TEKS UCAPAN OLEH YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PELANCARAN BULAN ANTIDADAH KEBANGSAAN TAHUN 2020
“KEMAKMURAN DAN KESEJAHTERAAN BERSAMA”
PADA 18 FEBRUARI 2020 (SELASA), JAM 3.30 PETANG
BERTEMPAT DI DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA
1. Terlebih dahulu, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, Menteri Dalam Negeri, Yang Berbahagia Dato’ Jamil Bin Rakon, Ketua Setiausaha Dalam Negeri dan Yang Dihormati Dato’ Sri Zulkifli bin Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan kerana menjemput saya ke majlis ini.
2. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga kerja Kementerian Dalam Negeri dan Agensi Antidadah Kebangsaan kerana menjayakan Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan Tahun 2020 ini.
DADAH – MUSUH NOMBOR SATU NEGARA
3. Buat kali ke-37 kita adakan Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan. Tujuan ia diadakan adalah untuk mengingatkan seluruh masyarakat Malaysia tentang bahaya dadah yang masih menjadi musuh nombor satu Negara.
4. Apabila kita ingat dan sedar bahawa dadah itu musuh nombor satu Negara, sudah pasti kita yang diamanahkan untuk membanteras penyalahgunaan dadah akan bertekad dan memperteguhkan azam selain mempertingkatkan usaha untuk mencapai matlamat kita. Kuasa yang sebenarnya dalam melawan dadah ialah kesedaran akan kesan kegunaan dadah dan memilih sendiri untuk tidak mengguna dadah. Undang-undang antidadah perlu, tetapi sifat menolak dadah lebih berkesan.
5. Dengan sifat itu, kita sentiasa akan waspada terhadap ancamannya dan kita tidak boleh leka apabila menanganinya.
MENANGANI ANCAMAN DADAH MASA KINI
6. Trend penyalahgunaan dadah telah berubah – daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin ia kini beralih kepada dadah sintetik yang lebih memudaratkan.
7. Kerajaan melihat masalah dadah di negara ini terangkum sekali dalam isu keselamatan. Dalam masa yang sama, ia turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental bagi mereka yang menyalahguna. Akhirnya dadah membunuh penagih dan melemah masyarakat.
IMPLIKASI PENYALAHGUNAAN DADAH
8. Penyalahgunaan dadah memberikan implikasi besar kepada Negara. Ini kerana kita akan hilang tenaga kerja yang produktif untuk membina Negara masa kini dan akan datang.
9. Statistik penyalahguna dan penagih dadah serta bahan di Malaysia pada tahun 2018 mencatatkan sejumlah 130,788 orang. Berdasarkan anggaran penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta, didapati bagi setiap 100,000 orang penduduk, terdapat 404 orang penyalahguna dan penagih dadah serta bahan dalam tahun 2018.
10. Antara Januari dan Jun tahun 2019, seramai 105,375 orang penyalah guna dan penagih dadah serta bahan telah direkodkan. Ini adalah peningkatan sebanyak 23.2 peratus jika dibandingkan bagi tempoh yang sama dalam tahun 2018.
11. Turut membimbangkan ialah peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti Methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu, New PsychoactiveSubstances (NPS) di pasaran Asia. Lebih membimbangkan, kini muncul ratusan bahancpsikoaktif baharu di seluruh dunia.
12. Pada tahun 2009, hanya 130 jenis NPS dilaporkan. Dari tempoh 2009 sehingga tahun 2019pula, jumlah jenis NPS yang dilaporkan dari 119 buah negara adalah sebanyak 892 jenis.
13. Dadah menjadi sumber pendapatan mudah dan lumayan yang menjadi tarikan berterusan kepada penjenayah tertentu. Jumlah nilai rampasan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM3.53billion, berbanding tahun 2018 sebanyak RM0.58 bilion. Nilai rampasan yang diperolehi ini menunjukkan bahawa pengedar dadah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan daripada kesengsaraan orang lain.
PIHAK YANG TERLIBAT DALAM MEMBANTERAS DADAH
14. Masalah penyalahgunaan dadah ini sekiranya tidak dapat ditangani secara holistik oleh semua pihak akan mengundang kemudaratan yang lebih besar kepada Negara pada masa hadapan.
15. Agensi Antidadah Kebangsaan sebagai agensi peneraju dalam membanteras penyalahgunaan dadah perlu menjadikan pendidikan pencegahan sebagai keutamaan bagi memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang tinggi untuk terlibat secara langsung dalam usaha-usaha pendidikan pencegahan yang komprehensif.
16. Langkah-langkah penguatkuasaan dan rawatan pemulihan dadah oleh pihak berkuasa pula perlu mengambil kira perubahan semasa yang berlaku supaya usaha-usaha menanganinya lebih tersusun dan berkesan.
17. Pihak yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah juga harus memahami keperluan pendekatan rawatan yang diberikan seperti yang disarankan oleh National Institute of Drug Abuse.
18. Prinsip rawatan dan pemulihan dadah yang berkesan perlu difahami bahawa tiada rawatan tunggal yang sesuai untuk semua orang.
19. Penyedia perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah, Ahli-ahli Lembaga Pelawat, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah dan termasuk mereka yang mengendalikan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian perlu mengintegrasikan pendekatan rawatan dan pemulihan yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira prinsip-prinsip rawatan pemulihan dadah yang berkesan.
20. Saya menyokong inisiatif KDN dan Agensi Antidadah untuk turut mengundang NGO dan komuniti tempatan di dalam usaha mmenangani masalah dadah ini. Sokongan Kementerian Kewangan melalui pelaksanaan Inisiatif Bersepadu Menangani Penyalahgunaan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial akan menjadi galakan kepada usaha tersebut.
21. Sudah tiba masanya kita semua mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama memerangi isu penyalahgunaan dadah di Negara kita ini.
MEMBANTERAS DADAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA
22. Usaha membendung masalah dadah dan pelencongan sosial yang lain tidak boleh ditangani oleh Kerajaan sahaja. Sebaliknya ia memerlukan sokongan semua pihak termasuk sektor swasta, NGO dan masyarakat.
23. Tema Bulan Antidadah Kebangsaan Ke- 37 iaitu “Kemakmuran dan Kesejahteraan Bersama” memberi penekanan kepada peranan komuniti dan masyarakat.
24. Saya ingin sarankan kepada sektor swasta supaya usaha menangani penyalahgunaan dadah dan bahan menjadi sebahagian dari program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
25. Dan saya percaya sudah sampai masanya kita menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kesesuaian perubahan trend dadah semasa.
PENUTUP
26. Saya harap sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan pada tahun ini memberi mesej yang jelas bahawa masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani bersama-sama. Saya juga harap agar seluruh masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh AADK di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
27. Penglibatan masyarakat akan membantu kepimpinan setempat merancang, menggerak dan melaksanakan program bagi memperkasakan aktiviti kemasyarakatan di samping meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan sosial.
28. Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan tekad dan azam dalam usaha untuk meningkatkan martabat agama dan bangsa bagi membebaskan negara daripada masalah dadah agar kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan.
29. Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan Tahun 2020.
Sekian, wabillahitaufiqwalhidayah wassalamuaalikum Warahmatullahhiwabarakatuh.
Terima kasih.