TEKS UCAPAN
PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI MENGENAI SITUASI SEMASA COVID-19
6 OKTOBER 2020
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.
1. Saya mengikuti dengan dekat perkembangan kes-kes Covid-19 pada masa ini. Saya pasti saudara dan saudari seperti juga saya sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi penularan Covid-19 di negara kita. Saya hari ini bersiaran secara langsung melalui facebook live.
2. Daripada kejayaan kita membendung wabak ini hingga ke satu digit pada satu ketika, kini telah berlaku peningkatan kes-kes harian baharu Covid-19 hingga mencecah tiga digit. Perkembangan ini amat membimbangkan kita semua.
3. Sepertimana yang kita tahu, peningkatan kes-kes baharu Covid 19 pada masa ini ada kaitannya dengan kes-kes yang berlaku di Sabah dan Kedah.
4. Di negeri Sabah, sebahagian besarnya berpunca daripada pendatang tanpa izin dari negara jiran. Mereka ini sebahagiannya positif Covid 19. Apabila ditahan di pusat tahanan, mereka menjangkiti tahanan lain.
5. Virus ini juga telah menjangkiti kakitangan pusat tahanan, ahli keluarga mereka dan komuniti setempat.
6. Begitu juga di negeri Kedah. Virus ini sebahagian besarnya merebak dalam kalangan tahanan penjara selain terdapat kluster-kluster baharu dalam komuniti. Kerana itu bilangan mereka yang positif Covid 19 meningkat secara mendadak sejak beberapa minggu yang lalu.
7. Saya akui kempen pilihanraya di negeri Sabah juga menjadi antara punca peningkatan kes-kes Covid-19. Pilihanraya Negeri Sabah terpaksa diadakan apabila Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Julai yang lalu. Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan. Pilihanraya mesti diadakan dalam tempoh enam puluh hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh.
8. Saya sedar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah menetapkan SOP tertentu bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak akibat kempen pilihanraya diadakan. Tetapi malangnya ada SOP yang tidak dipatuhi.
9. Misalnya penjarakan sosial. Ketika saya turun berkempen di banyak tempat, saya lihat SOP mengenai penjarakan sosial agak kurang dipatuhi. Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak.
10. Sehinggakan saya terpaksa membuat SOP saya sendiri. Saya datang dengan kereta terus ke pentas tanpa melalui khalayak ramai. Ketika mula berucap, saya peringatkan semua yang hadir supaya patuhi SOP yang ditetapkan. Duduk jangan rapat-rapat, pakai pelitup muka dan sentiasa basuh tangan atau gunakan sanitizer. Setelah habis berucap, saya terus masuk kereta dan meninggalkan tempat ceramah. Dengan itu, saya tidak bersalam atau menyentuh sesiapa.
11. Saya juga mengingatkan pegawai-pegawai saya supaya tidak mengatur kempen saya di kawasan Zon Merah. Walaupun menerima undangan, saya terpaksa tolak dengan baik. Ya, kalau diikutkan saya ingin berkempen di semua tempat. Tetapi saya juga memikirkan tentang kesihatan dan keselamatan orang ramai yang hadir ke tempat-tempat berkempen, pegawai-pegawai saya dan diri saya sendiri.
12. Namun, hakikatnya telah ada mereka yang dijangkiti Covid 19 ketika berada di negeri Sabah. Ini sesuatu yang amat mendukacitakan kita.
13. Tindakan awal kerajaan ialah mempertingkatkan kawalan sempadan di negeri Sabah dengan menambah jumlah anggota keselamatan yang bertugas dan mengatur gerak aset-aset seperti kapal dan bot peronda untuk mengawal sempadan perairan negara.
14. Beberapa daerah di Sabah dan Kedah juga telah diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau Targeted Enhanced Movement Control Order untuk menghalang wabak ini daripada menular ke tempat-tempat lain.
15. Kerajaan juga mewajibkan mereka yang datang dari Sabah supaya melakukan ujian saringan ketika mereka tiba di lapangan terbang. Petugas Kementerian Kesihatan juga akan membuat penilaian risiko keatas setiap individu yang tiba. Sekiranya didapati positif, mereka akan diasingkan dan dirawat di hospital.
16. Selain itu, tindakan mengesan, mengasing dan merawat mereka yang dijangkiti juga dilipatgandakan.
17. Sehingga semalam seramai 18,712 orang dari 13 kluster di negeri Sabah telah disaring dengan 1,584 orang didapati positif Covid-19. Di negeri Kedah, seramai 53,097 orang dari 9 kluster telah disaring dengan 888 orang didapati positif.
18. Semua yang didapati positif telah diasingkan dan dirawat di hospital. Langkah-langkah susulan sedang giat dijalankan untuk mengesan dan membuat saringan ke atas kontak rapat pesakit-pesakit Covid-19 yang telah dikenalpasti.
19. Saya memberi jaminan bahawa usaha untuk mengesan kontak rapat adalah lebih mudah pada masa ini berbanding di peringkat awal penularan Covid-19 dahulu. Ini kerana 17 juta penduduk Malaysia telah menggunakan aplikasi MySejahtera. Jika dikira jumlah pengguna aplikasi ini beserta tanggungan atau pasangan mereka, peratusan rakyat yang menggunakan aplikasi MySejahtera dianggarkan telah melebihi 60 peratus.
20. Ini adalah satu perkembangan yang positif dalam usaha kita untuk menghadapi pandemik ini. Kita hidup dalam normal baharu. Menggunakan aplikasi MySejatera adalah antara normal baharu yang mesti kita budayakan. Jadi saya menyeru kepada saudara dan saudari yang masih belum mendaftar dengan MySejahtera supaya segeralah mendaftar.
21. Saya juga lebih yakin dengan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan dan sistem kesihatan negara kita untuk membendung penularan wabak ini.
22. Saya diberitahu oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noorhisham, bahawa kita mempunyai ventilator, PPE, peralatan dan ubat-ubatan yang mencukupi. Jumlah katil di hospital-hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid 19 juga mencukupi dengan kapasiti penggunaan pada masa ini sekitar 29 peratus.
23. Ini bermakna sistem kesihatan di negara kita lebih bersedia pada masa ini untuk menangani penularan wabak Covid-19 di dalam komuniti berbanding pada masa lalu.
24. We are now better prepared than before in terms of experience and manpower. We know the behaviour of the virus better and we have enough facilities and equipments.
25. But we need to break the transmision of the virus and the best way is to stay at home especially in areas where Targeted Control Movement Order is enforced. We must flatten the curve. We did it before and I firmly believe we can do it again.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
26. Mengenai isu kuarantin, saya ingin tegaskan tidak ada double standard dalam mematuhi arahan kuarantin. Saya sendiri pada masa ini sedang menjalani kuarantin di rumah setelah saya mempengerusikan satu mesyuarat yang dihadiri oleh seorang Menteri yang disahkan positif Covid-19. Ini adalah SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
27. Sebagai Perdana Menteri saya tidak terkecuali daripada tertakluk kepada SOP. Ini adalah kali kedua saya menjalani kuarantin di rumah sejak pandemik Covid-19 melanda negara kita. Saya mesti patuh kepada peraturan.
28. Bersama-sama saya yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah ialah 7 orang Menteri dan 6 Timbalan Menteri. Kesemua mereka ini juga tidak terkecuali daripada mematuhi arahan kuarantin. Mereka mesti patuh kepada peraturan dan tindakan boleh diambil sekiranya mereka ingkar.
29. Covid 19 tidak mengenal pangkat atau darjat. Virus ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan oleh kerana itu SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa mesti dipatuhi oleh semua orang.
30. Walau apapun kita tidak boleh leka. Saya jangkakan kes-kes Covid- 19 akan meningkat dalam waktu terdekat. Ini kerana pihak Kementerian Kesihatan sedang menjalankan ujian saringan secara lebih agresif, termasuk di penjara dan pusat-pusat tahanan. Sejak beberapa minggu
yang lalu, kes-kes positif dalam kalangan tahanan di penjara menyumbang kepada sebahagian besar peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di negara kita.
31. Sebagai Ketua Kerajaan, saya memantau secara dekat perkembangan kes-kes Covid-19. Saya akan membuat keputusan- keputusan penting untuk membendung virus ini daripada terus menular dalam masyarakat kita. Ini termasuklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar atau TEMCO di kawasan- kawasan yang dikenalpasti sebagai zon merah.
32. Walaupun berada dalam kuarantin, saya mengadakan sidang video secara harian dengan Menteri-Menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan untuk mengurus Covid-19. Ini adalah keutamaan saya pada masa ini. Inilah norma baharu yang sering kita perkatakan.
33. Yang penting ialah kita mesti bersama-sama dalam mengharungi keadaan yang sukar pada masa ini. Saya harap saudara dan saudari tidak mudah panik atau membuat kesimpulan sendiri berhubung situasi yang sedang dihadapi oleh kita semua. Elakkan penyebaran berita-berita palsu yang boleh menyebabkan kita keliru.
34. Keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan khsususnya menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 adalah berasaskan kepada data dan fakta yang dikumpul menerusi sumber-sumber yang berotoriti.
35. Saya tahu ramai di luar sana yang ingin memberikan pandangan kepada kerajaan mengenai pengurusan Covid-19 kerana anda semua prihatin. Ada yang menghantar mesej secara peribadi kepada saya. Ada juga yang membuat komen di media sosial.
36. Saya amat mengalu-alukan pandangan saudara dan saudari sekalian. Semuanya saya berikan perhatian. Mana-mana pandangan yang baik kita bincangkan di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara. Kerajaan sentiasa mendengar dan memperbaiki serta menerima teguran dalam menangani wabak Covid-19.
37. Yang penting ialah kita tidak mudah menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak. Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah yang sedang dihadapi oleh negara. Jangan kita pedulikan mereka. Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama.
38. Setakat hari ini kita tidak memikirkan soal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara atau total lockdown. Langkah ini jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara, na’uzubillah. Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan-kawasan yang dikenalpasti mempunyai kes-kes Covid-19 yang tinggi.
39. Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Saya percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan Covid 19 tanpa perlu kita menutup sektor-sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini.
40. Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa jua keputusan yang diiambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat kita yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara.
41. Saya tahu ramai ibu bapa yang bimbang mengenai anak-anak yang hadir ke sekolah. Setakat ini kerajaan memutuskan untuk menutup sekolah-sekolah di kawasan zon merah. Kawasan-kawasan yang zon merah tersebut adalah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak Dan Semporna, Sabah. Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa memantau keadaan kes COVID di sekolah di seluruh negara. Jika ada sebarang kes COVID-19 melibatkan warga sekolah, KPM akan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menanganinya. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada Kementerian Pendidikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah.
42. Jika perlu, keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
43. Sekiranya terdapat keperluan untuk menyekat pergerakan rentas negeri, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan berbincang dan membuat keputusan mengenainya. Saya memberi jaminan notis yang mencukupi akan diberikan kepada orang ramai sebelum sebarang keputusan dilaksanakan supaya tidak ada sesiapa yang terkandas.
44. Saya diberitahu mesyuarat MKN yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Ismail Sabri, Menteri Kanan Pertahanan pagi tadi telah membuat keputusan untuk menyekat pergerakan antara negeri Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang akan berkuatkuasa mulai hari esok. Setelah berbincang dengan Dato’ Seri Ismail Sabri, saya telah membuat keputusan untuk memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan. Keputusan ini saya buat bagi mengelakkan ramai penumpang yang bakal terkandas akibat kesuntukan masa membuat perubahan kepada jadual perjalanan mereka. Tarikh baru sekatan pergerakan antara negeri Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan berkuatkuasa mulai 12 Oktober 2020, jam 12.01 tengah malam hingga 25 Oktober 2020.
45. Kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk menghadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak Covid-19. Ini termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai. Walaubagaimana pun, kerajaan akan mendapatkan input dari KKM terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP tambahan jika perlu.
46. Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh kepada SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Petugas barisan hadapan dari agensi-agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat-tempat awam untuk memastikan pematuhan. Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat. Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan!
47. Marilah kita hadapi perang menentang Covid-19 secara bersama. Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 sebelum ini. Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi. InsyaAllah, kita doakan mudah-mudahan kita semua akan menang akhirnya.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.