PERUTUSAN KHAS AIDILFITRI
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.
Apa khabar semua? Saya harap saudara-saudari sekalian sihat walafiat.
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana kita telah berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan kali ini. 1 Syawal yang akan menjelang esok adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam setelah sebulan berpuasa.
2. Aidilfitri yang akan disambut esok bukan sahaja diraikan sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu menahan diri dari lapar, dahaga dan perkara- perkara lain yang membatalkan ibadah puasa, tetapi juga sebagai tanda kejayaan umat Islam kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah yang bertakwa. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
??? ???????? ????????? ??????? ?????? ?????????? ?????????? ????? ?????? ????? ????????? ???? ?????????? ??????????? ??????????
“Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketakwaan.”
3. Ramadan kali ini agak berbeza. Kalau biasanya kita berjemaah di surau atau masjid untuk mendirikan solat tarawih, tetapi kali ini kita berjemaah di rumah bersama ahli keluarga. Oleh kerana mematuhi garis panduan atau SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB, kita juga tak bersesak-sesak mencari juadah berbuka puasa di bazar Ramadan atau menikmati buffet Ramadan di restoran dan majlis-majlis berbuka puasa. Sebaliknya kita berbuka puasa secara sederhana dengan juadah yang disediakan oleh isteri atau ibu kita.
4. Semua ini ada hikmahnya. Setelah sebulan bertarawih di rumah bersama ahli keluarga, ramai bapa yang dah pandai jadi imam. Anak lelaki jadi bilal. Isteri dan anak- anak yang lain jadi makmum. Saya pun jadi imam di rumah dan anak boungsu saya Farhan jadi bilal. Isteri, ahli keluarga yang lain dan pembantu rumah jadi makmum. Bagi sebahagian keluarga, tadarus Al-Quran bersama ahli keluarga menjadi kebiasaan. Dengan apa yang diamalkan sepanjang bulan Ramadan ini, saya percaya hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga juga menjadi lebih rapat.
5. Di masjid dan surau pula, hanya sebilangan daripada kita yang dibenarkan untuk mendirikan solat berjemaah termasuk Solat Hari Raya Aidilfitri pada kali ini. Di Wilayah Persekutuan sebagai contoh, hanya 30 jemaah sahaja yang dibenarkan berada di masjid dan surau terpilih untuk melaksanakan solat berjemaah. Dengan kawalan pihak polis dan RELA, keadaan secara umumnya adalah terkawal. Alhamdulillah, SOP PKPB juga dapat dipatuhi dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tak diingini.
6. Bagi yang berpeluang untuk mendirikan solat berjemaah di masjid dan surau, termasuk solat sunat Aidilfitri pagi esok, jangan lupa untuk mematuhi garis panduan PKPB yang telah diumumkan. Ambillah wudhu’ di rumah, patuhilah prosedur pengambilan suhu badan dan bawa sejadah sendiri ke masjid.
7. Ketika hendak mulakan solat biasanya imam akan kata rapat-rapatkan saf. Kali ini tidak. Untuk menjaga penjarakan sosial, imam mesti ingatkan makmum supaya renggang-renggangkan saf. Ini lebih afdal. Selepas solat, tak perlu bersalaman dengan jemaah yang lain.
8. Ingat, saya ulang, tak perlu bersalam. Cukup sekadar tunduk sebagai tanda hormat dan senyum saja. InshaaAllah, kita tetap akan dapat pahala berjemaah dan sekaligus membantu usaha mengawal jangkitan Covid-19.
9. Pembayaran zakat fitrah juga boleh dibuat secara atas talian atau kepada amil yang dilantik mengikut jadual yang telah disusun. Ini memudahkan kita melaksanakan tuntutan Rukun Islam tanpa mendedahkan diri kepada bahaya jangkitan Covid-19.
10. Saya percaya kebijaksanaan dan dedikasi para pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau akan dapat memberi peluang kepada umat Islam beribadah dan pada masa yang sama mematuhi garis panduan atau SOP yang ditetapkan dalam usaha kita mengawal penularan wabak Covid-19.
11. Bagi yang tak berpeluang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah, teruskanlah amalan solat berjemaah bersama keluarga di rumah pada malam ini dan di pagi hari raya esok. Hidupkanlah kegembiraan dan rasa kesyukuran selesai berpuasa dengan alunan takbir bersama ahli keluarga. Rujuklah panduan mendirikan solat sunat berjemaah Aidilfitri dan amalan-amalan sunat lain yang disediakan oleh pihak berkuasa agama negeri dan alim ulama’.
12. Kemeriahan Aidilfitri kali ini tentu sekali agak berbeza. Peluang untuk kita menziarahi ahli keluarga dan sahabat handai agak terhad. Tiada majlis rumah terbuka atau kenduri-kendara untuk kita hadir dan berjumpa sanak saudara dan rakan taulan. Tetapi, ini tidak bermakna Aidilfitri kali ini tidak meriah. Wujudkanlah suasana kemeriahan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri bersama ahli keluarga kita.
13. Begitu juga bagi mereka yang berada di rumah-rumah kebajikan dan pusat penjagaan anak-anak yatim. Saya yakin ramai para petugas dan sukarelawan berhati mulia yang akan berusaha mewujudkan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri di kalangan mereka.
14. Saya juga mendoakan agar para petugas barisan hadapan, anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan negara dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan serta sentiasa dilindungi oleh Allah s.w.t.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
15. Pada musim perayaan kali ini, kita tak dibenarkan bergerak merentas negeri untuk balik ke kampung. Kita juga mesti mematuhi SOP sambutan perayaan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan. Ziarah keluarga terdekat dibenarkan dengan maksima 20 orang tetamu sahaja satu hari.
16. Jadi, saudari-saudari saya nasihatkan berbincanglah dengan adik-beradik dan saudara-mara, siapa yang boleh datang berziarah ke rumah anda. Ketika saudara- mara kita berada di rumah, pastikan mereka mengamalkan penjarakan sosial serta elakkan bersalaman dan bersentuhan.
17. Jaga mak, ayah dan nenek kita yang telah berusia. Ini kerana mereka lebih terdedah kepada jangkitan Covid 19. Tak mengapalah pada hari raya kali ini kita tak bersalam atau peluk cium datuk atau nenek kita. Bukan kita tak sayang mereka. Tetapi kerana kita sayangi merekalah kita elakkan daripada menyentuh mereka. Bagi yang bergejala seperti demam, duduklah di rumah. Tak perlu bergerak ke sana sini.
18. Elakkan bersesak-sesak di tempat atau ruang yang sempit. Pastikan anda jarakkan diri dari tetamu yang lain. Kemudian, selepas selesai berkunjung ke rumah keluarga terdekat atau melayan tetamu, pastikan anda cuci tangan dan kekalkan kebersihan diri. Bagi tuan rumah yang menerima tetamu, bersihkan rumah anda dengan segera.
19. Elakkan juga menziarahi pusara. Ini kerana kawasan perkuburan biasanya menjadi antara tempat tumpuan di hari perayaan. Kita nak hindari saudara-saudari daripada berhimpun di satu-satu tempat yang boleh mendedahkan diri kepada penularan wabak covid-19.
20. Semua ini penting supaya kita dapat menyambut Aidilfitri dan pada masa yang sama mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19 selepas cuti perayaan. Saya perlu sebutkan perkara ini kerana di beberapa buah negara lain, wabak Covid-19 menular selepas musim perayaan. Kita nak elakkan perkara seperti ini berlaku di negara kita. Nau’zubillah. Jadi, biarlah kita ambil langkah yang lebih berhati-hati supaya kita selamat di kemudian hari. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
21. Saya ingin tegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai garis panduan hari perayaan adalah bersandarkan kepada prinsip maqasid shariah iaitu memelihara nyawa. Kita korbankan sedikit adat atau kelaziman kita demi untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 dan menyelamatkan nyawa kita serta orang di sekeliling kita.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
22. Alhamdulillah, kita bertuah kerana kita memiliki kemudahan kesihatan antara yang terbaik di dunia. Kita juga mempunyai doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesional. Kerana itu, setakat ini kita menjadi antara negara yang paling berjaya mengawal penularan Covid-19.
23. Namun, dalam menentukan kejayaan kita seterusnya, yang lebih penting ialah tanggungjawab diri kita sendiri. Tanggungjawab saya dan tanggungjawab saudara-saudari sekalian. Jika kita patuhi SOP yang ditetapkan, bermakna kita telah pun melaksanakan tanggungjawab kita. Ini besar maknanya kepada kita semua.
24. Mulai sekarang setiap kita terutama pimpinan dalam masyarakat dan komuniti memikul tanggungjawab yang lebih besar selain frontliners untuk mengawal penularan wabak Covid-19 sebagai langkah exit plan sebelum PKPB dihentikan di suatu masa nanti.
25. Tiada siapa yang lebih mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini selain kita. Jika kita tidak mahu dijangkiti virus ini, kita harus di sepanjang masa mengamalkan SOP peribadi seperti memeriksa suhu badan untuk mengetahui kita tidak demam, penjarakan sosial sebagai satu kemestian, kebersihan diri dengan membasuh tangan menggunakan sabun dan sanitizer seberapa kerap yang boleh dan memakai topeng mulut dan hidung sepanjang masa apabila berada di luar rumah. Yang penting kita menegur dan mengingatkan sesama kita mengenai perkara-perkara ini sebagai kewajipan kita bersama. Hanya apabila ini sudah jadi resam biasa kita, maka barulah kerajaan dapat memutuskan bila PKPB ini tidak dikuatkuasakan.
26. Kita telah pun berada di hujung Ramadan dan di ambang Syawal. Apa yang penting ialah kita tidak sesekali melupakan tujuan Allah s.w.t. memfardhukan ibadah puasa ke atas kita iaitu untuk mencapai ketakwaan, serta Aidilfitri sebagai tanda kemenangan dan kembalinya kita kepada fitrah. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menerima amal ibadah kita sepanjang Ramadan ini dan kita semua menjadi hamba- Nya yang lebih bertakwa.
27. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi pengharagaan kepada petugas barisan hadapan dan semua rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan padu dan kerjasama kepada kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19.
28. Setiap kali menjelang hari raya saya terkenang lagu Allahyarham Datuk Ahmad Jais:
Selamat hari raya
Aidilfitri mulia
Ampun maaf dipinta
Mensuci hening dosa
Setahun menghilang
Sekarang menjelang
Hari yang bahagia
Selamat hari raya
29. Saya, isteri dan seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada saudara-saudari sekalian dan semua umat Islam di mana jua anda berada.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil hamd.
Wabillahi al-taufik walhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.