Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Haji Othman
Menteri Besar Johor
YB Dato’ Shaziman bin Abu Mansor
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi
Y Bhg. Dato’ Sri Dr Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah
Ketua Setiausaha, Perbendaharaan
Y Bhg. Dato’ Dr Halim Man
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi
Y Bhg. Dato' Haji Abd Latiff bin Yusof
Setiausaha Negeri Johor
Ahli-ahli YB Exco Kerajaan Negeri Johor
Pengurusan Aset Air Berhad
Encik Ahmad Zahdi Jamil
Ketua Pegawai Eksekutif, SAJ Holding Sdn Bhd
Encik Suhaimi Kamaralzaman
Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Aset Air Berhad
YBhg. Dato’-Dato’/Datin-Datin, Pegawai-pegawai Kanan, wakil media, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita berkumpul di majlis yang penuh bermakna pada petang ini.
2. Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor, Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) dan Pengurusan Aset Air Berhad atas daya usaha mereka mengadakan Majlis Menandatangani Perjanjian pada petang ini. Sesungguhnya, pada petang ini kita akan menyaksikan satu lagi pencapaian kejayaan usaha sama bersepadu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor bagi merealisasikan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negara ke arah satu industri yang holistik, efisien, dan yang paling utama Kerajaan dapat menyediakan bekalan air bersih dan berkualiti kepada rakyat pada harga yang berpatutan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
3. Industri perkhidmatan air adalah industri yang berintensif modal yang tinggi. Dengan sumber kewangan yang terhad dan kadar tarif yang rigid serta sensitif, industri perkhidmatan air tidak mampu memenuhi permintaan air bersih yang tinggi. Oleh itu, konsep penswastaan telah dikenal pasti sebagai penyelesaian terhadap kekangan dan halangan dalam industri ini dan seterusnya beberapa syarikat konsesi telah pun menyertai industri ini dengan harapan mereka dapat menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi meningkatkan kecekapan dalam industri perkhidmatan air.
4. Berikutan itu, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Johor telah melangkah ke hadapan dengan menswastakan sistem bekalan air mereka. Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan sistem bekalan airnya pada tahun 2004 manakala, Kerajaan Negeri Johor menswastakannya lebih awal lagi secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1992 kepada Equiventures Sdn Bhd dan pada tahun 1994 kepada Southern Water Corporation sebagai operator rawatan air. Pada tahun 1999, Jabatan Bekalan Air Negeri Johor telah diswastakan kepada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) sebagai pengendali operator rawatan air dan juga telah diberi hak sebagai pengedar bekalan air di Negeri Johor bagi tempoh 30 tahun. Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) telah berjaya mengurangkan Kadar Air Tidak Berhasil – Non Revenue Water daripada 49% pada tahun 1999 kepada 29% pada tahun 2007.
5. Walau bagaimanapun, oleh kerana persepsi awam terhadap perkhidmatan air ialah, Kerajaan masih bertanggungjawab terhadapnya sebagai khidmat sosial oleh Kerajaan, maka apa yang berlaku ialah Kerajaan tidak dapat lari daripada terus mengambil tanggungjawab apabila terdapat sebarang masalah yang timbul dalam pelaksanaan penswastaan oleh mana-mana Kerajaan Negeri. Masalah telah pun timbul apabila berlakunya ketidakstabilan dalam pelaksanaan penswastaan itu sendiri di mana kadar pulangan kepada syarikat konsesi adalah tetap (guaranteed return) sedangkan kadar tarif air adalah bersifat rigid dan sensitif dan tidak mudah dinaikkan seperti yang termaktub di dalam perjanjian konsesi. Akhirnya syarikat konsesi tidak menerima pulangan sewajarnya yang membawa kepada wujudnya ketidakstabilan (unsustainable) dalam konsep penswastaan industri ini.
6. Masalah tersebut tidak berakhir di situ, malah ia menimbulkan masalah seterusnya apabila jumlah pinjaman yang semakin besar oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan tidak mampu dibayar kerana syarikat konsesi yang menerima novasi pinjaman tersebut mengalami masalah aliran tunai setelah tarif tidak dapat dinaikkan. Akhirnya hutang kepada Kerajaan Persekutuan gagal dibayar oleh Kerajaan Negeri di mana sehingga akhir tahun 2007, pinjaman oleh Kerajaan Negeri – Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan telah mencecah jumlah RM10.5 bilion.
7. Dengan jumlah pinjaman yang sebegitu besar, Kerajaan Negeri bukan sahaja tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman, bahkan tidak berupaya lagi menyelenggara aset air sedia ada di negeri masing-masing. Apatah lagi, untuk melaksanakan pembinaan aset-aset baru perkhidmatan bekalan air, sudah pasti ianya amat membebankan. Ini telah membawa kepada Kadar Air Tidak Berhasil -NRW (Non-Revenue Water) yang tinggi di semua negeri di Malaysia. Sebagai contohnya kadar NRW bagi Negeri Kelantan pada tahun 2006 ialah 44.4 %, Pahang dan Kedah melebihi 45%, manakala kadar NRW di peringkat nasional pada tahun 2006 ialah 37.7 %. Walaupun bagi negeri-negeri di mana perkhidmatan airnya telah diswastakan dan menunjukkan pengurangan dari segi peratusan Kadar Air Tidak Berhasil, mereka tetap menghadapi kekangan membayar balik pinjaman ini kerana kadar tarif tidak dapat dinaikkan seperti mana yang telah dipersetujui dalam perjanjian konsesi. Ini merupakan masalah yang telah sekian lama dihadapi tanpa jalan penyelesaian yang memerlukan perhatian serius oleh semua pihak.
8. Kerajaan Persekutuan yang sentiasa prihatin akan masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri dan juga syarikat-syarikat konsesi, segera bertindak dan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini. Tujuannya tidak lain daripada memastikan bekalan air bersih dan berkualiti dapat dibekalkan kepada rakyat pada harga yang berpatutan dan kompetitif. Walaupun Kerajaan sedar bahawa usaha ini bukanlah mudah untuk dilaksanakan, namun demi menjaga kebajikan rakyat, Kerajaan tetap berpendirian tegas bahkan dengan gigih berusaha untuk menstruktur semula industri bekalan air negara kerana air selain diperlukan sebagai keperluan asas ia diperlukan untuk perindustrian dan pembangunan negara.
9. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa pada tahun 2005, Kerajaan telah meminda Perlembagaan Persekutuan di mana perkara berkaitan bekalan dan perkhidmatan air dipindahkan dari Senarai Negeri ke Senarai Bersama. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan bekalan air dengan cekap, bermutu dan pada harga yang berpatutan kepada rakyat. Dalam aspek pengawalseliaan, Akta Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Akta Industri Perkhidmatan Air, 2006 telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2008 bagi menjamin industri ini berdaya maju dan efisien. Selaras dengan akta ini semua entiti bekalan air negeri-negeri akan dikawal selia dan dilesenkan oleh SPAN.
Hadirin yang dihormati,
10. Penglibatan Kerajaan Persekutuan ini telah menghasilkan satu model industri perkhidmatan air negara yang saya percaya akan menjadikan industri ini sebagai satu industri yang holistik, efisien, efektif, berdaya saing dan mapan. Di bawah model ini, pinjaman Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan sama ada yang telah dipindahkan kepada syarikat-syarikat konsesi semasa penswastaan bekalan air, akan diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad. Sebagai balasan, Kerajaan Negeri dan syarikat konsesi akan memindahkan secara leasehold hak milik ke atas tanah dan menjual aset air yang telah mereka bangunkan berdasarkan nilai buku kepada syarikat Pengurusan Aset Air Berhad. Seterusnya, Pengurusan Aset Air Berhad akan memajakkan semula aset air tersebut kepada operator air negeri dengan dikenakan bayaran sewa pajakan. Model ini dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan sedia ada struktur industri air di sesebuah negeri serta kemampuan kewangan operator air di negeri tersebut. Oleh itu, pihak Kerajaan Negeri tidak perlu bimbang, kerana Kerajaan Persekutuan tidak akan membiarkan Kerajaan Negeri menanggung masalah berikutan pelaksanaan model penstrukturan ini.
11. Dengan termeterainya perjanjian penstrukturan semula bekalan air Negeri Johor pada hari ini, ianya telah melengkapkan migrasi ke rejim baru bagi ketiga-tiga negeri di selatan tanah air selepas Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menandatanganinya pada bulan Disember 2008 dan Januari 2009 yang lalu. Bagi Negeri Johor, kesan positif yang amat besar selepas menandatangani perjanjian pada hari ini ialah, ianya dapat mengelakkan kenaikan tarif air sebanyak 19% pada tahun ini sekiranya masih kekal di bawah konsep penswastaan. Sebarang kenaikan tarif pada masa hadapan di bawah rejim baru ini tertakluk kepada Akta Industri Perkhidmatan Air dan SPAN yang saya percaya kenaikannya adalah berpatutan kepada rakyat dan syarikat-syarikat operator air.
12. Penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Negeri Johor akan melibatkan pengambilalihan aset-aset berkaitan air Kerajaan Negeri dan syarikat-syarikat konsesi yang dianggar berdasarkan Nilai Buku Bersih (Net Book Value) sehingga 31 Disember 2007, sebanyak RM4.025 bilion, manakala liabiliti ataupun tanggungan ke atas aset-aset berkaitan air tersebut pula dianggarkan bernilai RM3.179 bilion. Ini menjadikan lebihan sebanyak RM846 juta akan dibayar oleh Pengurusan Aset Air Berhad kepada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) kelak dan seterusnya memajakkan semula aset tersebut kepada SAJH yang akan menjadi pengedar air tunggal di negeri Johor di bawah rejim baru ini. Bagi dua lagi syarikat rawatan air iaitu Southern Water Corporation dan Equiventures Sdn Bhd, mereka akan kekal sebagai syarikat konsesi sehingga tamat tempoh konsesi mereka pada 2012 dan 2014. Selepas itu, iaitu pada tahun 2015, Insya-Allah kita akan dapat melihat sistem bekalan air di Negeri Johor menjadi satu industri yang holistik di mana hanya terdapat sebuah syarikat pengedar air dan juga operator air sahaja iaitu Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) di dalam industri ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
13. Suka saya memaklumkan juga bahawa komitmen Kerajaan tidak berakhir di sini kerana, setelah perjanjian ditandatangani nanti, Pengurusan Aset Air Berhad, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan, dianggarkan akan membelanjakan sejumlah RM3.5 bilion sepanjang 30 tahun akan datang untuk mempertingkatkan sistem bekalan air di Negeri Johor. Perbelanjaan modal (CAPEX) ini pastinya akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Johor ke arah pembangunan yang lebih mapan pada masa akan datang.
14. Majlis pada hari ini juga adalah merupakan rentetan kepada contoh kerjasama dan muafakat yang berjaya di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri – Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pelaksanaan dasar penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara. Ia jelas menunjukkan teladan kerjasama yang kukuh dan cemerlang di antara kedua pihak bagi kemajuan demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat. Sememangnya, kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan bagi Kerajaan. Saya berharap agar negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia akan turut serta dalam pelaksanaan Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air ini untuk meraih faedah yang sama bagi negeri masing-masing.
15. Akhir kata, saya berdoa agar penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini berjalan dengan lancar demi kebaikan rakyat dan negara. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad, Syarikat Air Johor Holdings dan semua pihak yang terlibat kerana menunjukkan kerjasama yang padu dalam melaksanakan penstrukturan semula ini yang sangat penting dan bermakna kepada rakyat dan negara.
Sekian.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.