[aiovg_video id=146027]
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal áfiat insha-Allah.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Walaupun kes positif COVID-19 masih mencatatkan peningkatan di beberapa kawasan, situasi ini tidak membantutkan usaha Kerajaan untuk memulihkan aktiviti ekonomi dan mengembalikan aktiviti sosial kepada keadaan sebelum berlakunya pandemik ini.
Kerajaan sedar bahawa usaha untuk mencegah penyakit COVID-19 daripada terus menular adalah penting bagi memastikan keadaan ekonomi rakyat dan negara dapat dibaik pulih dengan kadar segera.
Sepertimana yang saya telah umumkan sebelum ini, Kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax dan Pfizer bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 30 peratus liputan populasi.
Justeru hari ini, sukacita saya ingin maklumkan bahawa Kerajaan baru sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Astra Zeneca bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10 peratus lagi.
Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus yang telahpun diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca. Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.
Melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah AS$504.4 juta (RM2.05 bilion). Jumlah 80 peratus ini adalah melebihi sasaran awal kita iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia.
Perjanjian dengan Sinovac, CanSino serta Gamaleya ini juga akan memberi nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi tempatan yang bakal memberi pulangan kepada rakyat dan pembangunan negara. Ini termasuklah melakukan proses pembotolan vaksin di dalam negara, penyelidikan dan pembangunan, serta perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.
Kerajaan akan terus mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal yang lain bagi memastikan negara mempunyai jaminan akses bekalan vaksin percuma yang mencukupi. Vaksin yang diperolehi ini akan dipastikan selamat dan berkesan.
Untuk meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperolehi adalah selamat dan berkesan, saya akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19. Ini akan diikuti dengan petugas barisan hadapan (frontliners), sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Kesihatan dan YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi akan memastikan bekalan vaksin dapat diperolehi pada kadar segera. Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin dari Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasar seawal Februari 2021.
Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin setelah diperolehi dan digunakan.
Sekali lagi, saya ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menghayati dan membudayakan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun setelah kita menerima bekalan dan suntikan vaksin. Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telah pun berada di dalam komuniti.
Patuhi SOP yang telah ditetapkan dan amalkan kebiasaan mencuci tangan menggunakan sabun dengan lebih kerap atau gunakan hand sanitizer jika tiada punca air berdekatan, pakai pelitup muka dengan betul ketika berada di tempat awam dan jaga jarak fizikal dengan orang di sekeliling.
Insya-Allah, kita mampu menghadapi cabaran ini bersama.