MENANGANI REALITI BARU DAN MEMBINA
KEUPAYAAN MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI
Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penganjur atas usaha gigih saudara semua memikirkan, merancang dan akhirnya menubuhkan Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM). Saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas undangan kepada saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya melancarkan Yayasan ini.
2. Pada hemat saya, majlis pada malam ini mempunyai erti sejarah yang tersendiri. Ini kerana, seperti saya difahamkan, Yayasan yang akan dilancarkan ini mempunyai visi, misi dan matlamat yang besar membina daya saing dan kecemerlangan masyarakat Melayu dalam era globalisasi serta menangani realiti baru secara berkesan. Ini merupakan suatu gagasan yang berpandangan jauh dan usaha strategic.
3. Dalam menangani realiti baru era globalisasi, masyarakat Melayu mesti mempunyai daya juang yang tinggi dan berjiwa besar terutama bagi menghadapi segala cabaran dan ancaman yang mendatang. Untuk itu orang Melayu perlu membina keupayaan tersendiri tanpa perlu terlalu bergantung pada kerajaan. Keupayaan yang mempunyai pelbagai dimensi merangkumi ilmu pengetahuan dan ketrampilan; daya saing dan daya tahan, intergriti, ketamadunan dan perpaduan.
4. Seluruh dunia termasuk Malaysia sedang bergelut dengan arus deras globalisasi. Memang tidak dinafikan globalisasi membawa peluang yang lebih terbuka yang perlu direbut untuk kepentingan negara kita. Pada masa yang sama, globalisasi juga membawa cabaran dan bahaya, lebih-lebih lagi bagi negara kecil dan sederhana seperti Malaysia. Kita perlu merebut peluang khususnya daripada proses integrasi ekonomi dan pasaran yang terbuka. Kita perlu memanfaatkan pengaliran modal, barangan, perkhidmatan, maklumat, pengetahuan dan teknologi yang berlaku dengan pantas dan berterusan untuk meningkatkan kelebihan bandingan atau comparative advantage kita. Pada masa yang sama, kita perlu bersedia menangani isu besar yang dilontarkan oleh proses globalisasi, iaitu isu persaingan dan liberalisasi. Untuk itu, kita harus mempunyai daya saing, jika kita ingin maju dan berjaya, jika tidak kita akan ketinggalan.
5. Inilah realiti baru yang muncul di depan kita yang perlu kita tangani sebaik mungkin. Justeru itu, cabaran paling penting ialah bagaimana masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu harus menguasai ilmu, terutamanya yang sesuai dengan keperluan zaman kini. Kerajaan telah membuat pelaburan yang besar untuk meningkatkan modal manusia, bahkan setiap tahun peruntukan untuk bidang pendidikan merupakan komponen terbesar sehingga mencecah hampir 30% daripada seluruh peruntukan pembangunan pada tahun ini. Kerajaan telah menetapkan sasaran nisbah 60:40 pelajar sains dan bukan sains di peringkat sekolah menengah dan universiti menjelang 2010. Bagi mencapai sasaran ini, peranan ibu bapa, guru, NGO dan pelajar amatlah penting.
6. Kerajaan telah mengumumkan dasar untuk mentransformasikan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat ilmu dan ekonomi Malaysia menjadi ekonomi berasaskan ilmu atau K-ekonomi. Peralihan ini amat penting bagi Malaysia agar negara kita dapat meningkatkan daya saingnya bagi menghadapi cabaran era globalisasi. Justeru itu usaha membina keupayaan dari segi peningkatan ilmu dan ketrampilan melalui pendidikan dan latihan secara berterusan, serta memupuk budaya ilmu yang menganggap pendidikan itu sebagai usaha seumur hayat amatlah penting. Para usahawan kita perlu mempunyai daya saing dan juga daya tahan untuk mengharungi pelbagai situasi termasuk boleh bertahan dalam situasi krisis. Bagi tujuan tersebut, kita perlu menguasai ilmu pengurusan syarikat dan pengurusan manusia yang baik, bijak mengurus sumber manusia sebagai aset terpenting syarikat, berani dan bijak dalam menangani risiko membuat pelaburan dan merebut peluang, cekap melakukan pengurusan kewangan, terus menerus melebarkan sayap operasi ke arena antarabangsa, serta mampu bersaing dengan pemain-pemain antarabangsa dalam bidang yang diceburi.
7. Satu isu yang telah lama menghantui orang Melayu ialah apa yang dikatakan `sindrom tongkat'. Pergantungan ini bukan sahaja berlaku di kalangan usahawan Melayu, tetapi juga di kalangan masyarakat luas seperti kaum tani, peniaga kecil, pelajar dan lain-lain. Dalam menghadapi realiti baru pada hari ini, kecenderungan bergantung atau bersandar kepada tongkat sedemikian perlu dikikis. Orang Melayu perlu terus menerus membina semangat berusaha dan mencuba, serta jangan terlalu berharap kepada bantuan Kerajaan. Dalam konteks ini, saya ingin menyatakan rasa bangga melihat pada hari ini sudah muncul sejumlah usahawan Melayu, walaupun masih kecil bilangannya, yang bangun atas daya inisiatif dan kecekalan sendiri. Saya juga merasa bangga melihat sejumlah para profesional kita dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepakaran dan kebijaksanaan untuk bersaing dengan rakan- rakan daripada kaum lain dan juga profesional antarabangsa berdasarkan kebolehan sendiri.
8. Salah satu isu yang perlu kita tangani dengan baik pada hari ini ialah persoalan etika dan integriti. Jatuh bangun sesuatu bangsa dan tamadun amat bergantung kepada keutuhan dalamannya. Keutuhan dalaman ini perlu kita bina dan perkukuhkan secara berterusan. Untuk itu, semua pihak wajar bekerjasama dengan Kerajaan untuk meningkatkan urus tadbir baik, menanam nilai-nilai murni yang menitikberatkan prinsip cekap, jujur, bersih dan amanah, berkhidmat bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk kepentingan bangsa dan negara, serta gigih menentang amalan yang tidak beretika dan rasuah, serta amalan-amalan buruk yang lain.
9. Bangsa Melayu pernah mempunyai tamadun yang gemilang dengan warisan intelektual, seni sastera, serta ilmu pelayaran dan pentadbiran yang tinggi. Dengan kedatangan Islam, Kesultanan Melaka telah menjadi pusat penyebaran dan pengajian Islam yang cemerlang di rantau Asia Tenggara. Islam memberikan landasan terbaik bagi menyemai nilai-nilai luhur dan keutuhan dalaman tamadun kita. Justeru, kita perlu menghayati nilai-nilai agama kita dengan mendalam, menerapkannya ke dalam pekerjaan dan kehidupan kita sehari- hari, serta menggunakannya sebagai prinsip bagi membina satu tamadun baru yang progresif dengan rakyat pelbagai agama dan bangsa lain di negara kita. Persepsi salah terhadap Islam konon ia agama golongan militan, pengganas dan mundur perlu dikikis, manakala imej Islam sebagai agama yang toleran, terbuka, sederhana dan progresif perlu dipupuk terus menerus.
10. Mengimbas kembali sejarah bangsa Melayu dan umat Islam, kita dapati isu utama dalam usaha bangsa Melayu maju di hadapan sejak zaman Melaka sehingga sekarang ialah soal perpaduan. Zaman beredar, keadaan berbeza. Masyarakat Malaysia pada hari ini bersifat berbilang kaum, dan perpaduan antara kaum adalah khazanah paling bernilai yang menjadi prasyarat yang tidak boleh tiada bagi kemajuan Malaysia, dan kemajuan bangsa Melayu. Kita perlu mengharungi abad ini dengan perpaduan kental di antara kita, iaitu perpaduan antara kaum dan perpaduan sesama bangsa Melayu. Perpaduan adalah senjata ampuh yang akan mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian sosial serta merupakan prasyarat penting bagi meningkatkan daya saing negara. Saya amat mengalu-alukan segala usaha oleh semua pihak melengkapkan usaha Kerajaan dengan dengan menggerakkan program dan projek yang memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada peningkatan usaha perpaduan dan daya saing negara.
11. Badan badan bukan Kerajaan atau NGO perlu berperanan sebagai Rakan Perkongsian Bestari Kerajaan dalam melaksanakan serangkaian dasar yang lengkap dan baik yang telah Kerajaan perkenalkan untuk membimbing masyarakat Malaysia dan bangsa Melayu kita untuk maju ke hadapan. Persoalannya, apakah NGO di Malaysia sudah benar-benar bersedia, berkemampuan, beretika dan mempunyai kecekapan untuk memainkan peranan berkesan sebagai Rakan Bestari Kerajaan. Kita sedia maklum jumlah Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berdaftar di negara ini semakin bertambah dari semasa ke semasa. Daripada jumlah itu ada NGO yang aktif dan bergerak secara profesional serta berkualiti, tetapi masih banyak lagi NGO yang lemah di segi kepimpinan dan gerak kerjanya. Untuk itu, masanya sudah tiba bagi kita untuk bertindak menangani isu ini.
12. Oleh yang demikian, saya mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Permuafakatan Badan-Badan Bukan Kerajaan atau nama ringkasnya MANTAP yang bertujuan untuk mengkaji dan merangka satu sistem piawaian terhadap prestasi NGO terutama di segi kepimpinan, gerak kerja dan kawalan kewangannya. Ini bertujuan memastikan geran yang diberi oleh Kerajaan serta sumbangan daripada badan-badan korporat dan orang perseorangan tidak dipersia-siakan sebaliknya dibelanjakan dengan cermat dan berkesan.
13. MANTAP perlu dianggotai oleh pemimpin-pemimpin NGO yang terdiri daripada semua kaum di negara ini. Selain merangka sistem piawaian prestasi NGO, MANTAP juga sewajarnya membentuk kepimpinan NGO yang berketrampilan, cekap mengendalikan gerak kerja, mempunyai budaya kerja berkualiti dan bertindak secara profesional, bertanggungjawab dan amanah bagi menangani cabaran-cabaran baru era globalisasi yang telah saya nyatakan tadi.
14. MANTAP juga dialu-alukan menjalankan kajian dan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan untuk mewajibkan semua pemimpin NGO di negara ini mengikut kursus kepimpinan bagi membentuk pemimpin yang berkualiti, berketrampilan, amanah dan bertanggungjawab, seperti yang diwajibkan ke atas pengarah-pengarah syarikat oleh Pendaftar Syarikat.
15. Saya juga ingin melihat wujudnya satu sistem piawaian dan persijilan akreditasi Kualiti NGO ala Sirim atau ISO untuk semua NGO yang ada di negara ini. Melalui piawaian ini, Kerajaan akan dapat mengenalpasti NGO yang diurus dengan baik dan yang lemah supaya tindakan sewajarnya dapat diambil untuk faedah dan kebaikan semua pihak. Satu pertemuan akan saya adakan dengan pemimpin-pemimpin NGO untuk membincangkan mengenai penubuhan MANTAP ini.
16. Akhir sekali, saya benar-benar berharap Yayasan Kajian dan Strategi Melayu dan pelbagai program yang dianjurkannya akan membuka jalan untuk menggilap kegemilangan bangsa Melayu dan masyarakat Malaysia pada abad ini. Semoga usaha murni saudara-saudari sekelian mendapat sokongan padu seluruh rakyat dan mencapai kejayaan yang diharapkan. Dengan lafaz Bismillahir rahmanirrahim, saya dengan rasminya melancarkan Yayasan Kajian dan Strategi Melayu.
Terima kasih. |