Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SRI NAJIB TUN ABDUL RAZAK
Tajuk : MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN SUKAN SEA KE-29 KUALA LUMPUR 2017 & AMBANG MERDEKA 2017
Lokasi : STADIUM NASIONAL, BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR
Tarikh : 30-08-2017
 


Bismillahir Rahmanir Rahim,



Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi Nasta’in,



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,



Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,



YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi

Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan isteri,



YB Menteri-Menteri Kabinet dan isteri,



Menteri- menteri Luar dan wakil Negara-Negara ASEAN,



YB Brigadier Jeneral Khairy Jamaluddin

Menteri Belia dan Sukan dan isteri,



YAM Tunku Tan Sri Imran ibni Almarhum Tuanku Ja’far

Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEA Games Federation) dan merangkap Presiden Majlis Olimpik Malaysia dan isteri,



YBhg. Dato’ Lokman Hakim Bin Ali

Ketua Setiausaha KBS,



Excellencies Foreign Ammbasadors and High Commissioners in Malaysia,



Ketua-ketua Setiausaha Kementerian,



Ketua-ketua Jabatan dan agensi,



Para atlit  dan  jurulatih  serta Kontinjen Negara,



Tuan-tuan,  puan-puan, Saudara dan saudari,  hadirin yang dihormati sekalian.



 



1. 60 tahun yang lalu, di Stadium Merdeka, seluruh rakyat negara ini berasa gembira kerana, setelah beratus tahun dibelenggu penjajahan, menyaksikan detik bersejarah laungan pengisytiharan kemerdekaan negara sebanyak 7 kali telah berkumandang.



2. Kini, setelah 6 dekad berlalu, sekali lagi, Alhamdulillah, seluruh rakyat berasa bersyukur dan bangga kerana, saat indah itu umpama berlaku kembali, apabila pada malam ini,... di Stadium Bukit jalil, seluruh negara,... seluruh ASEAN,... bahkan serata dunia menyaksikan bahawa,...



di hari terakhir penutupan ini, Malaysia secara rasminya, telah diisytiharkan sebagai juara keseluruhan temasya Sukan SEA Kali Ke-29. Tahniah Malaysia, Syabas kepada semua!



3. Apatah lagi, sepanjang penyertaan Malaysia dalam Sukan SEA, inilah sejarah gemilang dengan pungutan pingat terbanyak sepanjang penglibatan negara dalam Sukan SEA.

4. Sememangnya, kemenangan para atlet negara ini, adalah kejayaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita mengangkat tabik dan ucapkan syabas kepada semua wira negara, yakni para atlet Malaysia!



5. Tentunya, tidak saya lupakan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran temasya Sukan SEA Ke-29 ini, khususnya Kementerian Belia dan Sukan serta Menterinya YB Khairy Jamaluddin.  



6. Sebenarnya, temasya Sukan SEA ini sangat dekat di hati saya. Semestinya, Sukan SEA pada tahun 1989 adalah yang paling diingati kerana ketika itu saya telah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.



7. Pada waktu itu, Malaysia telah mencapai satu keputusan cemerlang apabila menduduki tangga kedua daripada sembilan buah negara.



8. Malah, jika tak silap, setakat ini, saya juga merupakan Menteri Belia dan Sukan yang paling muda dalam sejarah politik tanahair apabila dilantik ke jawatan berkenaan pada tahun 1986 sewaktu berusia 33 tahun.



9. Lebih indah lagi, Malaysia juga telah berjaya memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir bola sepak yang menjadi penutup Temasya Sukan SEA tersebut, dengan berjaya menundukkan Singapura.



10. Menjengah di sudut ASEAN pula, Malaysia telah memainkan peranan aktif di peringkat negara-negara ASEAN, terutama tatkala pernah mempengerusikan ASEAN selama 1 tahun dari 13 November 2014 hingga 22 November 2015 yang lalu.



11. Selama tempoh tersebut, Malaysia telah memberi tumpuan kepada aspek kesederhanaan dalam ASEAN, seruan kepada kesatuan bagi menangani ancaman berbahaya ektremisme, keperluan merakyatkan ASEAN.



12. Selain itu, Malaysia menyeru supaya diwujudkan Komuniti ASEAN dan kepentingan untuk menjadikan ASEAN sebagai blok ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang tahun 2050.



13. Secara kebetulan, hasrat ini sejajar dan turut dikongsi oleh Malaysia dalam mencapai aspirasi menuju TN50, demi untuk menjadikan Malaysia berada pada kedudukan 20 negara termaju serta terbaik di dunia.



Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysia Sekalian,



14. Berbalik tentang kisah kejayaan Malaysia, sesungguhnya, pada ketika awal kemerdekaan negara, tiada sesiapa pun yang meletakkan harapan tinggi bahawa, Bintang Timur yakni Malaysia ini akan berjaya dan mampu sampai hingga ke tahap ini.



15. Tetapi, atas kehendak Allah SWT, disusuli pula dengan usaha gigih pihak Kerajaan yang sama hingga sekarang, maka pada hari ini, kita boleh sama-sama berbangga, kerana kini,...



Malaysia bukan sahaja dikenali dan dihormati, bahkan bergemerlapan/bersinar cahaya kejayaan,... harum namanya,... gah di persada dunia antarabangsa!



 





Excellencies, Distinguished guests,

Ladies and Gentlemen,



16. Some 50 years ago on the 8th of August 1967, ASEAN was established at a high level meeting in Bangkok. But what is interesting is that a regional sporting contest called the Southeast Asian Peninsula Games had taken place quite a few years earlier.



17. These games had been organised as a vehicle to promote cooperation and forge a stronger understanding and bond of friendship between countries in Southeast Asia.



18. However, in our current time, the SEA Games has come to be something far greater than a biannual sporting event.



19. It has emerged as a platform for true regional unity and cohesiveness. We see 11 nations and well over 620 milion people making a commitment to ‘rise together’, united in our desire and ambition to usher in a brighter future for our people today, and for our children tomorrow.



20. 12 days ago on 19th August, at the official opening of the SEA Games, we laid out our warmest welcome and wished ‘Selamat Datang’ to all the athletes, consisting of 4,888 men and women from throughout Southeast Asia.



21. What remains an immense source of pride for all of us is the fact that the contingents represent not only aspiring athletes but also world-renowned professionals, united by their wish to compete in the region’s most prestigious games.



22. Tonight as the curtains are drawing to a close on what has been an inspirational past few days in Kuala Lumpur, I want to take this opportunity on behalf of the Government and people of Malaysia to bid you farewell and bon voyage as you make your journey home.



23. It is my sincere hope that all of you will bring back fond memories of your time in our beautiful country, as well as tales of courage and triumph during the games.



24. As your host, I would also like to congratulate the athletes, officials and supporters from near and far, representing all 11 nations, for exhibiting the true spirit of sportmanship during the games.



25. I’m an avid fan of some of these sporting events, it was a pleasure to personally experience the courage, determination and unrelenting spirit exemplified by the athletes, who I am sure have made their countries proud.



26. What is more important is that we collectively have done our part to keep the flames lit by our founding fathers alive. By perpetuating this magnificent example of regional unity and hope through sportmanship.



27. Long may the torch of the SEA Games shine its light on all of us!



Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi Sekalian, 



28. Malam ini, adalah malam yang cukup istimewa. Kerana, lebih 30 juta rakyat Malaysia telah bersatu hati, bagi meraikan kemenangan Malaysia sebagai juara keseluruhan dengan memperoleh ________ pingat emas, sekaligus melepasi sasaran 111 pingat emas.



29. Lebih manis lagi, sasaran tersebut telah berjaya dicapai dengan sempurna oleh atlet juara dunia lumba basikal trek negara, The Pocket Rocketman, iaitu Azizulhasni Awang.



30. Pada hemat saya, Temasya Sukan SEA kali ini umpama ‘Sukan Olimpik Asia Tenggara’, yang bukan sahaja mempertandingkan sukan-sukan antarabangsa, malah turut disertai oleh jaguh-jaguh dunia dan olimpian. 



31. Ditambah lagi malam ini, kita juga di ambang sambutan kemerdekaan, nan turut dihiasi dengan kilauan pingat emas, yang atlet kita menangi di Sukan SEA ini.



32. Realitinya, kilauan pingat ini mampu menerbitkan cahaya kebersamaan dan semangat kesatuan, membangkitkan roh patriotisme kemerdekaan, sekaligus memadamkan kerdip perbezaan di kalangan rakyat Malaysia.



33. Saya berasa bangga apabila menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai keturunan dan agama, memberi sokongan padu kepada atlet-atlet kita tanpa mengira kaum, sama ada menang mahupun kalah.



34. Saya berharap agar semangat sebegini dapat diterus dan disemarakkan lagi dalam apa jua bentuk keadaan, demi perpaduan dan kemakmuran negara sampai bila-bila.



35. Apatah lagi, merdeka itu sebenarnya membawa seribu satu pengertian dan menzahirkan makna yang tersendiri. Kemerdekaan ini bukanlah barang mainan, sebaliknya ia mengajar kita supaya mampu berdiri di atas kaki sendiri.



36. Walau apapun, kemerdekaan itu tidak mungkin menjadi realiti tanpa adanya keamanan dan kestabilan. Lantaran itu, kita tidak pernah sesekali lupa akan jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara serta para perajurit dan semua pejuang yang telah berkorban jiwa serta raga dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan di setiap penjuru tanahair.



37. Ternyata, semuanya ini telah mengubah mood negara kita kepada yang lebih positif, lebih segar dan lebih dinamik untuk membawa Malaysia kepada lonjakan kejayaan seterusnya. 



38. Bagi memastikan negara ini berupaya mendepani keluk perubahan, marilah kita sehati sejiwa dalam perjalanan kemajuan Malaysia, bermula di MRT, kemudiannya ke ECRL, menuju pula ke High Speed Rail, membawa kepada Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, bertekad untuk mentransformasikan Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi, sehingga mampu menggapai visi TN50.



39. Apa yang paling penting, kita mesti kuatkan tekad dan terus berusaha, untuk meletakkan pencapaian kita melangkaui batas yang lazim atau "with all the achievements, we must always raise the bar high and continue to keep the bar high for Malaysia".



Pengumuman



40. Pada malam ini, sebagai menghargai pengorbanan para atlet negara dan semua pihak yang terlibat dalam menaikkan imej serta menyemarakkan kecemerlangan negara dan sokongan yang tidak terhingga daripada seluruh rakyat Malaysia, sempena Temasya Sukan SEA Ke-29, Kuala Lumpur 2017 (KL2017), maka dengan sukacitanya Kerajaan telah memutuskan bahawa,...



CUTI UMUM pada 4 September 2017 di seluruh negara.  



41. Pengisytiharan cuti umum ini dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 bagi Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi Sabah dan Sarawak ia diselaraskan mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.





Saudara dan Saudari Sekalian,



42. Dari itu, ayuhlah,... Ayuhlah Duhai Bangsaku Rakyat Malaysia,...  Kita Bangkit Bersama,...

Membina azam dan cita-cita,...

Menuju satu gagasan,...

Atas semangat merdeka yang tinggi,...

Berjaya dan terus berjaya,...

Bertransformasi,...

Menjulang Malaysia ke puncak kejayaan!





Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!



Negaraku, Malaysia!

Negaraku, Malaysia!



Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Sekian, terima kasih.



 


Kami menerima 6,564,975 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri