TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI
PELANCARAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG 2020
DI BANGUNAN PERDANA PUTRA, PUTRAJAYA
28 JULAI 2020 (SELASA), 9.00 PAGI
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.
1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama meraikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi tahun 2020.
2. Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini bertemakan “Malaysia Prihatin”. Tema ini amat bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan ini, bahawa seluruh rakyat MALAYSIA, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh di kala ini iaitu wabak Covid-19. Manakala PRIHATIN menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.
3. Semangat MALAYSIA PRIHATIN ini dizahirkan bukan sahaja oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malahan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira tidak didendang. Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Ini petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang.
4. Pada hakikatnya, semangat MALAYSIA PRIHATIN ini juga kita hendak semarakkan di segenap segi kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha kita menamatkan terus wabak Covid-19, tetapi dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat kearah yang lebih baik. MALAYSIA PRIHATIN perlu kita sematkan dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Kita perlu melakukannya bersama-sama dan dengan keazaman dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekelian,
5. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman dan harmoni. Justeru saya mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyemarakkan keharmonian yang dikecapi selama ini demi Negara yang tercinta dan sekali gus memartabat agenda untuk membina negara.
6. Sepanjang Bulan Kebangsaan, pelbagai program bakal diadakan. Ini termasuk Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara yang telah saya lancarkan pada 9 Julai, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada hari ini, disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada 16 September.
7. Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme, saya meminta kementerian- kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk mengalakkan penyertaan aktif semua lapisan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti yang disediakan. Antaranya, Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka. Kesemua aktiviti ini diadakan untuk menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia.
8. Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita. Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang. Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila.
9. Apa yang ingin kita suburkan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah semangat patriotisme iaitu perasaan cinta yang mendalam dalam diri kita kepada negara tanah tumpah darah kita ini.
10. Saya percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
11. Bersempena dengan sambutan bulan kebangsaan, kita turut merayakan sambutan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, di bangunan-bangunan pejabat dan gedung perniagaan serta di kenderaan kita. Ini dilakukan setiap tahun sebagai tanda rasa cinta kita kepada Malaysia.
12. Bagi pelajar sekolah, amalan mengibarkan bendera kebangsaan ini menjadi kebiasaan di kalangan semua pelajar di awal usia mereka. Para guru perlu meneruskan amalan ini supaya ia kekal sebagai suatu tradisi yang baik di kalangan generasi muda dalam masyarakat berbilang kaum.
13. Setelah sekian lama kita menikmati kebebasan dan kemerdekaan ini, amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian kita. Kita semua dengan sendirinya dengan rela hati mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang di sepanjang tahun, tanpa perlu menunggu adanya program sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang. Apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap orang, maka ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini.
14. Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara. Ia bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan negara. Kita telah banyak kali menyaksikan Jalur Gemilang ini dikibar seluruh pelusuk dunia apabila rakyat negara ini mencapai sesuatu kejayaan.
15. Sebagai rakyat Malaysia, kita tentu berasa berbangga setiap kali anak-anak Malaysia ini menjulang nama negara dalam bidang pencapaian masing- masing. Kadang-kadang walaupun kita tak berada di tempat tersebut, kita ikut berdiri di hadapan kaca televisyen untuk merayakan kemenangan yang mengharumkan nama negara.
16. Perasaan yang penuh emosi ini lahir daripada rasa ikhlas mencintai negara. Kita mengenepikan sama ada rakan senegara kita itu berlainan bangsa atau agama dengan kita. Yang penting, mereka berjaya mengharumkan nama negara dan menjulang Jalur Gemilang sebagai seorang warganegara Malaysia yang tercinta.
17. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus membuat segala perancangan dan persediaan acara pada hari ini serta program-program bagi mengisi sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini.
18. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya dengan ini melancarkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020.
Sekian, Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.