih.

Kami menerima 6,619,401 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri