Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
Tajuk : PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI: SITUASI SEMASA COVID-19
Lokasi : SEPERTI DINYATAKAN DI BAWAH
Tarikh : 15-09-2020
 

TEKS UCAPAN 
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA 


SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA
15 SEPTEMBER 2020 


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.


Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.


1. Hari ini saya sekali lagi menemui saudara dan saudari di kaca televisyen dan platform media sosial untuk memaklumkan mengenai perkembangan semasa kes-kes jangkitan COVID-19 di negara kita.


2. Sehingga 15 September 2020, jumlah keseluruhan kes positif COVID- 19 di Malaysia adalah seramai 9,969 orang. Daripada jumlah ini:



  • 9,209 kes telah sembuh dan discaj daripada wad, menjadikan kadar kesembuhan sebanyak 92.4%;

  • 128 kes telah dilaporkan meninggal dunia, menjadikan kadar kematian sebanyak 1.28%; dan

  • 1,395,578 individu telah disampel, menjadikan kadar ujian COVID- 19 yang dijalankan di Malaysia adalah 41.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.


3. Secara keseluruhannya terdapat 108 kluster yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre atau CPRC Kebangsaan. Daripada jumlah ini 11 kluster masih aktif manakala baki 97 kluster telah diisytiharkan tamat.


4. Sehingga kini, Kluster Seri Petaling yang telah diisytiharkan tamat pada 8 Julai 2020 merupakan kluster terbesar jangkitan COVID-19 di negara ini. Kluster ini telah merekodkan sejumlah 3,375 kes positif selepas seramai 42,023 individu disaring.


5. Walaupun negara kita setakat ini telah berjaya menangani penularan wabak COVID-19 dengan baik, saya berasa agak bimbang kerana terdapat peningkatan jumlah kes positif COVID-19 yang agak ketara sejak kebelakangan ini. Sepanjang tempoh 14 hari yang lalu, sebanyak 615 kes baharu telah dicatatkan.


6. Peningkatan ini turut menyaksikan tiga buah daerah yang merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas. Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah.


7. Sementara itu, jumlah keseluruhan pelawat dari luar negara yang dikesan positif COVID-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga 15 September 2020 adalah seramai 1,017 orang.


8. Buat masa ini, berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan tren kes yang dilaporkan, pandemik COVID-19 dilihat masih menular secara aktif dan dijangka akan berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama. Ini mengambilkira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 secara berkesan yang memerlukan kewujudan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan. Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 pada ketika ini.


9. Tidak terkecuali, Malaysia juga masih mengalami penularan aktif wabak ini. Kes harian COVID-19 yang direkodkan adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar. Ini memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.


10. Justeru, saya ingin mengingatkan saudara dan saudari supaya terus berwaspada. Jangan leka. Peraturan-peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian penutup hidung dan mulut dan pematuhan kepada S.O.P masih berkuatkuasa. Saudara dan saudari mesti terus berdisiplin dan patuh kepada peraturan. Ini penting supaya kita dapat mengawal penularan wabak COVID-19.


11. Kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes-kes baharu COVID-19 yang tinggi.


12. Selain itu, saudara dan saudari mestilah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer. Elakkan bersalaman atau bersentuhan. Jika saudara dan saudari berada di tempat awam atau di tempat yang sesak, pakailah penutup hidung dan mulut.


13. Jangan berasa janggal atau kekok untuk memakainya. Pemakaian penutup hidung dan mulut telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Kini, kita semua mesti memainkan peranan sebagai "petugas barisan hadapan" dengan terus mengamalkan norma baharu dalam kehidupan.


14. Saudara dan saudari juga mestilah segera mendapatkan rawatan jika mempunyai gejala seperti demam, batuk atau sukar untuk bernafas.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


15. Tanpa rawatan yang spesifik dan vaksin yang berkesan serta selamat untuk menangani penularan jangkitan COVID-19, pembudayaan norma baharu yang saudara dan saudari sedang amalkan pada waktu ini adalah suatu langkah yang amat kritikal.


16. Saya berharap norma baharu ini akan menjadi kelaziman dalam kehidupan seharian kita semua. Ini kerana Malaysia masih berada dalam peperangan menentang COVID-19. Dalam situasi ini, disiplin dan pematuhan masyarakat terhadap peraturan dan SOP yang ditetapkan adalah amat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Matlamat kerajaan bukan hanya untuk melandaikan lengkuk penularan tetapi juga memastikan wabak jangkitan ini dapat dikawal untuk suatu tempoh yang panjang.


17. Kawalan sempadan negara juga akan terus dipertingkatkan untuk mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti COVID-


19 ke dalam negara kita. Sempadan negara kita masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat-syarat pematuhan SOP tertentu yang ketat.


18. Jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang masih berusaha keras menangani penularan jangkitan COVID-19 yang belum lagi menunjukkan tanda untuk reda. Malah, beberapa buah negara kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan COVID-19.


19. Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh penularan wabak ini di peringkat global. Walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya kepada saudara dan saudari yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara kita daripada wabak yang mengancam nyawa ini. Kita perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia. We must strike a fine balance between protecting lives and livelihoods of all Malaysians.


20. Justeru, kerajaan tidak akan terburu-buru untuk membuka sempadan negara. Malah kawalan sempadan negara kita akan terus diperketatkan termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin.


21. Saya juga ingin menasihatkan penduduk di negeri Sabah supaya lebih berhati-hati. Peningkatan kes-kes baharu COVID 19 amat ketara di negeri Sabah, khususnya di daerah Tawau dan Lahad Datu.


22. Dalam keadaan negeri Sabah sedang menghadapi Pilihanraya Negeri, saya ingin mengingatkan saudara dan saudari yang berada di negeri Sabah supaya sentiasa mengamalkan norma-norma baharu kehidupan dengan lebih berdisiplin. Kepada petugas-petugas pilihanraya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.


23. Dalam keadaan biasa, semasa musim pilihanraya ini ramai yang akan berkumpul dan bersalaman. Nasihat saya elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit. Elakkan juga bersalaman dengan pengundi. Saya fikir para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman. Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan COVID-19. Kita jaga kita bah.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


24. Saya ingin mengingatkan kita semua akan kesan sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan semula. Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan ekonomi negara. Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Na’uzubillah.


25. Justeru, saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan. Selain tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh saudara dan saudari sekalian adalah faktor yang amat penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.


26. Oleh itu, berhati-hatilah. Lindungi diri anda. Lindungi keluarga anda. Lindungi orang-orang di sekeling anda. Sama-samalah kita berdoa semoga segala usaha yang kita lakukan dalam memerangi COVID-19 akan berjaya.


Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.






Kami menerima 6,606,000 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri