Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : UCAPAN PENYERAHAN DOKUMEN E.P.G DAN PEMBUKAAN DIALOG KESEJARAHAN
Lokasi : JAKARTA
Tarikh : 17-03-2009
 




Bismillahirahmanir Rahim

Yang Mulia Bapak


Dr. Susilo Bambang YudhoyonoPresiden Republik Indonesia;




Yang Terhormat Menteri-Menteri Kabinet Republik Indonesia dan Malaysia;




Para tetamu undangan sekalian,


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


1.         Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran  ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana, dengan limpah kurnia dan izin-nya, dapat saya dan delegasi Malaysia berkunjung ke Indonesia, dan dapat kita kesempatan bersama-sama berkumpul di majlis yang mulia pada hari ini.




2.         Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Mulia Bapak Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia di atas kesudian menjemput saya serta delegasi Malaysia untuk datang ke Indonesia.


 


 


Yang Mulia Bapak Presiden dan para undangan yang saya hormati,




3.         Pada tahun 2007, Malaysia dan Indonesia telah sama-sama dengan jayanya menyambut Ulang Tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik antara kedua negara.  Dalam tempoh lima dekad itu kita telah mengharungi pelbagai peristiwa pahit manis dalam sejarah masing-masing di dalam negara kita.  Namun demikian, tali persaudaraan yang terjalin sejak zaman berzaman antara penduduk Malaysia dan penduduk Indonesia terus kekal. Alhamdulillah, dengan peredaran masa dan usaha-usaha bersama membina persefahaman, hubungan antara kedua-dua negara semakin matang.


 


4.         Sepanjang lima puluh tahun yang lalu, kita akui bahawa hubungan dua hala di antara negara kita ada mengalami ketika turun dan naiknya.  Namun begitu, hubungan ini tetap utuh dan kekal kukuh.  Kita sebenarnya saling bergantung  antara satu sama lain.  Demikian juga, maju mundurnya hubungan antara Malaysia dan Indonesia sebenarnya akan memberi kesan bukan sahaja secara langsung kepada kedua-dua buah negara, tetapi juga secara tidak langsung kepada ASEAN dan juga kepada rantau ini pada keseluruhannya. Oleh itu, saya berharap supaya hubungan yang erat dan mesra ini akan dapat terus dipupuk dan dikembangkan serta berlanjutan buat selama-lamanya.




5.         Sejak saya memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2003, saya berasa amat gembira bahawa talian hubungan di antara Malaysia dengan Republik Indonesia telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Kita   dapat   melihat   peningkatan  kerjasama  di dalam  pelbagai  bidang seperti perladangan, perdagangan, perbankan, telekomunikasi dan sebagainya.  Dalam hal ini, saya ingin menyeru agar kedua-dua negara, terutamanya pihak swasta kedua-dua negara, akan terus berusaha mempertingkatkan lagi kerjasama ini ke tahap yang lebih baik dari tahun ke tahun.  Kerjasama rapat di dalam bidang ekonomi boleh membantu meningkatkan keakraban  yang  berterusan  dan  berkekalan di generasi-generasi yang akan datang.


 


Yang Mulia Bapak Presiden,




6.         Kita baru sahaja selesai mengadakan rundingan tahunan dalam siri pertemuan antara Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Malaysia.  Kita telah membincangkan cara-cara meningkatkan kerjasama dua hala dan juga isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.  Pertemuan kita kali ini sekali lagi telah membuktikan komitmen kita bersama dalam mempertingkat dan mempereratkan hubungan dan kerjasama di antara kedua-dua buah negara kita.   Marilah kita tingkatkan iltizam supaya  pertemuan sebegini dapat diteruskan  dan  diadakan  pada  setiap  tahun yang akan datang. 


 


7.         Memang benar ada banyak peluang bagi Presiden Indonesia   dan Perdana Menteri Malaysia bertemu dalam masa setahun, umpamanya apabila ada persidangan-persidangan serantau.  Namun begitu, saya berpendapat bahawa siri rundingan tahunan ini amat berguna untuk kita menyelaraskan hubungan dua hala yang sedia mesra dan akrab ini.  Saya berkata begini kerana saya merasai bahawa hubungan pada peringkat pentadbiran Kerajaan Malaysia dan pemerintah Republik Indonesia serta kerapatan hubungan peribadi antara saya dengan Yang Mulia Bapak adalah berada di tahap yang amat tinggi pada ketika ini.    Begitu juga dengan hubungan diantara para Menteri-Menteri, Pegawai Kanan Kerajaan serta rakyat antara kedua buah negara. 


 


8.         Semasa rundingan tahunan Malaysia - Indonesia di adakan di Putrajaya pada 11 Januari 2008 tahun lepas, kita telah berazam supaya pertalian yang matang di antara Malaysia dan Indonesia beranjak menjadi pertalian yang berwawasan.  Kita telah bersetuju menubuhkan satu kumpulan tokoh-tokoh terkemuka (atau Eminent Persons Group - E.P.G) untuk berkongsi pendapat dan membuat syor-syor bagi meningkatkan tahap dan isi kandung hubungan itu secara berterusan.


 


9.         Kumpulan E.P.G Malaysia - Indonesia ini masing-masing diterajui oleh mantan pemimpin yang amat dihormati iaitu Y.A.Bhg. Tun Musa Hitam, selaku Pengerusi E.P.G Malaysia dan Bapak Try Sutrisno, Pengerusi E.P.G Indonesia.   Mereka dibantu oleh 12 lagi ahli-ahli cendekiawan serta tokoh Negarawan dari kedua-dua negara.  Mereka telah diberi tanggungjawab mencetuskan ilham yang dapat membawa hubungan antara Malaysia dan Indonesia ke satu tahap pencapaian yang maksima. Apabila yang tersirat sudah tersurat maka lahirlah ilham itu yang telah didokumentasikan di dalam bentuk laporan E.P.G Malaysia - Indonesia. Selaku Perdana Menteri Malaysia, saya dengan sukacitanya menerima laporan itu.


 


10.       Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua tokoh-tokoh terkemuka Malaysia dan Indonesia kerana berjaya menghasilkan cadangan-cadangan untuk dijadikan rujukan kepada kita semua dalam usaha kita memartabatkan hubungan yang sedia terjalin ini.   Pada pendapat saya, kumpulan ini telah juga menjadi satu lagi lambang persahabatan yang istimewa dan berkekalan di antara Indonesia dan Malaysia.


 


 


Yang Mulia Bapak Presiden dan Para Undangan yang saya hormati,


 


11.       Malaysia sentiasa menganggap Indonesia sebagai sahabat akrab dan jiran yang sangat penting. Saya berpandangan bahawa sebarang masalah yang wujud perlulah diselesaikan secara satu persatu dengan mengambil kira semangat kejiranan serta setia kawan.    Saya yakin di bawah kepimpinan Bapak Presiden hubungan dan kerjasama baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara akan terus berkembang dan ditingkatkan lagi di dalam semua bidang demi kepentingan bersama. 


 


12.       Walaupun kita boleh berbangga dengan pelbagai pencapaian kerjasama yang sedia ada di antara Malaysia dan Indonesia yang kini berada di tahap yang selesa, kita perlu sentiasa ingat bahawa ketahanan pertalian tetap bergantung kepada peningkatan dan pemantapan kerjasama yang berterusan, bukan sahaja di peringkat Kerajaan (Official Level) tetapi juga di pelbagai peringkat yang lain. Oleh yang demikian, interaksi di peringkat rakyat jelata mestilah digalakkan dan perlu ada penambahan program-program untuk kebaikan golongan sasar ini terutamanya kaum belia yang akan mewarisi kepimpinan pada masa hadapan. Saya percaya laporan  E.P.G  yang kita terima hari ini akan membantu kedua-dua pihak mencapai tujuan ini.


 


13.       Insya-Allah, dengan berpandukan laporan E.P.G ini dan apabila terlaksananya perancangan-perancangan yang terkandung di dalam laporan tersebut, maka apa yang dihasratkan itu akan menjadi kenyataan sebagaimana yang diharapkan oleh kedua-dua negara. Saya ingin menyeru pihak-pihak berkenaan yang bertanggungjawab dari Malaysia dan juga Indonesia supaya meneliti laporan E.P.G ini dan terus gigih berusaha supaya syor-syor di dalam laporan tersebut dapat dilaksanakan mengikut jangka masa yang ditetapkan.


 


14.       Saya berasa amat gembira juga bahawa upacara penyerahan laporan E.P.G pada hari ini akan disusul dengan persidangan dialog kesejarahan yang disertai oleh tokoh-tokoh dan para ilmiah terkemuka dari Malaysia dan Indonesia.  Saya yakin dialog ini  juga akan menjadi satu lagi lambang persahabatan antara Malaysia dan Indonesia.   Tambahan pula, saya yakin bahawa dialog di antara pakar-pakar sejarah ini boleh membawa kepada persefahaman yang lebih baik dan tepat mengenai semua peristiwa yang telah berlaku  di dalam sejarah perhubungan antara Malaysia dan Indonesia.  Persefahaman sebegitu bolehlah dijadikan pengajaran bagi masa hadapan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak baik dan seterusnya merapatkan lagi hubungan  di antara kedua-dua negara kita.


 


15.       Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala yang mengizinkan pertemuan kita ini berlangsung dengan lancar dan jayanya.  Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya dan seluruh delegasi Malaysia sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Bapak Presiden kerana mengendalikan pertemuan rundingan tahunan kali ini dengan jayanya.   Adalah menjadi harapan saya agar kerjasama dan hubungan dua hala di antara kita bertambah erat dan akan berterusan.  Suasana global sekarang mungkin berbeza tetapi persaudaraan, kerjasama serta hubungan di antara rakyat dan Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia tetap kukuh dan erat walaupun dilanda dengan apa jua ujian, Insya-Allah.


 


Sekian, terima kasih.


 


Wabillahi Taufik Walhidayah,


Wassalamualaikum Warahmatullaahi


Wabarakaatuh.


 


 



Kami menerima 6,596,726 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri