Ucapan
Penyampai | : | DATO' SRI NAJIB TUN ABDUL RAZAK |
Tajuk | : | MAJLIS PELANCARAN PELAN TINDAKAN HAK ASASI MANUSIA KEBANGSAAN (NHRAP) |
Lokasi | : | DEWAN TAKLIMAT ICU, ARAS 1, BLOK TIMUR, BANGUNAN PERDANA PUTRA |
Tarikh | : | 01-03-2018 |
|
BismillahirRahmanirRahim,
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi Nasta’in,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Negaraku 1Malaysia.
YB Dato’ Sri Azalina Othman Said
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,
YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri,
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Haji Ali
Peguam Negara Malaysia,
YBhg. Tan Sri Zainal Rahim bin Seman
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
YBhg. Tan Sri Razali bin Ismail
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM),
Seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian.
BAHAGIAN I : PENDAHULUAN
Alhamdulillah, marilah kita dahului, seraya memulakan ucapan ini, dengan merafakkan segala puji-pujian dan rasa kesyukuran yang amat tinggi, ke hadrat Allah SWT, kerana atas izin serta keagunganNya jua, maka kita dapat sama-sama berkumpul dalam Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau National Human Rights Action Plan atau nama singkatannya NHRAP.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, atas kesudian menjemput saya, bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran NHRAP ini.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, kerana telah berjaya menyiapkan penggubalan dokumen penting ini, yang seharusnya dijadikan panduan dan rujukan khususnya, berkaitan soal Hak Asasi Manusia di Malaysia.
Tidak dilupakan, sekalung penghargaan juga wajar diberikan, kepada semua pihak yang telah menyumbang idea dan buah fikiran, tenaga, masa, komitmen serta kepakaran, dalam membangun dan memuktamadkan NHRAP ini dengan jayanya. Syabas diucapkan!
BAHAGIAN II : HAK ASASI MANUSIA DAN KONTEKS MALAYSIA
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Para Hadirin Sekalian,
Sebenarnya, soal hak asasi manusia bukanlah suatu perkara baharu kepada kita semua. Dalam konteks Malaysia pun, hal ini telah termaktub dan dijamin secara jelas dalam Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan dan telah dilaksanakan melalui dasar-dasar pembangunan negara sejak kemerdekaan.
Merujuk hal ini, saya ingin menegaskan bahawa, keistimewaan pendekatan Malaysia selama ini, dalam usaha melindungi dan mempromosi hak asasi manusia ialah:
Pertama: Kita berusaha untuk memenuhi dan mematuhi kehendak piawaian antarabangsa.
Kedua: Dalam menepati komitmen tersebut, semestinya, Perlembagaan Persekutuan sentiasa menjadi kerangka dan panduan utama dalam membangunkan sebarang perancangan dasar, khususnya berkaitan tentang Hak Asasi Manusia di negara ini.
Hakikatnya, perlu dinyatakan bahawa, selama ini, Kerajaan sentiasa dipandu oleh teras-teras utama di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antaranya Perkara 3, Fasal 1, yang menyebut Islam sebagai Agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni.
Manakala Bahagian II, menyentuh tentang fundamental liberties atau kebebasan asasi dan Bahagian III pula, menjamin hak-hak kewarganegaraan.
Ketiganya: dalam menzahirkan kedua-dua aspek di atas, Kerajaan tetap mengambil kira keunikan dan kemajmukan rakyat negara ini yang berbilang kaum, agama serta kepelbagaian sosio-budaya, yang berpaksikan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Sebagai bukti komitmen Malaysia, dalam memastikan hak asasi manusia di negara ini terjamin dan terpelihara, maka pada hari ini, kita menyaksikan, buat julung kalinya, sebuah Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau NHRAP, yang bakal menjadi landasan utuh, dalam mentransformasikan usaha-usaha Kerajaan bagi memperkukuhkan hak asasi manusia.
Lebih membanggakan lagi, NHRAP yang dibangunkan ini merupakan suatu pelan yang komprehensif, dengan mengambil kira aspirasi rakyat dan berdasarkan acuan Malaysia.
Malah, ia juga selari dengan agenda dan visi Transformasi Nasional 2050 atau TN50, melalui pendekatan bottom-up, yang mengumpulkan pandangan, maklum balas dan aspirasi rakyat, dalam memastikan kejayaan pelaksanaannya.
BAHAGIAN III : NHRAP - TERAS DAN ORIENTASI
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Bagi memenuhi tujuan demikian, NHRAP ini juga telah dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa, dengan merujuk garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sehubungan itu, terdapat lima teras utama yang digariskan dalam dokumen NHRAP iaitu:
Teras 1: Hak Sivil dan Politik. Misalnya, sepanjang tempoh kepimpinan saya, Kerajaan telah berjaya melaksanakan transformasi undang-undang seperti melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA, memperkenalkan Peaceful Assembly Act atau Akta Perhimpunan Aman 2012, yang ternyata sekali bahawa apajua kebimbangan kita seperti berlaku pada masa-masa yang lampau seperti Ops Lalang tidak akan berulang lagi.
Menariknya, tindakan Kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah, di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, telah mendapat pujian daripada Kesatuan Eropah.
Teras 2: Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan. Ini termasuklah hak keperluan asas, hak mendapat pendidikan dan hak amalan kebudayaan.
Teras 3: Hak Golongan Rentan, yang memfokuskan kepada lima golongan rentan iaitu, wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas dan pelarian.
Misalnya tahun lalu, Kerajaan telah memperkenalkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang seterusnya membawa penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang bukan sahaja pertama di Malaysia, bahkan pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Teras 4: Hak asasi manusia dalam kalangan Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Natives of Sarawak.
Teras 5: Kewajiban antarabangsa, yang menyenaraikan komitmen Malaysia dalam instrumen-instrumen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.
Apa yang lebih penting, kejayaan NHRAP ini amat bergantung kepada sejauhmana pelaksanaan yang berkesan, dapat direalisasikan pada segenap peringkat dan oleh setiap agensi pelaksana, mengikut tempoh jangkamasa yang ditetapkan.
Mustahaknya, NHRAP juga merupakan sebuah dokumen awam yang dinamik, fleksibel dan boleh ditambah baik mengikut kesesuaian serta keperluan agensi pelaksana dari semasa ke semasa.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Hakikatnya, kesemua lima teras utama NHRAP di atas ini, sebenarnya telah di-isyaratkan dalam Al-Quran, melalui mafhum pengertian firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 129 bahawa, agama tidak meminggirkan hak asasi manusia, malah, membimbing dan memandu manusia supaya berfikir dengan penuh hikmah serta bijaksana.
Bahkan, apa yang kita laksanakan ini, adalah untuk memenuhi maslahah atau keperluan semasa, demi mencapai maksud tuntutan Maqasid Syariah. Inilah yang kita zahirkan dalam NHRAP.
BAHAGIAN IV : PENUTUP
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Hadirin Yang Dihormati Sekalian,
Atas segalanya, saya percaya, sudah terang lagi bersuluh bahawa, NHRAP berperanan, mewakili pendirian negara yang berprinsip di peringkat global, sekaligus meningkatkan kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa, supaya mampu berdiri sama tinggi, setaraf dengan negara-negara maju berjaya yang lain.
Lantaran itu juga, saya pasti, NHRAP berupaya melonjak prestasi dan imej negara, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi, tadbir urus yang cekap dan berwibawa, demi menjadikan Malaysia, bukan sahaja mampu mencapai status High Income Advanced Economy, bahkan, berada pada kedudukan 20 negara terbaik lagi termaju di dunia, menjelang tahun 2050.
Atas keyakinan ini, saya suka mengumumkan, tiga mekanisme penting, sebagai kick-off kepada pelaksanaan NHRAP seperti berikut:
Satu: Kerajaan bersetuju untuk membangunkan suatu Mobile App bagi tujuan mendapatkan maklum balas daripada rakyat, terhadap pelaksanaan NHRAP.
Dalam erti kata lain, kemudahan ini, akan menggalakkan penyertaan awam yang lebih berkesan, dalam memastikan pelaksanaan dan penambahbaikan NHRAP dari masa ke semasa.
Dua: Kerajaan juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu High Level Committee atau Jawatankuasa Peringkat Tertinggi, yang bertanggungjawab bagi memantau pelaksanaan NHRAP.
Tiga: Melantik pihak berkecuali yang bersesuaian, antaranya daripada kalangan civil society organisation atau organisasi masyarakat sivil dan ahli akademik, bagi mengumpul serta menganalisis maklum balas awam yang diterima terhadap pelaksanaan NHRAP.
Selaras dengan usaha Kerajaan untuk menjadikan 2018, sebagai A Year of Success and Impressive Result atau Tahun Kejayaan dan Keberhasilan Yang Mengkagumkan,...
Maka,... adalah menjadi harapan saya agar, Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan ini, akan dapat dilaksanakan secara efektif oleh agensi-agensi Kerajaan, seraya diterima baik segenap lapisan masyarakat di seluruh negara,...
Demi mencapai Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi, dalam mengangkat martabat Karomah Insaniyyah atau Kemuliaan Insan, yang menjulang tinggi nama Malaysia, megah dan gagah di persada dunia. InsyaAllah.
Akhirul kalam, dengan lafaz BismillahirRahmanirRahim, saya sukacita dan rasminya, melancarkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau NHRAP.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
|
|