TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DAN PELANCARAN
NATIONAL TECHNOLOGY AND INNOVATION SANDBOX (NTIS)
19 OGOS 2020 (RABU), 10.00 PAGI
MALAYSIAN GLOBAL INNOVATION & CREATIVITY CENTRE (MAGIC), CYBERJAYA
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Yang Berhormat Khairy Jamaluddin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali Ketua Setiausaha Negara
Yang Berbahagia Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir
Ketua Setiausaha MOSTI
Yang Berhormat Menteri-Menteri
Yang Berbahagia Ketua-Ketua Setiausaha
YBhg Tan Sri, Dato’ Seri, Dato’, Datin, Tuan- Tuan dan Puan-Puan, hadirin yang dihormati sekalian
1. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya kita semua dapat hadir pada Majlis Pelancaran National Technology & Innovation Sandbox atau NTIS yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di MaGIC pada pagi ini. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin dan seluruh warga Kementerian kerana menjayakan program pada pagi ini.
2. Sebagaimana yang tuan-tuan dan puan- puan sedia maklum, penubuhan NTIS ini telah saya umumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada bulan Jun yang lepas. Pengumuman PENJANA ini tepat pada masanya sebagai pakej rangsangan ekonomi negara kepada rakyat ketika negara berdepan dengan cabaran ekonomi dan kini, kita berada di fasa pemulihan ke arah nilai sosio- ekonomi baharu pasca wabak COVID-19.
3. Melalui PENJANA, Kerajaan dengan tema “Bersama Menjana Ekonomi” telah memperuntukkan sebanyak RM35 bilion untuk 40 inisiatif berpandukan 3 teras utama dalam fasa pemulihan ekonomi negara iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi. Adalah menjadi sasaran kita pakej rangsangan ekonomi ini dapat, insya-Allah, mengurangkan kesan kegawatan ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan membuka jalan ke arah pemulihan ekonomi negara. Kelumit cahaya di hujung kegelapan dapat dilihat melalui Laporan World Bank baru- baru ini (Malaysia Economic Monitor, Jun 2020) di mana ekonomi Malaysia dijangka bangkit semula tahun depan dengan pengembangan sebanyak 6.9 peratus.
4. Akan tetapi, untuk terus memajukan pertumbuhan ekonomi negara dan menjana kemakmuran untuk rakyat, kita perlu memupuk semangat berani menghadapi risiko dan beralih dengan pantas untuk menyesuaikan diri sejajar dengan perkembangan teknologi serta inovasi dan mengatasi masalah yang melanda bukan sahaja negara kita bahkan seluruh dunia.
5. Pada hemat saya, the only route for us to become a high income country is to be a high- tech country, a high-tech nation, satu-satunya jalan bagi kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi adalah dengan menjadi negara berteknologi tinggi. Sejarah telah membuktikan betapa kekuatan militari dan ekonomi empayar serta kuasa besar dunia banyak bergantung kepada penguasaan teknologi. Bahkan jika dilihat kepada konteks negara kita, sekitar dua dekad selepas Perang Dunia Ke-Dua, pendapatan KDNK per kapita kita jauh lebih tinggi dari Korea Selatan dan Taiwan namun kedudukan ini dicantas Taiwan hanya selang dua tahun selepas itu dan oleh Korea Selatan pula pada tahun 1977. Kejayaan mereka tidak lain dari pencapaian dan penguasaan teknologi.
6. Lantaran itu, semasa saya mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Sains Negara bagi tahun 2020, Kerajaan telah memperincikan mengenai dasar, cabaran serta memperkasakan hala tuju masa depan Sains, Teknologi, Inovasi (STI) dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berteknologi tinggi. 30 bidang keutamaan STIE negara bagi 10 pemacu sosioekonomi negara telah dikenal pasti di mesyuarat ini di mana melalui MOSTI, Kerajaan sedang berusaha untuk mentransformasi negara daripada hanya sebagai pengguna teknologi kepada pencipta teknologi dan pembangun teknologi. Saya bersetuju bahawasanya inisiatif NTIS akan dapat menyokong dan mempercepatkan usaha Kerajaan untuk membangunkan teknologi negara serta mengkomersialkan teknologi- teknologi tempatan oleh para peniaga dan usahawan kita.
Para hadirin sekalian,
7. Inisiatif NTIS adalah salah satu cara bagi negara untuk mempercepatkan peluang pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan teknologi disruptif (disruptive technology) seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi dron, teknologi sensor dan infrastruktur 5G dalam misi menyelesaikan permasalahan negara. Ini termasuklah permasalahan nasional yang meliputi kebergantungan terhadap buruh asing, risiko jaminan makanan (food security risk), penjagaan kesihatan serta ketidaksamaan capaian internet dan liputan infrastruktur digital (digital divide). Pada masa yang sama, NTIS dilihat bakal memacu Malaysia ke arah negara berteknologi dan berpendapatan tinggi melalui penyelesaian inovatif, terutamanya dari cetusan solusi dan kepakaran tempatan.
8. Melalui NTIS, syarikat-syarikat pemula, pembangun teknologi, para penyelidik dan inovator boleh melaksanakan projek-projek inovasi dalam persekitaran sandbox atau terkawal. Dengan adanya semakan kepada beberapa peraturan yang berupaya memberi kelonggaran untuk mengupaya, menguji serta mencuba teknologi baharu, saya yakin pembangunan penyelesaian berlandaskan teknologi dan inovasi dapat dipercepatkan.
9. Bagi tujuan ini, Kerajaan melalui MOSTI telah memperuntukkan RM100 juta untuk menggalakkan perkembangan teknologi, inovasi dan kreativiti dalam perkhidmatan dan pengkomersialan inovasi tempatan, serta mengorak langkah dalam mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu. Ini boleh mengurangkan kebergantungan negara kepada teknologi dan inovasi daripada luar negara. Ianya juga bertujuan untuk meningkatkan produktiviti di samping meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat.
10. NTIS menyediakan ruang kepada masyarakat dan perniagaan untuk turut serta menyumbang kepada kepakaran dan penemuan penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi kita semua di samping menyokong penggunaan teknologi dan inovasi buatan tempatan. Ekonomi yang berpaksikan inovasi akan membentuk masyarakat yang aktif, mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi, seterusnya melonjakkan nama negara ke tahap yang disanjungi masyarakat global. Kita bukan sahaja mahu rakyat Malaysia selesa dan mahir menggunakan teknologi, malah kita mahukan rakyat Malaysia menjadi pencipta teknologi, pemaju teknologi atau tech developer.
11. Misalnya penyedia perkhidmatan dron dipacu kecerdasan buatan (AI) tempatan iaitu Aerodyne Group yang menduduki tempat ketiga di dunia oleh Drone Industry Insights (DII) dalam '10 Penyedia Terbaik Perkhidmatan Dron 2019'; dinamakan sebagai Frost & Sullivan's 'Asia Pacific UAV Services Company of 2019'; dan penerima 'Anugerah Emas Kecemerlangan Industri 2019' Institut Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Malaysia.
12. Pada masa yang sama, beberapa projek perintis telah dikenalpasti di bawah NTIS termasuk FARMO Robot (Farm Assist Robot for Multi Operation) yang digunakan di sektor Pertanian, Robot Rehabilitasi untuk hospital dan Robot Linear untuk Aplikasi Industri. Untuk para petani di luar sana, penggunaan inovasi seperti robot FARMO contohnya dapat mengelakkan anda daripada terdedah dengan persekitaran yang merbahaya sewaktu anda melakukan aktiviti semburan racun kimia atau organik untuk tanaman. Penggunaan FARMO dapat meningkatkanproduktiviti secara efisien kerana proses semburan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan penggunaan bahan semburan dapat dikurangkan berbanding kaedah konvensional disamping meningkatkan penjimatan tenaga kerja.
13. Dari aspek komersialnya pula, saya difahamkan NTIS ini mampu memangkinkan pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat R&D ke peringkat yang sedia untuk dikomersialkan dengan jangkaan pulangan pelaburan (Return of Investment (ROI)) kira-kira RM 300 juta.
Para hadirin sekalian,
14. Melihat ke depan, saya yakin dalam 5 tahun akan datang, kita akan dapat melihat hasil pencapaian serta impak NTIS bakal meliputi pelbagai aspek termasuklah:
Pertama, menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) / Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penglibatan sosial (social inclusivity) yang lebih tinggi disamping kesan positif pengganda ekonomi (economic multiplier effects);
Kedua, membantu meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi;
Ketiga, menyumbang kepada peningkatan pelaburan sektor swasta dalam R&D;
Keempat, menggalakkan pengunaan teknologi tempatan yang tinggi;
Kelima, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing; dan
Terakhir, membantu dalam meningkatkan kadar pengkomersialan Negara.
15. Untuk mencapai objektif NTIS ini, kita memerlukan penyertaan aktif daripada semua pihak. Usaha gigih daripada pihak Kerajaan sahaja tidak mencukupi untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berteknologi canggih dan berpendapatan tinggi. Sudah pasti, NTIS memerlukan kerjasama daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Penglibatan sektor swasta juga amat penting untuk mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif, dinamik dan mampan dalam menyokong pertumbuhan dan mempercepatkan pengembangan teknologi tinggi.
Para hadirin sekalian,
16. Pelancaran NTIS ini adalah tepat pada masanya. Dengan wabak COVID-19 yang melanda negara, keperluan dan kepentingan NTIS tidak dapat disangkal dalam usaha Kerajaan merangka semula pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui inovasi dan teknologi canggih.
17. Wabak ini telah mengubah cara hidup kita. Walau bagaimanapun, perubahan kepada norma baharu ini juga mewujudkan peluang kepada Kerajaan untuk mengkaji dan meneliti bidang-bidang tertentu yang perlu diperkukuhkan serta melihat kepada langkah yang perlu diambil untuk membangunkan negara dan membantu rakyat ke tahap pemulihan dari pelbagai aspek. Ini merupakan peluang untuk kita melonjak ke hadapan dan bersaing dengan lebih baik di persada dunia.
18. Saya menyeru semua lapisan masyarakat, dari pihak swasta dan universiti ke syarikat pemula serta kesemua Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan untuk menggembleng tenaga dalam merealisasikan agenda inovasi negara untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
19. Insya-Allah, kita akan berjaya mengatasi kesukaran dan cabaran yang dihadapi melalui perpaduan dan juga STI. Marilah bersama-sama saya dan barisan Jemaah Menteri saya untuk menjana masa depan negara Malaysia yang lebih inklusif untuk rakyat kita menikmati kehidupan yang lebih bermakna.
Para hadirin sekalian,
20. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan dan syabas kepada pihak MOSTI dan terutamanya kepada Sekretariat NTIS, iaitu Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Technology Park Malaysia (TPM), MIMOS Berhad, Futurise Sdn. Bhd. dan Malaysian Techonolgy Development Corporation (MTDC) dalam usaha merealisasikan hasrat Kerajaan melalui NTIS.
21. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacita saya merasmikan dan melancarkan Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS).
Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Sekian, terima kasih.